Halaman

Rabu, 2 April 2014

Hanya Kamu Saja 2


Buku nota yang terbuka di hadapan matanya ditutup perlahan-lahan. Teman-teman sekuliah yang telah pun berpusu-pusu keluar dari dewan kuliah, dibiarkan sahaja. Malas dia ingin berebut-rebut. Tiada apa yang ingin dikejarnya.
            “Aaannn!! Aaarrgghh!!” Sergah satu suara halus dari arah belakang.
            Ann menolehkan wajahnya tanpa sebarang perasaan. Terpampang wajah manis seorang gadis di hadapan mata. Direnungnya wajah itu dengan kerutan di dahi. Terkebil-kebil anak matanya seketika merenung wajah itu. Seakan apa yang dilakukan oleh si teman tidak langsung memeranjatkannya.
            “Apsal kau tak terkejut?” Gadis itu menyoal hairan.
            “Lorh! Kau nak suruh aku terkejutlah ni?” Ann kembali menyoal dengan selamba.
            “Ye lorh! Kalau tak, kenapa aku nak sergah kau?” Rengus gadis itu sedikit kasar sambil berpeluk tubuh. Buat penat aje aku sergah dia tadi.
            “Okay! Sergah aku sekali lagi.” Arah Ann.
            Tanpa berlengah lagi, si gadis terus berlari ke belakang Ann seperti tadi. Sekali lagi dia melakukan perkara yang dilakukannya sebentar tadi. Cuma kali ini, dia memegang kedua belah bahu sahabat sekuliahnya itu. Agar tampak sedikit dramatik. Agar lakonannya kali ini bisa menjadi.
            “Aaannn!! Aaarrgghh!!!” sergah gadis itu.
            “Oohh, terkejut!! Terkejut!! Sakit jantung!!” Ann melakukan aksi terkejut sambil mengurut-ngurut dadanya beberapa kali.
            Gadis itu terkekeh kecil sambil menutup mulutnya. Gelihati sungguh dia dengan tingkah yang ditunjukan oleh Ann itu. Entah mengapa, tingkah si sahabat itu cukup lucu di pandangan matanya.
            “Apsal pulak sakit jantung?” Gadis itu menyoal setelah ketawanya mula mereda.
            “Kalau kau terkejut dah tentu-tentu effect kat jantung kau, kan?” soal Ann kembali.
            “Ha’ah, kan? Kenapalah aku tak terfikir sampai ke situ?” Gadis itu mengetuk kepalanya beberapa kali. Bodoh jugak aku ni!
            “Sengal!!” Ann menghela nafasnya sambil menggelengkan kepala. Ada jugak kawan aku yang sengal macam dia ni.
            Gadis tersebut mencebikan bibirnya. Sengal-sengalnya begitu pun, hanya Ann sahaja yang ikhlas berkawan dengannya. Hanya Ann sahaja yang rajin melayan karenah-karenahnya. Kebanyakan teman sekuliahnya lebih gemar membulinya. Ada juga yang menggunakan kekurangannya itu sebagai satu hiburan.
            “Ann…jom pergi makan. Laparlah.” Rengek gadis itu sedikit manja.
            “Kau ni asyik makan ajelah, Koko. Badan tak gemuk-gemuk jugak.” Ann menggelengkan kepalanya. Apa punya manusia agaknya kawan aku ni?
            Wajah gadis yang dipanggil Koko itu direnungnya. Dialah yang mula-mula menggelarkan gadis itu dengan nama Koko. Selepas itu, teman-teman sekuliah mereka mula terikut-ikut menggunakan panggilan tersebut.
            Pernah juga dia ditanyakan kenapa gelaran itu yang diberikan kepada Koko. Sedangkan gadis itu berketurunan cina. Memang Koko merupakan gadis cina tetapi dia memiliki kulit yang hitam manis dan bermata bundar. Tidak seperti anak-anak cina yang lain – berkulit cerah dan bermata sepet. Malah, gadis itu juga fasih berbahasa melayu. Jika ada yang baru sahaja mengenali gadis tersebut pasti sahaja akan menyangka bahawa Koko adalah gadis melayu.
            “Dah aku lapar. Nak buat macam mana?” Koko menarik muncungnya.
            “Pagi tadi aje kau dah tibai tiga keping roti canai, tiga keping karipap putar dan satu bungkus nasi lemak. Tak kenyang lagi ke?” Ann merenung wajah Koko. Dia ni melantak ke hapa? Ke…dia ni ada membela?
            Hairan sungguh dia dengan sikap makan sahabatnya itu. Terlalu kuat makan tetapi sayangnya, berat badan Koko langsung tidak bertambah. Masih lagi sekeping bagaikan sekeping papan. Jika sesetengah orang, pasti akan naik berat badannya tetapi berlainan pula dengan gadis tersebut.
            Lazimnya sebelum masuk ke kelas, mereka berdua akan bersarapan pagi bersama-sama. Ann cuma akan mengambil dua keping roti bakar berserta dengan minuman yoghurt kegemarannya daripada jenama Bliss. Alassannya, takut dia mengantuk pula ketika di dalam dewan kuliah. Saat ini, masih lagi terasa kenyang perutnya.
            “Ala…tu sarapan pagi! Sekarang kan dah nak lunch time.” Jelas Koko.
            “Aku tahulah tapi kau makan bukannya sikit. Banyak tu. Aku yang makan roti bakar dua keping pun masih lagi kenyang tau.”
            “Perut aku kan macam stoking. Isi berapa banyak sekalipun, masih ada ruang yang kosong tau!” Pertahan Koko.
            Ann menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil menghela nafas panjang. Ada sahaja jawapan yang akan diberikan oleh Koko untuk menyangkal hujahnya. Dapat pula hujah yang diberikan olehnya itu melibat makanan. Koko pasti tidak akan mengalah dengan begitu senang.
            “Itulah. Lain kali, sebelum makan tu bacalah Bismillah dan doa makan dulu. Ini tak, main sental aje apa yang ada depan mata. Mananya nak kenyang!” Marah Ann. Keluar sudah bahasa kasarnya.
            “Woit, aku bukannya Islam!! Mana aku tahu nak baca doa bagainya tu. Lainlah kalau aku ni orang Islam. Bolehlah aku baca.” Bentak Koko geram. Kuat sakit minah ni!
            “Oopss!! Salahlah ya?” Ann tersengih kecil.
            “So, nak temankan aku ke tak ni?”
            “Yalah! Yalah! Aku temankan. Membebel aje kerjanya. Mengalahkan nenek kebayan yang nak monopous minggu depan.” Rungut Ann perlahan.
            Ann pantas memasukkan buku dan alat tulis ke dalam beg sandangnya. Pandangannya dihalakan ke seluruh dewan kuliah tersebut sebelum bangun daripada duduknya. Masih ada beberapa orang lagi temannya yang sedang berbincang sesama sendiri.
           

            Ann meneguk air yoghut berperisa starwberi yang telah diletakkan sedikit ais yang berada di hadapan matanya. Koko pula telah lama hilang di sebalik orang ramai. Pasti sahaja gadis itu sedang mencari makanan yang menepati citarasanya.
            Dia pantas mengeluarkan telefon bimbitnya yang berada di dalam poket seluar jean yang dipakai apabila merasakan getarannya. Terdapat satu mesej baru yang diterimanya dari Gee. Lalu mesej itu dibuka dan dibacanya.

Ann…ko kt ne?

            Ann menghela nafas panjang sebelum menjawabnya. Sesekali dia menggelengkan kepalanya dengan perangai sahabatnya itu. Sahabatnya itu langsung tidak pernah berubah. Langsung tiada huluran salam buatnya. Terus sahaja menerjah.

Assalammualaikum, Cik Fauziah Al-Habib. Dh tk tau bg slm ag ke?

            Lalu butang SEND ditekannya. Tidak sampai beberapa saat kemudian, mesejnya dibalas semula oleh Gee.

Wa’alaikumsalam wbt, Cik Annur Zara Fazrien. Sori. Kt ne?
Kt ne ag…kt kolej le.
Free x?
Bla?
Ptg ni ke
Ermm…insya-ALLAH. Nape?
Dtg jumpa aku. Blh?
Insya-ALLAH. Lau xde aral yg melintang pth m’bujur lalu, t aku dtg jumpa ko. Ya?
K. Pe2 hal ko roger aku blik. K?
Insya-ALLAH.

            Ann menghela nafas panjang sekali lagi. Sekuntum senyuman nipis terukir di bibirnya yang sentiasa sahaja merkah bak delima itu. Dia seakan dapat menduga apa yang ingin dibincangkan oleh Gee dengannya nanti. Tahu sangat dia kenapa gadis tersebut mahu bertemu dengannya petang nanti. Gee tidak akan bertemu dengannya tanpa sebab yang tertentu.
            “Woit, mak cik!! Apa yang kau menungkan tu?” Tegur Koko.
            Ann menoleh apabila mendengarkan teguran tersebut. Telefon bimbitnya telah disimpan kembali ke dalam poket seluarnya. Koko telah pun melabuhkan punggungnya di sebelah Ann. Pinggan yang berada di tangannya diletakkan di atas meja. Buntang mata Ann melihatkan isi pinggan tersebut. Sesekali dia menelan liurnya. Mak aii!! Banyaknya!
            “Kau ni makan ke melantak?” Selamba sahaja Ann menyoal. Tanpa sedar tangan kirinya mula menampung kepala.
            “Makanlah. Kenapa?” Soal Koko kembali tanpa rasa bersalah.
            “Macam ni punya banyak kau makan?”
            Ann merenung sekali lagi pinggan yang berisi makanan Koko. Terdapat berbagai-bagai jenis makanan di dalam pinggan tersebut. Jika dilihat dari pandangan mata kasar, gadis seperti Koko tidak akan boleh menghabiskan makanan sebanyak itu. Agaknya semua makanan yang ada kat kafe ni dia ambil.
            “Aku laparlah.” Ujar Koko sedikit sayu. Salah ke kalau aku makan banyak ni?
            “Aku tahulah yang kau tu lapar tapi takkanlah macam ni punya banyak kau nak telan? Boleh ke kau habis semua makanan tu nanti, Koko?”
            “Perut aku kan…” Koko tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila Ann dengan pantas mencelah.
            “Dah! Dah! Aku tahu apa yang kau nak cakap.”
            “Tahu pun. Kau tak makan ke?” Soal Koko. Sengaja dia menukar tajuk perbualan mereka berdua.
            “Aku kenyang lagi.”
            Koko menganggukkan kepalanya. Ketika dia ingin membuka mulut untuk bersuara, telefon bimbit Ann berbunyi nyaring minta diangkat. Berkumandang alunan-alunan zikir dari dendangan Munif Ahmad. Pantas Ann menjawabnya.
            “Assalammualaikum.” Ucap Ann lembut.
            “Wa’alaikumsalam. Kau dekat mana sekarang ni?” Soal suara lemak merdu itu.
            “Mana lagi. Kat kolejlah. Kenapa?” Soal Ann hairan.
            “Free?” Soal si pemanggil lagi tanpa menjawab pertanyaan Ann.
            “Bila?” Soal Ann kembali.
            “Ermm…Malam ni?”
            “Rasanya takde apa-apa hal. Kenapa?”
            “Datang jumpa aku, boleh?” Pinta si pemanggil.
            “Kau dekat mana?” Ann mengerutkan dahinya.
            “Aku ada kat Melaka sebab itulah aku suruh kau datang jumpa dengan aku.” Jelas si pemanggil dengan tenang.
            “Okay. Lepas Isyak nanti aku datang jumpa dengan kau.” Janji Ann.
            “Nanti aku sms alamatnya pada kau.”
            “Roger and out.”
            “Kau dah makan ke?” Sekadar berbahasa si pemanggil bertanya.
            “Kenapa? Kau nak belanja ke?” Ann menyoal bertalu-talu berserta dengan sengihan kecil.
            “Takdelah. Saja bertanya.”
            “Bertanya mengalahkan nak belanja aku makan. Kalau nak belanja, sedap sikit aku mendengarnya.” Ann mencebikkan bibirnya.
            Terdengar ketawa kecil dari si pemanggil di hujung talian sebelum mengakhiri perbualan mereka berdua. Koko yang sedari tadi hanya mendengar mula membuka bicara. Bukannya dia penyibuk tetapi sekadar bertanya. Dapat pula Ann melayannya si pemanggilnya dengan begitu mesra sekali.
            “Siapa yang called kau?”
            “Kakak aku, si along.” Jawab Ann tenang.
            “Apa halnya?” Tanya Koko lagi.
            “Dia nak aku jumpa malam ni.” jelas Ann.
            Koko menganggukkan kepalanya. Ann kembali menghirup air Blissnya. Terasa begitu lega sekali air tersebut melalui tekaknya saat ini. Kaferia kampus yang hingar-bingar dengan suara siswa dan siswinya tidak langsung dihiraukannya.
            Dia menoleh ke arah Koko apabila menyedari tangannya dicuit perlahan oleh gadis tersebut. Dahinya berkerut seribu. Hairan dengan sikap Koko itu. Temannya hanya memberikan isyarat mata sahaja agar dia memandang ke arah yang sama.
            Tanpa berfikir panjang lagi, Ann memalingkan wajahnya. Terlayar di ruangan matanya sepasang remaja yang kelihatan begitu ceria sekali. Sesekali terdengar gelak tawa mereka berdua menyapa di hujung telinganya.
            “Macamlah dia seorang aje yang ada couple dalam kolej ni. Orang lain pun adalah. Cuma tak mahu tunjuk aje.” ucap Koko sinis. Saja nak menunjuklah tu.
            “Lantak merekalah, Koko.” Ann menundukkan kepalanya. Malas untuk ambil pusing dengan apa yang berlaku di sekelilingnya.
            “Kau tak jealous ke?” provok Koko. Dia ni takde perasaan ke?
            “Nak jealous kenapa pulak?” soal Ann hairan.
            “Ye lorh! Mamat tu punyalah hensem dan fofular pulak kat kolej kita ni.” beritahu Koko bersama memek mukanya.
            “So? Apa kena-mengena dengan aku? Yang hensem dia. Yang fofularnya dia. Bukannya aku. Lainlah kalau aku yang punya semua tu. Kan?” Ujar Ann tanpa perasaan.
            “Ring a bell. Dia pernah jadi boyfriend kau suatu ketika dulu, Annur Zara. Remember?” Peringat Koko. Dah hilang ingatan apa kawan aku ni?
            Ann tertawa gelihati mendengarkan kata-kata Koko itu. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Koko itu. Antara dia dan siswa lelaki tersebut pernah punya cerita yang tersendiri. Tetapi itu dahulu. Kini tidak lagi. Sekarang, mereka dengan dunia masing-masing.
            Untuk apa dia punya rasa cemburu kepada lelaki seperti itu. Ianya tidak langsung mendatangkan faedah buat dirinya. Apa yang terjadi di antara mereka berdua hanya boleh dikatakan tiada jodoh. Jadi, dia harus menerimanya dengan hati yang terbuka.
            “Kenapa kau gelak?” Hairan Koko melihatkan ulah Ann itu. Aku ada salah cakap ke tadi? Rasanya, macam tak aje.
            “Salah ke?” soal Ann kembali. Uiks! Gelak pun salah ke?
            “Betulkan apa yang aku kata tadi?”
            “May be.” Ann mencebikan bibirnya.
            “Why must may be, Ann? Kau sendiri pernah punya perasaan lain terhadap dia. Begitu juga dengan dia. You all saling mencintai satu sama lain. Tapi…tiba-tiba hubungan tu putus di tengah jalan.” Tegas Koko.
            “Itu dulu, Koko. Bukannya sekarang. Sekarang, kami dah jadi orang lain. Dia dengan dunianya dan aku dengan dunia aku.” jawab Ann tenang. Takde siapa pun tahu perasaan sebenar aku pada dia, Koko.
            “Ya. Memang dah jadi orang lain. Dia bergembira dengan orang baru. Orang yang menggantikan tempat kau tapi kau...terseksa dengan kecurangannya. Terseksa dengan kebahagiaannya. Dia bahagia di atas penderitaan kau.” Bidas Koko geram.
            “Siapa yang kata aku terseksa? Bila masa pulak aku menderita?” Ann merenung dalam wajah milik Koko. Rasanya aku tak terseksa dan menderita pun.
            “Akulah yang cakap. Dah tu, kau dengar siapa yang cakap? Mak cik yang jual karipap putar kat sana tu? Ataupun mamat yang jual ABC kat hujung sana?” sindir Koko.
            Ann tertawa gelihati. Dalam blur dan sengal kawannya itu, tatkala berbicara boleh tahan juga petahnya. Boleh tahan juga pedasnya. Tidak dia menyangka sama sekali bahawa sahabatnya itu akan berkata sedemikian.
            “Lepas ni, aku nak kau cari orang lebih hebat daripada dia. Lebih hensem, lebih fofular, lebih kacak, lebih bergaya dan yang paling penting sekali…lebih kaya daripada dia. Tunjukkan pada dia yang kau mampu dapat yang lebih baik dan bagus dari dia.” Hasut Koko dengan panjang lebarnya.
            Sekali lagi tawa Ann pecah mendengarkan cadangan Koko itu. Agak tidak munasabah betul cadangan sahabatnya itu. Agaknya begitu mudah untuk menemui orang sempurna sedemikian? Andainya sebegitu mudah, pasti sahaja dia sudah menemukan orang yang sesuai dengan jiwanya.
            “Kalau aku berdebat dengan kau, sampai tahun depan pun takkan habis.” Ujar Ann tenang. “Kau dah habis makan ke belum ni?”
            “Dahlah. Kenapa?” Koko mengerutkan dahinya.
            “Aku nak balik. Petang ni pun takde class. Aku nak pergi jumpa Gee sekejap. Kau nak ikut aku tak?” terang Ann.
            Koko menggelengkan kepalanya. Dia mula menyedut saki-baki limau aisnya sehingga ke titisan yang terakhir. Begitu juga dengan Ann. Akhirnya, mereka berdua mengorak langkah meninggalkan kafeteria kampus.
            Tanpa mereka berdua sedari, ulah mereka berdua menjadi tarikan sepasang mata galak.

Kasih Jangan Kau Pergi 9

FAHMI melangkah masuk ke dalam bilik VIP tersebut dengan tenang. Kelihatan ahli keluarganya yang lain masih lagi berada di dalam bilik tersebut. Tiada seorang pun yang berganjak dari situ. Mamanya juga masih lagi setia berada di sebelah papanya. Sesekali tangan tua itu dipicitnya lembut. Seakan menyalurkan sedikit kekuatan kepada tubuh tua yang sedang terkedang lemah di atas katil.
            Adik-beradiknya yang lain hanya duduk di sofa yang telah disediakan. Begitu juga dengan Puan Emelda, ibu tirinya. Perlahan-lahan dia mendekati katil yang menempatkan papanya, Tan Sri Kamal. Dia ingin memaklumkan kepada papanya tentang apa yang telah dia temui. Papanya pasti akan gembira dengan berita itu.
            “Assalammualaikum, papa.” Bisik Fahmi lembut dan perlahan di telinga insan yang bergelar ayah itu.
            Tan Sri Kamal membuka kelopak matanya perlahan-lahan tatkala mendengarkan suara yang berbisik lembut di telinganya. Wajah tampan anak sulungnya menjadi tatapan matanya kini. Segarit senyuman hambar dihadiahkan buat anak itu.
            “Bila kamu sampai?” soal Tan Sri Kamal perlahan. Adakah dia dah temui anak tu?
            “Baru saja, papa.” Ujar Fahmi tenang. “Maafkan Fahmi sebab lambat sampai. Ada urusan yang perlu Fahmi uruskan sebelum Fahmi kemari.” Jelas Fahmi tanpa disuruh.
            “Papa nak bercakap dengan kamu. Hanya kamu.” Pinta Tan Sri Kamal lemah. Ada urusan lagi yang belum selesai.
            Fahmi merenung wajah mamanya, Puan Sri Rafidah. Puan Sri Rafidah menganggukkan kepalanya tanda faham akan arahan yang diberikan oleh suaminya itu. Dia bangkit dari duduknya. Jika arahan itu telah dikeluarkan oleh suaminya bermakna suaminya hanya ingin berdua-duaan dengan anak lelaki sulungnya itu. Dia tidak mahu ada orang lain turut berada di situ. Termasuklah dia dan juga anak-anaknya yang lain.
            “Mari kita semua keluar.” Arah Puan Sri Rafidah. “Papa ada perkara yang hendak dibincang dengan Fahmi.”
            Kesemua yang ada di situ akur dengan arahan yang diberikan oleh Puan Sri Rafidah. Walaupun jelas kelihatan di wajah masing-masing akan ketidakpuasan di hati mereka. Namun arahan yang diberikan amat sukar untuk mereka engkari.
            Puan Sri Rafidah menoleh tatkala terasa tangannya dipegang lembut oleh seseorang. Wajah suaminya direnung. Seakan meminta penjelasan lanjut. Sesungguhnya dia begitu kurang pasti dengan maksud pegangan daripada lelaki itu.
            “Idah tunggu di sini. Biar yang lain saja yang keluar.” Pinta Tan Sri Kamal. Dia mahukan Puan Sri Rafidah turut serta berada di sininya tatkala itu.
            Puan Sri Rafidah menganggukkan kepalanya tanda akur dengan arahan yang diberikan oleh si suami. Dia kembali melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah tadi didudukinya sebentar tadi.
            “Sekarang, cerita pada papa. Papa nak tahu segala-galanya.” Arah Tan Sri Kamal apabila hanya tinggal mereka bertiga sahaja di bilik berkenaan. Tidak sabar rasanya dia ingin tahu akan cerita yang sebenar. Kemana menghilangnya insan yang dicari selama ini? Masih hidup lagikah ataupun telah tiada lagi di muka bumi ini?
            “Fahmi dah jumpa dengan orang yang papa suruh Fahmi cari tu tapi…” Fahmi memulakan bicaranya tetapi dia tidak jadi meneruskan kata-katanya. Perlukah aku menceritakan segala-galanya pada papa? Tak sanggup rasanya aku membebankan papa saat ni.
            “Tapi apa, Fahmi?” soal Tan Sri Kamal lemah. Ada sesuatu yang terjadi ke?
            “Fahmi mintak maaf, papa. Fahmi tak berjumpa dengan ibunya tapi Fahmi hanya jumpa dengan anaknya saja.” Jelas Fahmi. Biarlah aku simpan saja cerita yang mengaibkan tu. Papa dan mama tak perlu tahu akan tu semua.
            “Maksud Fahmi?” celah Puan Sri Rafidah. Adakah orang yang dicarinya tu telah pergi buat selama-lamanya?
            “Ibu dia dah meninggal, mama.” Ujar Fahmi perlahan. Maafkan aku. Aku terlewat di dalam menemui mereka berdua.
            “Innalillahiwainnalillahirajion.” Luah Puan Sri Rafidah perlahan. “Tapi bila?”
            “Semasa dia berusia enam belas tahun, ma.”
            “Sakit apa?” soal Tan Sri Kamal perlahan. Matanya terpejam rapat. Serasa tidak sanggup untuk menerima berita kehilangan insan yang dicintainya itu. Kenapa aku tak tahu akan semua tu?
            “Barah hati, papa.” Fahmi merundukkan wajahnya. Tidak sanggup dia untuk melihat wajah kehampaan papanya itu.
            Tan Sri Kamal menghela nafas panjang dan berat apabila mendengarkan kata-kata itu. Dia tidak menyangka sama sekali nasib yang menimpa bekas isterinya. Saat ini dia terasa benar-benar bersalah terhadap wanita itu dan anak yang tidak pernah dia pedulikan. Ya ALLAH, akukah yang terlewat?
            “Bagaimana pulak dengan adik kamu?” soal Puan Sri Rafidah. Ingin dia tahu perkembangan anak tirinya itu. Semoga dia selamat.
            “Selepas ibunya meninggal, dia telah dibesarkan oleh neneknya. Neneknya meninggal sewaktu dia sedang menunggu keputusan SPM. Selepas tu, dia tinggal bersama-sama kawannya dan bekerja sebagai despatch.” Jelas Fahmi dengan panjang lebar. Dia tak layak untuk tu.
            Saat ini terbayang wajah ayu dan gebu milik seseorang. Walaupun wajah itu sedang tersenyum manis namun dia tahu, senyuman yang menghiasi di bibir adiknya itu hanyalah sekadar menutup kelukaan dan kedukaan yang telah lama mengguris hatinya. Jika aku cepat, pasti akan aku cuba me-bahagiakan kalian. Pasti akan aku cuba jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang anak dan jugak abang.
            “Lelaki?” soal Puan Sri Rafidah sepatah.
            “Tak. Perempuan, ma.” Fahmi mengusap rambutnya. Terbit sekuntum senyuman nipis di bibirnya.
            “Macam mana seorang perempuan boleh bekerja macam tu? Setahu mama, kerja-kerja macam tu hanya sesuai untuk orang lelaki saja. Bukannya perempuan, Fahmi.” Tegas Puan Sri Rafidah. Macam dah takde kerja lain yang boleh dilakukannya lagi dalam dunia ni.
            “Desakan hidup, ma. Lagipun dia tak punya kelulusan apa-apa selain dari SPM. Hanya dengan berbekalkan sijil SPM sajalah dia teruskan hidup di bandar ni. Jika tak, apa yang dia nak makan untuk teruskan hidup?
Lainlah kalau dia punya kelulusan yang tinggi. Pasti dia takkan bekerja sedemikian rupa. Fahmi yakin yang dia akan dapat pekerjaan yang lebih bagus daripada sekarang. Untuk menyara kehidupannya, dia tak boleh memilih pekerjaan. Apa saja yang ada di hadapan mata, dia sambar.” Terang Fahmi dengan panjang lebarnya. Jika aku berada di tempatnya sekalipun, aku akan bertindak sedemikian rupa.
            “Semuanya salah papa, Fahmi.” Sampuk Tan Sri Kamal sayu. “Kalaulah papa tak bertindak melulu dulu, pasti perkara sebegini takkan terjadi. Pasti hidup adik kamu tu takkan jadi sebegini teruk.” Sambung Tan Sri Kamal lagi.
            Terbayang di ruang matanya kini apa yang telah dilakukan kepada bekas isterinya beberapa tahun yang lalu. Dia menceraikan wanita itu tanpa usul periksa. Tanpa mendengar terlebih dahulu akan penjelasan daripada isterinya itu. Semuanya dia lakukan kerana terlalu mengikut kata hati. Terlalu mengikut kata-kata hasutan sahabat baiknya. Akibatnya, dia sendiri yang menanggung bahananya. Dia menderita kerana terlalu rindukan isteri dan juga anak perempuan tunggal yang ditinggalnya.
            Ya ALLAH, ampunilah dosaku! Sesungguhnya aku berdosa terhadap isteri dan anakku! Jika boleh diundurkan masa, pasti akan aku undurkan masa tu kembali. Pasti aku ingin kembali di saat dia menjadi milik aku tapi aku tahu ianya adalah mustahil untuk aku lakukannya. KAU tempatkanlah dia di tempat orang yang beriman dan soleha. Sesungguhnya dia seorang isteri yang baik dan patuh akan perintah MU. Patuh kepada perintahku.
            “Sudahlah tu, bang. Benda dah nak jadi.” Pujuk Puan Sri Rafidah lembut. “Idah yakin, ada hikmah yang tersembunyi atas semua ni.” sambung Puan Sri Rafidah. Cuma kita saja yang tak nampak akan tu semua.
            “Abang menyesal, Idah. Abang benar-benar menyesal. Kalau abang siasat dulu perkara yang sebenarnya, pasti mereka takkan menderita sebegini. Pasti mereka akan hidup bahagia di tempat yang sepatutnya. Pasti mereka dapat apa yang sepatutnya mereka kecapi sekarang ni.” Tan Sri Kamal berkata sendu. Kejamkah aku terhadap anak dan isteriku selama ni?
            “Sudahlah tu, papa. Sekurang-kurangnya kita dah jumpa dengan dia. Papa boleh tebus kembali apa yang pernah papa lakukan terhadap dia.” Giliran Fahmi pula memujuk Tan Sri Kamal. Mahukah dia memaafkan orang yang telah meninggalkannya selama ni?
            Tidak sanggup pula dia melihat Tan Sri Kamal bersedih. Dalam keadaan Tan Sri Kamal sedemikian, dia tidak boleh terlalu runsing. Akibat kerunsingan dan juga tekanan yang dia alaminya itulah telah membuatkan tekanan darahnya naik.
            “Papa nak jumpa dengan dia, Fahmi. Bawa dia jumpa dengan papa.” Pinta Tan Sri Kamal. Aku ingin memohon keampunan dengan darinya. Aku tahu selama ni aku banyak buat salah pada dia dan jugak ibunya.
            “Insya-ALLAH. Nanti, Fahmi usahakan ya, pa?” Fahmi berkata perlahan. Mahu ke dia berjumpa dengan kami sedangkan selama ni, kami dah banyak mengabaikan dia? Setelah apa yang telah kami lakukan kepadanya selama ini?
            Dia sendiri tidak pasti samada dia mampu memujuk adiknya itu ataupun tidak. Sedangkan dia sendiri tidak pernah bersua muka dengan gadis itu. Dia cuma dapat melihat gadis itu daripada jauh sahaja. Itu pun dengan bantuan Zarul.
            Tan Sri Kamal menghela nafas panjang. Dia berharap sangat dapat bertemu dengan anak gadisnya itu sebelum dia menutup mata. Ingin dipohon kemaafan kepada gadis itu di atas apa yang telah dia lakukan selama ini. Dia tahu, amat sukar anak itu ingin memaafkannya tetapi dia harus mencuba.
            Dia amat yakin dan pasti bahawa anak itu akan memaafkannya. Walaupun jauh di sudut hati kecilnya berasa ragu-ragu dengan apa yang dia rasakan saat ini. Tidak salah jika dia mencuba terlebih dahulu. Dia telah bersedia menerima segala kemungkinan yang berlaku seandainya anaknya itu tidak dapat memaafkannya.