Halaman

Selasa, 10 April 2012

Kau Kusayang Bab 2

Buku-buku yang baru sampai tadi diperiksanya satu per satu dengan teliti. Bimbang juga dia andainya pesanan yang telah dibuat tidak sampai mengikut apa yang tertulis di dalam senarai yang ada di tangannya. Kelak dia juga yang akan dimarahi oleh ketuanya. Bukannya orang lain. Ini kerana dia yang telah dipertanggungjawabkan untuk memeriksa kesemua stok-stok buku yang baru sahaja tiba itu. Peluh yang terbit di dahinya disekanya perlahan dengan tangan. Boleh pula semuanya sampai serentak hari ni.
            Satu per satu buku itu dikiranya mengikut kuantiti dan jenisnya. Daripada buku-buku novel sehinggalah kepada buku-buku rujukan bagi para pelajar yang telah diterima oleh mereka. Lalu dibandingkan dengan borang pesanan yang berada di tangannya saat itu. Sesekali dia menandakan borang pesanan tersebut bagi menyatakan barang yang dipesan telah sampai seperti mana yang telah tercatat di borang pesanan itu. Alhamdulillah, semuanya cukup. Tak pening aku nak kira dua, tiga kali.
            Dia menghela nafas panjang apabila kerja-kerjanya telah selesai. Lalu kakinya diatur menuju ke arah pejabat yang tidak jauh dari situ bagi menyerahkan borang pesanan itu. Sebentar lagi dia akan menyusun kesemua stok-stok buku itu di dalam stor. Pintu pejabat diketuknya terlebih dahulu sebelum menolaknya perlahan. Meja seorang gadis di situ, didekatinya dengan sekuntum senyuman.
            “Dah habis kira?” soal Anita, kerani yang bertugas di situ dengan lembut. Seulas senyuman manis dihadiahkan buat pemuda kacak itu. Kacaknya dia.
            Darwisy Malik, seorang pemuda biasa yang berasal dari kampung dan berkelulusan Sarjana Perniagaan. Dia merupakan anak keempat dari enam adik-beradik. Dia mempunyai dua orang abang, seorang kakak, seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan.
            Walaupun dia mempunyai sarjana di dalam bidang perniagaan namun, dia lebih gemar bekerja di kedai buku kepunyaan Encik Razlan bagi menimba ilmu. Dia tahu, dengan kelulusan yang dia miliki dia mampu untuk mendapat kerja yang lebih baik lagi berbanding dengan pekerjaan yang ada sekarang.
            Bukan dia tidak mahu mencari pekerjaan lain atau mencuba sesuatu bidang yang berkelayakan dengan kelulusannya cuma dia lebih gemar bekerja begitu. Dengan cara itu, dia boleh menimba ilmu dan juga dia seronok bekerja begitu. Hanya dengan cara itu sahaja dia boleh melihat gelagat manusia yang berada di sekelilingnya. Aku seronok begini.
            Darwisy menganggukkan kepalanya tanda memberikan jawapan kepada soalan Anita sebentar tadi. Kertas yang berada di tangannya diserahkan kepada Anita. Ketika dia ingin memulakan bicaranya, terasa bahunya ditepuk oleh seseorang dari arah belakang. Pantas dia menoleh. Terlihat akan sahabat baiknya, Arfiq yang sedang tersenyum manis.
            Arfiq merupakan sahabat baiknya. Mereka berdua telah bersahabat semenjak mereka di kolej lagi. Hanya Arfiq sahaja yang mengetahui sejarah hidupnya. Walaupun tidak sepenuhnya. Dia tidak mahu menceritakan kepada sesiapa pun akan apa yang telah terjadi. Bimbang ianya disalahertikan. Apa yang dia lakukan hanyalah atas rasa tanggungjawab sahaja.
            “La! Kau rupanya, Fiq. Aku ingatkan siapalah tadi. Buat terperanjatkan orang ajelah kau ni.” Ujar Darwisy sambil menghela nafas panjang sambil menggelengkan kepalanya. Nasib baik tak gugur jantung aku nan satu ni. Sabar jelah.
            “Kau ingatkan siapa?” Senda Arfiq sambil mengangkat keningnya. Ingin juga dia tahu siapa yang berada di dalam fikiran sahabat baiknya itu. Jarang benar sabahatnya itu berkelakuan sedemikian rupa. Ada orang lain ke yang sedang dia tunggu? Kalau benar, siapa?
            Darwisy menggelengkan kepalanya. Malas dia ingin melayan karenah sahabat baiknya itu. Lagi dilayan nanti mahu berjela-jela panjang persoalan yang akan berbangkit. Bukan baru sehari dua dia mengenali jejaka itu. Malah telah bertahun. Semenjak mereka di kolej lagi sehinggalah sekarang. Lagi aku layan, mahunya sampai esok pagi pun takkan habis aku bersoal-jawab dengan dia. Lebih baik aku diam aje.
            “Kau ingat siapa?” Soal Arfiq lagi. Entah-entah dia teringatkan buah hati dia kot.
            Seakan tidak berpuas hati dengan tindakan Darwisy yang tidak mahu menjawab soalannya itu. Ingin dia tahu, siapakah yang bermain difikiran sahabat baiknya kala itu. Sengaja dia ingin mengusik Darwisy.
            “Tak ada siapalah. Kau dari mana ni? Dari tadi aku tak nampak pun kau. Baru sekarang kau munculkan diri?” Soal Darwisy. Sengaja dia menukar tajuk perbualan di antara mereka berdua saat itu. Suka sangat nak korek rahsia aku.
            “Aku dari jumpa pembekal. Banyak stok-stok yang dah nak habis. Encik Razlan minta aku jumpa dengan mereka semua. Buku-buku yang kita pesan tu dah sampai ke?” soal Arfiq kembali. Wajah Darwisy direnungnya tenang. Lupa dia seketika akan soalan yang baru sahaja di utarakan buat Darwisy sebentar tadi.
            “Dah. Aku baru aje habis kira tadi.” Ujar Darwisy tenang. Patutlah aku tak nampak langsung kelibat dia sedari tadi.
            Arfiq menganggukkan kepalanya apabila mendengarkan kata-kata Darwisy itu sebelum memulakan bicaranya.
            “Eh! Jomlah.” Menggamit Darwisy. Lapar dah perut aku ni.
            “Mana?” soal Darwisy kehairanan. Dahinya berkerut seribu dengan ajakkan Arfiq itu. Dia nak ajak aku kemana pula ni?
            “Mana lagi? Makanlah. Perut aku dah berkeroncong tahap cipan minta di isi.” Arfiq memegang perutnya yang lapar. Mahu aku pengsan juga kat sini juga nanti.
            Darwisy melirik ke arah jam yang melilit di pergelangan tangannya tanpa menjawab ajakkan Arfiq itu. Angka tepat menunjukkan jam lima petang. Sememangnya telah pun masuk waktu rehat bagi mereka yang bekerja shift petang seperti mereka. Ya ALLAH, dah Asar rupanya. Macam manalah aku boleh tak perasan tadi?
            “Aku nak solat Asar dululah, Fiq. Lepas tu baru kita pergi makan ya?” pinta Darwisy. Leka sangat dengan kerja sampaikan terlupa dah Asar rupanya.
            “Okaylah. Aku dah solat sebelum ke sini tadi. Nita, tak mahu ikut kami sekali ke?” Arfiq menoleh ke arah Anita yang berada di situ. Lagi ramai, lagi meriah.
            “Boleh ke?” soal Anita tanpa menjawab soalan Arfiq. Macam tahu-tahu aje yang aku nak ikut sekali.
            “La!! Dah nama pun waktu rehat. Apa pula tak bolehnya?” Arfiq menghela nafas pendek. Lainlah kalau aku ajak kau ponteng kerja. Memanglah tak boleh.
            “Manalah tahu kalau-kalau you all berdua nak privacy. Nanti kata aku ni menganggu pula.” Luah Anita sambil mencebikkan bibirnya. Bukan boleh percaya dengan dia ni.
            “Privacy amendanya, Cik Anita oiii? Lainlah kalau kami berdua ni makan dengan awek. Ha!! Masa tu, kau tak bolehlah nak ikut sekali. Memang kami mahukan privacy pun. Sebelum Darwisy ajak pun, aku orang pertama yang akan halang dulu.” Seloroh Arfiq selamba. Mahu mengamuk pula awek aku nanti. Puas pula aku nak memujuknya.
            “Jadi, bolehlah aku follow you all sekali?” soal Anita sekali lagi. Sengaja dia inginkan kepastian dari kedua pemuda di hadapannya ini. Dia tersenyum nipis. Ini sudah bagus. Peluang sudah terbentang di hadapan mata. Jangan dilepaskan.
            “Aku tak kisah. Tak tahulah kalau Darwisy.” Jawab Arfiq. Bukan aku kena dukung kau pun. Lainlah kalau aku kena dukung kau.
            Mata Arfiq dan Anita merenung wajah bersih Darwisy. Serba-salah seketika Darwisy apabila dilakukan sedemikian oleh teman-temannya. Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa kena-mengena aku dalam cerita ni pula?
            “Boleh ke?” ujar Anita lembut. Dia berharap agar Darwisy mengizinkan dia menyertai mereka saat itu. Hanya dengan cara ini sahaja untuk dia bersama-sama dengan Darwisy. Minta-minta dia tak kisah aku ikut dia sekali.
            “Ikut ajelah. Bukan saya kena dukung awak pun. Lainlah kalau saya kena dukung awak. Memanglah tak boleh.” Senda Darwisy. Itu pun nak minta izin dengan aku. Ikut ajelah. Macam tak biasalah pula.
Baginya tak salah jika Anita menyertai mereka sekali. Sebagai teman sekerja, hanya cara begitu sahajalah yang boleh mereka gunakan untuk mengeratkan silaturahim yang sedia ada. Jika tidak, dia tidak pasti lagi entah bila lagi mereka dapat mereka duduk semeja.
            Arfiq tertawa kecil mendengarkan kata-kata Darwisy itu. Baginya, memang benar kata-kata Darwisy itu. Bukan mereka berdua yang akan mendukung atau menyuapkan Anita makan. Semuanya akan dilakukan sendiri oleh gadis itu. Lainlah jika mereka akan disusahkan oleh Anita. Pastilah dia yang terlebih dahulu mengangkat tangan tidak mahu Anita menyertai mereka bersama.



            Arfiq dan Anita melabuhkan punggung mereka di kerusi yang sedia ada di medan selera yang terdapat di dalam pasaraya Jaya Jusco itu. Suasana di medan selera itu begitu sesak sekali dengan para pengunjung kompleks tersebut dan juga pekerja yang ingin menjamu selera. Saat-saat begini adalah waktu pekerja seperti mereka akan menjamu selera. Darwisy telah lama hilang ke surau yang terletak di tingkat atas bangunan kompleks itu bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim.
            Darwisy seorang yang taat dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim. Semenjak dia berkawan dengan Darwisy, dia sudah mula menjejakkan kakinya ke tikar sejadah. Jika tidak dulu, dia pasti tidak akan menjadi seperti sekarang. Dia amat bersyukur kerana dipertemukan dengan Darwisy. Baginya, sukar untuk mendapat sahabat seperti Darwisy di zaman yang serba canggih dan moden ini.
            Makanan Darwisy hanya dipesan oleh Arfiq. Sementara menunggu makanan mereka siap, mereka berdua berbual kosong bagi mengisi masa yang terluang.
            “Fiq, aku nak tanya kau sikit boleh?” soal Anita bagi memecah kesunyian di antara mereka berdua saat itu. Harap-harap dia boleh tolong aku. Hanya dia saja harapan aku saat ini.
Dia tahu, dia boleh tanya apa sahaja tentang Darwisy melalui jejaka yang sedang duduk di hadapannya itu. Arfiq dan Darwisy berkawan baik semenjak mereka di alam kolej lagi. Dan dia pasti Arfiq tahu sesuatu yang dia tidak tahu tentang Darwisy.
            “Apa dia? Tanyalah. Jangan soalan yang tak boleh aku jawab dahlah.” Jawab Arfiq tenang. Wajah Anita direnungnya lembut. Mahunya puas pula aku nak mencari akan jawapannya nanti. Tak ke niaya aje.
            “Darwisy tu, macam mana orangnya ya?” soal Anita lagi sebagai mukadimahnya. Dia merenung wajah Arfiq dengan tenang. Janganlah dia fikir yang bukan-bukan apa yang aku tanyakan tu.
            “Macam itulah. Macam mana lagi.” Jawab Arfiq selamba. Sesekali dia membetulkan duduknya. Ada sifat Darwisy yang lain tak aku tahu ke? Ke…Darwisy ada sembunyikan sesuatu dari aku?
            “Tak. Maksud aku, sifatnya. Keperibadiannya. Macam mana ya?” Jelas Anita. Dia tahu Arfiq telah tersalah anggap akan soalannya sebentar tadi. Aku salah tanya ke tadi? Ke…mamat ni yang tak faham soalan aku?
            “Oh!! Dia okay. Baik hati, suka merendah diri, murah dengan senyuman dan suka tolong orang bila dia tahu orang tu dalam kesusahan. Kenapa?” soal Arfiq pula. Pelik dia dengan soalan Anita itu. Lain macam aje minah ni.
            “Dia…dia dah ada girlfriend ke?” soal Anita teragap-agap. Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Harap-harap tidak.
            Arfiq terdiam mendengarkan soalan Anita itu. Sesekali dia menghela nafas pendek. Wajah ayu Anita yang bertudung itu direnungnya dalam-dalam sebelum memulakan bicara. Terdetik di sudut hatinya akan pertanyaan Anita itu. Kenapa dia tanya aku soalan sebegitu rupa? Ke…dia sukakan Darwisy?
            Tidak semua orang tahu akan kisah hidup Darwisy yang sebenarnya. Darwisy bijak menyembunyikan rahsia hidupnya dari diketahui oleh orang luar. Terutama orang yang tidak rapat dengannya. Dengan dia pun, Darwisy bercerita secara tidak sengaja. Bukan dipaksa. Darwisy bercerita dengannya di saat dia melihat sahabatnya itu seperti sedang menanggung masalah yang amat berat. Yang tidak terpikul oleh kedua belah bahunya saat itu. Dengan berat hati lelaki itu menceritakannya.
            Darwisy menyatakan kepadanya bahawa dia telah pun berumah tangga dengan seorang perempuan yang tidak dicintainya. Dia mengahwini wanita itu hanya kerana ingin membalas budi yang telah wanita itu taburkan padanya dan juga atas desakan keluarganya. Dia terhimpit di antara kasih terhadap keluarganya dan juga budi yang telah ditaburkan oleh wanita itu.
            Sedangkan saat itu, dia telah bertunang dengan gadis pilihan hatinya. Darwisy tidak pernah sekali menceritakan atau memberitahunya siapakah gerangan wanita yang menjadi isterinya itu. Cantik ataupun tidak. Namun, dia dapat mengagak bahawa isteri sahabatnya itu pastinya anak orang kaya. Yang mana mampu membantu Darwisy dan juga keluarganya dalam soal kewangan.
            “Kenapa kau nak tahu? Kau suka pada dia ke?” soal Arfiq sambil tersengih. Dia berminat dengan Darwisy ke? Biar betul.
            Anita terkedu mendengarkan soalan dari Arfiq itu. Tidak tahu apa yang ingin dia perkatakan bagi soalan yang dihulurkan oleh Arfiq kepadanya sebentar tadi. Perlukah dia katakan pada Arfiq bahawa hatinya kini telah terpikat pada Darwisy? Telah terpikat dengan perwatakkan anak muda itu? Apa pula kata kata Arfiq nanti akan dirinya? Seumpama perigi mencari timba pula lagaknya. Takkan aku nak cakap yang aku sukakan Darwisy pula. Malulah aku nanti. Mahunya koyak muka aku.
            Melihatkan dia yang hanya terdiam tanpa sepatah kata itu, Arfiq kembali bersuara. Dia tahu apa yang sedang bermain di kotak fikiran teman sekerjanya itu. Bukan niat dia untuk mematahkan keinginan gadis itu. Tidak. Dia cuma ingin menyedarkan sahabatnya itu sahaja. dia tidak mahu Anita terleka dan terbuai dengan perasaannya sahaja.
            “Kalau kau betul suka pada dia, aku nasihatkan lebih baik jangan.” Luah Arfiq lembut. Yelah tu. Macam aku tak tahu.
            “Tapi…kenapa?” soal Anita hairan. Dia dah ada kekasih ke?
            “Aku tak boleh beritahu kau kenapa dan mengapa, Nita. Cuma nasihat aku, hapuskan saja perasaan yang baru nak tumbuh dalam diri kau buat dia. Itu saja pesan aku buat kau. Terpulanglah samada kau nak dengar atau tidak. Tapi sebagai seorang sahabat, aku cuma menasihatkan aje.” Ujar Arfiq dengan panjang lebar. Aku tak mahu kau kecewa dengan cerita yang sebenarnya tentang dia.
            “Beri aku sebab kenapa aku perlu berbuat demikian, Fiq. Ke…engkau cemburu aku suka pada dia?” Soal Anita sinis. Yelah tu. Macamlah aku tak tahu.
            “Nita, dalam hidup aku ni takde istilah cemburu untuk dia. Sedikit pun takde. Kalau betul kau dan dia bercinta sekali pun, aku adalah orang yang pertama yang akan sokong niat suci kau itu. Malah aku doakan lagi agar you all berbahagia hingga dunia akhirat.” Tegas Arfiq. Untuk apalah aku cemburukan Darwisy tu. Darwisy tu banyak tolong aku.
            “Dah tu, apa masalahnya?” tegas Anita. Kalau cemburu tu, cakap ajelah. Lagi mahu nafikan. Macamlah aku tak tahu.
            Belum pun sempat Arfiq menjawab pertanyaan yang dihulurkan oleh Anita itu, Darwisy telah pun melabuhkan punggungnya di sebelah Arfiq. Terhenti seketika perdebatan di antara Arfiq dan juga Anita sebentar tadi.
            “Eh! Kau dah order ke belum, Fiq?” soal Darwisy lembut. Bahu Arfiq ditepuknya perlahan.
            “Dah. Tunggu nak ambil aje.” Balas Arfiq tenang. Kau tak tahu cerita yang sebenarnya, Anita. Kalau kau tahu, aku pasti kau akan kuburkan perasaan kau tu pada dia.
            “Kau orderkan apa untuk aku?” soal Darwisy lagi. Wajah Arfiq direnungnya. Jangan dia order yang lian sudahlah.
            “Macam biasalah. Apa lagi yang kau suka makan.” Jawab Arfiq selamba. Macamlah aku tak tahu apa yang dia suka makan.
            Darwisy menganggukkan kepalanya tanda faham dengan penerangan Arfiq itu. Pasti Arfiq memesankan nasi ayam kesukaannya. Tanpa menghiraukan Anita, dia menggamit Arfiq agar mengambil pesanan mereka. Ulahnya itu diperhatikan sahaja oleh Anita.