Halaman

Selasa, 4 Februari 2014

Kasih Jangan Kau Pergi 7

            SATU per satu helaian muka surat novel English yang berada di tangannya itu diselaknya. Leka dia seketika dengan pembacaannya tanpa menyedari masa yang pantas berlalu pergi. Begitulah rutin hidupnya sepanjang tiga minggu dia dimasukkan ke hospital itu. Masa lapangnya banyak dihabiskan dengan membaca atau menonton televisyen sahaja.
            Tiga minggu yang lalu, dia telah dimasukkan ke dalam hospital akibat dari kemalangan jalan raya. Akibat dari kemalangan itu, kaki kanannya retak dan ianya perlu disimen. Disebabkan itu jugalah dia terpaksa duduk lama di hospital tersebut. Seandainya kecederaan yang dialaminya ringan sahaja, pasti saat ini dia telah pun berada di kelab-kelab yang biasa menjadi kunjungannya bagi menghabiskan masanya yang terluang.
            Dia lebih gemar membaca novel ataupun majalah-majalah yang dibawakan untuknya. Walaupun ianya terlalu bosan duduk di hospital berkenaan, dia tidak mampu untuk menolaknya. Suka ataupun tidak, dia terpaksa menerimanya. Inilah yang dikatakan oleh orang, rela dalam keterpaksaan.
            Tumpuannya terganggu apabila menyedari tetamunya melangkah masuk tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Pandangan matanya dihalakan ke arah pintu yang terbuka luas. Seorang lelaki yang tinggi lampai berpakaian kemas dan segak, melangkah masuk. Sekuntum senyuman dihadiahkan buat si pesakit yang sedang tersandar di kepala katil.
            “So, macam mana hari ni? Okay?” soal lelaki itu dengan tenang. Janganlah dia membebel seperti selalu. Tak sanggup aku mendengarnya.
            Wajah tampan yang penuh kebosanan itu direnungnya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa. Arahan tetap arahan. Dia tidak boleh mengingkarinya. Boleh naik cair telinga aku ni kalau hari-hari dengar dia membebel.
            “Bolehlah.” Jawab lelaki itu antara mahu dengan tidak. Tak boleh pun kena kata boleh jugak. Nak buat macam mana? Dah nasib badan.
            “Lain macam aje bunyinya.” Luah lelaki itu. Sekuntum senyuman kecil dilemparkan buat lelaki tersebut. Bosanlah tu. Macamlah aku tak tahu.
            “Dah tu, you nak I cakap apa, Syah? Nak kata yang I suka sangat duduk kat sini lama-lama? Rasa happy gila. Begitu?” Lelaki tersebut membentak marah. Hanya orang bodoh aje yang akan suka duduk kat sini lama-lama. Terkurung bagaikan dalam penjara aje.
            Dia merenung wajah lelaki yang dipanggilnya dengan nama Syah itu. Syah a.k.a Syahmil adalah pembantu peribadi yang telah ditugaskan oleh papanya bagi membantunya di pejabat. Hubungan di antara dia dan juga Syahmil adalah lebih kepada teman daripada pekerja dan majikan. Maka dengan itu dia bisa meluahkan perasaannya kepada lelaki itu tanpa menghiraukan samada lelaki itu berkecil hati dengannya ataupun tidak.
            “Takdelah. Sekurang-kurangnya you dapat jugak berehat, Muaz. Ini tak, asyik bekerja saja. Masa rehat langsung takde. Robot pun tahu penat tau!” Nasihat Syahmil perlahan. Pening aku melayan dia ni.
            Muaz seorang lelaki yang terlalu kuat bekerja. Boleh dikatakan hidupnya hanya ditumpukan kepada kerja sahaja. Malam minggu pula dia akan menghabiskan masanya di kelab-kelab eksklusif bersama teman-teman wanitanya yang silih berganti.
            Muaz mempunyai ramai teman wanita. Tidak kira dari melayu, cina, india mahupun kacukan. Pemuda itu pantang sekali melihat wanita yang berdahi licin. Pasti dia akan mengodanya. Disebabkan perangai buruknya itulah, dia digelar buaya di bandar tersebut. Hidupnya tidak akan puas dengan seorang wanita. Sayangnya, tidak seorang pun yang dicintainya dengan sepenuh hati. Dia jadikan wanita-wanita itu semua bagaikan boneka sahaja.
            Muaz tidak pernah setia dengan satu wanita. Ada sahaja wanita yang mendampinginya kemana sahaja dia pergi. Bukan tidak pernah Syahmil menegur perbuatannya itu. Malah telah acap kali namun ianya dipandang sepi sahaja oleh Muaz. Ibarat mencurah air ke daun keladi. Seolah-olah dia berasa bangga dengan kerana dia bisa menundukkan setiap wanita yang diingininya.
            Muaz juga kaki mabuk. Setiap kali pulang dari kelab-kelab malam yang terdapat di bandar itu dia akan pulang ke dalam keadaan mabuk. Yang akan menjadi mangsanya adalah Syahmil. Lelaki itu akan ditugaskan untuk menjadi pemandu kepada Muaz. Malangnya, ketika Muaz kemalangan baru-baru ini, dia tiada bersama dengan lelaki itu.
            Muaz memandu sendiri keretanya. Apa yang dia tahu, Muaz kemalangan bersama-sama dengan teman wanitanya yang entah ke berapa agaknya. Mujurlah kedua mereka tidak mengalami kecederaan yang begitu parah. Teman wanita Muaz hanya mengalami kecederaan ringan sahaja. Nasib baik tak mati mereka berdua ni. Kalau tidak, tak sempat nak bertaubat.
            Syahmil akui bahawa Muaz seorang lelaki yang kacak. Lelaki itu berkulit hitam manis dan berbadan tegap. Dia memiliki rambut yang lurus, sepasang mata yang bundar, berhidung mancung dan berwajah bulat. Walaupun dia memiliki kulit hitam manis, tetapi dia tampak tampan tatkala melemparkan senyumannya.
            Pernah juga dia menanyakan kepada teman wanita-teman wanita Muaz, apakah yang menyebabkan mereka tetarik dengan lelaki itu? Kebanyakan mereka menyatakan bahawa Muaz seorang yang romantik. Muaz juga memiliki wajah yang cute. Kau salah gunakan kekacakan dan anugerah yang kau miliki selama ni, Muaz.
            Muaz kembali bersuara tatkala kesunyian mula mencengkam bilik tersebut. Dia tahu, dia tidak sepatutnya marahkan Syahmil. Dia cuma melepaskan rasa ketidakpuasan hatinya pada seseorang. Dan yang menjadi mangsanya adalah Syahmil.
            “Ini bukannya rehat, Syah. Ini dinamakan cuti sakit. Buat apa kalau I bercuti tapi satu badan I ni sakit-sakit?” rungut Muaz. Seksa sungguh aku merasanya. Baik aku kerja saja. Ada juga faedah yang aku dapat.
            “Salah siapa? Salah you jugak, kan?” Syahmil bercekak pinggang. “Bawa kereta tak ingat dunia. Siap mabuk lagi. Nasib baiklah takde kemalangan jiwa yang berlaku. Kalau tak, berjawablah you dengan father you.”
            “You ni datang nak lawat I atau apa? Kalau you datang semata-mata nak membebel bagainya, baik tak payah datang!” Rengus Muaz kasar. Bertambah sakit aku dengar.
            “Marah ke?” Syahmil merenung wajah Muaz yang memuncung itu. “I cuma nak ingatkan you aje.” Takkan itu pun nak angin. Memang salah kau pun.
            Muaz menghela nafas panjang. Anak matanya melirik ke arah jam dinding yang tergantung di biliknya. Angka tepat menunjukkan tepat jam dua petang. Dia tersenyum manis seketika.
            “You nak makan buah tak? Kalau nak makan, I boleh tolong kupaskan.” Tawar Syahmil. Buah oren yang dibawanya sebentar tadi dikeluarkan dari plastiknya.
            “Ssyyhh…” Muaz meletakkan jari telunjuknya ke bibir. Dia tidak mahu Syahmil membuat bising buat seketika. Kantoi pulak nanti.
            “Kenapa?” soal Syahmil kehairanan. Ada yang tak kena ke?
            “Lima…Empat…Tiga…Dua…Satu…” Muaz mengira secara terbalik nombor-nombor tersebut dengan jemarinya. Tidak dia menjawab soalan yang di utarakan oleh Syahmil sebentar tadi.
            Muaz menundingkan jari ke arah pintu setelah selesai mengiranya. Syahmil menolehkan kepalanya ke arah pintu yang ditunjukkan oleh Muaz. Sehabis sahaja Muaz mengira sehingga lima, seseorang melangkah masuk ke dalam bilik tersebut dalam keadaan tergesa-gesa. Tidak sedar langsung olehnya bahawa ulahnya itu telah menjadi perhatian Muaz dan juga Syahmil.
            Syahmil hairan dengan tingkah pemuda itu. Mata pemuda itu mengintai di sebalik pintu yang terbuka sedikit sahaja. Seakan dia sedang menyembunyikan diri daripada seseorang. Pemuda itu hanya mengenakan jeans pendek yang sedikit lusuh, berbaju kemeja yang dilipatnya separas lengan dan juga cap BUM yang diterbalikkan muncungnya. Ini menyukarkan mereka untuk melihat wajah pemuda tersebut.
            Syahmil memandang ke arah Muaz. Hanya bahasa mata sahaja yang menjadi perantaraan di antara mereka berdua tatkala ini. Syahmil menanyakan gerangan siapakah pemuda itu kepada Muaz. Muaz hanya menggelengkan kepala sambil menjungkit bahu menandakan dia tidak tahu. Sememangnya dia tidak tahu siapakah gerangan pemuda itu.