Darwisy
memakir motornya bersebelahan dengan kereta mewah milik Damia. Topi ke-ledar
yang tersarung di kepalanya ditanggalkan. Sesekali dia menjeling ke arah kereta
tersebut. Timbul pula rasa kehairanan di hatinya apabila melihatkan kereta itu.
Awalnya dia pulang. Selalunya lambat.
Selagi tidak pukul dua atau tiga
pagi, pasti gadis itu tidak akan pulang ke rumah. Tapi hari ini, sebelum jam
dua belas tengah malam gadis itu telah pun berada di rumah. Bagus betul. Satu
perkembangan yang baik.
Dia melangkah masuk. Salam yang
dihulurkan disambut oleh Kak Ina. Sekuntum senyuman manis dihadiahkan buat Kak Ina
yang setia menyambut kepulangannya setiap hari. Sesekali teringin juga dia
merasa Damia menyambutnya pulang dari tempat kerja. Sebagai seorang manusia dia
tidak boleh tamak. Dia tahu, Damia sibuk dengan kerja-kerjanya di pejabat.
Begitu juga dengan dia. Sebab itulah, dia tidak kisah andainya Damia tidak
melakukan tanggungjawabnya itu.
“Darwisy nak makan ke?” Kak Ina
menyoal lembut.
“Tak apalah, kak. Saya dah makan kat
luar tadi dengan kawan.” beritahu Darwisy. Masih lagi terasa akan
kekenyangannya.
Kak Ina menganggukan kepalanya. Dia
berlalu menuju ke dapur semula. Baru beberapa tapak dia melangkah meninggalkan
Darwisy, langkahnya terhenti.
“Ada apa, Darwisy?” soal Kak Ina
hairan. Dia nak minum barangkali.
“Huda dah pulang ya, kak?” soal
Darwisy tanpa menjawab pertanyaan Kak Ina. Rindunya aku pada dia.
“Ya, ada di atas. Kenapa?” tanya Kak
Ina lagi. Dia nak jumpa dengan Mia ke?
“Takdelah. Awal pula dia pulang hari
ini. Selalunya dia pulang lewat.” Darwisy menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Okay ke ayat aku tu?
“Dia kurang sihat sikit hari ini.
Lepas makan ubat tadi, dia terus tidur.” Jelas Kak Ina tanpa disuruh.
“Kurang sihat? Demam?” soal Darwisy
bertalu.
“Tak. Dia kemalangan.”
“Kemalangan? Teruk ke, kak?” jelas
kerisauan di wajah Darwisy saat itu. Kenapa aku orang yang terakhir tahu pasal
benda ni?
“Akak tak tahu nak cakap macam mana,
Darwisy. Akak rasa lebih baik Darwisy pergi tengok sendiri.” Nasihat Kak Ina.
Darwisy menganggukan kepalanya.
Pantas dia mendaki anak-anak tangga menuju ke tingkat atas. Tidak sabar dia
ingin mendapatkan Damia. Namun, niatnya untuk ke bilik gadis itu dibatalkan.
Dia ingin membersihkan dirinya terlebih dahulu sebelum menemui Damia. Tidak
selesa pula dia ingin jumpa gadis tersebut dalam keadaannya yang begitu.
Selepas membersihkan diri, dia terus
menuju ke bilik Damia. Tidak sabar rasanya dia untuk mengetahui keadaan gadis
itu. Pintu bilik gadis itu diketuknya terlebih dahulu sebelum melangkah masuk.
Namun, tiada kedengaran suara Damia. Dengan teragak-agak dia membuka pintu
bilik tersebut. Dah tidur ke dia?
Didapati Damia sedang tidur dengan
lenanya sambil memeluk patung beruang sebesar budak lima tahun berwarna coklat.
Wajah itu begitu tenang dan polos sekali. Perlahan-lahan dia mendekati Damia.
Direnung wajah yang sedang lena dibuai mimpi itu. Puas dibelek dan diteleknya
namun tiada pun tanda-tanda gadis itu terluka. Kata kemalangan tapi aku tengok
okay aje. Takde yang berbalut. Dari kepala hinggalah ke tangan.
Timbul kehairanan di wajahnya. Kepala
yang tidak gatal digarunya berkali-kali. Entah-entah Kak Ina sengaja nak
kenakan aku tak? Manalah tahu kalau-kalau mereka berdua ni berpakat. Tapi tak
mungkinlah. Selama ini pun mereka tak pernah buat gurauan sebegini rupa. Bukan
aje Kak Ina, Huda pun takkan bergurau sedemikian rupa.
Wajah Damia ditatap lagi. Entah
kenapa, dia tersenyum sendirian. Suka benar dia melihat wajah itu tatkala
terlena. Anak rambut yang menutupi dahi Damia disentuhnya. Damia bergerak kecil
apabila terasa akan sentuhan itu. Pantas Darwisy menarik semula tangannya.
Jangan dia tersedar sudahlah. Niaya aje nanti. Apa aku nak cakap pada dia kalau
dia tanya aku buat apa kat dalam bilik dia ni?
Bimbang juga hatinya jika Damia
terjaga dari tidurnya. Melihatkan gadis itu tidak terjaga, dia menghela nafas
lega. Tanpa sedar, dihadiahkan sekucup ciuman di dahi Damia. Pantas dia
memegang bibirnya. Terkebil-kebil matanya seketika. Apa yang aku buat ni?
Kenapa aku cium dia?!
Dia mula menelan liurnya. Pantas dia
bangkit dari duduknya. Tidak sanggup lagi dia berlama di situ. Bimbang sesuatu
yang buruk bisa terjadi di antara mereka berdua nanti. Namun, kakinya tidak
jadi melangkah. Matanya mula memerhati ke sekeliling bilik tersebut. Betulkah
apa yang aku nampak ni? Atau ianya sekadar mimpi saja?
Dia terkedu seketika. Jantungnya
seakan terhenti berdegup. Perlahan-lahan dia menelan liurnya. Dia tidak sangka
dengan apa yang dipertontonkan di hadapan matanya kini. Walaupun bilik itu
hanya dilimpahi dengan cahaya lampu yang suram namun itu tidak sedikit pun
menghalang penglihatannya. Matanya mula meratah ke serata ruang bilik tersebut.
Dia tidak tahu apa motif Damia
melakukannya sebegitu rupa. Saat ini di hadapan matanya kini terpampang
gambar-gambarnya dengan pelbagai aksi. Bukan sedikit. Malah di setiap sudut
bilik itu terdapat gambarnya. Penuh. Seakan tiada satu ruang pun dibiarkan
kosong. Dia ni stalker ke apa? Kalau
tidak, takkanlah sikit punya banyak gambar aku ada dalam bilik dia ni.
Bila masa Damia mengambilnya, tidak
dia tahu. Seingatnya, tidak pernah sekalipun dia memberikan gambarnya kepada
Damia. Ada tidak pun hanyalah gambar yang tertera di atas kad perkahwinan
mereka berdua sahaja yang menjadi milik Damia. Selainnya tidak. Setiap aksi di
dalam gambar itu terdapat pelbagai gayanya. Yang pastinya, dia sedang tersenyum
gembira. Yang pastinya, dia sedan tertawa ceria.
Dia
melemparkan pandangannya ke serata alam. Dari tingkap biliknya dapat dilihat
bintang-bintang yang bertaburan di dada langit sambil ditemani oleh sang bulan
yang begitu setia sekali. Dia menghela nafas panjang. Seakan panorama malam yang
cantik itu tidak langsung mampu untuk menarik minatnya kala ini. Kenapa hati
ini resah saja? Bagaikan ada sesuatu yang tak kena.
Begitu berat sekali nafas yang
dihelanya. Seakan bebanan yang ditanggungnya tidak mampu digalas oleh kedua
belah bahunya. Entah mengapa dia merasakan begitu sukar sekali untuk dia
melupakan seraut wajah ayu yang telah hadir di dalam hidupnya kala ini. Wajah
itu telah berjaya menggangu dan menarik perhatiannya tatkala ini.
Adakah
aku sudah jatuh cinta dengannya? Mana mungkin aku jatuh cinta padanya sedangkan
aku langsung tak pernah mengenalinya. Lainlah kalau aku sudah mengenalinya maka
tak mustahil untuk aku jatuh cinta padanya. Adakah ini yang digelarkan orang,
cinta pandang pertama? Aku jatuh cinta pandang pertama? Pada dia? Orang yang
tak aku kenali dari mana datangnya? Orang yang aku tak tahu akan asal-usulnya?
Orang yang aku tak tahu akan statusnya? Samada dia dah berkahwin ataupun tidak.
Saat ini terlayar di birai mata
wajah gadis yang ditemuinya beberapa bulan yang lalu di chaletnya. Puas sudah
diusirnya bayangan gadis itu agar menjauhinya. Namun, dia gagal. Semakin dia
cuba mengusirnya dan semakin itulah wajah itu menghantui hidupnya. Seakan tidak
membenarkan dia melupakan wajah itu walaupun sesaat. Tak boleh jadi macam ni. Boleh
jadi gila aku kalau berterusan begini.
Wajah itu sering sahaja bertandang
samada di dalam sedar ataupun mimpi. Bukan dia tidak pernah bertemu dengan
wanita lain. Wanita yang lebih cantik dan bergaya dari gadis itu. Pernah. Malah
ada yang lebih hebat dari gadis yang ditemuinya. Namun, dia tidak pernah rasa
sebegini dengan wanita yang lain selain dari gadis itu. Hanya gadis itu sahaja
yang bisa membuat dia panasaran sebegini.
Adlan meraup wajahnya sambil beristigfar
panjang. Seakan ingin membuang wajah itu agar terus menjauhinya. Agar ianya
tidak lagi bertandang sampai bila-bila. Kenapa aku asyik ingatkan dia aje? Kenapa
hanya wajahnya saja yang bermain di minda aku? Kenapa tidak orang lain? Sedangkan
aku tak punya apa-apa hubungan dengan dia. Lainlah jika aku punya hubungan yang
amat kukuh dengannya.
Ya ALLAH, andainya dia ditakdirkan
untuk aku, KAU temukanlah kami berdua. Jika tak, aku rela hubungan ini berakhir
sampai di sini saja. Bukan niat hati aku untuk menyerah kalah tanpa berusaha tapi
aku langsung tak mengenalinya. Mengapa hati aku menjadi resah tatkala
terbayangkan wajahnya? Mengapa hati ini bagai ditarik-tarik untuk mengenalinya?
Mengapa hati ini seakan tak mahu melepaskannya walaupun sesaat? Adakah kerana semata-mata
dia menyerupai wajah arwah isteri ku, Farhah?
Masih teringang-ingang di telinganya
akan segala nasihat yang diberikan oleh Arman kepadanya tempoh hari. Benar kata
Arman, dia tidak boleh menerima kehadiran seseorang itu hanya kerana wajah atau
perwatakan yang dimiliki serupa dengan arwah isterinya. Ianya adalah tidak adil
untuk gadis itu. Jika dia ingin memiliki wanita itu, dia haruslah memiliki
wanita itu dengan hati yang terbuka. Dengan jiwa yang rela. Bukan dengan dibayangi
oleh arwah Farhah. Mana mungkin aku melupakan
Farhah. Farhah merupakan cinta pertama aku dan aku amat menyintainya
sepenuh jiwa raga aku.
Dia menoleh seketika ke arah katil.
Faid sedang tidur dengan pulasnya. Mengenangkan anak itu, hatinya menjadi sebak
seketika. Bukan dia tidak mahu mendirikan rumah tangga lagi namun dia tidak
sanggup untuk menduakan cinta dan kasih sayang Farhah terhadapnya dan Faid.
Jika selama ini Farhah banyak
berkorban untuknya dan Faid mengapa tidak dia lakukan perkara yang sama buat
insan yang pernah dicintainya sepenuh hati itu. Cuma semenjak bertemu dengan
gadis yang seiras Farhah, seakan cintanya terhadap arwah isterinya mula goyah. Mula
goyah. Seakan cinta yang dimilikinya mula terbahagi dua. Antara Farhah dan juga
gadis yang tidak diketahui namanya itu.
Salahkah aku kerana telah menduakan
ingatan aku terhadap Farhah? Salahkah aku kerana cuba untuk menerima kehadiran
insan lain dalam hidup aku? Sedangkan sebelum ini aku telah pun berjanji dengan
diri aku sendiri bahawa aku takkan sekali-kali menduakan cinta Farhah terhadap
aku. Aku mahu terus setia bersamanya.
Sekali lagi dia menghela nafas
panjang. Entah untuk kali yang ke berapa agaknya dia mengeluh, tidak dia tahu.
Yang pastinya, sejak akhir-akhir ini dia sering kali sahaja mengeluh dan mengelamun
panjang. Sehinggakan para pekerjanya sendiri naik pelik dengan sikapnya itu.
Kuat juga penangan minah itu pd aku. Jika tak, pasti aku takkan jadi begini.
Ada masanya dia sendiri naik malu
dengan sikapnya yang sering kali termenung itu. Pantang sahaja ada masa yang
terluang, dia pasti akan termenung. Mengingati pertemuan tanpa disengajakan di
antara dia dan gadis itu. Seakan kenangan itu tidak mahu sedikit pun
meninggalkannya. Dan akhirnya menyebabkan dia kelemasan. Kelemasan dalam
mengingati wajah itu. Kelemasan dalam mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.
Telah dia cuba untuk menyibukan
dirinya dengan tugas-tugas yang terdapat di chalet dan di pejabat. Dengan
harapan dia akan berjaya mengusir seraut wajah itu dari terus pergi mengganggunya.
Namun, dia tetap gagal.