Halaman

Isnin, 4 November 2013

Kasih Jangan Kau Pergi 4

DIA melemparkan pandangannya ke serata alam. Negeri yang sedang pesat membangun dan digelar sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau terlayar di hadapan matanya kini. Malah ia juga telah diisytiharkan sebagai Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2008. Pada tahun 2010 pula ianya telah diisytiharkan sebagai negeri yang maju oleh Perdana Menteri Malaysia di PWTC.
            Negeri yang mempunyai keluasan keempat terkecil di dalam Malaysia, mempunyai penduduk kedua terkecil dan kepadatan penduduknya pula di tempat yang keempat di Malaysia dan juga Semenanjung Malaysia. Itulah ia, negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Walaupun merupakan negeri pertama yang mengasaskan Kesultanan Melayu, negeri Melaka tidak mempunyai sultan yang memerintah. Sebaliknya Melaka hanya diketuai oleh seorang Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri.
            Negeri yang terletak di pantai barat daya Semenanjung Malaysia serta bertentangan dengan Sumatra hanyalah dengan berkeluasan seribu enam ratus lima puluh kilometer persegi sahaja. Bersempadan di antara Negeri Sembilan dan juga Johor. Apa yang dia tahu lagi adalah, bandaraya ini berkembar dengan lima buah bandar yang terkemuka. Antaranya Lisbon - Portugal (1984), Kuala Lumpur - Malaysia (1989), Hoorn - Belanda (1989), Valparaiso - Republik Chile (1991) dan Nanjing - China (2001).
            Dia yakin dan amat pasti sekali bahawa semua orang tahu bagaimana wujudnya negeri yang telah digelar sebagai Bandaraya Bersejarah itu. Semua itu telah dipelajari sedari bangku sekolah lagi. Tanyalah sesiapa sahaja, pasti mereka akan tahu. Dan dia bangga menjadi anak jati negeri ini. Jika ingin diceritakan kepada semua akan sejarah negeri itu pasti tidak akan habis empat hari empat malam.
Kerlipan lampu-lampu neon berjaya memeriahkan lagi bandaraya tersebut. Kelihatan kenderaan berpusu-pusu membanjiri jalan raya yang tidak pernah sekali lengang. Tidak kiralah samada waktu siang mahupun malam. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri. Ianya tampak begitu jelas sekali daripada kondo mewah yang dihuninya. Tak tahu penat agaknya mereka?
            Sesekali dia mendongakkan kepalanya ke dada langit yang luas terbentang. Bulan dan bintang setia menghiasi dada langit yang kelam itu. Namun, pemandangan sebegitu tidak bisa membuangkan kegalauan hatinya saat ini. Seakan ianya tidak langsung dapat menceriakan hatinya barang seketika. Kenapalah aku yang dipertanggungjawabkan?
            Papanya telah memberikannya satu tugasan yang berat dan sukar sekali untuk dia lakukan. Tumpuannya terganggu apabila mendengarkan bunyi loceng kondo mewahnya. Dengan langkah yang malas, dia mendekati pintu tersebut tanpa bertanya terlebih dahulu akan siapa yang datang bertandang tatkala ini.
            Terlayar wajah seorang lelaki muda yang memiliki susuk tubuh badan yang tegap sedang tersenyum manis di sebalik pintu. Tetamunya itu melangkah masuk setelah mendapat kebenaran darinya.
            “Apa yang kau dapat untuk aku?” soalnya dengan tenang apabila tetamunya itu melabuhkan punggung di sofa kulit yang terdapat di ruang tamu kondo mewah tersebut. Aku harap dia dapat apa yang aku cari selama ni.
            Dia menyerahkan sekotak minuman berperisa laici kepada tetamunya sebelum melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan pemuda tersebut. Pemuda itu menyerahkan sepucuk sampul surat yang berwarna coklat bersaiz A4 ke arahnya tanpa sepatah bicara. Berharap agar apa yang ditemuinya itu akan membuatkan lelaki kacak itu berpuas hati.
            Tanpa banyak soal, dia mengeluarkan segala isi yang terdapat dalam sampul surat tersebut. Terlayar di ruang matanya kini wajah seseorang dengan pelbagai gaya dan aksi. Yang pastinya wajah itu sentiasa sahaja tersenyum keceriaan. Gambar siapa pula yang diambilnya ni?
            Dia meneliti satu per satu gambar yang berada di dalam gengamannya. Lalu gambar itu dicampakkan dengan kasar di atas meja kopi yang menjadi pemisah di antara mereka berdua. Merah padam wajahnya menahan marah. Memang tak boleh harap langsunglah dia ni.
            “Gambar siapa pulak yang kau ambil ni, Zarul?” soalnya tegas. Sengaja nak menduga tahap kesabaran aku ke apa dia ni?.
            Pemuda yang bernama Zarul itu menelan liurnya beberapa kali sebelum menjawab pertanyaan yang telah diajukan oleh lelaki itu. Iskh, dia ni!! Datang nak marah aje! Kut iya pun tunggulah aku explain dulu.
            Pemuda berkulit cerah itu merenung tajam wajah Zarul. Zarul sebenarnya telah diupah untuk mencari seseorang atas arahan yang telah diberikan oleh papanya. Dia tahu bahawa dia boleh mengharapkan Zarul. Bukan sekali, dua khidmat lelaki itu digunanya.
            “Itulah budak yang boss suruh saya cari tu.” Jawab Zarul teragap-agap. Bimbang juga dia andainya lelaki itu akan mengamuk dengan dia nanti. Jangan dia mengamuk dengan aku, dahlah.
            “Aku suruh kau cari perempuan. Bukannya lelaki.” Bentak lelaki itu keras. Lain yang aku suruh buat, lain yang dia buat. Ke dia tak faham arahan yang aku berikan?
            “Perempuanlah tu, boss.” Balas Zarul berani. Dia tak dapat bezakan ke?
            Lelaki itu merengus kasar sebelum mengambil sekeping gambar yang telah dilemparkannya dengan kasar tadi. Wajah seorang remaja yang lebih menyerupai lelaki berbanding perempuan itu direnungnya. Remaja itu memakai cap berjenama BUM berwarna hitam. Perempuan ke budak ni? Tak macam perempuan pun.
            “Ini yang kau katakan perempuan?” soal lelaki itu sambil membeliakkan matanya ke arah Zarul. Dia yang salah atau aku yang salah menilai?
            Zarul tersengih kecil sebelum menjawab pertanyaan itu. Dia pasti bahawa lelaki yang dipanggil boss atau namanya sebenarnya Fahmi itu tidak akan percaya dengan apa yang telah dilihatnya. Aku ingat aku aje yang tak percaya. Dia pun sama.
            “Sebenarnya boss, dia ni tomboy.” Jelas Zarul. Muka jambu macam tu takkanlah lelaki. Dah tentu-tentulah perempuan.
            “Apa dia?” soal Fahmi. Seakan ayat yang baru didengarinya sebentar tadi agak kurang jelas dipendengarannya tatkala itu. Aku silap dengar ke tadi?
            “Dia ni tomboy. Alah, perempuan yang berkelakuan macam lelaki! Macam penkid tu.” Terang Zarul sekali lagi dengan panjang lebarnya. Takkan dia tak tahu tomboy kut.
            “Aku tahulah.” Rengus Fahmi. Macamlah aku ni bodoh sangat sampai tak tahu nak bezakan antara tomboy dan penkid.
            “La…tadi boss jugak yang tanya saya.” Selamba Zarul menegakkan kata-katanya. Salah aku jugak ke?
            “Aku kurang dengar yang kau kata dia ni tomboy.” Ujar Fahmi perlahan.
            Wajah gadis tomboy itu direnungnya dalam-dalam. Begitu juga dengan penampilannya. Dia begitu cantik sekali andainya dia memiliki rambut yang panjang. Boleh tahan jugak dia ni tapi kenapa boleh jadi begini?
            Sekali pandang, gadis itu mirip seperti papanya. Jika tiada siapa yang tahu dia adalah gadis, dia yakin sekali ramai gadis yang akan jatuh cinta padanya dengan pandang pertama. Pasti akan ada gadis yang terpikat dengan wajahnya yang comel ini.
            “Apa maklumat yang kau dapat mengenai dia ni?” Fahmi tersandar tenang. Dia memang cantik. Macam mama dia jugak.
            “Apa yang saya tahu, dia tinggal dengan kawan-kawan dia dan bekerja sebagai despatch di Kamal Holdings. Iaitu salah satu anak syarikat kepunyaan Tan Sri Kamal. Kalau tak silap saya, dah hampir tiga tahun dia bekerja kat situ.” Zarul membetulkan duduknya sebelum menyambung kembali kata-katanya.
            “Setiap malam minggu, dia suka pergi clubbing dengan kawan-kawan dia. Dia jugak gemar melakukan aktiviti-aktiviti lasak. Tak kiralah apa sukan lasak sekalipun, dia akan ceburi. Termasuklah dengan lumba haram.” Hebat jugak budak ni. Tak padan yang perempuan.
            Fahmi merenung wajah Zarul tatkala mendengarkan ayat terakhir yang lahir daripada mulut pemuda itu. Dia seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengari oleh telinganya sebentar tadi. Aku tersilap dengar atau dia yang tersilap cakap?
            “Betul ke informasi yang kau beri aku ni? Jangan kau nak tipu aku.” Fahmi mengerutkan dahinya. Takkanlah dia lumba haram pula. Dia bukan ke perempuan?
            “Betul, boss. Saya sendiri pernah follow dia.” Tekan Zarul. Mesti dia tak percaya apa yang aku cakapkan tadi.
            “Lumba haram tu?” Teka Fahmi pantas. Dia pun berlumba sekali? Biar betul!
            “Takdelah, boss! Saya dan kawan saya follow dia sampai kat tempat dia berlumba tu aje. Saya sendiri yang saksikan dia berlumba malam tu. Kalau boss tak percaya, saya boleh berikan boss buktinya.” Tawar Zarul. Bukan kau aje yang tak percaya. Aku pun macam kau.
            “Tak perlu.” Fahmi merengus kasar. “Apa lagi yang kau tahu tentang dia.” Sakit kepala aku dengar semua ni.
            “Budak ni, satu town kenal dengan dia. Sebut aje nama dia, pasti ramai orang kenal. Kebanyakan kawan-kawan dia semuanya tomboy, boss. Cuma seorang dua aje awek yang benar-benar rapat dengan dia. Tapi ada satu awek ni, memang rapat gila dengan dia. Cantik, cun, manis orangnya. Kalau boss tengok, pasti cair punyalah.” Ujar Zarul sambil tersenyum manis. Saat itu terbayang di birai matanya akan insan yang sering bersama dengan gadis tomboy itu. Kalaulah aku dapat ayat awek tu, sure aku tak cari lain punya.
            “Hoi!! Aku suruh kau cari maklumat tentang dia! Bukannya mengayat perempuan!” Jerit Fahmi lantang. Ada yang kena campak keluar dari bangunan jugak nanti dia ni.
            Wajah Zarul direnungnya dalam-dalam. Seakan mahu sahaja ditelannya pemuda itu. Bukan dia tidak perasan akan gadis yang diperkatakan oleh Zarul sebentar tadi. Malah dalam setiap gambar yang diambil oleh Zarul, ada sahaja wajah gadis itu. Bukan sahaja gadis itu, malah terdapat juga seorang gadis lain di dalam gambar tersebut.
            Yang menjadi kepentingannya saat ini adalah gadis tomboy tersebut. Bukan teman-temannya yang sering sahaja bergandingan dengannya itu. Tidak kiralah samada yang lelaki mahupun yang perempuan. Sempat pulak dia nak mengayat bagainya.
            “Sorry, boss! Sorry!” Zarul tersengih sambil menyusun jemarinya memohon maaf di atas keterlanjurannya sebentar tadi. “Tapi boss…budak tomboy ni suka buat kepala dia aje.” Sambung Zarul. Hidup dalam dunianya sendiri. Pelik sungguh.
            “Selalu ke dia lumba motor ni?” soal Fahmi sambil berpeluk tubuh. Apalah nak jadi dengan budak ni? Kalau papa tahu, tak bertambah sakit orang tua itu dibuatnya.
            “Hmm…tak, boss.” Zarul mencebikan bibir sambil menggelengkan kepalanya perlahan-lahan.
            “Mana kau tahu?” Fahmi merenung wajah Zarul. Dia follow budak tu ke?
Hakikatnya dia kurang mengerti dengan apa yang telah diterangkan oleh Zarul kepadanya sebentar tadi. Sometime dia ni bukannya boleh dipercaya sangat.
            “Saya ada bertanya dengan budak-budak yang berlumba kat situ. Mereka kata, dia cuma berlumba sebulan sekali aje. Itu pun ikut mood dia. Kalau mood dia baik, malam tu dia akan ber-lumba dua, tiga round. Kalau tak…dia takkan jejakkan kakinya kat sana. Nak tengok muka dia pun payah, boss.”
            “Clubbing?
            “Pun macam tu jugak, boss. Dia lebih banyak menghabiskan masa yang terluang di padang futsal ataupun buat aktiviti-aktiviti lasak.”
            “Keluarga dia?”
            “Sebelum ni, dia tinggal dengan emak dan nenek dia. Lepas emak dia meninggal, nenek dia yang jaga. Lepas nenek dia meninggal, dia terus tinggal dengan kawan-kawan yang sekepala dengan dia. Dia takde adik-beradik lain.” jelas Zarul.
            “Kau tahu kenapa dia jadi macam tu?”
            “Menurut dari sumber yang saya dapat dan daripada cerita jiran-jirannya, dia jadi begitu kerana desakan hidup.”
            “Maksud kau?”
            “Lepas bapa dia meninggal…emak dan nenek dia yang besarkan dia. Emak dia meninggal sewaktu dia di tingkatan empat. Lepas tu nenek dia yang ambil alih. Habis aje SPM, dia terus kerja untuk sara nenek dia yang selalu sakit. Dialah yang menjaga nenek dia hingga neneknya menghembuskan nafas.
Menurut dari sumber tu jugak, dia berubah menjadi tomboy selepas dia hampir saja diperkosa oleh orang yang rapat dengan dia. Bermula daripada situ, dia mula menukar identitinya. Daripada seorang gadis yang lemah-lembut dan sopan kepada seorang gadis yang ganas dan kasar. Seperti yang boss dapat tengok sekarang ni.” Terang Zarul dengan panjang lebarnya. Kasihan sungguh aku tengok budak ni.
            Fahmi menghela nafas berat tatkala mendengarkan penerangan dari Zarul itu. Wajahnya yang sedikit kusut itu diraupnya dengan kedua belah telapak tangan. Pelbagai persoalan yang berlegar difikirannya tatkala ini. Aku tidak sangka sampai begitu sekali hidup yang dilaluinya selama ini.
            “Kau ada alamat tempat tinggal dia?” soal Fahmi setelah agak lama mendiamkan diri. Patutlah papa suruh aku mencari dia.
            “Ada, boss. Ini ia.” Zarul menghulurkan sekeping kertas yang telah tertulis alamat penuh tempat tinggal gadis tomboy itu kepada Fahmi. “Siapa dia ni, boss?” soal Zarul berani. Entah mengapa dia ingin tahu akan gerangan gadis tomboy itu. Takkan dia minat dengan minah tomboy tu pulak kut. Biar betik!!
            “Kau tak perlu tahu. Tugas kau, cari maklumat tentang dia.” Tegas Fahmi. “Ini upah kau.” Fahmi menyerahkan sepucuk sampul berwarna putih ke arah Zarul. Menandakan dia berpuas hati dengan kerja-kerja Zarul untuknya. Kau tak manghampakan aku, Zarul.
            “Terima kasih, boss.” Zarul mengambil sampul yang berisi wang upahannya itu. Ini yang aku suka kerja dengan dia ni. Payment cepat.
            “Lagi satu sebelum aku terlupa, aku mahu kau cari orang yang hampir merosakkan dia tu. Bawa dia jumpa dengan aku. Secepat yang mungkin, Zarul!” Arah Fahmi. Aku takkan biar dia hidup tenang selagi aku tak jumpa dengan dia.
“Baik, boss. Kalau macam tu, saya pergi dulu.” Pinta Zarul. Ada tugas lain yang perlu aku lakukan.
            Zarul berlalu pergi meninggalkan Fahmi kembali bersendirian. Kondo itu kembali menjadi sunyi. Sesunyi hatinya saat ini. Fahmi tersandar tenang sambil membelek-belek gambar yang berada di dalam tangannya. Ya ALLAH!!!
            Terlayar di ruang matanya akan senyuman manis gadis itu. Patutlah papa menggesa supaya aku supaya mencari engkau. Rupa-rupanya hidup kau tak seperti yang aku bayangkan selama ni di luar sana. Jika aku tahu, pasti awal-awal lagi aku dah cari kau. Maafkan aku!! Maafkan aku!!