Halaman

Selasa, 19 April 2011

Selagi Ada Kasih 2

Rayyan melangkah masuk dengan tenang ke dalam ruang legar pejabatnya itu. Sapaan dari pekerja-pekerja bawahannya hanya dijawab dengan anggukkan kepala sahaja. Namun, tiada segarit senyuman pun terukir dibibir pemuda kacak itu. Sesungguhnya dia memang kedekut dengan senyuman.
Kakinya terus melangkah masuk ke dalam biliknya tanpa dihiraukan oleh setiausahanya yang sedang leka dengan tugasan di depan mata. Namun tidak sedikit dia hiraukan kerana dia amat faham akan tabiat setiausahanya itu ketika leka dengan tugasan-tugasan yang diberikan.
Dia melabuhkan punggung di kerusi. Diperhatikan fail-fail yang tersusun kemas diatas mejanya. Satu persatu dicapai. Dia tahu fail-fail tersebut perlu diberikan perhatian yang khusus darinya. Interkom di atas meja ditekannya.
“Sherry” panggilnya lembut
“Yes, Tengku” sahut setiausahanya yang bernama Sherry itu.
“Buatkan I nescafe,”
“Ok, Tengku. Anything else?”
“Tak. Itu je”
Dia kembali menatap tugasan di depan mata. Teliti sekali dia memeriksa struktur bangunan yang terdapat dihadapannya itu. Sesekali dia melirik ke arah komputer yang terdapat di sisi mejanya. Ketukkan di pintu seakan tidak mengganggu konsentrasinya waktu itu. Sherry melangkah masuk sambil menatang minuman yang dimintanya sebentar tadi.
“Nescafe yang Tengku minta tadi,” tenang Sherry bersuara.
“Hmm…letakkan di situ and thanks,”
Tidak sedikit pun diangkat kepalanya menoleh ke arah setiausahanya itu. Namun Sherry masih lagi tercegat berdiri di sisi mejanya. Menyedari itu, pantas dia mengangkat kepala lalu merenung wanita yang telah lama berkhidmat dengannya itu dengan penuh tanda tanya.
“Ada benda you nak bincang dengan I ke?” tanya dia kehairanan.
“Nothing but can I  ask you a few question, Tengku?” ujar Sherry sambil tersengih.
“Apa dia?” Dia meyandarkan badannya di kerusi yang didudukinya itu. Saat itu, terasa keempukkan kerusi buatan Malaysia itu ke tubuhnya.
“Bila masa you masuk? I tak sedar pun tadi?” selamba sahaja ayat itu keluar dari bibir ibu yang sudah beranak tiga itu. Sherry diantara pekerja yang telah lama berkhidmat dengannya. Jadi hubungan diantara mereka ibarat seperti kawan. Mereka boleh berbicara apa sahaja.
“You tu bukannya I tak tau. Kalau dah sibuk, bom meletup pun you tak sedar. Apatah lagi bila I masuk office ni. Lagilah you tak sedar,” Rayyan menghela nafasnya perlahan sambil menggelengkan kepala.
“Sorry, Tengku. I bukannya sengaja. Banyak sangat kerja. Tak tertanggung I dibuatnya. I suruh you cari pekerja seorang lagi untuk tolong-tolong I, you tak mahu. I ni dah tua tau. Tak larat nak terkejar sana…terkejar sini,” omel Sherry.
Rayyan tersenyum kecil mendengarkan omelan Sherry itu. Dia tahu kerja-kerja Sherry agak padat kebelakangan ini. Pernah juga beberapa kali Sherry meminta dia mencari seorang pembantu. Namun dia hanya memandang enteng sahaja perkara itu. Baginya, walaupun Sherry sibuk tapi setiap kerja yang diberikan selalu dikemaskini. Jadi, untuk apa dia cari pembantu untuk wanita tersebut. Dia pasti Sherry boleh tanggung setiap kerja-kerjanya.

“You ni kalau dah start bercakap…non-stop. Puan Sherry, you bukannya tua mana pun baru 33 tahun. Muda lagi. Nantilah I carikan you pembantu seorang,” senyuman manis dilemparkan buat Sherry. Senyuman yang bisa mencairkan hati wanita-wanita yang melihatnya.
“Ha…ni yang buat I sayang sangat kat you.” Sherry tertawa kecil apabila mendengar kata-kata Rayyan itu.
“Dah…sudah. Dengar dek hubby you nanti, mati I kena tembak dengan dia,” Nafas pendek dihelanya apabila mendengar gurauan Sherry itu.
“Apasal plak?” Berkerut dahi Sherry bila mendengar kata-kata Rayyan itu.
“Yelah. Tak pasal-pasal mengurat wife orang, tak ke kena tembak,” selamba Rayyan menuturkan kata-katanya. Mati katak je aku nanti.
Sherry tertawa besar mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Rayyan itu. Dia memulakan bicara apabila tawanya mula mereda.
“Ada apa-apa lagi yang you mahu ke sebelum I keluar?”
Rayyan hanya menggelengkan kepala sahaja menandakan bahawa tiada apa lagi yang diperlukan olehnya. Sherry berlalu pergi meninggalkan dia kembali sendirian di dalam bilik tersebut bagi menyudahkan kerja-kerjanya yang terbengkalai sebentar tadi.
Tengku Rayyan Tan Sri Tengku Rashdan, orangnya cukup tegas dalam kerja dan ringkas dalam kehidupan. Walaupun datang dari keluarga yang kaya dan berada namun tidak pernah sekali pun dia menyalah gunakan apa yang dia ada. Dia menjadi kegilaan wanita kerana memiliki rupa paras yang kacak. Dia memiliki segala-galanya – material dan rupa yang tampan, namun tidak sekali-kali dia bangga dengan apa yang dia miliki.
Ramai wanita yang ingin menjadi suri hidupnya, namun tidak ramai yang tahu bahawa pemuda ini pernah kecewa dalam bercinta satu masa dulu. Perkhawinannya musnah di tengah jalan. Perkhawinan yang dibina atas cinta cuma mampu bertahan selama tiga tahun sahaja. Sesudah itu, dia seakan serik untuk berkhawin lagi. Seakan pintu hatinya telah tertutup rapat buat insan yang bernama wanita.
Hasil perkhawinannya itu, dia dikurniakan seorang puteri iaitu Tengku Rifqah Tengku Rayyan. Dia membesarkan Rifqah dengan bantuan ahli keluarganya. Mujurlah ahli keluarganya banyak membantu dikala dia sedang terumbang-ambing. Dia bangkit dari kekecewaannya hanya kerana Rifqah. Jika tidak, dia pasti tidak akan berada di tempatnya sekarang ini.
Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang. Bingkai gambar yang terdapat di atas mejanya dicapai. Seorang kanak-kanak comel sedang tersenyum manis di dalam pelukkannya. Itulah Rifqah, puteri kesayangannya. Dia akui, pada mulanya amat payah untuk dia menjaga dan mendidik anak sendirian tanpa seorang isteri disisi. Namun, apabila terlihatkan wajah comel itu cepat-cepat dia buang rasa resah.
Senyuman manis terukir apabila teringatkan keletah-keletah manja si kecil itu. Sehari tidak berjumpa, seakan setahun rasanya rindu pada si kecil. Dia rindukan segala-galanya tentang anak kecil itu.
Tanpa sedar, ulahnya diperhatikan oleh seseorang sedari tadi. Temannya itu tersenyum kecil sambil menggelengkan kepala melihatkan ulahnya itu. Sah anggau kawan aku ni. Tulah, suruh kahwin tak mahu. Sekarang dah angau.
“Hoi!! Kau kenapa?” sergah Helmi.
Rayyan sedikit terperanjat apabila disergah oleh sahabat baiknya, Helmi. Hampir terlepas bingkai gambar yang dipegang olehnya sedari tadi. Hampir sahaja melayang nyawa dia akibat sergahan itu.
“Iskh…kau ni kan, kot ye pun berilah salam dulu. Ni tidak, main sergah je,” renggusan kasar keluar dari bibirnya.
“Beri salam amendanya? Puas dah aku beri salam tapi kau dok leka dengan anggau kau tu. Mana kau nak dengar,” ujar Helmi selamba sambil duduk tanpa dipelawa terlebih dulu. Parah dah kawan aku ni.
“Bila masa kau beri salam? Aku tak dengar pun,” Rayyan membetulkan duduknya. Aku tak dengar ke? Ke dia memang tak bagi salam? Bukan boleh percaya dia ni.
“Masa aku masuk tadi aku dah beri salam. Kau tu yang leka sangat layan blues. Bukan salah aku,” Helmi membetulkan duduknya.
“Yelah…yelah…aku salah,” Rayyan meletakkan bingkai gambar Rifqah di sudut meja. Nasib baik aku tak ada sakit jantung. Kalau tidak, mati kat sini gak. Sabar jelah.
“Hei! Gambar siapa tu? Awek baru ke?” soal Helmi sambil mencapai bingkai yang dipegang oleh Rayyan sebentar tadi. Tak tahu pula dia ni ada awek baru.
“Awek baru amendanya. Gambar anak akulah,” sangkal Rayyan tegas.
“La…gambar Rifqah rupanya. Ingatkan gambar awek baru,” Helmi mencebikkan bibirnya sambil meletakkan kembali bingkai gambar yang diambilnya sebentar tadi. Ceh…buang masa aku je.
“Eh Ray! Kalau aku tanya sikit boleh?” soal Helmi lagi sambil berteleku di meja Rayyan.
“Apa dianya?” tanpa menjawab soalan Adam.
“Kau tak mau khawin lagi ke?” selamba sahaja soalan itu keluar dari bibir Helmi.
Rayyan tidak terus menjawab soalan yang diberikan oleh sahabatnya itu malah dia merenung dengan tenang wajah dihadapannya. Dia akui sudah acapkali dirinya diutarakan soalan-soalan sebegitu. Bukan sahaja dari Helmi malah dari ahli keluarganya juga soalan itu sering diajukan. Dia menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan tersebut.
“Kau sendiri tahukan jawapan aku,” Tenang sekali nadanya. Tiada sedikit pun ada riak marah di wajah pemuda tersebut.
“Memanglah aku tahu,” Helmi menyandarkan tubuhnya.
“Dah tu, kenapa ditanya lagi?” sedikit tegas kali ini intonasinya.
“Aku bukan apa, aku cuma kasihan pada Rifqah. Yelah, dalam usia yang masih muda dia dah kehilangan kasih sayang seorang ibu. Sepatutnya, dia mendapat kasih sayang dari kedua ibu bapanya. Bukannya begini. Kau fahamkan maksud aku?,” tenang sekali tutur kata Helmi itu.
“Aku faham Helmi dan bukan salah aku dalam hal ini. Ibu dia yang tinggalkan dia. Aku dah cuba jadi seorang suami yang terbaik namun, aku gagal. Aku tahu mungkin aku juga ada buat silap tapi dia tak boleh hukum Rifqah disebabkan itu,”
“Kau tak mahu khawin lagi?” sekali lagi soalan itu diutarakan oleh Helmi.
“Buat apa aku khawin lagi sedangkan aku boleh berikan apa saja yang Rifqah mahu. Pada aku kasih sayang seorang ibu dan bapa itu sama je. Tak ada bezanya,” luah Rayyan sambil menyandarkan tubuhnya.
“Ha…bab ni kau silap, Ray,” Helmi membetulkan duduknya.
“Silap? Apa maksud kau?” Rayyan mengerutkan dahinya kehairanan.
“Tak semuanya rahsia anak perempuan boleh simpan dengan ayah tau. Kau kena tahu semua tu,”
“Aku masih tak faham,” soal Rayyan sambil mengerutkan dahi.
“Kau kata kau boleh jadi papa dan mama Rifqah, kan?”
“Ya.” sepatah kata-kata itu keluar dari bibir Rayyan.
“Suatu hari nanti dia akan besar. Dia akan dewasa dan menjadi seorang gadis remaja. Saat tu dia takkan simpan rahsia dengan kau lagi. Dia perlukan seseorang yang dipanggil mama untuk dikongsi bersama,”
Rayyan terdiam mendengarnya. Dahinya berkerut memikirkan apa yang telah diperkatakan oleh Helmi itu. Sesekali dia menggigit bibirnya. Melihatkan dia yang terdiam seribu bahasa itu, Helmi menyambung kembali kata-katanya.
“Tak payah ambil yang susahlah, Ray. Kita ambil yang dekat je. Saat dia mahu bermain anak patung, masak-masak ataupun orang kampung panggil pondok-pondok, takkan dia nak ajak kau. Dah tentulah dia akan cari yang spesis dia juga. Maksud aku perempuan. Jangan kau kata kau sanggup nak melayan dia sampai macam tu sekali,” dihujung kata-katanya Helmi tertawa kecil. Tidak boleh dia bayangkan jika Rayyan akan memenuhi keinginan Rifqah.
Namun Rayyan tidak sedikit pun terusik dengan kata-kata tersebut. Dia lebih suka mendiamkan diri sambil memikirkan apa yang dikatakan oleh temannya itu. Dalam diam dia mengiakan kata-kata tersebut. Betul juga cakap dia.
“Lagi satu, ibu ni senang sikit diajak berbincang berbanding dengan ayah. Sebabnya, ibu mempunyai hati yang lembut manakala ayah ni hati dia keras sikit. Jangan ambil contoh jauhlah. Kita ambil yang dekat je iaitu parents kita. Kau tengok papa dan mama kau je dah cukup. Siapa yang selalu sokong kau tanpa bantahan? Mama atau Papa kau?”
Tanpa sepatah bicara, Rayyan hanya menganggukkan kepalanya perlahan-lahan.
“Mana kau tau semua nie?” soal Rayyan sambil merenung wajah tampan sahabatnya itu. Hairan juga dia. Bagaimana Helmi boleh tahu akan itu semua itu? Sedangkan sahabatnya itu belum lagi mendirikan rumahtangga.
“Contoh dah ada depan mata, bro.” ujar Helmi sambil tersenyum manis.
“Contoh depan mata? Maksud kau? Aku tak faham.” lurus sahaja soalan itu keluar dari bibir Rayyan. Dia kurang mengerti akan maksud Helmi.
“Eh! Apsallah kau ni blur sangat?” Helmi menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Aku bukan blurlah. Aku cuma tak dapat nak fikir je.” sangkal Rayyan pantas.
“Yelah tu.” Helmi mencebikkan bibirnya apabila mendengarkan jawapan Rayyan itu. Benda kecil pun tak boleh nak fikir. Apalah…
“Betullah. Cepatlah beritahu aku, mana kau tau semua ni?” soal Rayyan tidak sabar.
“Dah tentu-tentulah dari family aku, bro. Apalah kau ni. Aduh…hancur betullah.”
Rayyan menggaru kepalanya yang tidak gatal sambil mencebikkan bibir apabila mendengarkan jawapan dari Helmi itu. Ceh…menyesal aku tanya.
“Atau kau masih tunggu dia?” Soal Helmi sambil merenung Rayyan.
“Tunggu dia? Siapa?” soal Rayyan hairan.
“Sandra.” ujar Helmi sepatah.
“Boleh tak kau jangan sesekali sebut nama dia lagi depan aku?” sedikit tegas suara Rayyan kali ini. Aku lagilah nak lupakan dia, lagi disebutnya.
“Kenapa pula? Salah ke apa yang aku cakap?” soal Helmi bagi membela dirinya. Helmi tahu, Rayyan cukup pantang apabila ada orang yang menyebut nama Sandra dihadapannya. Tidak kiralah dalam apa keadaan sekali pun.
“Tak salah” antara mahu dengan tidak sahaja Rayyan menjawab soalan yang diutarakan oleh Helmi itu.
“Dah tu, apa masalahnya?”
“Masalahnya, aku tak suka faham! Tak suka!” tegas sekali suaranya kali ini.
“Kenapa pula?”
“Bagi aku, dia dah lama mati dalam hidup kami, Mi”
“Ya, tapi dia masih ibu Rifqah”
“Huh…ibu apa kalau macam tu? Mi, kalau dia seorang ibu yang sayangkan anaknya yang telah dikandungkan selama sembilan bulan sepuluh hari, dia takkan sesekali tinggalkan budak tu macam tu je. Kalau dia bencikan aku sekali pun, sekurang-kurangnya kasih sayang dia sebagai ibu tetap ada tapi…dia tinggalkan kami macam tu aje. Ehhh…sedangkan binatang pun sayangkan anaknya, Mi. Ni kan dia, manusia yang dijadikan oleh ALLAH punya akal & fikiran. Sanggup tinggalkan anak macam tu je. Macam tak ada harga langsung. Dia tak layak jadi ibu, Mi. Tak layak,” tegas Rayyan.
Helmi terdiam mendengar kata-kata tegas yang lahir dari mulut Rayyan itu. Memang jarang sekali untuk Rayyan meluahkan apa yang dirasakannya. Dia telah lama bersahabat dengan pemuda itu. Sudah tahu benar hati budi masing-masing.
“Kau tahu Mi, sampai ke hari ni aku masih lagi cari apa salah aku pada dia. Puas aku selidik salah dan silap aku pada dia selama kami berkhawin tapi…aku tak jumpa. Kami bukannya baru kenal. Kami dah lama bercinta. Kau pun tahukan?” Rayyan merenung Helmi yang duduk dihadapannya.
Helmi hanya menganggukkan kepalanya sahaja bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh temannya itu. Tidak sekali pun dia mencelah kata-kata temannya itu. Betul juga kata-kata Ray tu. Kalau aku berada di tempatnya, pasti aku akan lakukan benda yang sama.
“Kami bersama atas restu kedua keluarga tapi dia buat aku macam tak ada maruah dan harga diri. Macam sampah. Aku tak kisah jika dia buat aku macam ni tapi aku kasihankan Rifqah. Dia tak tahu apa-apa. Kenapa dia yang jadi mangsanya? Apa salah dia? Atau adakah perkhawinan ini satu kesilapan?” Rayyan meraup wajahnya sambil menghela nafas panjang. Terbayang diruang matanya kemusnahan mahligai yang dibina diatas rasa cinta bersama orang yang tersayang.
“Ray, kalau kau anggap perkhawinan ini satu kesilapan bermakna kehadiran Rifqah juga satu kesilapan dalam hidup kau. Anggaplah apa yang terjadi dalam hidup kau ni sebagai satu dugaan. Mungkin kau akan jumpa orang yang lebih bagus dan baik dari dia. Orang yang boleh terima Rifqah dan kau. Cuma satu aje aku nak ingatkan kau, jangan samakan semua perempuan tu sama macam dia. Dalam setandan kelapa tu, tak semuanya busuk. Pasti ada yang baik. Sabarlah.
Mungkin jodoh kau dengan dia memang sampai kat situ. Aku yakin kau pasti akan jumpa perempuan yang lebih baik, lebih bagus, lebih cantik dan lebih segala-galanya dari dia. Cuma bila, dimana dan bagaimana kau bertemu dengan orang tu…hanya ALLAH sahaja yang tahu. Yang buruk tu datang dari kita dan yang baik itu datang dari ALLAH,” pujuk Helmi perlahan. Menyesal pula dia membangkitkan soal itu pada sahabatnya itu.
Rayyan menganggukkan kepalanya apabila mendengar kata-kata Helmi itu. Dia akui yang dia tidak pernah meluahkan perasaannya pada sesiapa pun kecuali Helmi. Hanya Helmi sahajalah tempat dia untuk meluahkan rasa hatinya. Hanya Helmi sahaja yang tahu apa yang dia rasa.
Dia berharap agar suatu hari nanti dia akan menemui insan seperti yang Helmi katakan. Dia tidak mahu terima insan yang hanya mahukan dia dan hartanya sahaja. Dia akan pastikan insan itu akan menerima Rifqah melebihi dirinya.
“Dahlah tu. Jangan difikirkan lagi benda tu semua. Jom kita pergi makan. Aku dah lapar. Perut aku ni dah berdondang sayang daripada tadi,” Helmi merangkul bahu Rayyan.
Dengan lemah Rayyan bangun juga. Dia bertembung dengan Adam, pembantu peribadinya apabila dia melangkah keluar dari biliknya itu. Senyuman yang dilemparkan oleh Adam disambut hambar sahaja olehnya.
“You nak keluar ke?” soal Adam apabila melihat Helmi dan Rayyan saling bergandingan keluar dari bilik Rayyan.
“Ada apa, Adam?” tanpa menjawab soalan Adam.
“I ada benda nak bincang dengan you. Itu pun jika you ada masa,”
“Alah…kau ni kacau daunlah, Adam,” selamba sahaja Helmi meluahkan rasa hatinya. “Aku baru je nak ajak dia pergi makan. Teruk betullah kau ni,”
“La…ye ke? Manalah aku tahu. Tak apalah. Kita bincang after lunch nanti,”
“Penting ke?” soal Rayyan tanpa menghiraukan Helmi disisinya. Baginya soal kerja lebih penting dari melayan karenah sahabatnya, Helmi.
“Bolehlah juga,”
“Mi, kau tunggu sekejap. Aku bincang dengan Adam dulu. Lepas tu kita pergi makan,” ujar Rayyan sambil merenung wajah Helmi.
“Alah…bincanglah masa lunch. Kau dah makan belum?” soalnya selamba sambil merenung wajah Adam.
“Belum lagi,” jawab Adam sambil menggelengkan kepala.
“Ha…cantiklah tu. Jom kita pergi lunch sama-sama. Sambil makan kita bincang. Bak kata orang, sambil menyelam kita minum air,”
“Dia nikan…suka dia je,” Rayyan menggelengkan kepalanya. “Bolehkah Adam?” direnungnya adam seketika.
“Boleh juga. I tak kisah,”
“Ha…macam tulah. Jom kita pergi lunch. Ray belanja,”
Rayyan hanya menggelengkan kepalanya sahaja melihatkan ulah sahabatnya  itu. Lalu mereka bertiga mengorak langkah mencari tempat untuk menjamu selera pada tengahari itu.

Rabu, 6 April 2011

Novel Selagi Ada Kasih 1

Dania melangkah menuruni anak-anak tangga dengan penuh berhati-hati. Bimbang jika tergelincir dari anak tangga tersebut. Pantas kakinya menyarung selipar yang sedia ada. Tanpa menoleh lagi, dia terus menghayun kakinya menuju ke arah belakang rumah sambil menjinjing bakul baju yang sudah siap dicucinya sebentar tadi. Dia harus menyiapkan tugasnya secepat mungkin. Jika tidak, pasti dia akan dimarahi oleh ibu tirinya, Puan Zaiton.
Mentari pagi mula menyinari alam semesta. Terasa olehnya kehanggatan pancaran cahaya tersebut. Baru beberapa tapak dia melangkah, namanya diseru oleh seseorang dari arah belakang.
“Nia…Nia…” Puan Zaiton memanggilnya nyaring.
          “Saya, mak cik”, balasnya lembut.
          “Kau kat mana tu?” Puan Zaiton bersuara lagi.
          “Nia ada di belakang, mak cik”
“Ke sini kau!” ujar Puan Zaiton sambil menjenggah dari arah pintu dapur.
Tanpa banyak soal Dania menghampiri Puan Zaiton yang sedang berdiri di muka pintu sambil bercekak pinggang merenung tajam ke arahnya. Janganlah aku kena marah dengan dia pagi ni.
“Ada apa mak cik?” Dania bersuara apabila sudah berada di hadapan wanita separuh umur itu.
          “Apa kau buat kat belakang tu?” soal Puan Zaiton tanpa menjawab soalan Dania.
“Nia nak jemur kain.” Jawab Dania jujur.
“Kau dah buat sarapan pagi ke belum?” sedikit tegas suara Puan Zaiton
“Dah.” jawab Dania sepatah sambil menganggukkan kepala
“Dah bagi ayah kau minum?” soal Puan Zaiton lagi.
          “Belum” jawab Dania lagi sambil menggelengkan kepalanya.
“Kau ni kan, bila orang tanya tu…jawablah betul-betul. Ini tidak, sepuluh aku tanya, sepatah yang kau jawab. Macam ni bila nak habis?” Puan Zaiton merenggus kasar dengan ulah Dania itu sambil bercekak pinggang.
Dania hanya mendiamkan diri. Tidak sedikit pun dia membalas kata-kata ibu tirinya itu. Jawab salah, tak jawab salah. Kalau aku jawab nanti kata aku ni melawan pulak.
“Kenapa kau tak bagi ayah kau minum lagi?” Puan Zaiton menukar topik perbualan diantara mereka berdua.
“Masa Nia nak bagi ayah minum tadi, ayah tidur lagi. Jadi Nia cuci kain dulu. Ingatkan lepas ini barulah Nia beri ayah makan”
“Dah…dah…kau pergi buat kerja kau. Lepas ni aku tahu, kau kemas rumah ni. Lepas tu, kau mandi dan bagi ayah kau minum. Jangan tak bagi pulak nanti. Faham!” sedikit keras suara Puan Zaiton.
“Nia faham, mak cik” Dania menganggukkan kepalanya.
“Ha…lagi satu sebelum aku terlupa. Dah siap kerja-kerja kau tu nanti, tolong aku kat kedai. Jangan lupa pulak!”
“Insya-ALLAH, mak cik. Nanti Nia datang”
“Jangan insya-ALLAH je. Datangnya tidak. Ika mana?”
“Hmm…dia belum bangun lagi, mak cik.” teragak-agak Dania memberitahu.
“Dah…pergi buat kerja kau” Tanpa berlengah lagi Dania berlalu meninggalkan Puan Zaiton bagi meneruskan tugasannya yang tertangguh sebentar tadi.
Begitulah rutin hidupnya semenjak ayahnya, Encik Rahmat berkhawin dengan Puan Zaiton selepas kematian ibunya. Zaman remajanya hanya dihabiskan dirumah dan juga menguruskan kedai makan yang diusahakan oleh ibu tirinya itu.
Bebannya semakin bertambah apabila ayahnya disahkan lumpuh akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lepas. Namun, tidak sedikit pun dia merasakan yang ayahnya itu satu bebanan dalam hidupnya. Sesungguhnya dia berasa bertuah kerana dapat berbakti kepada ayahnya saat itu.


Dania melangkah masuk ke dalam bilik kecil itu sambil menatang minuman pagi buat ayahnya. Sekuntum senyuman manis dihulurkan buat si ayah yang terlantar di atas katil.
“Ayah…ayah…” lembut suaranya memanggil Encik Rahmat.
“Hmm…Nia. Ada apa, nak?” merenung Dania dengan mesra.
“Kita sarapan ya, yah.”
“Nia dah sarapan?” ujar Encik Rahmat sambil cuba bangkit dari pembaringannya.
“Belum lagi, yah. Ayah sarapan dulu. Bila dah siap kerja-kerja Nia nanti, Nia sarapanlah” ujar Dania sambil membantu Encik Rahmat bangkit dari pembaringannya.
“Kenapa tak sarapan lagi? Mak cik kamu mana?” Encik Rahmat mengurut dadanya akibat batuk-batuk kecil yang keluar dari mulutnya.
“Ayah janganlah risau. Lepas siap kerja Nia nanti, Nia sarapan. Mak cik dah ke kedai. Awal-awal pagi lagi dia dah pergi” Dania melabuhkan punggungnya di birai katil bujang yang menempatkan ayahnya itu. Di bilik kecil itulah ayahnya menghuni sejak kemalangan yang menimpa dirinya beberapa tahun lalu.
“Tapi…sebelum tu, ayah kena mandi dulu. Lepas dah mandi baru kita minum ya, yah?” ujar Dania. Sekuntum senyuman manis dilemparkan buat si ayah.
Sekuntum senyuman bersama anggukkan kecil dihadiahkan buat si anak. Dania melakukan rutin hariannya. Dia mengelap seluruh badan ayahnya dengan tuala basah. Ulahnya itu hanya diperhatikan oleh ayahnya.
Dalam diam terdetik rasa sayu di hati si ayah akan nasib yang menimpa si anak. Bukan niat untuknya menyusahkan sesiapa pun. Lebih-lebih lagi si anak yang amat patuh padanya. Dia tahu Dania tidak pernah sekali mengeluh dalam menjaganya. Dania seorang anak yang penyabar dan tidak seperti Kartika, adiknya. Kasihan anak ini.
Perlahan-lahan Encik Rahmat menghela nafas panjang. Dania merenung wajah ayahnya dengan kehairanan apabila mendengar keluhan itu.
“Kenapa ayah? Sakit ke?” wajah Dania beriak sedikit cemas melihatkan ulah ayahnya itu.
“Tak” Encik Rahmat menjawab sepatah sambil menggelengkan kepalanya.
“Kalau takde apa-apa, kenapa ayah mengeluh?” Dania merenung hairan wajah Encik Rahmat. Agak lama juga Encik Rahmat berdiam diri sebelum memulakan bicaranya.
“Ayah ni dah banyak menyusahkan kamu, Nia.” Lemah sekali suara itu menusuk ke gegendang telinga Dania saat itu.
“Menyusahkan? Maksud ayah? Nia tak faham.” Soal Dania dengan kerutan di dahi. Bila pula ayah menyusahkan aku?
“Sepatutnya, waktu-waktu begini kamu berseronok dengan kawan-kawan dan bukannya menjaga ayah yang cacat ni. Ayah rasa bersalah sangat pada kamu” ujar Encik Rahmat sambil menundukkan kepalanya menahan rasa sayu.
“Ayah…tak baik ayah cakap begitu. Nia tak pernah pun menganggap ayah satu bebanan dalam hidup Nia selama ni. Apa yang Nia lakukan semua ni adalah tugas Nia sebagai seorang anak kepada ayahnya” sebak dada Dania apabila mendengarkan kata-kata yang keluar dari bibir ayahnya itu.
“Ayah memang tak guna, Nia. Kenapalah ayah yang harus menanggung semua ni? Jika ayah sihat pasti kamu tak terseksa begini. Pasti kamu dapat menyambung pelajaran kamu. Pasti kamu dapat teruskan cita-cita kamu.”
Dania menghela nafas pendek sebelum menjawab kata-kata Encik Rahmat. Dia tahu bahawa ayahnya itu terkilan tidak dapat melihat dia menyambung pelajaran hingga ke menara gading.
“Ayah…setiap apa yang terjadi, pasti ada hikmahnya. Sebagai hamba-Nya, kita harus akur pada Qada’ dan Qadar ALLAH. Bukan kita nak semua ni. Jika sekarang Nia tak dapat sambung pelajaran, satu hari nanti pasti impian Nia akan tercapai. Ayah jangan sesekali salahkan diri ayah dengan apa yang terjadi.” perlahan-lahan Dania mengucup lembut tangan ayahnya.
“Kamu anak yang baik, Nia. Ayah rasa amat berbangga kerana memiliki anak seperti kamu. Tentu arwah ibu kamu juga rasa bangga dengan kamu” Encik Rahmat mengusap lembut pipi puteri sulungnya itu.
Dania tersenyum manis sambil menganggukkan kepalanya. Tanpa disedari perbualan mereka didengari oleh Kartika, adik tiri Dania yang berlainan ibu. Sakit hatinya melihat kelakuan Dania dan juga ayahnya itu.
“Amboi…seronoknya bersembang. Kerja kau dah siap ke belum?” Kartika menyerbu masuk ke dalam bilik kecil itu sambil bercekak pinggang.
“Ika…kenapa ni? Tak baik cakap begitu dengan kakak kamu,” lembut suara Encik Rahmat menegur Kartika.
“Ahh…ayah. Kalau dengan Nia tu, baik aje. Dengan Ika ni ada aje yang tak kenanya. Itu salah, ini salah.” Kartika merenggus kasar sambil menjeling tajam pada Encik Rahmat dan Dania.
“Ika, tak baik cakap dengan ayah begitu. Kalau kau marahkan akak sekali pun, jangan dilepaskan pada ayah.” Dania sudah bangun dari duduknya. Dia kini menghadap adiknya dengan wajah yang merah padam. Encik Rahmat tahu Dania sedang cuba mengawal kemarahannya.
“Dah…sudahlah tu. Jangan nak bergaduh pagi-pagi buta ni,” celah Encik Rahmat bagi meleraikan bunga-bunga pertengkaran diantara Dania dan Kartika. Bimbang hatinya jika dibiarkan mahu makin teruk pula nanti.
“Nia ni ha…cakap macam tu sikit pun nak kecoh,” Kartika mencebikkan bibirnya. Macam bagus je.
“Kau tu yang cari pasal,” Dania merenggus marah. Dia yang mulakan dulu, aku juga yang disalahkan.
“Kau dah siapkan kerja-kerja kau ke belum?” soal Kartika kembali.
“Akak dah siapkan kerja-kerja. Tak payah kau nak ingatkan,” Dania kembali tenang bersuara.
“Apalagi…pergilah tolong mak di kedai. Mak dah lama tunggu kat kedai tu. Kau tak datang-datang lagi,”
“Sekejap lagi kakak pergilah. Lagi pun kakak belum bagi ayah minum,”
“Lagi tadi kau buat apa? Ha…kau buat apa?” jerkah Kartika sambil bercekak pinggang merenung ke arah Dania.
“Akak baru je sudah mandikan ayah. Biarlah akak bagi ayah minum dulu. Lepas tu kakak pergi kedai tolong mak cik,”
“Ahh…ayah tu bukannya budak kecil lagi. Makan pun nak bersuap. Bukan tak boleh suap sendiri. Yang lumpuh kaki, bukannya tangan,” lancang sekali mulut Kartika berbicara.
“Ika…” Dania merenung tajam wajah adik tirinya itu. Seakan mahu diterkam adiknya itu. Melihatkan itu pantas Encik Rahmat bersuara bagi mendamaikan mereka.
“Dah…sudahlah tu. Nia, kamu pergi ke kedai. Tolong mak cik kamu,” Tangan kanannya mengusap-ngusap dadanya akibat dari batuk-batuk kecil.
“Tapi ayah…” kata-kata Dania pantas dipotong oleh Encik Rahmat agar perbalahan diantara dia dan Kartika berakhir di situ.
“Takpe. Ayah boleh sarapan sendiri. Kamu pergilah tolong mak cik kamu di kedai. Nanti bising pula dia kalau kamu lambat datang.”
Dania terdiam mendengar penjelasan ayahnya itu. Antara mahu dengan tidak, dia akur juga dengan permintaan si ayah. Perlahan-lahan dia mengorak langkah meninggalkan bilik kecil yang menempatkan Encik Rahmat. Kartika tersenyum sinis melihatkan Dania berlalu meninggalkan mereka. Padan muka.
Begitulah nasib Dania. Sering mengalah dengan adiknya, Kartika. Jika dia melawan pasti dia akan menerima habuannya dari Puan Zaiton. Bukan dia tidak pernah melawan, namun habuan yang diterimanya lebih teruk dari yang sepatutnya.
Dia sudah tidak sanggup lagi untuk menanggung keperitan hidup ini. Pernah sekali dia terfikir untuk lari sahaja dari rumah itu, namun bila dikenangkan ayahnya yang terlantar sakit dibatalkan sahaja niat dihati. Biarlah orang nak kata dia bodoh, dia dungu…dia sedia menerimanya. Namun demi kasihnya yang menggunung pada si ayah, dia sanggup dilakukan sebagai hamba oleh Puan Zaiton dan juga Kartika.
Dia akui, dia bijak dalam pelajaran namun dia terpaksa padamkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Dia yakin bahawa satu hari nanti dia akan dapat mencapai cita-citanya. Dia amat pasti tentang itu.