Halaman

Rabu, 4 Januari 2012

Selagi Ada Kasih 17

Dania hanya mengekori sahaja langkah Adam. Sesekali dia menoleh ke kiri dan kanannya. Dapat dilihat pekerja-pekerja di Mega Construction begitu tekun sekali menyiapkan tugasan masing-masing. Sedari tadi Adam tidak banyak bercakap dengannya. Sepatah yang ditanya, sepatah jua yang dijawabnya. Sehinggakan akhirnya dia terdiam sendiri.
Langkah mereka terhenti apabila mereka tiba di hadapan pintu bilik yang tertera nama Rayyan. Kedatangan mereka disambut mesra oleh Sherry, setiausaha Rayyan. Dania tidak menghiraukan perbualan di antara Adam dengan wanita cina itu. Matanya asyik sekali memerhatikan keadaan sekeliling.
Ruang pejabat yang berlatar belakangkan warna merah bata itu seakan menarik minatnya. Di hadapan meja setiausaha itu terdapat sebuah sofa berserta meja kopi. Dalam diam Dania tertarik dengan suasana tersebut. Sekeping lukisan pemandangan gunung berbingkaikan keemasan menarik perhatiannya. Pemandangan itu bisa menyejukkan mata yang melihatnya. Cantik dan ringkas.
Dia tersentak kecil apabila namanya diseru oleh seseorang. Pantas dia menoleh ke arah Adam dan Sherry yang berada di depannya. Sekuntum senyuman dihadiahkan untuknya yang masih lagi kalut. Alamak…kantoi.
“Cik Nia duduk dulu. Nanti saya informkan pada Ray yang Cik Nia dah sampai.” Ujar Adam lembut sambil tersenyum manis.
Dania hanya menganggukkan kepalanya bagi membalas kata-kata lelaki itu. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibirnya.
“Sherry, you tolong buatkan minuman untuk Cik Dania.”
“Baik, Encik Adam.” Jawab Sherry sepatah. Siapa budak ni?
Tanpa berlengah lagi, Sherry berlalu meninggalkan mereka berdua.
“Ok. Cik Nia duduk dulu. Kalau perlukan apa-apa minta pada Sherry ya.”
Seperti tadi, Dania hanya menjawabnya dengan anggukkan kepala sahaja. Kakinya melangkah menuju ke sofa buatan Itali yang sememangnya tersedia ada di situ tanpa menghiraukan Adam. Tangannya mula mencapai majalah yang terdapat di atas meja itu. Dengan harapan majalah itu bisa membuang rasa bosannya nanti.
Satu per satu muka surat diselaknya. Leka dia seketika menatap majalah yang berada di tangannya sehinggakan tidak menyedari kehadiran Sherry di situ.
“Jemput minum, cik.” Sherry menyapa sopan.
“Terima kasih.” Ucap Dania. Senyuman manis dihadiahkan untuk wanita itu.
“Cik perlukan apa-apa lagi ke?” soal Sherry sopan.
“Tak.” Jawab Dania sepatah.
“Kalau cik perlukan apa-apa, panggil saya ya.” Ujar Sherry lembut.
Dania hanya mengangguk kecil kepalanya bagi menjawab pertanyaan Sherry itu. Baru beberapa tapak Sherry melangkah meninggalkannya, terdengar Dania memanggil namanya. Pantas dia berpaling menghadap Dania.
“Ya, cik?” Soalnya kehairanan.
“Cik ke Puan?” Soal Dania tanpa menjawab soalan yang di utarakan oleh Sherry.
“Puan. Puan Sherry” Jawab Sherry tenang. Sopannya budak ni.
“Ok. Puan ada panadol tak?” Ujar Dania selamba.
“Panadol?” Soal Sherry kembali. Dia kurang mengerti akan maksud Dania itu. Dia nak buat apa dengan panadol? Takkan nak campurkan panadol dalam kopi pula?
“Ya. Saya kurang sihat sikit hari ini.” Luah Dania sambil mengesat peluh yang mula merenek di dahinya. Saat itu dia merasakan begitu panas sekali. Walaupun dia berada di dalam pejabat yang berhawa dingin. Rasanya demam aku dah mula datang balik.
Melihatkan ulah Dania itu, Sherry tersenyum kecil sebelum menjawab.
“Ada, cik. Sebentar.”
Dania tersandar di sofa yang didudukinya itu. Sesekali dia menyeka peluh yang mula terbit di wajahnya. Kepalanya mula terasa berpusing dan berdenyut-denyut. Bibirnya diketap kuat menahan sakit. Jari-jemarinya yang runcing mula memicit-micit dahinya. Ya ALLAH, kenapa dengan aku ni? Sakitnya kepala. Bagai nak pecah rasanya.
“Nia…”
Pantas matanya dibuka apabila mendengar seseorang menyeru namanya. Dilihat Helmi berdiri tegak di hadapannya dengan wajah kehairanan. Apa dia buat di sini?
“Kenapa ni?” Soal Helmi kehairanan.
Hanya gelengan sahaja yang diberikan olehnya saat itu. Dia tak mampu untuk meluahkan sebarang kata-kata. Hanya sekuntum senyuman hambar dihadiahkan buat pemuda itu.
“Nia ok ke ni?” Soal Helmi lagi. Dia seakan tidak berpuas hati apabila melihat gelengan kepala gadis itu. Dapat dilihat wajah gadis itu pucat sekali. Sakitkah dia?
“Pening” Ujar Dania sepatah. Aku pening. Rasa nak pitam aje.
“Pardon”
“Nia pening.” Ujar Dania perlahan.
“Nak pergi klinik tak? Kalau mahu, abang boleh hantarkan.”
“Tak perlulah. Lepas makan ubat nanti oklah.” Tolak Dania lembut.
“Nia ada bawa ubat?”
Dania hanya menggelengkan kepala sahaja apabila mendengarkan soalan yang diajukan oleh Helmi itu. Melihatkan itu, Helmi menghela nafas panjang.
“Jom, abang bawa pergi klinik.”
“Takpelah, bang. Sikit aje ni. Kejap lagi oklah.” Ujar Dania. Jari-jemarinya sesekali memicit dahinya yang berdenyut sakit itu. Agar dapat meredakan kesakitan yang mula meraja saat itu.
“Muka Nia pucat tau tak? Nanti takut jadi apa-apa lagi susah.” Pujuk Helmi lembut.
“Takpelah. Tadi Nia dah minta panadol dari kak Sherry. Lepas makan nanti oklah.” Ujar Dania lemah.
“Jangan degil, Nia. Kalau melarat nanti lagi susah.” Tegas Helmi. Degil juga dia ni.
“Kalau Tengku cari nanti macam mana? Apa Nia nak cakap pada dia?”
“Ray suruh Nia datang sini?” Soal Helmi tanpa menjawab soalan Dania.
Dania hanya menganggukkan kepalanya sahaja bagi menjawab soalan Helmi itu. Melihatkan itu, Helmi menghela nafas panjang sebelum berkata-kata.
“Takpe. Nanti abang minta Sherry sampaikan pada dia. Dah jom. Kita ke klinik.”
Antara mahu dengan tidak, Dania akur juga dengan ajakkan Helmi itu. Perlahan-lahan dia menghela nafasnya. Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Helmi.
“Nia boleh bangun tak ni?”
Dania menganggukkan kepalanya sahaja bagi menjawab pertanyaan itu. Dengan sedikit payah, Dania cuba bangkit dari duduknya. Ketika dia hampir jatuh, pantas tubuhnya disambar oleh Helmi. Dia terpegun seketika. Matanya bulat merenung wajah Helmi yang tidak beberapa inci dari wajahnya. Hilang seketika sakit kepala yang menyerangnya sebentar tadi. Mata mereka bertentangan di antara satu sama lain. Lidah masing-masing menjadi kelu tiba-tiba. Tanpa disedari oleh mereka, ulah mereka itu diperhatikan oleh Rayyan dan Adam.
“Kenapa ni?” Soal Rayyan tegas. Hatinya tiba-tiba menjadi sakit melihatkan ulah Dania dan Helmi itu. Jika tidak difikirkan dia berada dipejabatnya saat itu mahu sahaja ditumbuk Helmi di situ juga. Kenapa hati aku rasa sakit sangat? Bagai ditoreh dengan belati rasanya.
Pantas mereka menoleh apabila mendengar suara itu. Apabila terlihatkan wajah itu, Dania menjadi kaku sekali lagi. Dapat dilihat kemarahan di wajah itu. Perlahan-lahan dia menelan liurnya. Apa dah jadi ni?
“Kalau nak bercinta sekali pun, pergilah ke taman bunga. Bukan di sini. Di pejabat aku. Faham?” Rayyan merenung tajam ke arah mereka berdua. Sengaja nak sakitkan hati aku ke?
“Apa yang kau cakap ni, Ray?” Soal Helmi hairan. Apa yang dia mengarut ni?
“Betul apa aku cakap. Tak salahkan?” Marah Rayyan. Lagi nak nafikan.
“Kau dah salah anggap, Ray. Kami tak buat apa-apa pun.” Luah Helmi lembut.
“Salah anggap kata kau. Eh!! Aku nampak dengan mata aku sendirilah. Adam pun boleh jadi saksinya.” Tegas kata-kata Rayyan. “Kalau nak menggatal sekali pun, bukan di sini tempatnya. Tu…kat taman bunga sana tu. Kau nak menggatal ke, nak menyundal ke…kau punya pasal. Takde siapa pun larang.” Sambung Rayyan lagi. Seakan puas hatinya apabila dapat berkata sedemikian terhadap Dania dan juga Helmi.
Tanpa disedari, satu tamparan hinggap di pipi lelaki itu. Masing-masing tergamam seketika. Dania merenung tajam wajah Rayyan tanpa satu kerdipan pun. Dia cuba menahan nafasnya agar teratur. Bibirnya diketap kuat bagi menahan marah. Nafasnya dihela perlahan sebelum memulakan kata-kata.
“Saya bukan perempuan murah seperti yang awak sangkakan. Saya ada maruah, saya ada harga diri. Kalau nak hina saya sekali pun, jangan hina saya macam tu sekali.” Luah Dania tegas. Nafasnya turun naik akibat menahan rasa marahnya. Sakit benar hatinya mendengarkan kata-kata yang baru dilafazkan oleh Rayyan sebentar tadi. Sampai hati kau buat aku macam ni. Apa salah aku sehingga aku dihina sebegitu rupa?
Dia cuba menahan sebak didadanya. Dia tidak mahu menanggis di hadapan lelaki itu. Dia akan cuba bertahan sedaya yang boleh. Walaupun dia tahu, dia pasti akan tumbang bila-bila masa sahaja saat itu. Nia…kau kena kuat. Jangan sesekali kau tunjukkan kelemahan kau di hadapannya.
“Kalau awak suruh saya datang sini, semata-mata nak menghina saya….awak dah berjaya memalukan saya di hadapan semua pekerja awak. Terima kasih banyak-banyak sebab jemput saya kemari hari ini dan terima kasih di atas penghinaan awak tu, Tengku Rayyan. Terima kasih banyak-banyak.” ujar Dania sebak. Patutlah dia baik sangat dengan aku hari ni. Rupa-rupanya ini yang aku dapat atas kebaikkan yang dia pamerkan.
Perlahan-lahan dia mengorak langkah meninggalkan Rayyan. Kesakitan yang dialami di kepalanya cuba ditahannya sebaik mungkin. Dia tidak sangka bahawa dia akan dihina sebegitu oleh lelaki yang disanjungi dalam diam.
“Apa masalah kau, Ray?” Marah Helmi. Sakit benar hatinya melihatkan ulah Rayyan yang menuduh dia dan Dania tanpa usul periksa terlebih dahulu.
Rayyan tidak menjawabnya. Dia menguak rambutnya. Perlahan-lahan dia mengusap wajahnya yang kelihatan kusut saat itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dan mengapa dia sanggup menuduh Dania dan Helmi begitu. Dia tahu Helmi dan Dania tidak akan mengkhianatinya. Apa dah jadi dengan aku ni? Kenapa aku boleh berfikir sebegitu sekali pada mereka?
“Aku minta maaf.” Luah Rayyan perlahan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh bertindak sedemikian rupa. Apa yang dah aku lakukan ni?
“Bukan pada aku tapi pada dia.” Tegas Helmi. Suka sangat bertindak tanpa berfikir.
Baru beberapa langkah meninggalkan mereka, Dania rebah. Pantas Adam dan Helmi mendapatkannya. Rayyan tergamam melihatkan peristiwa tersebut. Dia terkaku seketika.
“Nia…Nia…” Helmi menepuk-nepuk kecil pipi Dania. “Eh…Panas badannya.”
“Kawan dia ada beritahu aku tadi yang dia demam.” Luah Adam cemas.
“Patutlah pucat aje muka dia.”
“Kita bawa dia ke klinik, Helmi. Risau juga aku dengan keadaan dia.” Cadang Adam.
Helmi hanya menganggukkan kepalanya bagi mempersetujui kata-kata tersebut. Baru sahaja dia ingin mengangkat tubuh kecil itu, pantas Rayyan menerpa. Adam dan Helmi menjadi kaget seketika.
“Biar aku yang angkat dia.” Luah Rayyan sedikit tegas.
Helmi menganggukkan kepalanya. Dia memberikan laluan kepada Rayyan. Rayyan merenung wajah pucat gadis itu. Dalam diam dia mula menyalahkan dirinya di atas keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi. Dia tahu dia terlalu menurut kata hatinya saat itu.




“Bagaimana dengan Dania, doktor?” soal Rayyan cemas. Hatinya mula di landa kerisauan selagi tidak mendapat tahu berita tentang keadaan Dania.
Doktor Fazilah hanya tersenyum melihatkan ulah Rayyan itu sebelum memulakan kata-katanya. Dapat dilihat kerisauan dan keresahan di wajah pemuda itu. Apa hubungan mereka semua?
“Dia tak apa-apa. Dia ok. Cuma dia demam aje.” Ujar Doktor Fazilah lembut.
“Kenapa dia boleh pengsan?” Sampuk Helmi.
“Dia demam panas dan air dalam tubuhnya pula kurang. Dia pengsan sebab kekurangan air dalam badan. Lagipun tekanan darahnya rendah.”
“Tiada penyakit yang lainkan, doktor?” Soal Helmi lagi.
“Insya-ALLAH, tiada. Janganlah bimbang.”
“Syukur alhamadulillah.” Luah Adam sambil tersenyum.
“Boleh saya tahu, apa kena-mengena anda bertiga ni dengan dia?”
“Oh…kami bertiga ni kawan dia doktor. Ya…kawan. Kenapa?” Pantas Helmi menjawabnya. Wajah doktor muda itu ditatapnya.
“Takde apa-apa cuma dia tu beruntung sebab punya kawan seperti anda bertiga yang ambil berat tentang dia.”
Helmi tersengih mendengar kata-kata doktor muda itu.
“Bila dia dibenarkan pulang doktor?” Adam mula menukar tajuk perbualan di antara mereka.
“Sekarang ni, kami sedang masukkan air dalam badan dia. Mungkin dalam setengah jam lagi dia akan dibenarkan pulang.” Jawab Doktor Fazilah sambil melirik ke arah jam di pergelangan tangannya.
Adam menganggukkan kepalanya tanda mengerti akan penjelasan yang diberikan oleh Doktor Fazilah itu.
“Boleh kami masuk jumpa dengan dia, doktor?” Soal Adam lagi.
“Silakan. Tapi jangan ramai-ramai ya.”
“Terima kasih, doktor” Ujar Adam sambil menghulurkan salam.
Doktor Fazilah menyambutnya sambil tersenyum manis. Pemergian doktor muda itu hanya di pandang sepi oleh mereka bertiga.
“You all nak jumpa dengan dia ke?” Soal Rayyan sambil merenung wajah Adam dan Helmi silih berganti.
Adam dan Helmi saling berpandangan di antara satu sama lain sebelum memulakan bicara mereka. Sekurang-kurangnya, kehadiran Adam dan Helmi tidaklah akan menjanggalkan suasana di antara dia dan Dania nanti.
“Takpelah. I tunggu kat luar aje.” Jawab Adam tenang.
“Kau, Helmi? Tak mahu masuk sekali ke?” Wajah Helmi direnung lembut.
“Boleh ke?” soal Helmi kembali tanpa menjawab soalan Rayyan.
“Apasal pulak tak boleh?” Soal Rayyan kembali.
“Eh! Manalah tahu kalau kau angin dengan aku macam tadi. Tak ke niaya aje. Angin kau tu bukan boleh percaya sangat. Sekejap elok, sekejap lagi tak elok” Jelas Helmi selamba. Macam angin orang perempuan pula.
Mendengarkan itu, membuatkan Rayyan terdiam seketika. Dia merenung wajah tenang Helmi dalam-dalam sebelum menjawab kata-kata tersebut.
“Aku minta maaf, Mi. Aku takde niat nak cakap macam tu. Aku tengah tension tadi.” Luah Rayyan lembut.
“Aku bukannya apa, Ray. Aku tak kisah sangat sebab aku dah faham sangat dengan perangai kau tapi Nia tu. Aku tahu dia terasa bila kau cakap macam tu pada kami tadi. Kau mintalah maaf pada dia.” Terang Helmi panjang lebar.
Sekali lagi Rayyan terdiam mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Helmi. Kebisuannya membuatkan Helmi kembali bersuara.
“Dahlah tu. Jom kita masuk tengok dia.” Luah Helmi sambil menepuk lembut bahu Rayyan.
Tanpa berlengah lagi Helmi melangkah menuju ke arah bilik yang menempatkan Dania. Rayyan mengekori langkahnya dari arah belakang. Ketika mereka sampai, Dania telah pun sedar dari pengsannya.
“Nia macam mana sekarang? Ok dah?” Soal Helmi lembut.
“Alhamdulillah, bang. Kurang sikit sakit kepala ni.” Lemah sekali kata-kata itu meluncur keluar dari bibir mungil Dania.
“Nia demam panas. Doktor kata kurang air dalam badan dan tekanan darah pula rendah. Mungkin sebab tu Nia sakit kepala dan pengsan tadi.”
Dania menganggukkan kepalanya lemah apabila mendengarkan kata-kata Helmi itu. Rayyan hanya merenung wajahnya yang lemah itu tanpa sepatah bicara. Semenjak masuk tadi, dia lebih suka mendiamkan diri dari berbicara. Melihatkan ulahnya itu, Helmi menyiku lembut tangannya. Dia tidak mahu Rayyan terus-terusan berdiam diri begitu. Rayyan sedikit tersentak melihatkan ulah temannya itu.
Pantas dia menoleh ke arah Helmi. Helmi memberikan isyarat agar dia memulakan bicaranya. Ketika dia ingin membuka mulutnya untuk berbicara, doktor muda yang merawat Dania melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.
“Ramainya tamu. Untung kamu ya.” Luah Doktor Fazilah sambil tersenyum.
Dania hanya tersenyum hambar mendengarkan pujian Doktor Fazilah tanpa sebarang bicara. Saat itu, dia tidak berminat untuk berbicara langsung dengan sesiapa pun.
“So, macam mana awak rasa sekarang?” Soal Doktor Fazilah.
“Alhamdulillah, doktor.” Ujar Dania lemah.
Doktor Fazilah hanya menganggukkan kepala mendengar kata-kata Dania itu.
“Kepala masih pening lagi?” Doktor Fazilah merenung wajah Dania dalam-dalam.
“Kurang sikit, doktor. Tadi ia berdenyut-denyut. Macam nak pecah rasanya.”
“Belajar lagi ke?” Soal Doktor Fazilah lagi sambil memeriksa tekanan darah Dania.
Hanya anggukkan kepala sahaja bagi mengiakan pertanyaan doktor tersebut.
“Panas badan awak pun dah berkurang, so awak boleh pulang.”
“Betul ke, doktor?” Soal Dania sedikit ceria.
Doktor Fazilah hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Suka benar dia melihat ulah Dania yang ceria itu.
“Betul tiada yang serius tentang dia, doktor?” Soal Rayyan tiba-tiba. Bimbang juga dia bila Dania tiba-tiba pengsan tadi. Berbagai prasangka yang bermain difikirannya.
“Don’t worry. Tiada apa yang serius.” Luah Doktor Fazilah lembut.
“Tapi kenapa dia pengsan tiba-tiba?” Soal Rayyan hairan.
“Seperti yang saya katakan tadi, dia kekurangan air dalam badan dan panas yang dihidapinya yang membuatkan dia pengsan. Janganlah bimbang. Pelajar memang biasa macam tu. May be, stress dengan belajar.”
Rayyan menghela nafas panjang apabila mendengar penjelasan yang panjang lebar dari Doktor Fazilah itu. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepalanya tanda mengerti akan kata-kata Doktor Fazilah tersebut.
Matanya merenung wajah lemah Dania dengan perasaan penuh simpati. Apabila mata mereka bertentangan, pantas Dania melarikan wajahnya. Hatinya masih sakit lagi apabila mengenangkan kata-kata pemuda itu kepadanya sebentar tadi. Doktor Fazilah kembali bersuara memecah kesunyian antara mereka.
“So young lady, jangan lupa makan ubat yang saya bekalkan nanti” Katanya sambil menepuk lembut bahu Dania.
“Insya-ALLAH, doktor.”
“And one more thing, study smart don’t study hard. Understand?”
Dania hanya menganggukkan kepalanya sambil tersenyum lemah sahaja bagai berjanji dengan doktor muda itu.
“Jika ada apa-apa, jumpa saya.” Luah Doktor Fazilah lagi.
“Insya-ALLAH, doktor.” Angguk Dania.
Doktor Fazilah meninggalkan mereka beberapa minit kemudian. Dania bangun dari duduknya. Melihatkan kepayahan Dania itu, pantas Rayyan membantunya. Namun, Dania menepisnya kasar. Melihatkan ulah Dania itu, Rayyan sedikit kaget. Marah lagikah dia dengan aku?
Helmi hanya memerhatikan sahaja ulah mereka berdua. Perlahan-lahan dia mendekati Rayyan, sahabatnya itu. Bahu rakannya itu disentuh lembut. Rayyan pantas menoleh apabila menyedari seseorang menyentuh bahunya. Melihatkan gelengan kepala Helmi, dia hanya mampu menghela nafas panjang.
“Dia masih marah pada kau lagi.” Luah Helmi perlahan.
“Aku nak bantu dia.”
“Aku tahu tapi beri dia masa untuk maafkan kau.”
Rayyan terdiam mendengar kata-kata Helmi itu. Dengan hati yang berat, dia menganggukkan kepala sambil menghela nafas yang panjang. Dia tahu, gadis itu masih marahkan dia disebabkan kata-kata yang dilemparkan olehnya sebentar tadi. Jika dia berada di tempat Dania, pasti dia akan marah dengan apa yang diperkatakan olehnya sebentar tadi.