Halaman

Khamis, 28 Ogos 2014

Luahan Rasa Hati


Assalammualaikum & salam sejahtera buat semua sahabat...

Agak lama juga saya tak update segala benda dalam blog saya ni. Sehinggakan username & password pun saya boleh terlupa (mana tidaknya, terlalu banyak email yang saya ada hehehe). Mujurlah salah satu daripada email yang ada bersesuaian dengan blog kesayangan saya ini. Rindu juga nak menempel @ mencatatkan segalanya. Rasanya, kalau rumah sudah bersarang dengan labah2 (mujur aje blog, kan?)

Kekangan kerja yang bertimbun tak mengizinkan saya  meluangkan waktu walau secebis cuma untuk mencatat atau lebih tepat lagi menempelkan cerita2 saya di sini. Waktu yang ada seolah-olah mencemburui saya untuk menyisipkan karya2 saya. Insya-Allah, selepas ini akan saya cuba peruntukkan masa tersebut.

Jujur saya katakan bahawa saya cemburu melihat teman2 saya mempromosikan karya mereka di alam maya ini. Sedangkn saya, tak berbuat apa2 pun. Seperti mereka juga, saya ingin sekali mempromosi karya saya, tapi mungkin untuk karya terbaru saya nanti.

Tadi... sewaktu membersihkan kotak email, saya ada terbaca email daripada seorang pembaca yang bertanyakan karya saya... SELAGI ADA KASIH (SAK). Erm... macam mana saya nak cakapkan ya? Pening juga kepala nak menjawab soalan tersebut (walaupun ia mudah, semudah ABC saja).

Novel SAK merupakan karya sulung saya. Novel tersebut telah lama saya hantar untuk dinilai & dicetak, tapi malangnya, sehingga kini masih lagi tiada khabar beritanya. Insya-Allah, sekiranya novel itu adalah rezeki saya... ia akan dicetak . Saya tak boleh nak berjanji, tapi semuanya kuasa Allah. Untuk sementara ni, saya sedang menanti keputusan pihak yang berkenaan. Di harap boleh bersabar ya... (saya pun rindukan Dania & Rayyan)


#BiLa ALLAH tIdAk MeMBeRi, BuKAn mAkNA ALLAH mEMbEnCi, tApI mUnGkIN aDA sEsUAtU hAL yAnG ALLAH mAHu kITa mENgeRTi#

Rabu, 7 Mei 2014

Kasih Jangan Kau Pergi 10


Aku tak sanggup jauh darimu, kerna kau yang membuat aku menyayangimu.

QUE melemparkan pandangannya ke serata alam dari balkoni rumah pangsa yang disewanya. Di rumah pangsa yang sempit itulah, mereka tinggal seramai tiga orang. Dia, Candy dan juga Melon. Itu pun dia tetap rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya dia dan juga teman-temannya punya tempat untuk berlindung dari hujan mahupun panas. Terima kasih ALLAH.
            Pandangannya dihalakan ke arah dada langit yang dihiasi oleh taburan bintang-bintang yang bergemelapan bagaikan butiran permata. Dia tersenyum kecil seketika. Teringat akan dia lagu yang selalu uminya nyanyikan sewaktu dia masih kecil. Lagu kanak-kanak Twinkle Twinkle Little Star mula bermain-main di ruangan kepalanya saat ini. Rindunya aku dengan suasana tu. Rindu nak dengar suara umi.
            Sang bayu yang berpuput lembut menampar wajahnya yang bersih tanpa sebarang jerawat itu. Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia mengeluh sebegitu. Seakan dia sedang menanggung sesuatu yang begitu berat sekali.
            “Woit!! Apa yang kau menungkan iu?” Candy menampar lembut bahu Que. Leka benar dia melihat Que mengelamun. Macam orang memikirkan masalah negara aje lagaknya.
            “Takde apalah, Candy. Saja menghayati keindahan alam ciptaan ALLAH.” Ujar Que lembut. Aku pun tak tahu apa yang aku menungkan, Candy.
            “Sejak bila pulak kau pandai berfalsampah bagainya ni?” usik Candy lagi. Kuat sakit kawan aku ni.
            “Sejak kau keluar dari hospital ni.” Que menjawab selamba sambil tersengih. Aku pun tak tahu sejak bila aku jadi macam ni.
            Candy turut tersengih mendengarkan kata-kata Que itu. Dia menghulurkan mug yang telah berisi milo panas yang baru sahaja dibancuhnya kepada Que. Que mengucapkan terima kasih sambil menyambut huluran tersebut. Perlahan-lahan dia menghirup milo panas itu.
            “Mana dak Melon? Dari tadi aku tak nampak pun dia.” Soal Que. Macam biskut sungguh minah seorang ni. Pantang cuti, hilang aje kerjanya.
            “Mana lagi…keluarlah. Kau macam tak tahu pulak budak tu. Dia mana nak lekat kat rumah ni. Asyik keluar aje kerjanya.” Rungut Candy. Cubalah sesekali tu duduk kat rumah ni. Buat kerja yang berfaedah sikit.
            Que amat maklum sangat dengan perangai Melon nan satu itu. Sahabatnya itu pantang sekali ada masa yang terluang. Ada sahaja tempat dan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukannya. Mereka berdua pasti Melon tidak akan melakukan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat.
            “Kau tak keluar ke?” Que menoleh seketika ke arah Candy yang berada di sebelahnya.
            “Malaslah aku. Lagipun, aku takde mood. Kau?” soal Candy kembali.
            “Same like you.” Jawab Que manja. Nak keluar kemana? Takde arah tujuan.
            Candy tertawa kecil mendengarkan kata-kata Que itu. Dia tahu itulah jawapan yang akan diberikan oleh Que kepadanya. Que hanya akan keluar daripada rumah itu jika dia punya hal untuk diselesaikan sahaja. Tidak kiralah samada hari cuti mahupun malam minggu. Que lebih gemar menghabiskan masanya di rumah sahaja berbanding di luar sana.
            Dahulu, dia cukup hairan dengan cara hidup sahabat yang baru dikenalinya itu. Dia rasakan bahawa Que merupakan seorang gadis yang pelik. Gadis itu lebih suka menghabiskan masa lapangnya di hadapan televisyen daripada keluar daripada rumah tersebut. Dia hanya akan keluar jika Sweet mengajaknya keluar ataupun jika dia punya urusan yang perlu diselesaikan. Jika tidak, sehari suntuk dia sanggup duduk di hadapan televisyen. Kalau tidak pun dia akan menghabiskan masanya dengan membaca ataupun tidur.
            Selama hampir tiga tahun mengenali Que, barulah dia tahu akan perangai Que yang sebenarnya. Di awal perkenalan, dia selalu fikirkan bahawa Que seorang gadis yang sentiasa suka berpeleseran di kelab-kelab ataupun menghabiskan masanya dengan lumba haram yang sering disertainya. Melon juga begitu. Tak sangka pulak yang telahan aku tu jauh sekali sasarannya.
            Dia bukanlah manusia yang suka mengambil tahu apa yang teman-teman serumahnya lakukan. Masing-masing hidup dalam dunia mereka tersendiri tetapi mereka bisa berbincang apa sahaja untuk saling bertukar pendapat di antara satu sama lain. Buka sahaja topik, pasti berbagai pendapat yang akan diterimanya. Antara mahu terima ataupun tidak sahaja oleh akal fikiran mereka.
            “Kau tahu tak, Candy? Aku selalu berangan.” Ucap Que, memecah kesunyian di antara mereka berdua. Kelakar jugak bila aku fikirkan balik apa yang aku angankan ni.
            “Tentang apa?” Candy menoleh ke arah Que. Suka sangat berangan minah ni.
            “Kalau suatu hari nanti aku jadi kaya.” Selamba sahaja Que berkata. Macam bodoh saja angan-angan aku ni. Mana mungkin aku jadi kaya. Lainlah kalau aku ni dilahirkan sebagai anak orang kaya. Bolehlah nak berangan bagainya.
            “Iskh, kau ni! Macamlah takde benda lain yang kau hendak angan-angankan ya.” Candy menggelengkan kepalanya. Cubalah angan-angan macam mana nak berjaya dalam hidup ni ke. Sedap sikit aku mendengarnya.
            “Dah nama pun angan-angan, Candy. Umi aku cakap, kita tak perlu bayar setiap apa yang kita angan-angankan. Tak kiralah baik mahupun buruk. Ianya percuma. F.O.C, my dear.” Jelas Que dengan panjang lebarnya. Lainlah kalau kena bayar. Aku pun tak mahu berangan bagainya macam tu sekali.
            “Betul jugak kata-kata kau tu.” Candy menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. “Apa yang akan kau buat kalau kau jadi kaya, Que?” Sambung Candy lagi.  Ingin juga dia tahu apa yang akan dilakukan oleh sahabatnya itu. Entah-entah dia nak buka syarikat sendiri barangkali. Siapa tahu apa yang dia inginkan dalam hidup ni. Boleh jugak aku dan Melon tumpang senang.
            “Mula-mula sekali, aku nak pergi tunaikan umrah. Sampai saja kat sana nanti, aku nak upah orang untuk buatkan haji bagi umi dan opah aku. Okay tak?” Que merenung wajah Candy sambil menaikkan ibu jarinya. Itu impian aku selama ni. Entah dapat ataupun tak, aku tak tahu. Semuanya kuasa ALLAH.
            “Ermm…okay jugak tu. Aku sokong sangat-sangat.” Candy melabuhkan punggungnya. “Kau nak pergi seorang aje ke?” Bagus jugak idea dia ni. Tak terfikir pulak akal aku yang sempit ni.
            “Iskh, kau ni! Dah tentu-tentulah aku ajak engkau dengan dak Melon sekali. Takkanlah aku nak pergi seorang aje.” Que melabuhkan punggungnya di sebelah Candy. Apalah dia ni! Alang-alang nak buat baik, biar buat baik dengan semua orang sekali.
            “Kenapa mesti aku dan Melon?” soal Candy hairan. Kenapa tak dengan orang lain?
            “Kau dan dak Melon kan ke kawan aku. Mestilah aku ajak kau orang berdua. Takkanlah aku nak ajak orang lain pulak.” Que menghela nafas panjang. Takkan itu pun aku nak kena bagitahu bagainya dengan dia.
            Que menggelengkan kepalanya perlahan-lahan. Sesungguhnya, itulah hajatnya. Dia akan membawa Candy dan juga Melon bersamanya jika apa yang dia angankan menjadi kenyataan. Mana mungkin dia berbuat sedemikian rupa. Dia bukannya orang kaya. Dia hidup di atas muka bumi ini pun dengan sekadar yang ada sahaja tetapi dia tetap bersyukur.
            “Sweet dan Eysa…kau tak mahu ajak sekali ke?” duga Candy. Takkanlah dia hanya nak bawak aku dan Melon aje.
            “Mereka berdua tu masih dalam pertimbangan aku.” Que mengetuk-getuk dagunya dengan jemarinya runcing. Perlu ke aku bawa mereka sekali?
            “Kenapa pulak?
            “Dak Eysa tu mungkin aku akan bawak sekali dengan Mak Piah tapi dak Sweet…” Que tidak jadi meneruskan kata-katanya. Nak bawak sekali ke minah tu? Rasa macam tak payah aje.
            Entah mengapa tatkala membicarakan tentang gadis yang dipanggilnya Sweet itu, hatinya begitu tersentuh sekali. Bukan baru sehari dua dia mengenali gadis itu tetapi telah bertahun. Dia mengenali gadis itu setelah dia mengenali Candy dan juga Melon. Entah mengapa dia berasa jelek dengan perangai gadis itu sejak akhir-akhir ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia bisa berperasaan sedemikian rupa.
            Sweet seorang gadis yang menjadi idaman setiap lelaki. Bukan sepertinya yang kasar bagaikan seorang lelaki. Yang membuatkan dia jelek dengan Sweet cuma satu iaitu perangai Sweet. Gadis itu suka bermuka-muka. Di hadapannya, gadis itu bisa menjadi seorang gadis yang manja dan pandai menggoda tetapi di belakangnya, Sweet suka mengata dan memburukkannya. Bukan dia tidak tahu semua itu. Cuma dia malas ingin membesarkan sesuatu yang baginya tidaklah penting mana pun. Dia bukan kisah sangat pun.
            Melon dan Candy cukup tidak sukakan dia bersahabat dengan Sweet. Pernah juga Candy dan Melon meluahkan isi hati mereka kepadanya. Apa yang boleh dia buat, hanyalah dengan mendiamkan diri sahaja.
            “Kenapa dengan Sweet?” pancing Candy. Mereka berdua bergaduh ke?
            Que terdiam. Tidak sedikit pun dia berkutik untuk menjawab pertanyaan yang telah diajukan oleh Candy kepadanya sebentar tadi. Dia menghela nafas panjang seketika. Sesekali dia meneguk air milonya yang telah mula suam itu. Ulahnya hanya diperhatikan sahaja oleh Candy.
            “Kau gaduh dengan dia ke?” duga Candy. Macam ada yang tak kena aje mereka berdua ni. Entah-entah mereka bergaduh.
            “Takdelah.” Balas Que perlahan. Malas aku nak cerita pasal dia.
            “Dah tu?”
            “Boleh tak, kita cerita pasal benda lain? Aku tak mahulah cerita pasal dia, Candy.” Pinta Que. Dia meraup rambutnya seketika. Aku nak lupakan dia untuk seketika, Candy.
            Sesekali dia mendongakkan kepalanya merenung dada langit yang kelam.
            “Apa lagi yang akan kau lakukan kalau kau jadi kaya?” Candy menukar tajuk perbualan di antara mereka berdua. Mesti mereka bergaduh ni.
            Jika Que malas membicarakan hal sedemikian pasti ada sesuatu yang telah terjadi di antara mereka. Tiga tahun bersama, dia mula faham akan perangai sahabat baiknya itu. Que akan mendiam diri jika dia tidak suka berbicara mengenai sesuatu. Ataupun, dia akan cuba mengelakkan diri daripada melepaskan kemarahannya pada orang lain. Pelik sungguh perangai kawan aku ni.
            “Aku akan merealisasikan impian kau.” Ucap Que selamba. Okay tak idea aku tu?
            “Kenapa pulak impian aku? Sepatutnya impian kau. Bukannya impian aku.” Candy menggelengkan kepalanya. Yang ni memang benar-benar pelik!
            “Kau dah lupa? Impian kau, impian aku jugak.” Que tersenyum manis. Itu pun andainya aku dapat merealisasikan impian kita, Candy.
            Candy tersenyum nipis tatkala mendengarkan kata-kata Que itu. Seingatnya, dia tidak pernah sekali menceritakan kepada Que dan juga Melon akan impiannya itu.
            “Kau tahu ke apa impian aku?”
            “Tak tahu.” balas Que pantas. Manalah aku tahu. Apalah dia ni.
            “Dah tu, macam mana kau nak laksanakan impian aku tu?” marah Candy. Sengal betullah kawan aku ni.
            “Apa impian kau?” Que menyoal kembali tanpa rasa bersalah.
            “Engkau ni, kelakar tahu tak?” Candy tertawa kecil. Macam manalah aku boleh dapat kawan dengan orang yang sebegini?
            “Kenapa pulak?” soal Que dungu. Salah ke aku tanya?
            “Kau tak tahu akan impian aku tapi kau berusaha nak melaksanakan impian aku. Tak ke kelakar namanya, Que.” Jelas Candy. Namun, aku bersyukur kerana mempunyai kawan seperti dia dan jugak Melon.
            “Sebab itulah aku tanya, apa impian kau?” Que membetulkan duduknya.
            Wajah bersih Candy ditatapnya dalam-dalam. Seakan meminta agar temannya itu sudi untuk berkongsi segalanya dengan dia. Dia begitu tergerak untuk mengetahui apa yang menjadi keinginan teman serumah merangkap sahabat baiknya itu.
            “Kau nak tahu?” duga Candy.
            “Sebab nak tahulah aku tanya. Kalau tak…assalammualaikum.” Que mengangkat tangannya. Banyak lagi kerja akulah weh!!!
            Candy tertawa besar mendengarkan kata-kata Que itu. Geli benar hatinya melihatkan ulah Que yang agak comel pada pandangan matanya.
            “Aku nak buka café.” Ujar Candy lembut. Itu impian aku sedari kecil lagi.
            “Café? Café yang macam mana?” Que menggerutkan dahinya seribu. “Maksud kau, cyber café?” Que menyoal pantas. Bukan ke cyber café dah berlambak kat Malaysia ni?
            “Bukanlah. Macam Secret Recipe tapi ada sediakan ruangan untuk internet. Sambil duduk borak-borak, customer boleh melayari internet di sudut yang telah dikhaskan.” Jelas Candy dengan panjang lebarnya.
            Terbayang di ruang matanya kini akan impiannya nan satu itu. Sebuah ruang kafe yang menyediakan makanan dan juga minuman. Malah para pelanggan bisa melayari internet secara percuma untuk urusan kerja atau suka-suka. Ianya lebih kepada sudut yang begitu santai sekali.
            “Hmm…good idea. Aku suka dengan cadangan kau tu. Satu sudut lagi kita letakkan sudut bacaan.” Cadang Que. Bagus jugak idea dia ni.
            “Sudut bacaan? Maksud kau?” Giliran Candy pula yang mengerut dahinya. Apa ke hal pulak nak letak sudut bacaan bagainya? Ingat library ke apa?
            “Boleh letakkan sudut bacaan seperti novel, majalah atau apa aje. Malah kita boleh sewakan setiap bahan bacaan yang terdapat di café kita tu.” Cadang Que. Sesekali dia menaikkan kedua keningnya berulang kali.
            “Geliga! Otak kau memang geliga! Boleh buat batu!” Seloroh Candy. Aku suka!!
            “Otak kau pun.” gurau Que. Tau tak apa.
            Mereka berdua tertawa serentak. Seakan apa yang sedang mereka bincangkan itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Walaupun ianya sekadar angan-angan yang entah bilalah akan direalisasikan oleh kedua mereka.
            “Apa lagi kau nak buat dengan duit kau bila kau dah kaya?” soal Candy. Besar sungguh angan-angan dan impian dia.
            “Aku nak sedekahkan separuh daripada duit aku tu kepada fakir-fakir miskin, rumah-rumah kebajikan dan jugak mereka yang memerlukan. Jika ada rezeki lebih sedikit, aku nak beli sebidang tanah.” Terang Que. Itu niat aku seandainya aku kaya suatu hari nanti. Walaupun ianya tak mungkin akan berlaku.
            “Kenapa? Kau nak buat rumah ke?”
            “Hmm…” Que tersenyum seketika sebelum menjawab pertanyaan dari Candy itu. “Memang aku nak buat rumah tapi bukan rumah aku.”
            “Dah tu, rumah siapa pulak?” soal Candy hairan. Takkan rumah sewa pulak.
            “Rumah untuk anak-anak yatim dan orang-orang tua. Aku nak wakafkan tanah aku tu.”
            “Mulia betul hati kau, Que.” Ujar Candy sambil menepuk lembut bahu Que. “Jangan nanti bila kau dah kaya, kau lupa segala impian dan hajat kau tu pulak.” Nasihat Candy. Aku pun tak pernah terfikir sedemikian rupa.
            “Insya-ALLAH…tak, Candy. Kau doakan aku supaya tak jadi macam tu ya.” Pinta Que. Aku tak mahu jadi macam tu. Aku tak mahu lupa diri.
            “Insya-ALLAH.” Balas Candy sepatah. Aku sentiasa doakan kau, Que. Bukan untuk kau saja, malah Melon pun akan aku doakan.
            Que kembali menebarkan pandangannya ke serata alam. Candy juga turut berbuat sedemikian. Dalam hati masing-masing berdoa agar apa yang mereka impikan bisa menjadi Kenyataan. Walaupun ianya terlalu jauh untuk mereka gapai.

Hanya Kamu Saja 3


Biarlah satu dunia menundingkan jari kepadaku, asalkan kau percayakan aku.

Ann melabuhkan punggungnya di bangku panjang yang terdapat di dalam kawasan taman mini tersebut. Selepas solat Zohor tadi, dia terus menuju ke Taska Cemerlang. Kanak-kanak yang belajar di taska tersebut telah pun beransur pulang seorang demi seorang.
            Hanya segelintir sahaja pelajar yang masih berada di situ menunggu penjaga ataupun ibu bapa mereka. Begitu juga dengan kanak-kanak lelaki yang duduk di sebelahnya. Tiada walau segarit senyuman pun terbit di bibir comel itu.
            Kanak-kanak itu berkulit putih. Rambut hitamnya tersisir rapi walaupun waktu persekolahan telah pun tamat. Dia memiliki wajah yang bulat, bermata budar dan berhidung mancung. Yang membuatkan dia tertarik dengan kanak-kanak tersebut adalah pipinya yang kemerah-merahan bak buah tomato yang sedang ranum. Jika tidak difikirkan itu adalah anak orang, mahu saha dia mencubit pipi tembam tersebut.
            “Hai!!” Tegur Ann lembut.
            Malangnya, teguran Ann tidak langsung mendapat balasan. Anak matanya tepat merenung ke hadapan. Entah apa yang dipandangnya, tidak Ann tahu. Ann mencebikkan bibir sebelum segarit senyuman diukirkan.
            “Tunggu siapa?” Soal Ann ramah.
            Namun, seperti tadi. Tiada sebarang tindak balas yang positif daripada si kecil. Ann masih tidak berputus asa. Dia cuba juga memancing si kecil agar berbicara dengannya. Pasti kanak-kanak itu telah dipesan oleh ibu bapanya agar tidak berbicara dengan orang yang tidak dikenalinya. Dalam hal ini, dia tidak sedikit pun mempersalahkan si kecil.
            “Tak baik tau kalau orang tegur, kita tak jawab. ALLAH tak suka orang yang sombong-sombong ni. Wahyu bukan macam tu, kan?” Umpan Ann lagi. Anak matanya melirik ke arah kanak-kanak yang bernama Wahyu itu.
            Kanak-kanak itu tiba-tiba menoleh. Kelihatan dahinya berkerut seribu. Mungkin dia pelik bagaimana Ann boleh mengetahui akan namanya. Sedangkan dia tidak langsung memberitahunya kepada gadis tersebut. Ann melemparkan sekuntum senyuman manis pada si kecil.
            “Bagaimana aunty tahu nama saya?” Soal Wahyu perlahan.
            “Di baju Wahyu kan ada tertulis nama Wahyu.” Terang Ann.
            Untuk mengesahkannya, Wahyu menundukkan wajahnya. Anak matanya kini tertumpu pada tanda nama yang terlekat di dada kirinya. Sememangnya namanya ada di situ. Saat ini, hilang sudah prasangka buruknya terhadap gadis yang duduk di sisinya.
            “Wahyu tunggu siapa?” Tanya Ann.
            “Papa.” Jawab Wahyu sepatah.
            Ann menganggukkan kepalanya tanda mengerti.
            “Aunty pula tunggu siapa?” Giliran si kecil pula yang menyoal Ann.
            “Cikgu Fauziah.”
            “Aunty ni kawan Cikgu Fauziah ke?” Soal si kecil lagi dengan sedikit ramah.
            Ann tersenyum manis sambil menganggukkan kepalanya. Sememangnya dia kawan kepada Gee a.k.a Fauziah. Jadi untuk apa dia berbohong dengan si kecil. Ianya langsung tidak mendatangkan faedah pun padanya.
            “Wahyu pelajar baru di sini ya?” Soal Ann. Entah mengapa, tergerak pula hatinya untuk mengajak si kecil berborak bagi mengisi masa yang terluang.
            “Ermm…Baru saja pindah ke sini.” Wahyu menundukkan wajahnya.
            Ann kehilangan kata-kata. Dapat dirasakan bahawa si kecil itu mungkin mengalami kejutan budaya. Yang mana dia masih lagi tidak rapat dengan teman-temannya yang lain. Begitulah keadaannya apabila menjadi pelajar baru.
            Ann kembali menoleh ke arah Wahyu apabila mendengar bunyi yang datang dari perut si kecil. Dia tersenyum kecil. Tahulah dia kini yang si kecil di sebelahnya ini sedang kelaparan. Lantas dia membuka beg galasnya. Dihulurkan sebungkus roti yang sememangnya sentiasa ada di dalam simpanannya ke arah Wahyu.
            Terkebil-kebil seketika mata si kecil memerhatikan tingkahnya itu. Seakan tidak percaya yang Ann akan memberikannya roti tersebut. Berkali-kali dia menelan liurnya. Jelas sekali riak serba salah di wajah comel tersebut.
            “Ambillah.” Ucap Ann.
            “Tapi…”
            “Jangan risau. Memang aunty sengaja simpan sebungkus roti dalam beg auntie ni untuk waktu-waktu kecemasan. Seperti sekarang.” Terang Ann. Berguna jugak roti ni.
            “Mummy tak bagi Wahyu terima apa-apa dari orang yang Wahyu tak kenal. Nanti mummy marah.” Ucap Wahyu sedikit perlahan.
            Begitu petah sekali Wahyu berkata-kata. Tidak disangka sama sekali yang anak sekecil itu akan patuh dengan arahan yang diberikan oleh si ibu. Sudah Ann agak itu yang akan Wahyu katakan tatkala cuba mengajak kanak-kanak itu beramah mesra.
            “Kalau Wahyu tak ambil roti ni, nanti Wahyu akan lapar. Wahyu nak jadi macam tu ke?” Umpan Ann.
            Dahi Wahyu berkerut seribu sekali lagi. Apa yang diperkatakan oleh Ann ada benarnya. Ann tahu, kanak-kanak itu ingin mengambilnya tetapi disebabkan pesanan yang diberikan oleh ibunya, dia sanggup mengabaikan rasa laparnya. Tidak salah andainya kanak-kanak itu berfikir sedemikian tetapi dia kasihankan Wahyu.
            Ann pantas berpaling apabila mendengarkan namanya dijerit lembut oleh seseorang. Dari jauh dapat dilihat Gee sedang melambaikan tangan ke arahnya. Hanya anggukan sahaja diberikan olehnya.
            “Okaylah, Wahyu. Aunty kena pergi. Nanti kita jumpa lagi.” Ann bangkit dari duduknya sambil mengalas beg sandangnya.
            Roti yang berada di tangannya diletakkan di sebelah si kecil. Kepala si kecil diusap lembut sebelum membuka langkah mendapatkan Gee.


            “Dah lama ke kau sampai?” Soal Gee sambil melabuhkan punggungnya.
            Ann tidak terus menjawab pertanyaan Gee itu. Dia turut melabuhkan punggungnya di kerusi yang terdapat di hadapan Gee sambil tersandar tenang. Beg sandangnya pula diletakkan di kerusi yang bersebelahan dengannya.
            “Adalah dalam…” Ann melirik seketika ke arah jam BUM yang melilit di pergelangan tangannya sebelum menyambung. “…setengah jam tadi.”
            “Sorrylah, Ann. Aku sibuk sikit tadi.” Gee merenung wajah Ann lembut.
            “Takpe. Aku faham.”
            “Dah makan?” Gee menyandarkan tubuhnya di kerusi yang diduduki.
            “Belum.” Jawab Ann sepatah.
            “Kau nak makan dulu ke?”
            “Sekejap-sekejap lagilah. Lagipun, aku masih kenyang.” Ucap Ann tenang. “Apa hal kau nak jumpa dengan aku ni?” Ann terus menyoal ke titik persoalan mereka.
            “Aku nak mintak tolong sikit dengan kau. Boleh?” Sekuntum senyuman terukir di bibir mungil milik Gee.
            “Apa dia?”
            “Bila kau cuti semester?”
            “Empat bulan lagi. Kenapa?”
            “Berapa lama?” Soal Gee tanpa menjawab pertanyaan Ann.
            “Tiga minggu kut.”
            Gee menganggukkan kepalanya. Seakan sedang mencongak akan hari cuti Ann. Tingkahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Ann tanpa sepatah bicara. Dia tahu apa yang sedang bermain di kotak fikiran Gee saat ini. Bukan baru sehari dia mengenali sahabatnya itu. Telah bertahun.
            “Kau nak duit tak?” Gee menyoal tiba-tiba. Sesekali dia menaikkan keningnya beberapa kali. Agar dapat mengumpan sahabatnya itu.
            “Gee…hanya orang gila aje yang tak mahu duit. Even orang kaya tu pun, nak lagi kaya inikan pulak aku yang miskin ni.” Ucap Ann selamba. Apa punya soalanlah yang dia tanya aku? Tak masuk akal langsung!
            “Disebabkan itulah, aku nak tawarkan kau satu kerja.” Ucap Gee ceria. Skema sungguh ayat aku jadinya.
            “Kerja? Kerja apa?” Ann menyoal bertalu-talu.
            “Jadi tenaga pengajar kat sini selama tempoh kau bercuti. Macam mana? Mahu?” Tawar Gee.
            “Kau ni kan…samalah dengan si Chinta tu.” Ann menghela nafas.
            “Apsal pulak?”
            “Masing-masing macam inilah. Semuanya nak booked aku. Macamlah aku ni artis fofular pulak. Glamour sangat ke dak Ann ni sampai semuanya nak booking? Sampai aku ni tak sempat nak tarik nafas panjang, tau tak?” Seloroh Ann berserta dengan sengihan kecil. Glamour gila betul aku!
            “Woit, mak cik!! Jangan nak perasan boleh tak?! Kami berdua ni nak bantu kau aje. Kalau bukan kami berdua ni yang bantu kau, siapa lagi?” Bentak Gee. Perasan sungguh perempuan ni.
            “La, salah ke?!!” Ann menggaru kepalanya tidak gatal.
            “Memanglah salah!!”
Memang apa yang diperkatakan oleh Gee itu ada benarnya. Dia bukanlah datang dari keluarga yang kaya. Pengajian dia di kolej pun telah menelan belanja yang banyak. Duit PTPTN yang dia terima tidak mencukupi. Jadi dia terpaksa mencari alternatif lain untuk menampungnya.
            Mujur sahaja Nur Chinta dan Gee sanggup membantunya. Jika tidak, mati juga dia dibuatnya. Disebabkan itulah, dia terima sahaja kerja sementara yang ada di hadapan mata. Cuma kerja yang ditawarkan oleh Nur Chinta sahaja yang menjadi dia serba salah. Bukan bayaran lumayan yang dia mahukan tetapi keberkatan dari kerjanya. Itu sahaja. Walaupun ianya adalah rezeki yang halal. Dari sumber yang betul.
            “So, macam mana? Nak ke tidak?” Tanya Gee sekali lagi.
            “Memanglah aku nak tapi bukan ke empat bulan tu lambat lagi? Tak boleh nak tunggu-tunggu dulu ke?” Ann menggelengkan kepalanya. Macamlah aku ni lari.
            “Memanglah lambat lagi tapi kau tu bukannya boleh percaya sangat. Dalam diam nanti kau dapat pulak jobs lain. Itu takpelah lagi. Silap-silap haribulan nanti, hilang tanpa khabar berita.” Bebel Gee. Bukan boleh percaya dia ni!
            “Yang itu, kau tak boleh nak marahlah. Kan? Kalau dah rezeki, aku tak boleh nak buat macam mana. Aku akan mendahulukan benda yang penting dulu. Dapat-dapat bila hidup lone ranger macam aku ni. Mana aje orang campak, kat situlah aku tercampak.” Jelas Ann dengan panjang lebar.
            “Ikut suka kaulah, Ann.” Gee akhirnya mengalah.
            “Kau dah makan ke?” Ann menukar topik perbualan di antara mereka berdua.
            “Belum lagi. Kenapa? Nak belanja ke?” Gee sudah tersenyum lebar. Tegak tubuhnya mendengarkan pertanyaan daripada Ann itu.
            “Iskh, kau ni!! Kut iya pun agak-agaklah. Sepatutnya kau yang belanja aku. Bukannya aku yang belanja kau.” Tegas Ann. Ni dah terbalik pulak.
            “Apsal pulak?” Gee mengerutkan dahinya.
            “Aku ni, kerja pun tak lagi Gee. Lainlah kalau aku dah kerja. Bolehlah aku belanja kau makan bagainya.”
            “Kau ni, ada saja alasannya kan?” Gee menggelengkan kepalanya.
            “Betul apa aku cakap.”
            “Dah, jom!! Jangan sampai aku ubah fikiran pulak nanti.” Gee bangkit dari duduknya. Satu hapa pun tak dapat nanti.
            Ann tersengih. Pantas sahaja dia bangkit daripada duduknya. Takut nanti bila dia lambat, Gee akan menarik kembali tawarannya. Sahabatnya itu bukannya boleh dijangka akan akal fikirannya. Bila-bila masa sahaja boleh berubah.
            Mereka berdua berjalan beriringan keluar dari taska tersebut. Mata Ann tertumpu ke arah bangku yang didudukinya bersama Wahyu sebentar tadi. Kanak-kanak itu masih lagi ada di situ. Dia melirik ke arah jam tangannya. Tepat tiga lima belas minit petang. Dahinya berkerut seribu.
            “Apa lagi yang kau pandang tu?” Tegur Gee hairan.
            “Budak tu.”
            “Kenapa dengan dia?” Anak mata Gee tertumpu ke arah Wahyu.
            “Dah pukul tiga suku, tak balik-balik lagi. Budak yang lain dah lama balik. Mak bapak dia terlupakan anak ke hapa ni?” Rungut Ann selamba. Ada jugak mak bapak macam ni rupanya dalam dunia ni.
            “Dia memang macam tu. Semenjak dia masuk ke sini beberapa hari lalu, tak pernah nak bercakap. Diam aje. Dengan budak-budak lain pun tak bergaul sangat. Dengan cikgu pun sama jugak. Parents dia pulak selalu aje datang lambat untuk ambil dia. Kadang-kadang tu aku kasihan jugak dengan dia.” Jelas Gee dengan panjang lebar.
            “Kau tak pernah offer nak hantar dia balik ke?” Ann merenung wajah Gee yang berdiri di sebelahnya.
            “Pernahlah jugak aku offer nak hantar dia balik tapi…dia diam aje. Sepatah apa pun tak keluar dari mulut dia. Macam mana aku nak hantar?”
            “Tapi…tadi dia bercakap dengan aku.”
            “Really?” Gee membuntangkan anak matanya. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dia dengar. Biar betul!
            Ann menganggukkan kepalanya laju. Tidak pula dia memberitahu Gee yang dia puas juga mengajak si kecil itu berbual dengannya. Mujur juga pendekatannya itu berjaya.
            “Ermm…satu perkembangan yang bagus.” Gee menganggukkan kepalanya. Sesekali dia melurut dagunya.
            “Kau pergilah tanya dia. Dah terlanjur kita nak keluar ni, tumpangkanlah dia sekali. Dapat jugak pahala tau. Bukannya senang nak buat pahala ni.” Gesa Ann.
            “Yalah-yalah.”
            Mereka berdua mendekati kanak-kanak tersebut. Mata si kecil terkebil-kebil memerhatikan Ann dan juga Gee silih berganti.
            “Wahyuda masih tak pulang lagi?” Gee merenung wajah mulus di hadapannya.
            Wahyu hanya menggelengkan kepala bagi memberikan jawapan yang diberikan kepadanya tanpa sepatah kata. Seakan begitu berat untuk dia membuka mulutnya.
            “Wahyuda tunggu siapa?” soal Gee lagi tanpa jemu.
            Kali ini anak kecil itu mendiamkan diri. Tiada gelengan mahupun anggukan yang diberikan. Sikap yang sama dipamerkan oleh kanak-kanak itu sebelum ini. Namun, Gee tidak berputus asa. Dia cuba juga mengajak Wahyu berbual dengannya.
            “Macam ni ajelah. Cikgu dan kawan cikgu nak keluar. Apa kata cikgu hantarkan Wahyuda pulang. Mahu?” Tawar Gee.
            Kanak-kanak kecil itu pantas berdiri apabila Gee habis berbicara. Beg galasnya dicapai lalu menuju ke arah pintu pagar. Di pintu pagar telah tersedia menanti sebuah Toyota Estima berwarna hitam metalik.
            Tingkah kanak-kanak itu diperhatikan sahaja oleh Gee dan juga Ann. Terkebil-kebil seketika mata mereka berdua. Seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja berlaku di hadapan mata.
            “Kau tengok!! Betul tak apa yang aku cakap tadi?” Rungut Gee. Budak paling pelik yang pernah aku jumpa di abad ni.
            “Pelik.” Ujar Ann sepatah.
            “Apsal pulak?
            “Dengan aku, dia bercakap. Dengan kau tak.”
            “Takde apa yang peliknya Ann.”
            “Maksud kau?”
            “Perangai kanak-kanak di sini ada berbagai-bagai karenah. Yang okay…yang tak okay. Yang terlebih peramah lagilah. Tak menang tangan kau melayannya. Sometimes boleh jadi pening dibuatnya.” Rungut Gee.
            Memang benar apa yang diperkatakan oleh Gee itu. Bukan dia tidak pernah mengalami situasi sedemikian. Dia pernah membantu Gee di situ. Jadi dia faham maksud yang disampaikan oleh Gee itu.

Rabu, 2 April 2014

Hanya Kamu Saja 2


Buku nota yang terbuka di hadapan matanya ditutup perlahan-lahan. Teman-teman sekuliah yang telah pun berpusu-pusu keluar dari dewan kuliah, dibiarkan sahaja. Malas dia ingin berebut-rebut. Tiada apa yang ingin dikejarnya.
            “Aaannn!! Aaarrgghh!!” Sergah satu suara halus dari arah belakang.
            Ann menolehkan wajahnya tanpa sebarang perasaan. Terpampang wajah manis seorang gadis di hadapan mata. Direnungnya wajah itu dengan kerutan di dahi. Terkebil-kebil anak matanya seketika merenung wajah itu. Seakan apa yang dilakukan oleh si teman tidak langsung memeranjatkannya.
            “Apsal kau tak terkejut?” Gadis itu menyoal hairan.
            “Lorh! Kau nak suruh aku terkejutlah ni?” Ann kembali menyoal dengan selamba.
            “Ye lorh! Kalau tak, kenapa aku nak sergah kau?” Rengus gadis itu sedikit kasar sambil berpeluk tubuh. Buat penat aje aku sergah dia tadi.
            “Okay! Sergah aku sekali lagi.” Arah Ann.
            Tanpa berlengah lagi, si gadis terus berlari ke belakang Ann seperti tadi. Sekali lagi dia melakukan perkara yang dilakukannya sebentar tadi. Cuma kali ini, dia memegang kedua belah bahu sahabat sekuliahnya itu. Agar tampak sedikit dramatik. Agar lakonannya kali ini bisa menjadi.
            “Aaannn!! Aaarrgghh!!!” sergah gadis itu.
            “Oohh, terkejut!! Terkejut!! Sakit jantung!!” Ann melakukan aksi terkejut sambil mengurut-ngurut dadanya beberapa kali.
            Gadis itu terkekeh kecil sambil menutup mulutnya. Gelihati sungguh dia dengan tingkah yang ditunjukan oleh Ann itu. Entah mengapa, tingkah si sahabat itu cukup lucu di pandangan matanya.
            “Apsal pulak sakit jantung?” Gadis itu menyoal setelah ketawanya mula mereda.
            “Kalau kau terkejut dah tentu-tentu effect kat jantung kau, kan?” soal Ann kembali.
            “Ha’ah, kan? Kenapalah aku tak terfikir sampai ke situ?” Gadis itu mengetuk kepalanya beberapa kali. Bodoh jugak aku ni!
            “Sengal!!” Ann menghela nafasnya sambil menggelengkan kepala. Ada jugak kawan aku yang sengal macam dia ni.
            Gadis tersebut mencebikan bibirnya. Sengal-sengalnya begitu pun, hanya Ann sahaja yang ikhlas berkawan dengannya. Hanya Ann sahaja yang rajin melayan karenah-karenahnya. Kebanyakan teman sekuliahnya lebih gemar membulinya. Ada juga yang menggunakan kekurangannya itu sebagai satu hiburan.
            “Ann…jom pergi makan. Laparlah.” Rengek gadis itu sedikit manja.
            “Kau ni asyik makan ajelah, Koko. Badan tak gemuk-gemuk jugak.” Ann menggelengkan kepalanya. Apa punya manusia agaknya kawan aku ni?
            Wajah gadis yang dipanggil Koko itu direnungnya. Dialah yang mula-mula menggelarkan gadis itu dengan nama Koko. Selepas itu, teman-teman sekuliah mereka mula terikut-ikut menggunakan panggilan tersebut.
            Pernah juga dia ditanyakan kenapa gelaran itu yang diberikan kepada Koko. Sedangkan gadis itu berketurunan cina. Memang Koko merupakan gadis cina tetapi dia memiliki kulit yang hitam manis dan bermata bundar. Tidak seperti anak-anak cina yang lain – berkulit cerah dan bermata sepet. Malah, gadis itu juga fasih berbahasa melayu. Jika ada yang baru sahaja mengenali gadis tersebut pasti sahaja akan menyangka bahawa Koko adalah gadis melayu.
            “Dah aku lapar. Nak buat macam mana?” Koko menarik muncungnya.
            “Pagi tadi aje kau dah tibai tiga keping roti canai, tiga keping karipap putar dan satu bungkus nasi lemak. Tak kenyang lagi ke?” Ann merenung wajah Koko. Dia ni melantak ke hapa? Ke…dia ni ada membela?
            Hairan sungguh dia dengan sikap makan sahabatnya itu. Terlalu kuat makan tetapi sayangnya, berat badan Koko langsung tidak bertambah. Masih lagi sekeping bagaikan sekeping papan. Jika sesetengah orang, pasti akan naik berat badannya tetapi berlainan pula dengan gadis tersebut.
            Lazimnya sebelum masuk ke kelas, mereka berdua akan bersarapan pagi bersama-sama. Ann cuma akan mengambil dua keping roti bakar berserta dengan minuman yoghurt kegemarannya daripada jenama Bliss. Alassannya, takut dia mengantuk pula ketika di dalam dewan kuliah. Saat ini, masih lagi terasa kenyang perutnya.
            “Ala…tu sarapan pagi! Sekarang kan dah nak lunch time.” Jelas Koko.
            “Aku tahulah tapi kau makan bukannya sikit. Banyak tu. Aku yang makan roti bakar dua keping pun masih lagi kenyang tau.”
            “Perut aku kan macam stoking. Isi berapa banyak sekalipun, masih ada ruang yang kosong tau!” Pertahan Koko.
            Ann menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil menghela nafas panjang. Ada sahaja jawapan yang akan diberikan oleh Koko untuk menyangkal hujahnya. Dapat pula hujah yang diberikan olehnya itu melibat makanan. Koko pasti tidak akan mengalah dengan begitu senang.
            “Itulah. Lain kali, sebelum makan tu bacalah Bismillah dan doa makan dulu. Ini tak, main sental aje apa yang ada depan mata. Mananya nak kenyang!” Marah Ann. Keluar sudah bahasa kasarnya.
            “Woit, aku bukannya Islam!! Mana aku tahu nak baca doa bagainya tu. Lainlah kalau aku ni orang Islam. Bolehlah aku baca.” Bentak Koko geram. Kuat sakit minah ni!
            “Oopss!! Salahlah ya?” Ann tersengih kecil.
            “So, nak temankan aku ke tak ni?”
            “Yalah! Yalah! Aku temankan. Membebel aje kerjanya. Mengalahkan nenek kebayan yang nak monopous minggu depan.” Rungut Ann perlahan.
            Ann pantas memasukkan buku dan alat tulis ke dalam beg sandangnya. Pandangannya dihalakan ke seluruh dewan kuliah tersebut sebelum bangun daripada duduknya. Masih ada beberapa orang lagi temannya yang sedang berbincang sesama sendiri.
           

            Ann meneguk air yoghut berperisa starwberi yang telah diletakkan sedikit ais yang berada di hadapan matanya. Koko pula telah lama hilang di sebalik orang ramai. Pasti sahaja gadis itu sedang mencari makanan yang menepati citarasanya.
            Dia pantas mengeluarkan telefon bimbitnya yang berada di dalam poket seluar jean yang dipakai apabila merasakan getarannya. Terdapat satu mesej baru yang diterimanya dari Gee. Lalu mesej itu dibuka dan dibacanya.

Ann…ko kt ne?

            Ann menghela nafas panjang sebelum menjawabnya. Sesekali dia menggelengkan kepalanya dengan perangai sahabatnya itu. Sahabatnya itu langsung tidak pernah berubah. Langsung tiada huluran salam buatnya. Terus sahaja menerjah.

Assalammualaikum, Cik Fauziah Al-Habib. Dh tk tau bg slm ag ke?

            Lalu butang SEND ditekannya. Tidak sampai beberapa saat kemudian, mesejnya dibalas semula oleh Gee.

Wa’alaikumsalam wbt, Cik Annur Zara Fazrien. Sori. Kt ne?
Kt ne ag…kt kolej le.
Free x?
Bla?
Ptg ni ke
Ermm…insya-ALLAH. Nape?
Dtg jumpa aku. Blh?
Insya-ALLAH. Lau xde aral yg melintang pth m’bujur lalu, t aku dtg jumpa ko. Ya?
K. Pe2 hal ko roger aku blik. K?
Insya-ALLAH.

            Ann menghela nafas panjang sekali lagi. Sekuntum senyuman nipis terukir di bibirnya yang sentiasa sahaja merkah bak delima itu. Dia seakan dapat menduga apa yang ingin dibincangkan oleh Gee dengannya nanti. Tahu sangat dia kenapa gadis tersebut mahu bertemu dengannya petang nanti. Gee tidak akan bertemu dengannya tanpa sebab yang tertentu.
            “Woit, mak cik!! Apa yang kau menungkan tu?” Tegur Koko.
            Ann menoleh apabila mendengarkan teguran tersebut. Telefon bimbitnya telah disimpan kembali ke dalam poket seluarnya. Koko telah pun melabuhkan punggungnya di sebelah Ann. Pinggan yang berada di tangannya diletakkan di atas meja. Buntang mata Ann melihatkan isi pinggan tersebut. Sesekali dia menelan liurnya. Mak aii!! Banyaknya!
            “Kau ni makan ke melantak?” Selamba sahaja Ann menyoal. Tanpa sedar tangan kirinya mula menampung kepala.
            “Makanlah. Kenapa?” Soal Koko kembali tanpa rasa bersalah.
            “Macam ni punya banyak kau makan?”
            Ann merenung sekali lagi pinggan yang berisi makanan Koko. Terdapat berbagai-bagai jenis makanan di dalam pinggan tersebut. Jika dilihat dari pandangan mata kasar, gadis seperti Koko tidak akan boleh menghabiskan makanan sebanyak itu. Agaknya semua makanan yang ada kat kafe ni dia ambil.
            “Aku laparlah.” Ujar Koko sedikit sayu. Salah ke kalau aku makan banyak ni?
            “Aku tahulah yang kau tu lapar tapi takkanlah macam ni punya banyak kau nak telan? Boleh ke kau habis semua makanan tu nanti, Koko?”
            “Perut aku kan…” Koko tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila Ann dengan pantas mencelah.
            “Dah! Dah! Aku tahu apa yang kau nak cakap.”
            “Tahu pun. Kau tak makan ke?” Soal Koko. Sengaja dia menukar tajuk perbualan mereka berdua.
            “Aku kenyang lagi.”
            Koko menganggukkan kepalanya. Ketika dia ingin membuka mulut untuk bersuara, telefon bimbit Ann berbunyi nyaring minta diangkat. Berkumandang alunan-alunan zikir dari dendangan Munif Ahmad. Pantas Ann menjawabnya.
            “Assalammualaikum.” Ucap Ann lembut.
            “Wa’alaikumsalam. Kau dekat mana sekarang ni?” Soal suara lemak merdu itu.
            “Mana lagi. Kat kolejlah. Kenapa?” Soal Ann hairan.
            “Free?” Soal si pemanggil lagi tanpa menjawab pertanyaan Ann.
            “Bila?” Soal Ann kembali.
            “Ermm…Malam ni?”
            “Rasanya takde apa-apa hal. Kenapa?”
            “Datang jumpa aku, boleh?” Pinta si pemanggil.
            “Kau dekat mana?” Ann mengerutkan dahinya.
            “Aku ada kat Melaka sebab itulah aku suruh kau datang jumpa dengan aku.” Jelas si pemanggil dengan tenang.
            “Okay. Lepas Isyak nanti aku datang jumpa dengan kau.” Janji Ann.
            “Nanti aku sms alamatnya pada kau.”
            “Roger and out.”
            “Kau dah makan ke?” Sekadar berbahasa si pemanggil bertanya.
            “Kenapa? Kau nak belanja ke?” Ann menyoal bertalu-talu berserta dengan sengihan kecil.
            “Takdelah. Saja bertanya.”
            “Bertanya mengalahkan nak belanja aku makan. Kalau nak belanja, sedap sikit aku mendengarnya.” Ann mencebikkan bibirnya.
            Terdengar ketawa kecil dari si pemanggil di hujung talian sebelum mengakhiri perbualan mereka berdua. Koko yang sedari tadi hanya mendengar mula membuka bicara. Bukannya dia penyibuk tetapi sekadar bertanya. Dapat pula Ann melayannya si pemanggilnya dengan begitu mesra sekali.
            “Siapa yang called kau?”
            “Kakak aku, si along.” Jawab Ann tenang.
            “Apa halnya?” Tanya Koko lagi.
            “Dia nak aku jumpa malam ni.” jelas Ann.
            Koko menganggukkan kepalanya. Ann kembali menghirup air Blissnya. Terasa begitu lega sekali air tersebut melalui tekaknya saat ini. Kaferia kampus yang hingar-bingar dengan suara siswa dan siswinya tidak langsung dihiraukannya.
            Dia menoleh ke arah Koko apabila menyedari tangannya dicuit perlahan oleh gadis tersebut. Dahinya berkerut seribu. Hairan dengan sikap Koko itu. Temannya hanya memberikan isyarat mata sahaja agar dia memandang ke arah yang sama.
            Tanpa berfikir panjang lagi, Ann memalingkan wajahnya. Terlayar di ruangan matanya sepasang remaja yang kelihatan begitu ceria sekali. Sesekali terdengar gelak tawa mereka berdua menyapa di hujung telinganya.
            “Macamlah dia seorang aje yang ada couple dalam kolej ni. Orang lain pun adalah. Cuma tak mahu tunjuk aje.” ucap Koko sinis. Saja nak menunjuklah tu.
            “Lantak merekalah, Koko.” Ann menundukkan kepalanya. Malas untuk ambil pusing dengan apa yang berlaku di sekelilingnya.
            “Kau tak jealous ke?” provok Koko. Dia ni takde perasaan ke?
            “Nak jealous kenapa pulak?” soal Ann hairan.
            “Ye lorh! Mamat tu punyalah hensem dan fofular pulak kat kolej kita ni.” beritahu Koko bersama memek mukanya.
            “So? Apa kena-mengena dengan aku? Yang hensem dia. Yang fofularnya dia. Bukannya aku. Lainlah kalau aku yang punya semua tu. Kan?” Ujar Ann tanpa perasaan.
            “Ring a bell. Dia pernah jadi boyfriend kau suatu ketika dulu, Annur Zara. Remember?” Peringat Koko. Dah hilang ingatan apa kawan aku ni?
            Ann tertawa gelihati mendengarkan kata-kata Koko itu. Memang benar apa yang diperkatakan oleh Koko itu. Antara dia dan siswa lelaki tersebut pernah punya cerita yang tersendiri. Tetapi itu dahulu. Kini tidak lagi. Sekarang, mereka dengan dunia masing-masing.
            Untuk apa dia punya rasa cemburu kepada lelaki seperti itu. Ianya tidak langsung mendatangkan faedah buat dirinya. Apa yang terjadi di antara mereka berdua hanya boleh dikatakan tiada jodoh. Jadi, dia harus menerimanya dengan hati yang terbuka.
            “Kenapa kau gelak?” Hairan Koko melihatkan ulah Ann itu. Aku ada salah cakap ke tadi? Rasanya, macam tak aje.
            “Salah ke?” soal Ann kembali. Uiks! Gelak pun salah ke?
            “Betulkan apa yang aku kata tadi?”
            “May be.” Ann mencebikan bibirnya.
            “Why must may be, Ann? Kau sendiri pernah punya perasaan lain terhadap dia. Begitu juga dengan dia. You all saling mencintai satu sama lain. Tapi…tiba-tiba hubungan tu putus di tengah jalan.” Tegas Koko.
            “Itu dulu, Koko. Bukannya sekarang. Sekarang, kami dah jadi orang lain. Dia dengan dunianya dan aku dengan dunia aku.” jawab Ann tenang. Takde siapa pun tahu perasaan sebenar aku pada dia, Koko.
            “Ya. Memang dah jadi orang lain. Dia bergembira dengan orang baru. Orang yang menggantikan tempat kau tapi kau...terseksa dengan kecurangannya. Terseksa dengan kebahagiaannya. Dia bahagia di atas penderitaan kau.” Bidas Koko geram.
            “Siapa yang kata aku terseksa? Bila masa pulak aku menderita?” Ann merenung dalam wajah milik Koko. Rasanya aku tak terseksa dan menderita pun.
            “Akulah yang cakap. Dah tu, kau dengar siapa yang cakap? Mak cik yang jual karipap putar kat sana tu? Ataupun mamat yang jual ABC kat hujung sana?” sindir Koko.
            Ann tertawa gelihati. Dalam blur dan sengal kawannya itu, tatkala berbicara boleh tahan juga petahnya. Boleh tahan juga pedasnya. Tidak dia menyangka sama sekali bahawa sahabatnya itu akan berkata sedemikian.
            “Lepas ni, aku nak kau cari orang lebih hebat daripada dia. Lebih hensem, lebih fofular, lebih kacak, lebih bergaya dan yang paling penting sekali…lebih kaya daripada dia. Tunjukkan pada dia yang kau mampu dapat yang lebih baik dan bagus dari dia.” Hasut Koko dengan panjang lebarnya.
            Sekali lagi tawa Ann pecah mendengarkan cadangan Koko itu. Agak tidak munasabah betul cadangan sahabatnya itu. Agaknya begitu mudah untuk menemui orang sempurna sedemikian? Andainya sebegitu mudah, pasti sahaja dia sudah menemukan orang yang sesuai dengan jiwanya.
            “Kalau aku berdebat dengan kau, sampai tahun depan pun takkan habis.” Ujar Ann tenang. “Kau dah habis makan ke belum ni?”
            “Dahlah. Kenapa?” Koko mengerutkan dahinya.
            “Aku nak balik. Petang ni pun takde class. Aku nak pergi jumpa Gee sekejap. Kau nak ikut aku tak?” terang Ann.
            Koko menggelengkan kepalanya. Dia mula menyedut saki-baki limau aisnya sehingga ke titisan yang terakhir. Begitu juga dengan Ann. Akhirnya, mereka berdua mengorak langkah meninggalkan kafeteria kampus.
            Tanpa mereka berdua sedari, ulah mereka berdua menjadi tarikan sepasang mata galak.