Halaman

Isnin, 8 April 2013

Kau Kusayang Bab 14


Chevrolet Corvette Z06 Centennial keluaran terbaru berwarna kuning metalik itu dipandunya dengan laju tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Itu adalah kereta idamannya sedari dahulu lagi. Kereta mewah itu adalah hadiah dari abah dan mamanya, sempena hari lahirnya yang ke dua puluh tahun.
Dia berasa begitu bangga sekali kerana dapat memiliki kereta itu. Bukan senang dan mudah untuk memiliki kereta mewah itu. Sudah lama dia idamkan kereta itu menjadi miliknya. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa dia bisa memiliki kereta mewah itu dalam usia yang sebegini muda.
Meternya kini telah menjangkaui seratus lapan puluh kilometer per jam. Dia tersenyum bangga apabila dapat memotong beberapa buah kereta yang dirasakan tidak mampu untuk menandingi kereta tersebut. Sesekali dia menjeling kereta-kereta yang dipotongnya melalui cermin sisi. Cubalah kejar kalau boleh. Makan asap ajelah nampaknya.
            Hujan lebat berserta petir kilat mula turun membasahi bumi yang telah lama gersang. Namun, itu tidak sedikit pun menghalang pemanduannya. Pedal minyak semakin ditekannya tanpa menghiraukan jalan raya yang sudah mula licin akibat air hujan yang turun. Dia seakan melepaskan kemarahan dan rasa ketidakpuasan hatinya kepada kereta yang dipandunya.
            Nasibnya malang apabila kereta yang dipandu dengan laju itu mula hilang kawalan. Dia cuba mengelak dari melanggar seorang kanak-kanak sekolah yang sedang melintas jalan. Akibat dari itu, kereta tersebut melanggar pembahagi jalan sebelum terbalik beberapa kali dan terhentak dengan kuatnya pada sebatang pokok.



            Damia tersentak dari tidurnya. Nafasnya tercungap-cungap menahan rasa gementar. Peluh yang terbit di wajah disapunya kasar dengan jemarinya yang runcing. Sesekali matanya terpejam celik seakan cuba memadamkan mimpi ngerinya sebentar tadi. Diperhatikan keadaan sekeliling. Dia menghela nafas panjang. Ya ALLAH, mimpi rupanya!! Aku fikirkan ianya betul-betul terjadi.
            Perlahan-lahan dia mengusap wajahnya yang telah  bermandikan peluh. Tekaknya terasa kering tiba-tiba. Ditoleh ke sebelah kanannya. Gelas yang sentiasa sahaja terisi dengan air kosong di situ kosong. Dahaganya.
            Dengan langkah yang berat, dia bangkit dari katilnya. Dia ingin membasahkan tekaknya di dapur. Dengan langkah yang longlai, dia menapak ke dapur. Dicapainya gelas yang telah tersusun cantik di atas kabinet tersebut.
            Perlahan-lahan dia meneguk air putih itu. Terasa begitu nyaman sekali di saat air itu melalui kerongkongnya. Fikirannya tiba-tiba melayang kepada mimpi yang baru sahaja dialaminya sebentar tadi. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini dia seringkali mengalami mimpi yang sama. Malah berulang-ulang kali. Kenapa mimpi tu datang kembali dalam tidur aku? Sedangkan aku telah cuba untuk melupakannya.
            Satu per satu rentetan peristiwa itu bermain di birai matanya. Akibat dari kemalangan itu, kaki dan tangan kanannya patah. Menurut Dina dan Danish, dia tidak sedarkan diri selama hampir tiga minggu dan kemalangan itu juga hampir sahaja meragut nyawanya. Disebabkan itulah, Dato’ Lufti telah melarangnya dari memandu kereta. Nasib baik aku tak mati. Sekurang-kurangnya aku diberi peluang untuk memohon keampunan dari ALLAH.
            Mujur tiada kemalangan jiwa yang berlaku akibat kemalangan tersebut. Mujur juga kanak-kanak sekolah yang ingin melintas jalan itu tidak menjadi mangsa korbannya. Dia mendapat tahu dari Dina, kanak-kanak tersebut tidak mengalami apa-apa kecederaan pun kecuali terkejut sahaja. Bukan sahaja Dina dan Danish memarahinya, Dinie juga begitu.
            Mamanya hampir sahaja pengsan tatkala mendapat berita kemalangan ngeri yang menimpa dirinya. Tatkala dia membuka matanya, wajah insan pertama yang dilihatnya adalah wajah Datin Afifah. Jelas kerisauan di wajah tua milik mamanya itu. Malah terbit air jernih di pelupuk mata tua itu. Maafkan Mia, mama. Mia dah banyak susahkan mama. Dari kecil hinggalah dewasa. Mia tak pernah sekali buat mama senang hati.
            Damia menghela nafas panjang. Air putih yang masih lagi bersisa di dalam gelas itu, diteguknya perlahan-lahan. Keadaannya itu hanya diketahui oleh Aina, Gina, Liza dan termasuklah Fierdaus, setiausahanya. Disebabkan itu jugalah, Kak Ina dan Pak Abu ditugaskan di rumah itu apabila dia bercadang untuk berpindah setelah berkahwin dengan Darwisy.
            Rumah itu sengaja dibeli atas nama Darwisy tanpa pengetahuan daripada sesiapa pun. Dia tidak mahu ahli keluarganya mempertikaikan kemampuan Darwisy suatu hari nanti. Darwisy sendiri tidak tahu akan itu. Dia memberitahu Dato’ Lufti dan Datin Afifah bahawa rumah itu telah dibeli oleh Darwisy sebagai persediaan dan hadiah perkahwinan mereka berdua. Berdosakah aku kerana menipu mereka semua?
            Damia tersentak kecil tatkala bunyi guruh yang kuat memecah keheningan malam. Tanpa disedarinya, gelas yang berada kemas di dalam gengaman tangannya terlepas. Semenjak kemalangan yang hampir sahaja meragut nyawanya dulu, dia cukup takut dengan hujan dan juga bunyi guruh. Astaghfirullah…macam manalah boleh terlepas ni?
            Perlahan-lahan dia membongkok untuk mengutip serpihan kaca yang telah pecah berderai di lantai. Di dalam hati, tidak sudah-sudah dia memarahi dan menyalahi diri sendiri di atas kecuaiannya itu.



            Darwisy pantas melangkah ke arah dapur apabila telinganya menangkap sesuatu yang pecah. Tujuannya ke dapur adalah untuk membasahkan tekak yang dahaga. Setibanya dia di dapur, didapati Damia sedang membongkok mengutip serpihan kaca yang pecah di lantai.
            “Huda?” tegurnya. Apa dia buat tu?
            Damia sedikit tersentak kecil dengan teguran itu. Pantas dia menoleh ke arah Darwisy. Dia kembali mengutip serpihan kaca tersebut apabila Darwisy mendekatinya. Iskh, dia ni! Tak tahu nak bagi salam ke?
            “Kenapa ni?” soal Darwisy sedikit cemas. Apa yang dah jadi?
            Damia hanya menggelengkan kepalanya tanda menjawab pertanyaan Darwisy itu. Darwisy turut membongkok di sebelahnya. Wajah Damia direnungnya dalam kesamaran cahaya. Seakan ingin penjelasan yang lebih jelas dari wanita itu. Malangnya, hampa.
            “Apa yang dah berlaku?” Darwisy menyoal lagi. Nampaknya, aku kenalah mulakan dulu. Nak tunggu dia, alamatnya takdelah jawabnya.
            “Gelas pecah.” Jawab Damia perlahan. Macam manalah boleh terlepas agaknya?
            Sememangnya begitulah mereka. Terlalu kurangnya komunikasi di antara satu sama lain. Samada dari Damia mahupun Darwisy. Damia seakan berat mulut untuk berbicara dengan lebih baik lagi. Manakala Darwisy pula, lebih banyak elakan diri dari bertemu muka dengan Damia. Seakan terdapat satu tembok besar yang memisahkan mereka berdua.
            Kemesraan di antara mereka hanya akan terjadi tatkala ada insan lain di antara mereka yang tidak tahu akan pergolakan rumah tangga mereka. Saat itu, mereka berdua akan berlakon seperti mereka merupakan pasangan yang amat bahagia sekali. Hakikatnya, tiada siapa pun yang tahu rahsia yang mereka simpan selama ini.
            “Macam mana boleh pecah?” soal Darwisy lembut.
            “Terlepas dari tangan saya tadi.” Beritahu Damia.
            Darwisy menganggukan kepala tanda mengerti apabila mendengarkan penerangan Damia. Seakan penerangan dari Damia itu yang diharap-harapkan.
            “Dahlah. Tak payah buat semua tu. Biar saya aje yang bersihkan.” Arah Darwisy. Kasihan pula dia melihat Damia membersihkan serpihan kaca itu sendirian. Mahu luka pula jari dia nanti.
            “Tak apa. Saya boleh buat sendiri.” Tolak Damia lembut. Ingat aku tak boleh buat benda ni semua ke? Aku boleh lakukanlah. Jangan nak manjakan aku sangat.
            “Jangan. Nanti luka jari tu. Lagi susah.” Halang Darwisy. Dia tidak mahu gadis itu terluka.
            Tidak sampai lima minit Darwisy menuturkan kata-katanya, jari Damia terluka akibat serpihan kaca gelas tersebut.
            “Auch!!” Damia menggigit bibirnya menahan sakit. Iskh, masin sungguh mulut dia!!
            “Kan saya dah kata tadi! Degil!!” Marah Darwisy. Cakap orang tak mahu dengar.
            Damia merenung luka di jarinya. Darah merah mula mengalir. Bibirnya diketap bagi menahan sakit. Sakitnya jari aku!
            “Mari sini. Saya sapukan ubat.”
            Darwisy menarik lembut tangan Damia lalu membawanya ke ruang tamu. Di ruang tamu, dia merawat luka di jari manis Damia. Damia hanya memerhatikan sahaja ulahnya itu tanpa menyedari wajahnya pula menjadi santapan mata lelaki itu. Cantik juga dia ni.
            “Awak tak tidur lagi ke?” Darwisy menyoal tiba-tiba. Kenapa selama ni aku boleh tak perasan bahawa dia ni cantik?
            “Ha?!!” Damia yang terkejut dengan soalan dari Darwisy itu merenung wajah pemuda itu. Dia bercakap dengan aku ke?
            Darwisy tersenyum kecil melihatkan ulah Damia itu. Sekali lagi dia mengutarakan soalannya sebentar tadi. Dia tahu, Damia canggung tatkala mereka duduk berduaan sebegini. Bukan sahaja Damia, dia juga sebegitu. Kalau Arfiq tak beritahu, pasti aku takkan sedar akan itu semua.
            “Dah tidur tadi tapi terkejut pula. Rasa dahaga. Itu yang turun minum. Awak kenapa tak tidur lagi? Dah lewat ni.” Ujar Damia tenang. Kenapa aku rasa macam ada yang tak kena aje sekarang ni?
            “Saya baru aje habis solat sunat tadi. Tiba-tiba rasa dahaga pula. Masa turun saya dengar bunyi benda jatuh. Tak tahu pula awak di dapur. Saya ingatkan kucing tadi.” Jelas Darwisy dengan panjang lebar. Adakah aku telah dibutakan dengan kecantikan orang lain sehinggakan tidak sedar akan kecantikan yang ada di hadapan mata aku sendiri?
            Damia menganggukan kepalanya. Untuk seketika, suasana sepi di antara mereka berdua. Darwisy merenung ke arah Damia. Di dalam kesuraman cahaya, dapat dilihat kecantikan asli yang dimiliki oleh Damia. Selama ini dia tidak pernah sekalipun merenung Damia sebegitu rupa. Betul kata Arfiq. Dia memang cantik.
            Bermula dari mata Damia yang bulat dan bercahaya itu anak matanya turun ke arah hidung Damia yang separuh mancung. Akhirnya, pandangan matanya tertumpu ke arah bibir Damia yang sentiasa sahaja merah bak delima. Dilihat bibir munggil itu sentiasa sahaja basah. Ingin sekali dia mengucup bibir tersebut. Namun, akal warasnya cepat bertindak. Ada yang kena penampar free aje malam ni.
            Sesekali matanya mula melirik nakal ke arah tubuh Damia. Malam itu Damia hanya mengenakan baju tidur yang tipis sehingga menampakkan anak baju yang dipakainya. Dadanya berdebar seketika. Belum pernah lagi dia melihat Damia dalam keadaan sebegitu. Damia tidak akan melangkah keluar dari bilik apabila dia telah lengkap berpakaian tidur. Dia lebih rela berkurung dari keluar dalam keadaan sedemikian.
            Pernah juga dia melihat Damia memakai skirt pendek sehingga menampakkan pehanya yang gebu itu untuk ke pejabat. Namun itu tidak sedikit pun bisa mendebarkan hati lelakinya. Damia amat menjaga pemakaiannya apabila tahu dia berada di rumah. Walaupun berseluar atau berskirt pendek namun pastinya tampak sopan. Mungkin malam ini adalah malam bertuah buatnya kerana dapat melihat Damia dalam keadaan sedemikian. Kenapalah dia seksi sangat malam ni? Selalunya, takde pun seseksi macam ni. Ke…aku yang tak boleh tahan dengan apa yang aku lihat sekarang ni?
            “Saya masuk tidur dululah.” Ujar Damia lalu bangun dari duduknya. Tak selesa pula aku dibuatnya dia ni.
            Dia seakan tahu apa yang berlegar-legar difikiran Darwisy saat ini. Dia sendiri gugup saat duduk berdua-duaan dengan Darwisy. Selama ini jarang sekali mereka dapat duduk seperti itu. Jika ada pun, pasti tatkala ada tetamu atau ahli keluarga mereka yang datang bertandang.
Tanpa menunggu balasan dari Darwisy, pantas dia melangkah pergi. Tidak sanggup dia berlama di situ. Silap-silap mahu dia terkam aku. Tak rela aku.