Halaman

Selasa, 14 Februari 2012

Selagi Ada Kasih 18

Sudah dua minggu peristiwa itu berlalu, namun Dania masih lagi tidak mahu bercakap dengan Rayyan. Bukan sahaja bercakap, malah untuk bertemu muka dengannya pun gadis itu tidak sudi. Baginya, Dania seakan melarikan diri darinya.
Dia tidak berpeluang langsung bertemu muka dengan gadis itu walaupun sebentar untuk menyelesaikan masalah yang melanda di antara mereka berdua. Jika dia ke pejabat, Dania pasti belum bangun tidur. Bila dia pulang, gadis itu pasti sudah pun melelapkan matanya. Hari Sabtu dan hujung minggu pula, gadis itu lebih suka duduk memerap sahaja di dalam bilik mentelaah pelajarannya daripada duduk bersantai di hadapan televisyen.
Bila diajak keluar pula, pasti ada sahaja alasan yang diberikan. Sehinggakan dia sendiri naik buntu dengan ulah Dania itu. Hanya Rifqah, Mak Kiah, Pak Hamid dan Sunarti sahaja yang boleh berjumpa dengannya. Dia seakan tidak dibenarkan sama sekali.
Dia sendiri tidak tahu, samada gadis itu sihat atau tidak semenjak kejadian dua minggu lepas. Hanya dari Mak Kiah sahaja yang dia tahu bahawa gadis itu sihat. Dia menghela nafasnya perlahan-lahan bila mengenangkan ulah Dania itu.
Bila diceritakan kepada Helmi mahupun Adam, pasti mereka akan menasihatkan agar dia memberi masa pada Dania. Masalahnya, telah banyak masa yang diberikan namun tidak sedikit pun Dania endahkannya. Dania seakan tidak mengerti akan apa yang berlaku.
Dan hari ini dia sengaja pulang lebih awal dari biasa. Dengan niat agar dia dapat bertemu muka dengan gadis tersebut dan membincangkan masalah yang melanda mereka saat itu. Ketika dia pulang tadi, Mak Kiah telah mengkhabarkan kepadanya yang Dania belum lagi pulang dari kolej.
Saat ini, dia melirik ke arah jam yang tergantung di ruang tamu rumah tersebut. Angka menunjukkan tepat jam sepuluh malam. Namun, bayang gadis itu tidak kelihatan. Hatinya mula dilanda gelisah. Sesekali dia memerhati ke arah jalan masuk ke vila mewahnya itu. Melihat kalau-kalau gadis itu akan pulang. Namun, hampa. Mana pula perginya dia ni? Dah lewat masih tak pulang-pulang lagi.
Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang. Dia mula berjalan ke hulu-hilir. Resah. Seakan orang kehilangan isteri lagaknya. Tidak senang duduk. Bimbang jika sesuatu yang tidak diingini berlaku pada gadis itu. Janganlah sesuatu yang buruk terjadi pada dia.
“Mak Kiah…Mak Kiah…” Panggilnya lantang.
“Saya, Tengku.” Terkocoh-kocoh wanita separuh umur itu mendapatkannya. “Tengku panggil Mak Kiah?” Soal Mak Kiah apabila sudah berada di hadapan Rayyan.
Rayyan tidak terus menjawab pertanyaan itu. Dia menghela nafasnya sambil duduk tersandar. Risau hatinya dengan ulah Dania itu. Dia sengaja balik lewat untuk elak bertemu dengan aku ke? Ataupun sesuatu yang buruk telah berlaku pada dia?
“Dania ada call?” Soal Rayyan tanpa menjawab pertanyaan tersebut sambil merenung wajah Mak Kiah yang tercegat di hadapannya.
“Takde. Petang tadi adalah.” Jawab Mak Kiah jujur.
“Apa katanya?” Soal Rayyan lagi.
“Katanya, dia pulang lewat sikit. Ada kerja yang perlu diuruskan.”
“Kerja? Kerja apa?” Soal Rayyan tegas. Kerja apa sampai sekarang tak pulang-pulang lagi?
“Mak Kiah tak perasaan pula Tengku. Dia ada beritahu Mak Kiah tadi tapi Mak Kiah lupa.” Luah Mak Kiah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Mendengarkan kata-kata tersebut membuatkan Rayyan terdiam seketika. Sekali lagi dia menghela nafas panjang. Mak Kiah kembali bersuara apabila melihatkan ulahnya itu. Dia juga seperti Rayyan, risaukan Dania.
“Kenapa, Tengku?”
“Takde apa-apa, Mak Kiah. Cuma saya bimbangkan dia. Dah pukul sepuluh malam tapi dia tak pulang-pulang lagi.” Luah Rayyan lemah. Jelas kerisauan di wajahnya saat itu. Mana dia pergi? Dah lewat tak balik-balik lagi.
“Nak suruh Pak Hamid cari dia ke?” Cadang Mak Kiah. Berharap agar cadangannya itu dapat diterima oleh Rayyan.
“Kalau nak cari pun, di mana? Lainlah kalau Pak Hamid tahu di mana dia berada.” Renggus Rayyan. Aku sendiri pun tak tahu dia di mana. Inikan pula Pak Hamid.
“Betul juga tu, kan. Hmm…tak cuba hubungi kawan-kawan dia?” Cadang Mak Kiah lagi. Manalah tahu kawan-kawan dia tahu di mana dia berada sekarang ni.
Rayyan terdiam sejenak apabila mendengarkan soalan yang lahir dari bibir Mak Kiah itu. Wajahnya yang kerisauan itu, menjadi tumpuan Mak Kiah. Salah ke aku tanya tadi?
“Nak hubungi macam mana, Mak Kiah? Kawan-kawan dia pun saya tak kenal. Lainlah kalau kita kenal dengan kawan-kawan dia. Senang sikit kerja kita.”  Nafas dihela panjang. Ni seorang pun kawan-kawan dia, aku tak kenal.
Habis sahaja dia meluahkan kata-katanya, kedengaran loceng pintu berbunyi. Rayyan dan Mak Kiah saling berpandangan di antara satu sama lain. Rayyan hanya menganggukkan kepalanya sahaja tanda membenarkan Mak Kiah membukakan pintu untuk tetamunya.
Mak Kiah akur dengan arahan yang diberikan. Wajah Dania yang keletihan tertera di muka pintu apabila pintu rumah vila mewah tiga tingkat itu terbuka luas. Mak Kiah menghela nafas lega apabila terlihatkan Dania disebalik pintu. Alhamdulillah, sampai juga dia.
“Maaflah, Mak Kiah. Menyusahkan Mak Kiah aje. Nia terlupa bawa kunci vila.” Ujar Dania lembut sambil menguntumkan senyuman manis.
“Tak apa. Nia dari mana ni?’ Luah Mak Kiah lembut.
“La…kan Nia dah beritahu Mak Kiah tadi. Nia ada perlawanan futsal. Tu yang lambat sikit balik ni. Mak Kiah lupa ke?” Soal Dania lembut. Lupalah tu.
“Mak Kiah lupalah tu sebab Mak Kiah tanya. Kalau Mak Kiah ingat, takdelah Mak Kiah tanya kamu, Nia.”
Dania menggelengkan kepalanya sambil melangkah masuk ke dalam. Dia tidak menyalahkan wanita itu di atas keterlupaannya.
“Tengku cari Nia.” Ujar Mak Kiah tiba-tiba.
“Cari Nia? Kenapa?” Soal Dania hairan. Apa hal pula dia cari aku? Aku ada buat salah ke dengan dia? Setahu aku, takde pula aku buat salah dengan dia sehari dua ni.
“Dah pukul sepuluh malam, Nia tak pulang-pulang lagi. Risau dia dibuatnya.” Terang Mak Kiah. Bukan dia aje, dengan aku sekali risau.
“Mana dia?” Soal dania lagi. Sesekali dia tertinjau-tinjau mencari kelibat lelaki itu. Namun tidak kelihatan kelibat Rayyan di ruang matanya.
“Ada di ruang tamu tu. Tengah tunggu Nia.” Jelas Mak Kiah separuh berbisik. Bimbang andainya Rayyan terdengar bicaranya nanti.
“Tunggu Nia? Buat apa?” Soal Dania hairan. Pelik juga dihatinya apabila mendengarkan lelaki itu sedang menunggunya. Sedangkan selama ini, tidak pernah sekali pun lelaki itu menunggunya pulang dari kolej. Terpulanglah dia hendak pulang pukul berapa sekali pun, lelaki itu tidak akan ambil peduli. Kenapa pula hari ni dia tunggu aku?
“Eh!! Manalah Mak Kiah tahu. Dia risau sangat bila Nia tak pulang-pulang lagi. Macam orang hilang bini aje lagaknya.” Bisik Mak Kiah perlahan di telinga Dania. Ni baru Nia yang lambat balik. Kalau isteri dia lambat balik, tak tahulah aku nak cakap macam mana.
Dania tersenyum kecil mendengarkan kata-kata yang terhambur dari bibir tua itu. Geli juga hatinya apabila sesekali mendengarkan omelan orang tua itu.
“Buat apa nak risau, Mak Kiah? Nia tahu jaga diri Nia. Nia bukan budak kecil lagi. Dah besar panjang pun. Kalau kahwin agaknya, dah ada anak barangkali.” Seloroh Dania.
“Memanglah Nia tahu jaga diri tapi Nia tu anak dara. Kalau apa-apa terjadi pada Nia, siapa yang susah? Dia juga, kan? Lagipun Nia sekarang ni di bawah tanggungjawab dia. Apa-apa hal, dia yang bertanggungjawab. Apa dia nak bagitahu pada mak ayah Nia nanti.” Luah Mak Kiah lembut.
Dania terdiam mendengar kata-kata Mak Kiah itu. Dalam diam dia mengiakan kata wanita yang telah dianggap sebagai ibunya sendiri itu. Salahnya juga kerana pulang selewat itu. Walaupun Rayyan tidak pernah sekali mempersoalkannya.
Sepatutnya dia memaklumkan kepada Mak Kiah atau Sunarti akan kelewatannya pulang ke rumah malam itu. Jika tidak, pasti Mak Kiah tidak akan serisau begitu. Begitu juga dengan Rayyan.
“Nia dah makan?” Soal Mak Kiah lagi apabila melihatkan Dania hanya diam membisu.
“Dah, Mak Kiah. Nia makan dengan kawan-kawan Nia tadi sebelum balik. Tu sebab Nia lambat ni.”
Dania berlalu meninggalkan Mak Kiah yang masih lagi tercegat di pintu masuk vila itu. Rayyan yang sedang duduk di ruang tamu tidak sedikit pun dihiraukannya. Langkahnya di panjangkan menuju ke tingkat atas. Ketika kakinya ingin memijak anak tangga pertama, kedengaran namanya diseru oleh Rayyan.
“Dania…” Rayyan menegurnya. Dia boleh buat tak nampak aje aku kat sini?
Mendengarkan namanya diseru oleh lelaki itu, pantas Dania mematikan langkahnya. Namun tidak sedikit pun dia menoleh ke arah lelaki tersebut. Rayyan menghampirinya dengan tenang.
“Awak kemana?” Soal Rayyan sedikit tegas. Geram hatinya apabila Dania tidak sedikit pun menghiraukan kehadirannya di situ. Ingat aku ni tunggul ke dalam rumah ni?
Dania mendiamkan diri apabila mendengar pertanyaan dari Rayyan itu. Tidak terlintas difikirannya untuk menjawab soalan tersebut. Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Rayyan.
“Saya tanya awak ni…awak kemana?” Soal Rayyan lagi sambil bercekak pinggang. Aku tanya dia boleh buat tak tahu aje.
Seperti tadi, Dania masih lagi berdiam diri. Dia tahu jika dia menjawab, pasti akan berpanjanganlah persoalan tersebut. Jadi, lebih baik dia mendiamkan diri sahaja. Saat ini dia tidak mahu bergaduh dengan pemuda itu. Telah dipasangkan keinginan tersebut agar mereka tidak bertengkar lagi. Lebih-lebih lagi bila di hadapan Rifqah. Perlukah aku menjawabnya? Jika aku membalas kata-katanya, pasti akan terjadi pertengkaran di antara kami berdua. Jika tidak…dia akan terus-terusan mendesak.
Lagi pun, dia sudah puas bergaduh dengan pemuda itu. Jika dengan berdiam diri, dia bisa mengelakkan pertengkaran terjadi di antara mereka berdua, dia rela. Namun tidak bagi Rayyan. Kebisuan Dania saat itu mengundang amarahnya. Dia ni sengaja menguji kesabaran aku.
Dia mendekati Dania. Dia menarik tangan Dania dengan kasar supaya mengadapnya. Kedua-dua lengan Dania dicengkam kuat. Ini membuatkan wajah Dania berkerut menahan sakit. Ulah mereka itu hanya diperhatikan sahaja oleh Mak Kiah dari jauh. Jelas kerisauan di wajah tua itu. Dalam hatinya tidak putus-putus berdoa agar tiada perkara yang buruk bakal terjadi. Janganlah mereka bergaduh lagi.
“Awak tak dengar ke apa yang saya tanya tadi? Dah pekak ke? Telinga tu letak di mana?” Marah Rayyan. Ke sengaja nak menguji tahap kesabaran aku saat ni?
“Auch…sakitlah.” Ujar Dania sambil merenung wajah Rayyan. Jelas terbit air jernih dibirai matanya. Apa kena dengan dia ni? Nak bunuh orang ke?
Melihatkan itu, Rayyan lekas-lekas melepaskan cengkamannya. Bukan niatnya untuk menyakiti gadis itu. Namun, akibat marah dia terlupa seketika. Dia bukannya lelaki yang akan memukul perempuan disebabkan hal yang remeh-temeh begitu.
Dania masih lagi merenung wajahnya dalam-dalam. Dapat dilihat dari wajah gadis itu dia seakan cuba menahan kesakitan yang dialaminya.
“Awak nak bunuh orang ke?” Marah Dania. Apa masalah dia ni?
“Maaf. Saya takde niat mahu sakitkan awak.” Luah Rayyan perlahan. Apa aku dah buat ni?
Kepalanya ditundukkan merenung lantai. Dania merenung tajam ke arahnya sebelum memulakan bicaranya. Dia ni memang sengaja cara masalah dengan aku.
“Awak tahu tak, kenapa saya tak nak jawab soalan awak tadi?’ Soal Dania tiba-tiba.
Rayyan pantas mendongakkan wajahnya apabila mendengarkan pertanyaan Dania itu. Matanya merenung wajah Dania dalam-dalam. Untuk seketika mata mereka saling bertaut. Melihatkan ulahnya yang masih termanggu itu, sekali lagi Dania mengulangi pertanyaannya. Hanya gelengan kepala sahaja yang diberikan oleh Rayyan bagi pertanyaan Dania tadi. Manalah aku tahu. Kau tak beritahu pun.
“Saya tak mahu bertengkar dengan awak lagi. Saya dah penat bertengkar dengan awak hari-hari. Malah saya dah janji dengan Puteri yang saya takkan bergaduh dengan awak lagi.” Ujar Dania perlahan. Takkan itu pun tak faham-faham lagi?
“Jadi, saya harus tunaikan janji saya pada Puteri. Saya ingat bila saya diam, awak tak akan memaksa saya tapi saya silap.” Sambung Dania lagi. Makin teruk jadinya. Agaknya, dia memang sengaja cari gaduh dengan aku.
“Saya cuma nak tahu awak kemana. Tu aje. Bukannya saya nak bertengkar dengan awak pun.” Luah Rayyan pula. Macamlah aku ni takde kerja lain asyik nak bergaduh dengan kau aje.
“Saya ada perlawanan futsal hari ini. Lagi pun, saya dah beritahu pada Mak Kiah yang saya pulang lewat.” Terang Dania.
“Kenapa awak tak telefon saya?” Soal Rayyan.
“Saya tak tahu nombor awak.” Ujar Dania selamba. Kenyataannya.
“Awak tak boleh minta pada Mak Kiah?” Soal Rayyan lagi. Senangnya jawapan dia.
“Kalau saya minta pun, saya takkan sempat nak telefon awak.”
“What?”
“Saya sibuk tadi. Jadi saya tak sempat nak telefon siapa-siapa pun. Saya hanya sempat memaklumkan kepada Mak Kiah saja.” Terang Dania.
“Jadi, futsal tu lebih penting dari kami yang macam nak gila risaukan awak kat rumah ni. Begitu?” Soal Rayyan marah. Sakit hatinya mendengarkan jawapan yang telah diberikan oleh Dania itu.
Dania terdiam mendengarkan soalan dari Rayyan itu. Dia tahu dia salah. Dia sendiri tidak menyangka bahawa dia akan pulang selewat itu selepas tamatnya perlawanan futsal tersebut. Perkara sebegini pasti tidak akan terjadi jika dia terus pulang selepas perlawanan futsal yang dianjurkan oleh kolejnya tamat.
Atas desakkan teman-temannya yang ingin meraikan kemenangan pasukan mereka yang dapat memasuki ke perlawanan separuh akhir, membuatkan dia terlewat pulang ke rumah. Jika tidak pasti lelaki itu tidak akan serisau itu. Bukan sahaja Rayyan malah Mak Kiah pun pasti tidak serisau itu.
“Awak tahu tak…kami kat rumah ni, macam orang gila risaukan awak. Dalam kepala otak kami ini dah terfikir benda yang bukan-bukan terjadi pada awak kat luar sana. Tapi, awak langsung tak fikir pasal benda tu semua. Yang awak fikirkan hanyalah keseronokkan awak saja. Perasaan kami ini awak letakkan di tepi. Begitu?” Tegas Rayyan lagi. Apa punya perasaanlah dia ni?
“Saya minta maaf.” Ujar Dania perlahan. Salah aku juga.
“Awak nikan, memang manusia yang pentingkan diri sendiri. Perasaan dan hati orang lain langsung tak awak fikirkan. Manusia jenis apa awak ni agaknya?” Soal Rayyan lagi.
Dia benar-benar marah dengan sikap sambil lewa Dania itu. Dania tidak sepatutnya berfikiran begitu. Dia tidak akan marah andainya Dania memaklumkan kepada Mak Kiah akan kelewatannya pulang ke rumah. Sekurang-kurangnya, dia tahu kenapa Dania pulang lewat.
“Saya minta maaf, ok? Saya tak sengaja dah buatkan semua orang kat dalam rumah ni risaukan saya.” Tegas Dania. Sakit hatinya kerana asyik dipersalahkan sahaja oleh Rayyan. Memanglah aku salah tapi agak-agaklah nak marahkan aku pun.
“Kalau awak tak mahu dengar suara saya sekali pun, awak sms aje pada saya. Tak pun pada Pak Hamid. Takdelah orang kat rumah ni macam nak gila risaukan awak tu.”
“Kan saya dah minta maaf pada awak. Apa lagi yang awak nak?” Marah Dania. “Dan satu lagi, saya takde handphone nak sms pada awak. Faham!” Renggus Dania kasar. Kalau dia tak faham juga, tak tahulah aku.
Dania terus berlalu tanpa menunggu kata-kata balasan dari Rayyan. Sakit hatinya setiap kali berdepan dengan lelaki itu. Ada sahaja salahnya di mata lelaki itu. Baginya, walaupun kebaikkan yang dilakukan, keburukkannya juga yang sering tertera.




Badannya yang letih terasa sedikit segar apabila selesai membersihkan diri. Dia benar-benar rasa letih pada hari ini. Saat ini, dia ingin sahaja merebahkan badannya di atas tilam yang empuk itu. Dia duduk di atas katilnya sambil menguap kecil. Mengantuknya. Letihnya badan aku.
Dia mengeliat kecil. Tiba-tiba ingatannya kembali ke arah peristiwa yang membuatkan dia dan Rayyan bertengkar sebentar tadi. Bila teringatkan kemarahan lelaki itu, hatinya menjadi sakit tiba-tiba.
“Suka sangat sakitkan hati aku. Kalau satu hari tak sakitkan hati aku, tak boleh agaknya? Dia ingat aku ni saja-saja ke tak nak beritahu pada dia? Nak sms macam mana? Handphone pun takde. Lainlah kalau aku ada handphone. Bukan kata sms, mms pun aku bagi kat kaulah. Eeiii!! Geramnya aku. Rasa nak cekik-cekik aje mamat tu.” Ngomel Dania perlahan.
“Tapikan…yang dia kecoh-kecoh sangat tu apa hal? Aku punya sukalah nak balik pukul berapa sekali pun. Dulu, dia juga yang kata…jangan masuk campur hal orang lain. Buat hal sendiri aje. Sekarang ni dah lain pula. Sengal betullah mamat tu. Tak habis-habis menyusahkan hidup aku.” Sambung Dania lagi.
Tanpa disedari, ulahnya itu diperhatikan oleh Rifqah dalam diam. Gadis kecil itu tergelak kecil melihatkan ulahnya. Pantas dia menoleh apabila mendengar ketawa kecil dari Rifqah. Sekuntum senyuman manis dihadiahkan buat anak kecil itu.
“Eh! Puteri rupanya. Kak Nia ingatkan siapalah tadi.” Luah Dania lembut. Nasib baik bukan bapak dia. Kalau tidak, kantoi aku.
“Mummy cakap sensorang ya.” Sengih Rifqah.
Dania hanya tersengih sahaja mendengarkan kata-kata Rifqah itu. Entah bila masa Rifqah berada di situ tidak dia sedar. Sedar-sedar, Rifqah telah berada di situ.
“Mummy marahkan siapa sampai nak cekik-cekik orang tu?” Soal Rifqah lagi dengan manja.
“Tak…takde siapa-siapa.” Ucap Dania teragap-agap sambil menggelengkan kepalanya. Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa aku nak cakap pada dia ni?
“Ha…Puteri tahu. Mummy marahkan daddy, ya.”
Dania serba salah untuk mengiakan kata-kata Rifqah. Dia menelan air liurnya. Terasa kesat sekali air liurnya mengalir di kerongkongnya saat itu. Aduh! Budak kecil ni dengar ke aku marahkan bapak dia?
“Puteri buat apa kat situ? Marilah sini.” Dania mengubah topik perbualan di antara mereka berdua. Bimbang juga persoalan itu akan berlarutan. Harap-harap dia tak dengar apa yang aku bebelkan tadi. Kalau tidak, mahu berperang lagi aku dengan bapak dia.
Tanpa berlengah lagi, Rifqah mendekati Dania. Dia terus melompat naik ke atas katil Dania. Dania tahu, gadis kecil itu pasti ingin tidur bersama-sama dengannya malam itu. Begitulah kebiasaan Rifqah. Bila dia datang ke bilik Dania, pasti dia ingin bermanja dengan Dania.
Namun, Dania tidak kisah semua itu. Walau penat macam mana sekali pun, dia pasti akan melayan Rifqah dengan sebaiknya. Kecuali jika dia tidak sihat. Rifqah telah merebahkan badannya di sisi Dania. Di sisinya, terdapat sebuah buku. Begitulah kebiasaannya. Sebelum tidur pasti dia inginkan seseorang membacakan cerita buatnya. Dania membetulkan selimut yang menyelimuti badan anak kecil itu.
“Puteri nak Kak Nia bacakan Puteri cerita ke malam ni?” Soal Dania.
“Kenapa?” Soal Rifqah tanpa menjawab soalan Dania. Dia hairan kenapa Dania bertanyakan dia soalan tersebut. Selalunya Dania akan membacakan untuknya tanpa dipinta.
“Kak Nia penatlah, Puteri. Kak Nia tak dapat bacakan Puteri cerita malam ni. Bolehkan?” Pinta Dania lembut. Berharap agar Rifqah faham dengan keadaannya saat itu. Aku betul-betul dah tak larat sangat dah ni. Nak tidur aje.
“Takpelah. Malam ni, biar Puteri yang bacakan buat mummy.” Luah Rifqah lembut sambil tersenyum manis.
“Terima kasih, sayang.” Ujar Dania sambil memeluk lembut tubuh kecil Rifqah. Nasib baiklah dia faham keadaan aku.
“Ok. Sekarang mummy tidur. Biar Puteri yang bacakan cerita untuk mummy sampai mummy tidur, ya?”
Dania tertawa kecil apabila mendengarkan kata-kata Rifqah. Permintaan si kecil diturutinya. Dia merebahkan badannya yang letih itu di sisi Rifqah. Tidak berapa lama kemudian, dia terus tertidur. Hilang sudah suara Rifqah yang sedang membacakan cerita untuknya.




Ketika kakinya melangkah untuk menuju ke bilik, dia terdengar suara si kecil sedang membaca sesuatu yang tidak berapa jelas. Pantas kakinya menuju ke bilik Dania. Pintu yang separa terbuka ditolak perlahan agar tidak mengganggu penghuninya. Dilihat Rifqah sedang membaca, sedangkan Dania telah lena beradu.
Dia akui, Rifqah telah mula mengenal abjad sedari dia kecil lagi. Saat dia berumur lima tahun dia sudah bisa membaca. Semua itu adalah atas usaha kakaknya, Safiya. Safiya yang banyak mendidik Rifqah. Melihatkan anak itu, pantas dia tersenyum. Perlahan-lahan dia mendekati katil yang menempatan Dania dan Rifqah.
“Hai! Sayang.” Ujarnya lembut.
Mendengarkan sapaan itu, bacaan Rifqah terhenti. Buku yang melindungi wajahnya sedari tadi dialihkan agar dapat melihat yang empunya suara. Terlihat akannya Rayyan sedang tersenyum manis sambil merenungnya.
“Hai! Daddy.” Ujar Rifqah perlahan sambil tersenyum.
“Sayang buat apa tu?” Soal Rayyan lembut.
“Puteri tengah bacakan mummy buku.” Jawab Rifqah bangga.
“Mummy dah tidur pun, sayang. Dah tak dengar pun.” Ujar Rayyan sambil tersenyum kecil. Entah-entah dah selamat bermimpi agaknya.
“Daddy jangan cakap kuat-kuat. Nanti mummy jaga. Mummy letih tu. Kasihan mummy.” Rifqah berbisik kecil. Bimbang jika Dania akan terganggu dengan perbualannya dan Rayyan.
Rayyan terdiam apabila mendengarkan kata-kata Rifqah itu. Dia melabuhkan punggungnya di birai katil yang menempatkan Rifqah dan juga Dania.
“Anak daddy bila nak tidur ni?” Soal Rayyan perlahan. Dia tidak mahu suaranya nanti akan mengejutkan Dania yang sedang lena itu.
“Dah nak tidurlah ni.”
“Mahu daddy bacakan Rifqah buku?”
“Tak payahlah, daddy.” Tolak Rifqah lembut.
“Kenapa pula?” Soal Rayyan hairan.
“Tadikan Puteri dah baca. Tak perlulah dibaca lagi.”
“Ohh…Rifqah bacakan untuk mummy plus dengan Rifqah sekalilah ni?”
Pantas Rifqah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum manis.
“Oklah. Kalau macam tu, Rifqah tidur. Dah lewat dah ni.” Ujar Rayyan sambil membetulkan selimut yang membaluti tubuh Rifqah.
“Daddy….” Panggil Rifqah lembut.
“Ada apa sayang?” Balas Rayyan. Wajah comel itu ditatapnya.
“Puteri tak pernah tidur dengan mummy dan daddy. Malam ni…kita tidurlah sama-sama. Boleh?” Pinta Rifqah lembut.
Rayyan terkejut seketika apabila mendengarkan permintaan Rifqah itu. Bulat matanya merenung dalam-dalam wajah si kecil itu. Seakan meminta kepastian. Jangan buat pasal. Mahu mengamuk anak jin ni nanti. Niaya aje aku.
“Bolehlah ya, daddy. Untuk malam ni aje.” Renggek Rifqah manja.
“Tapi….” Rayyan kehilangan kata-kata apabila mendengarkan permintaan si kecil itu. Dia menghela nafas panjang. Aduh…masalah betullah.
“Bolehlah daddy…” Rayu Rifqah lagi.
“Oklah…oklah…tapi untuk malam ni saja tau.”
Akhirnya, dia kalah jua dengan permintaan si kecil itu. Dengan berat hati dia merebahkan badannya di sebelah Dania yang sedang lena itu. Niat di hati, bila Rifqah telah tidur, dia akan kembali ke biliknya semula. Bimbang jika Dania tahu. Mahu terjadinya perang lagi di antara mereka berdua seperti selalu.
   Dia juga seperti Dania. Jika boleh dia tidak mahu lagi bertengkar sepanjang masa dengan gadis itu. Jika boleh dia inginkan kedamaian di antara mereka berdua. Walaupun ianya terlalu sukar untuk mereka berdua lakukan.