QUE
merebahkan kepalanya di atas meja. Pandangan manusia yang keluar masuk ke dalam
warung itu tidak sedikit pun diendahkannya. Dia lebih suka melayani perasaannya.
Dia benar-benar penat dan letih hari ini. Kerjanya terlalu banyak perlu diselesaikan.
Dapat tidur seround, dua, best jugak
ni.
Seorang gadis ayu yang bertudung
litup berwarna peach mendekatinya. Perlahan-lahan
dia menghela nafas sambil menggelengkan kepalanya melihatkan ulah Que itu.
Punggungnya yang padat itu dilabuhkan di kerusi yang bersebelahan dengan Que.
Letih sangatlah tu. Faham sangat aku dengan perangai dia ni.
“Que, kenapa ni? Dari tadi Eysa
tengok Que macam ni. Que ada masalah ke?” soal Eysa lembut. Apa sajalah yang
dia buat sampai begini jadinya?
Bahu Que disentuhnya lembut. Itulah Eysa,
anak gadis Mak Piah yang cantik dan ayu. Orangnya kecil molek sahaja. Berkulit
putih melepak bagaikan kacukan dan mempunyai sepasang mata yang sepet seperti
cina.
Menurut
Mak Piah, Eysa mewarisi kulit yang putih dan mata yang sepet dari arwah ayahnya
yang berdarah cina. Eysa menjadi kegilaan ramai jejaka. Entah mengapa hatinya
tidak langsung terbuka untuk berkawan dengan mana-mana lelaki. Dia lebih selesa
berkawan dengan Que. Ramai yang telah tersalah anggap akan hubungan baik di antara
mereka berdua. Que telah menganggap Eysa seperti adiknya sendiri.
“Takde
apalah, Eysa. Saya letih aje ni.” Que
menjawab lemah. Aku benar-benar tak larat dah ni. Aku nak tidur aje tapi perut aku lapar le pulak.
“Que dah makan?” Eysa menyoal tanpa
jemu. Kasihannya dia.
Que menggeleng lemah. Tujuan dia ke
situ sebenarnya untuk mengisi perutnya yang kosong tetapi keletihan yang mula merajai
diri, membuatkan seleranya tertutup untuk menjamu selera. Mana yang lebih baik?
Tidur ataupun makan? Kalau aku makan kemudian tidur, alamatnya aku takkan
bangun lagi lepas tu. Kalau aku tidur dan tak makan, alamatnya aku kebuluran.
Satu apa pun aku tak boleh nak buat.
“Kenapa tak makan lagi? Nanti masuk
angin pulak perut tu.” Nasihat Eysa.
Suka sangat tangguh makan ni.
Cukup dia takut andainya Que jatuh
sakit. Dia tidak mahu itu yang terjadi. Dia terlalu sayangkan Que. Jika boleh dia
tidak mahu Que jatuh sakit. Pernah juga dia merawat Que di saat Que jatuh
sakit. Walaupun waktu itu Que cuma menghidap demam selesema sahaja. Bukan
penyakit yang terlalu kronik pun. Kerisauannya mengalahkan kerisauan seorang
gadis terhadap sang kekasih. Ulahnya itu adakala membuatkan Que tersenyum
sendirian. Takut sangat aku jatuh sakit.
“Saya takde seleralah, Eysa.” Que menguap kecil. Aku nak tidur aje ni. Mata dah tak boleh nak angkat.
Bagaikan digam-gam.
“Janganlah ikutkan sangat tekak Que
tu. Que bekerja. Perlukan tenaga. Kalau takde
tenaga, macam mana nak teruskan kerja?” pujuk Eysa lembut. Degil jugak dia ni.
Que hanya membisu tatkala
mendengarkan kata-kata berunsurkan nasihat dari Eysa itu. Ada benar juga
kata-kata gadis bertubuh kecil molek tersebut. Cuma di saat ini, dia
benar-benar keletihan dan tidak mampu untuk memikirkan apa-apa lagi. Tidur
lebih penting daripada makan. So,
muktamad jawapannya tidur.
Eysa bangit dari kerusi yang
didudukinya tanpa menghiraukan Que. Tanpa berlengah lagi, dia terus mengambilkan
makanan buat Que. Dia tahu apa yang menjadi kegemaran sahabatnya itu. Kari ayam
berserta sedikit sayur goreng dan juga beberapa ekor udang goreng. Que sukakan
udang dan dia berharap apabila terpandangkan udang goreng itu maka akan
terbukalah selera gadis itu. Minta-minta dia akan makan bila terpandangkan lauk
kegemarannya ni.
“Dah, bangun. Makan ni. Eysa dah
ambilkan nasi buat Que. Bukan aje ada
ayam masak kari, udang goreng pun ada. Que suka udangkan?” pancing Eysa lembut.
Harap-harap dia termakan pujukan aku ni.
Que mengangkat kepalanya. Terhidang
di hadapan matanya saat ini nasi berserta lauk-pauk yang telah diambil oleh Eysa.
Memang benar kata Eysa, ada beberapa ekor udang goreng di dalam pinggan
tersebut khas buatnya. Que menghela nafas panjang. Air liurnya ditelan beberapa
kali. Dia benar-benar terliur melihatkan hidangan tersebut. Adoyii!! Sengaja menguji tahap keimanan
akulah dak Esya ni!
“Saya takde seleralah, Eysa. Macam mana saya nak makan?” tolak Que lemah.
Aku me\mang takde mood nak makan bagainya ni.
“Alah!! Jangan macam tu! Makanlah
sikit.” Pujuk Eysa lagi. “Eysa tak mahu Que jatuh sakit. Kalau Que jatuh sakit,
Eysa pun akan turut sakit tau.” Eysa tidak berputus asa dalam memujuk Que.
Bukan dia tak tahu akan semua tu. Sengaja nak dera hati dan perasaan aku.
“Tapi…” Ini yang aku lemah.
Que tidak jadi meneruskan bicaranya
apabila ianya pantas dipotong oleh Eysa. Dia tahu, tidak guna dia memberi
segala alasan kepada gadis tersebut. Ianya tetap tidak akan diterima. Ini yang
payah kalau berurusan dengan dia ni. Ada aje
alasan dia berikan.
“Eysa suapkan, ya?” tawar Eysa.
Pantas Eysa menyuakan sudu yang
telah berisi nasi ke arah Que. Melihatkan ulah Eysa itu membuatkan Que
tersenyum nipis sambil menggelengkan kepalanya. Tidak dia sangka bahawa sampai
begitu sekali Eysa akan melayaninya. Hanya semata-mata ingin memastikan yang
dia akan makan. Dia ni sanggup lakukan apa saja untuk tengok aku makan.
Aksi manja mereka berdua itu berjaya
menarik perhatian para pelanggan yang datang berkunjung ke warung Mak Piah
tengahari itu. Namun tidak sedikit pun Eysa hiraukan. Dia sedaya upaya memujuk Que
agar menjamah makanan tersebut. Kali ini akan dipastikan yang Que akan menjamah
makanan tersebut walaupun sedikit.
“Amboi!! Bukan main manjanya dia!
Siap bersuap-suap lagi ya.” Tegur satu suara garau dari arah belakang. Untung
betul minah ni.
Pandangan Que dan Eysa tertumpu ke arah
suara tersebut. Irfan dan Rizal mendekati mereka berdua sambil tersenyum manis.
Rizal merupakan salah seorang pegawai yang bekerja di syarikat Que bekerja. Dia
ditugaskan di bawah kendalian Irfan.
“Eh, Abang Rizal! Eysa ingatkan
siapalah tadi. Tak perasan pula Eysa.” Sapa Eysa lembut dan sopan. Macam
manalah boleh tak perasankan dia tadi?
“Mana nak perasan, kalau awak tu
asyik sangat melayan buah hati pengarang jantung awak ini.” Ujar Rizal selamba.
Jealous juga aku dengan perempuan
separuh siap ni.
Eysa tersipu malu mendengarkan
kata-kata Rizal itu. Wajahnya yang putih melepak itu mula memerah menahan malu.
Rizal dan Irfan melabuhkan punggung masing-masing di kerusi yang terdapat di
hadapan Que dan Eysa tanpa dijemput. Seakan tempat itu sememangnya telah
disediakan khas buat mereka berdua.
“Ini apa ke hal makan bersuap
bagainya ni?” Rizal merenung wajah Que dan Eysa silih berganti. Kan bagus aku
yang disuapnya. Ini tidak, minah ini juga yang jadi pilihan dia.
“Dia ni bang, kalau tak bersuap, dia
tak mahu makan.” Adu Eysa. Nak jugak
bermanja dengan aku. Macamlah aku tak tahu.
“Iskh,
dia ni! Saya pulak. Awak yang sengaja
mengofferkan diri awak nak suapkan
saya, salahkan saya pulak ya?” soal Que
selamba. Aku pulak yang salah.
“Yalah. Kalau Eysa tak suapkan, Que
tak mahu makan, kan?” tegas Esya. Lagi tak mahu mengaku.
“Bukan ke saya dah kata tadi yang
saya tak lapar. Awak yang paksa saya makan. Salah saya jugak ke?” Keluh Que sambil menongkat kepalanya. Bukan dia ke yang
paksa aku suruh makan tadi?
“Okay.” Eysa meletakkan sudu
dipinggir pinggan. “Kalau macam tu, lepas ni Eysa takkan paksa Que makan lagi.
Ikut suka Quelah nak makan ataupun tak. Yang sakit nanti Que, bukannya Eysa.”
Bentak Eysa marah lalu bangkit dari duduknya dan terus berlalu pergi. Orang
buat baik pun salah. Sakit hati aku!
“Eysa!! Eysa!!” jerit Que
berkali-kali. Adoyii!! Mengajuk pulak dia dibuatnya! Ni yang malas nak
melayan perempuan-perempuan ni.
Namun sayangnya, panggilan Que tidak
langsung dihiraukan oleh Eysa. Dia terus sahaja menonong menuju ke arah
belakang yang menempatkan bahagian dapur. Que menggaru kepalanya yang tidak
gatal. Masalah problem betullah. Lagi
satu hal pulak aku nak memujuknya.
“Apa keslah kau ni, Que?” soal Rizal
secara tiba-tiba. Dah merajuk minah tu.
Wajah Que direnungnya dalam-dalam.
Nafasnya dihela panjang sambil menggelengkan kepalanya berkali-kali. Tidak dia
sangka bahawa Que sanggup membuatkan Esya berkecil hati dengannya. Apalah
masalah budak-budak ini?
“Apa saya pulak? Dialah.” Rengus Que kasar. Aku lagilah tak pandai bab pujuk-memujuk
ni.
“Dah orang itu nak suapkan, layan
sajalah. Ini kau banyak songeh pula. Mengada-ngada betullah kau ini.” Cebik Rizal.
Kalau aku dah lama on aje. Tak payah nak suruh. Belum suruh
aku dah ternganga dulu.
Rizal lebih selesa menggunakan ‘aku-engkau’
berbanding ‘saya-awak’ ketika berbicara dengan Que. Bukan sahaja dengan Que,
malah dengan kakitangan yang lain juga dia akan berbicara sedemikian. Hanya
orang yang rapat dengannya sahaja dia boleh berbicara sedemikian. Jika tidak,
dia lebih gemar menggunakan ‘saya-awak’ ataupun ‘I-you’ ketika berurusan.
Cuma Que sahaja yang masih lagi
menghormatinya sebagai orang atasan yang mempunyai jawatan yang lebih tinggi
berbanding dengannya. Walaupun gadis itu tampak kasar namun dia masih lagi punya
kelembutan yang ada di dalam dirinya. Terkadang terlepas juga tingkahnya yang
selamba itu tatkala berbual dengan orang yang baru sahaja dikenalinya. Tidak
kiralah tua mahupun muda.
“Saya takde seleralah, Encik Rizal. Kalau tak, dah lama saya layan dia tu.”
Jelas Que. Aku betul-betul takde mood ni. Janganlah nak paksa-paksa
bagainya.
“Habis tu, sekarang dia dah merajuk.
Tak mahu pujuk ke?” Rizal merenung wajah Que untuk meminta kepastian. Takkan
nak biarkan macam itu aje? Mahunya
lari minah comel itu nanti.
“Biarlah dulu. Bila dia dah tenang
nanti, pandailah dia nak cari saya kat mana.” Ujar Que tenang. Aku nak pujuk
orang pun tak tahu, macam mana nak pujuk dia? Lainlah kalau aku ni terer bab pujuk-memujuk ni.
“Boleh pula macam itu?” celah Irfan
setelah agak lama menjadi pemerhati sahaja. Hairan dia dengan sikap sambil lewa
Que itu. Tak takut ke kalau minah tu lari nanti?
“Dia dah tenang nanti, dia yang akan
cari saya. Kalau saya pujuk dia sekarang memang takkan jalan. Silap-silap nanti
makin teruk dia merajuk pulak. Dahlah
saya ni bab pujuk-memujuk orang fail.”
Jelas Que dengan panjang lebar. Dari makin teruk, baik biarkan aje.
“Tidak takut ke kalau dia lari dari
awak nanti?” soal Irfan sinis. Entah mengapa jelek benar dia dengan perangai Que.
Ada juga manusia yang macam ini dalam dunia.
“Larilah. Saya tak kesah pun.” Balas Que sambil tersenyum
nipis. Aku bukannya boyfriend dia.
Lainlah kalau dia girlfriend aku. Sekarang
jugak aku pujuk.
“Amboi, riaknya engkau!!” Sampuk Rizal.
Payah betul perempuan separuh siap ini.
“Kenyataannya, Encik Rizal. Kami
berdua cuma kawan aje. Bukannya loving couple. Lainlah kalau kami ni loving couple. Ha!! Masa tu saya akan
pujuk dia. Tak payah orang nak suruh lagi.” Selamba Que meluahkan kata-katanya.
“Bukan kau bercinta dengan dia ke?” Rizal
menyoal selamba. Pelik betullah dia ni.
“Choi!!!
Gila ke apa?” marah Que keras. “Dia perempuan dan saya jugak perempuan. Nak bercinta apa kejadahnya? Lainlah kalau saya ni
lelaki. Nak jugak saya bercinta
dengan dia bagainya.” Tegas Que. Adoyiiii!!!
Sengal betullah mamat ni! Sekolah aje
bertingkat tapi otak setingkat. Ingat aku ni lesbian ke hapa?
“La…Aku ingatkan kau tak sedar
tadi.” Sengih Rizal. Sedar juga perempuan ini rupanya.
“Walaupun saya macam ni, saya masih
tahu lagi hukum-hukum agama Encik Rizal. Saya tahu yang mana betul dan yang
mana salah.” Tegas Que. Ingat aku ni buta agama ke? Umi dan opah dah cukup
bekalkan aku ilmu agama. Aku tak pernah lupa walau sedikit pun apa yang telah
mereka ajarkan pada aku.
“Kalau awak tahu, kenapa awak jadi
begini? Kenapa tak jadi perempuan sejati? Awak sendiri tahukan hukumnya seorang
perempuan meniru gaya lelaki? Dosanya macam mana.” Irfan berkata tegas. Kalau
setakat cakap aje pandai tapi tak
lakukannya, tak guna juga.
Que merengus kasar mendengarkan
pertanyaan Irfan itu. Dia cukup tidak menyukai apabila ada orang yang
mempertikaikan cara penampilannya. Bukan dia sengaja untuk menjadi begitu. Dia
jadi begitu kerana desakan hidup yang dia lalui selama ini. Jangan nilai aku
macam kau kenal siapa aku.
Tiada
siapa pun tahu apa yang dia alami kecuali Candy, Rizal dan juga Melon. Sebolehnya,
dia cuba menyembunyikan apa yang telah berlaku. Dia tidak mahukan simpati dari
mereka semua. Kau tak tahu apa-apa tentang kehidupan aku. Jadi, tolong jangan
nak pandai kritik aje.
Rizal menyiku lengan Irfan lembut. Dia
menggelengkan kepalanya apabila pandangan mata mereka berdua bersatu. Dia tidak
mahu Irfan bertanya dengan lebih lanjut lagi kepada Que akan persoalan
tersebut.
Dia tahu apa yang telah Que lalui
selama ini. Dia juga tahu kenapa dan mengapa Que jadi sedemikian rupa. Semuanya
telah Que ceritakan kepadanya sewaktu mula-mula Que bekerja di Kamal Holdings.
Bukan dia sengaja ingin mencungkil rahsia peribadi gadis itu tetapi dalam diam
dia tertarik dengan gadis itu. Dia tertarik kerana usia Que yang hampir sebaya
dengan adiknya yang sedang menuntut di luar negara. Sedikit sebanyak hilang
juga rasa rindunya terhadap adiknya yang manja itu.
Perlahan-lahan dia cuba mendekati gadis
itu. Usahanya mendatangkan hasil. Dan Que pula menceritakan kepadanya satu per
satu rahsianya tanpa disuruh. Dia juga telah berjanji dengan gadis itu bahawa
dia tidak akan mendedahkan rahsia gadis itu kepada sesiapa pun. Rupanya dalam
kecerian gadis itu terselit keperitan hidup yang telah dilalui olehnya. Tidak
dapat dibayangkan andainya adiknya yang hampir sebaya dengan Que melalui nasib
yang serupa.
“Eh!! Kau tak mahu makan ke, Que?”
soal Rizal. Sengaja dia menukar tajuk perbualan di antara mereka bertiga. Jelas
ketidakselesaan di wajah gebu milik Que.
Belum pun sempat Que menjawab soalan
yang telah diajukan oleh Rizal, telefon bimbitnya berbunyi nyaring minta
diangkat. Tanpa menunggu lebih lama lagi dan menghiraukan pandangan Irfan dan Rizal
yang ada di hadapannya tatkala itu, pantas dia menjawab panggilan tersebut.
Terserlah keceriaan di wajahnya tatkala menyambut panggilan itu.
“Dah makan?” soal si pemanggil
tersebut setelah kedua mereka saling bertukar salam yang dihulurkan sebentar
tadi.
“Belum. Sweet dah makan?” soal Que kembali. Mesti aku kena bebel sekejap
lagi. Perangai dia lebih sikit kurang dengan Eysa jugak.
“Baru saja lepas. Kenapa tak makan
lagi?” soal gadis yang dipanggil Sweet
oleh Que itu.
Sweet
a.k.a Suraya, merupakan seorang gadis yang cantik. Pernampilannya lebih bergaya
sedikit berbanding Eysa. Sweet
bekerja di bangunan yang sama dengan Que tetapi berlainan tingkat.
“Tak lapar lagi.” Dalih Que. Sengaja
dia membuat dalih begitu agar Sweet
tidak akan bertanya dengan lebih lanjut lagi dengannya.
“Janganlah macam itu. Apa pun, Baby kena makan. Kalau sakit nanti macam
mana? Siapa yang akan susah? Baby
juga, kan? Bukan orang lain.” bebel Sweet.
Makan pun nak nanti kena cakap.
“Sweet
kan ada boleh jaga Baby.” Senda Que.
Selalunya Esya yang jaga aku. Bukannya dia. Dia hanya datang melawat aku aje.
Sweet
tertawa manja mendengarkan kata-kata Que itu. Tidak dia sangka Que akan memberikan
jawapan yang sebegitu. Mana mungkin aku nak jaga kau. Kalau kita duduk serumah
boleh juga aku jaga. Ini kita lain-lain rumah.
“So,
macam mana kerja hari ni? Okay ke?” soal Que menukar tajuk perbualan di antara
mereka berdua. Tidak mahu Sweet
berterusan bertanyakan hal tersebut.
“So
and so. Oh ya!! Nanti Baby tak
perlulah ambil Sweet ya.” Pesan Sweet.
“Dah tu, Sweet nak balik nanti dengan apa?” soal Que hairan. Dahinya
berkerut seribu tatkala mendengarkan permintaan Sweet itu. Takkan nak jalan kaki pulak kut. Biar betul minah ni. Jauh tu kalau nak balik jalan kaki.
“Sweet
tumpang Melon.” Jelas Sweet. Mujur
ada Melon. Taklah menyusahkan dia.
“Okaylah, kalau macam tu. Pesan pada
Melon bawa motor hati-hati sikit. Dia
tu kalau bawak motor tak ingat dunia.
Semuanya dia redah.” Pesan Que. Ingat jalan raya tu, mak cik tiri dia punya
agaknya.
“Ek’leh,
nak katakan orang! Dia pun sama. Dua kali lima aje.” Cebik Sweet.
“Baby
tak apa. Baby profesional. Dia tu
baru lagi.” Nafi Que. Tak boleh nak samakan dengan aku yang expert ni.
“Yalah. Nanti Sweet beritahu dengan dia. Okaylah, Baby. Sweet nak sambung
kerja dah ni. Malam nanti kita jumpa.”
Que mematikan talian telefonnya
setelah huluran salam daripada Sweet disambutnya. Bibirnya mengukir senyuman
manis. Saat ini, di birai matanya terbayang wajah seorang gadis muda yang
digelarnya Sweet. Ulahnya itu hanya
diperhatikan sahaja oleh Irfan dan juga Rizal. Dapat mereka lihat Que tersenyum
sendirian. Seakan orang yang sedang mabuk bercinta sahaja lagaknya. Teruk betul
perempuan ini. Angau ke apa?
“Woit!!”
sergah Rizal sambil menghentak meja dengan kuat. Angau tak ingat dunia betullah
perempuan tak siap ini.
Que tersentak kecil akibat daripada
sergahan itu. Pantas dia mengurut dadanya. Wajah kacak pemuda berkulit kuning
langsat itu direnungnya. Apa kena pulak
jantan ni? Main sergah-sergah pulak
dia. Sekali aku tempeleng nanti, mau makan nasi kanji sebulan.
“Iskh,
Encik Rizal ni! Kut iya pun bagilah salam dulu. Ini tak, main sergah-sergah pulak. Dibuatnya kalau saya pengsan kat
sini nanti, siapa yang susah? Encik Rizal jugak
tau. Bukannya orang lain.” Bebel Que sambil menggelengkan kepalanya. Dia ni
boleh duduk serumah dengan dak Diana.
Suka sangat main sergah-sergah orang. Ingat aku ni dilahirkan untuk disergah
ke?
“Apa pula aku yang susah? Kalau kau
pengsan kat sini, aku siram dengan air basuh pinggan yang ada kat belakang tu.”
Ujar Rizal selamba. Habis cerita. Cepat juga kau sedar dari pengsan kau nanti.
“Amboi, ikut suka dia aje ya! Ingat saya ni nak diam aje ke?” Jerkah Que. Ingat aku ni anak
patung agaknya. Suka-suki dia aje nak siram aku macam tu.
“Dah kau pengsan, mana kau tahu aku
siram kau dengan air apa sekalipun, kan?” Seloroh Rizal. Lainlah kalau kau
sedar. Boleh juga kau nak maki aku bagainya.
Que tersengih mendengarkan
penjelasan Rizal itu. Kepalanya yang tidak gatal digarunya. Betul jugak kata mamat ni. Lainlah kalau aku
sedar. Boleh jugak aku back hand ke apa mamat ni. Adoyiii!!! Masalah betullah!
“Itu awek kau yang nombor berapa?” soal Rizal sambil merenung wajah Que.
Macam manalah senang sangat dia ni dapat awek?
“Dia belum ada nombor lagi.” Balas Que
selamba. Aku pun tak tahu dia nombor berapa.
“Kenapa pula?” soal Irfan pula. Dahinya
berkerut seribu mendengarkan jawapan yang telah diberikan oleh Que itu. Ramai
sangat ke awek dia ni?
“Sebab…dia ni lepas Eysa. Jadi, bila
dia lepas Eysa bermakna dia yang terakhir. So,
akan datang pasti ada lagi.” Jelas Que sambil tersengih. Jangan tak percaya
sudahlah.
“Sebab itulah kau panggil dia, Sweet?” teka Rizal. Geli-geleman pula
aku mendengarnya. Mengalahkan orang bercinta pula.
“Eh, taklah!” Pantas Que
menafikannya sambil menggelengkan kepalanya. Bukan sebab tu aku gelarkan dia, Sweet.
“Dah tu?” soal Irfan pantas. Entah
mengapa, dia rasa seronok pula melihatkan ulah Que itu. Walaupun dalam diam,
dia tidak bersetuju gadis itu berkelakuan sedemikian rupa. Kelakar pula aku
tengok dia ini.
“Sebab…dia manis.” Que tersenyum
kecil. Ya, dia memang manis.
“Manis yang macam mana?” Rizal
menggelengkan kepalanya. Macam-macam perangailah budak ini.
“Susahlah saya nak cakap, Encik Rizal.
Apa yang pasti, bila dia tersenyum atau tertawa…dia nampak sweet. Sebab itulah saya panggil dia, Sweet.” Jelas Que. Untung siapa dapat dia.
“Makwe
awaklah tu.” Celah Irfan. Rosak betul budak ini. Mujur adik-adik aku tak macam
ini perangainya.
“Ya ALLAH!! Bukan ke saya dah kata
tadi yang saya tak bercinta dengan perempuan, boss?” bentak Que. Tak faham bahasa sungguhlah mereka ni. Ingat aku
ni lesbian ke apa?
“Kalau tak bercinta, kenapa dia
panggil kau, Baby dan kau pula
panggil dia, Sweet? Bukan bercinta ke
namanya?” soal Rizal. Salah ke apa yang kami dengar tadi?
Que tertawa gelihati mendengarkan
kata-kata yang diluahkan oleh Rizal itu. Baginya, tidak perlulah orang tahu
akan hubungan di antara dia dan juga Sweet.
Biarlah ianya menjadi rahsia di antara mereka berdua sahaja. Orang nak anggap
apa pun, anggaplah. Yang penting kami tahu apa yang kami buat.
“Eh!! Encik Rizal dengan boss tak mahu makan ke? Dari tadi asyik
melayan saya aje ni. Apa dah kenyang
ke perut tu dengan melayan saya ni?” Que sengaja mengubah tajuk perbualan di
antara mereka bertiga. Lagi dilayan nanti, mahunya lagi banyak rahsia aku dia
tahu. Bukan boleh percaya dia ni.
“Itulah pasal. Dari tadi aku duduk
dekat sini. Takde siapa-siapa pun
yang datang ambilkan order. Yang kau
ni tak mahu makan ke? Sayang nasi itu kalau dibiarkan macam itu saja.” Rizal
merenung ke arah pinggan yang berisi makanan yang ada di hadapan Que. Suka
sangat membazir dia ini.
Que menghela nafas panjang sambil
merenung ke arah pinggan nasi yang telah dihidangkan oleh Eysa untuknya sebentar
tadi. Sesekali dia membetulkan cap yang tersarung cantik di kepalanya. Ulahnya itu
hanya diperhatikan sahaja oleh Irfan sebelum memulakan bicaranya. Degil juga
dia ini rupanya.
“Makanlah sikit. Penat dia hidangkan
untuk awak.” Pujuk Irfan lembut. Kalau kena gaya memujuk ini, boleh cair juga
hatinya.
“Nak makanlah ni.” Antara mahu dengan
tidak sahaja Que menjawab kata-kata Irfan itu. Susah betul kalau ada klon dak Eysa depan mata ni.
Dia menadah tangan membaca doa makan
seperti lazimnya sebelum memulakan suapannya. Sedari kecil lagi, dia telah
diajar begitu oleh arwah umi dan opahnya. Disebabkan itulah, ianya telah
menjadi tabiat yang sukar dikikisnya sampai bila-bila pun.