Halaman

Rabu, 6 April 2011

Novel Selagi Ada Kasih 1

Dania melangkah menuruni anak-anak tangga dengan penuh berhati-hati. Bimbang jika tergelincir dari anak tangga tersebut. Pantas kakinya menyarung selipar yang sedia ada. Tanpa menoleh lagi, dia terus menghayun kakinya menuju ke arah belakang rumah sambil menjinjing bakul baju yang sudah siap dicucinya sebentar tadi. Dia harus menyiapkan tugasnya secepat mungkin. Jika tidak, pasti dia akan dimarahi oleh ibu tirinya, Puan Zaiton.
Mentari pagi mula menyinari alam semesta. Terasa olehnya kehanggatan pancaran cahaya tersebut. Baru beberapa tapak dia melangkah, namanya diseru oleh seseorang dari arah belakang.
“Nia…Nia…” Puan Zaiton memanggilnya nyaring.
          “Saya, mak cik”, balasnya lembut.
          “Kau kat mana tu?” Puan Zaiton bersuara lagi.
          “Nia ada di belakang, mak cik”
“Ke sini kau!” ujar Puan Zaiton sambil menjenggah dari arah pintu dapur.
Tanpa banyak soal Dania menghampiri Puan Zaiton yang sedang berdiri di muka pintu sambil bercekak pinggang merenung tajam ke arahnya. Janganlah aku kena marah dengan dia pagi ni.
“Ada apa mak cik?” Dania bersuara apabila sudah berada di hadapan wanita separuh umur itu.
          “Apa kau buat kat belakang tu?” soal Puan Zaiton tanpa menjawab soalan Dania.
“Nia nak jemur kain.” Jawab Dania jujur.
“Kau dah buat sarapan pagi ke belum?” sedikit tegas suara Puan Zaiton
“Dah.” jawab Dania sepatah sambil menganggukkan kepala
“Dah bagi ayah kau minum?” soal Puan Zaiton lagi.
          “Belum” jawab Dania lagi sambil menggelengkan kepalanya.
“Kau ni kan, bila orang tanya tu…jawablah betul-betul. Ini tidak, sepuluh aku tanya, sepatah yang kau jawab. Macam ni bila nak habis?” Puan Zaiton merenggus kasar dengan ulah Dania itu sambil bercekak pinggang.
Dania hanya mendiamkan diri. Tidak sedikit pun dia membalas kata-kata ibu tirinya itu. Jawab salah, tak jawab salah. Kalau aku jawab nanti kata aku ni melawan pulak.
“Kenapa kau tak bagi ayah kau minum lagi?” Puan Zaiton menukar topik perbualan diantara mereka berdua.
“Masa Nia nak bagi ayah minum tadi, ayah tidur lagi. Jadi Nia cuci kain dulu. Ingatkan lepas ini barulah Nia beri ayah makan”
“Dah…dah…kau pergi buat kerja kau. Lepas ni aku tahu, kau kemas rumah ni. Lepas tu, kau mandi dan bagi ayah kau minum. Jangan tak bagi pulak nanti. Faham!” sedikit keras suara Puan Zaiton.
“Nia faham, mak cik” Dania menganggukkan kepalanya.
“Ha…lagi satu sebelum aku terlupa. Dah siap kerja-kerja kau tu nanti, tolong aku kat kedai. Jangan lupa pulak!”
“Insya-ALLAH, mak cik. Nanti Nia datang”
“Jangan insya-ALLAH je. Datangnya tidak. Ika mana?”
“Hmm…dia belum bangun lagi, mak cik.” teragak-agak Dania memberitahu.
“Dah…pergi buat kerja kau” Tanpa berlengah lagi Dania berlalu meninggalkan Puan Zaiton bagi meneruskan tugasannya yang tertangguh sebentar tadi.
Begitulah rutin hidupnya semenjak ayahnya, Encik Rahmat berkhawin dengan Puan Zaiton selepas kematian ibunya. Zaman remajanya hanya dihabiskan dirumah dan juga menguruskan kedai makan yang diusahakan oleh ibu tirinya itu.
Bebannya semakin bertambah apabila ayahnya disahkan lumpuh akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lepas. Namun, tidak sedikit pun dia merasakan yang ayahnya itu satu bebanan dalam hidupnya. Sesungguhnya dia berasa bertuah kerana dapat berbakti kepada ayahnya saat itu.


Dania melangkah masuk ke dalam bilik kecil itu sambil menatang minuman pagi buat ayahnya. Sekuntum senyuman manis dihulurkan buat si ayah yang terlantar di atas katil.
“Ayah…ayah…” lembut suaranya memanggil Encik Rahmat.
“Hmm…Nia. Ada apa, nak?” merenung Dania dengan mesra.
“Kita sarapan ya, yah.”
“Nia dah sarapan?” ujar Encik Rahmat sambil cuba bangkit dari pembaringannya.
“Belum lagi, yah. Ayah sarapan dulu. Bila dah siap kerja-kerja Nia nanti, Nia sarapanlah” ujar Dania sambil membantu Encik Rahmat bangkit dari pembaringannya.
“Kenapa tak sarapan lagi? Mak cik kamu mana?” Encik Rahmat mengurut dadanya akibat batuk-batuk kecil yang keluar dari mulutnya.
“Ayah janganlah risau. Lepas siap kerja Nia nanti, Nia sarapan. Mak cik dah ke kedai. Awal-awal pagi lagi dia dah pergi” Dania melabuhkan punggungnya di birai katil bujang yang menempatkan ayahnya itu. Di bilik kecil itulah ayahnya menghuni sejak kemalangan yang menimpa dirinya beberapa tahun lalu.
“Tapi…sebelum tu, ayah kena mandi dulu. Lepas dah mandi baru kita minum ya, yah?” ujar Dania. Sekuntum senyuman manis dilemparkan buat si ayah.
Sekuntum senyuman bersama anggukkan kecil dihadiahkan buat si anak. Dania melakukan rutin hariannya. Dia mengelap seluruh badan ayahnya dengan tuala basah. Ulahnya itu hanya diperhatikan oleh ayahnya.
Dalam diam terdetik rasa sayu di hati si ayah akan nasib yang menimpa si anak. Bukan niat untuknya menyusahkan sesiapa pun. Lebih-lebih lagi si anak yang amat patuh padanya. Dia tahu Dania tidak pernah sekali mengeluh dalam menjaganya. Dania seorang anak yang penyabar dan tidak seperti Kartika, adiknya. Kasihan anak ini.
Perlahan-lahan Encik Rahmat menghela nafas panjang. Dania merenung wajah ayahnya dengan kehairanan apabila mendengar keluhan itu.
“Kenapa ayah? Sakit ke?” wajah Dania beriak sedikit cemas melihatkan ulah ayahnya itu.
“Tak” Encik Rahmat menjawab sepatah sambil menggelengkan kepalanya.
“Kalau takde apa-apa, kenapa ayah mengeluh?” Dania merenung hairan wajah Encik Rahmat. Agak lama juga Encik Rahmat berdiam diri sebelum memulakan bicaranya.
“Ayah ni dah banyak menyusahkan kamu, Nia.” Lemah sekali suara itu menusuk ke gegendang telinga Dania saat itu.
“Menyusahkan? Maksud ayah? Nia tak faham.” Soal Dania dengan kerutan di dahi. Bila pula ayah menyusahkan aku?
“Sepatutnya, waktu-waktu begini kamu berseronok dengan kawan-kawan dan bukannya menjaga ayah yang cacat ni. Ayah rasa bersalah sangat pada kamu” ujar Encik Rahmat sambil menundukkan kepalanya menahan rasa sayu.
“Ayah…tak baik ayah cakap begitu. Nia tak pernah pun menganggap ayah satu bebanan dalam hidup Nia selama ni. Apa yang Nia lakukan semua ni adalah tugas Nia sebagai seorang anak kepada ayahnya” sebak dada Dania apabila mendengarkan kata-kata yang keluar dari bibir ayahnya itu.
“Ayah memang tak guna, Nia. Kenapalah ayah yang harus menanggung semua ni? Jika ayah sihat pasti kamu tak terseksa begini. Pasti kamu dapat menyambung pelajaran kamu. Pasti kamu dapat teruskan cita-cita kamu.”
Dania menghela nafas pendek sebelum menjawab kata-kata Encik Rahmat. Dia tahu bahawa ayahnya itu terkilan tidak dapat melihat dia menyambung pelajaran hingga ke menara gading.
“Ayah…setiap apa yang terjadi, pasti ada hikmahnya. Sebagai hamba-Nya, kita harus akur pada Qada’ dan Qadar ALLAH. Bukan kita nak semua ni. Jika sekarang Nia tak dapat sambung pelajaran, satu hari nanti pasti impian Nia akan tercapai. Ayah jangan sesekali salahkan diri ayah dengan apa yang terjadi.” perlahan-lahan Dania mengucup lembut tangan ayahnya.
“Kamu anak yang baik, Nia. Ayah rasa amat berbangga kerana memiliki anak seperti kamu. Tentu arwah ibu kamu juga rasa bangga dengan kamu” Encik Rahmat mengusap lembut pipi puteri sulungnya itu.
Dania tersenyum manis sambil menganggukkan kepalanya. Tanpa disedari perbualan mereka didengari oleh Kartika, adik tiri Dania yang berlainan ibu. Sakit hatinya melihat kelakuan Dania dan juga ayahnya itu.
“Amboi…seronoknya bersembang. Kerja kau dah siap ke belum?” Kartika menyerbu masuk ke dalam bilik kecil itu sambil bercekak pinggang.
“Ika…kenapa ni? Tak baik cakap begitu dengan kakak kamu,” lembut suara Encik Rahmat menegur Kartika.
“Ahh…ayah. Kalau dengan Nia tu, baik aje. Dengan Ika ni ada aje yang tak kenanya. Itu salah, ini salah.” Kartika merenggus kasar sambil menjeling tajam pada Encik Rahmat dan Dania.
“Ika, tak baik cakap dengan ayah begitu. Kalau kau marahkan akak sekali pun, jangan dilepaskan pada ayah.” Dania sudah bangun dari duduknya. Dia kini menghadap adiknya dengan wajah yang merah padam. Encik Rahmat tahu Dania sedang cuba mengawal kemarahannya.
“Dah…sudahlah tu. Jangan nak bergaduh pagi-pagi buta ni,” celah Encik Rahmat bagi meleraikan bunga-bunga pertengkaran diantara Dania dan Kartika. Bimbang hatinya jika dibiarkan mahu makin teruk pula nanti.
“Nia ni ha…cakap macam tu sikit pun nak kecoh,” Kartika mencebikkan bibirnya. Macam bagus je.
“Kau tu yang cari pasal,” Dania merenggus marah. Dia yang mulakan dulu, aku juga yang disalahkan.
“Kau dah siapkan kerja-kerja kau ke belum?” soal Kartika kembali.
“Akak dah siapkan kerja-kerja. Tak payah kau nak ingatkan,” Dania kembali tenang bersuara.
“Apalagi…pergilah tolong mak di kedai. Mak dah lama tunggu kat kedai tu. Kau tak datang-datang lagi,”
“Sekejap lagi kakak pergilah. Lagi pun kakak belum bagi ayah minum,”
“Lagi tadi kau buat apa? Ha…kau buat apa?” jerkah Kartika sambil bercekak pinggang merenung ke arah Dania.
“Akak baru je sudah mandikan ayah. Biarlah akak bagi ayah minum dulu. Lepas tu kakak pergi kedai tolong mak cik,”
“Ahh…ayah tu bukannya budak kecil lagi. Makan pun nak bersuap. Bukan tak boleh suap sendiri. Yang lumpuh kaki, bukannya tangan,” lancang sekali mulut Kartika berbicara.
“Ika…” Dania merenung tajam wajah adik tirinya itu. Seakan mahu diterkam adiknya itu. Melihatkan itu pantas Encik Rahmat bersuara bagi mendamaikan mereka.
“Dah…sudahlah tu. Nia, kamu pergi ke kedai. Tolong mak cik kamu,” Tangan kanannya mengusap-ngusap dadanya akibat dari batuk-batuk kecil.
“Tapi ayah…” kata-kata Dania pantas dipotong oleh Encik Rahmat agar perbalahan diantara dia dan Kartika berakhir di situ.
“Takpe. Ayah boleh sarapan sendiri. Kamu pergilah tolong mak cik kamu di kedai. Nanti bising pula dia kalau kamu lambat datang.”
Dania terdiam mendengar penjelasan ayahnya itu. Antara mahu dengan tidak, dia akur juga dengan permintaan si ayah. Perlahan-lahan dia mengorak langkah meninggalkan bilik kecil yang menempatkan Encik Rahmat. Kartika tersenyum sinis melihatkan Dania berlalu meninggalkan mereka. Padan muka.
Begitulah nasib Dania. Sering mengalah dengan adiknya, Kartika. Jika dia melawan pasti dia akan menerima habuannya dari Puan Zaiton. Bukan dia tidak pernah melawan, namun habuan yang diterimanya lebih teruk dari yang sepatutnya.
Dia sudah tidak sanggup lagi untuk menanggung keperitan hidup ini. Pernah sekali dia terfikir untuk lari sahaja dari rumah itu, namun bila dikenangkan ayahnya yang terlantar sakit dibatalkan sahaja niat dihati. Biarlah orang nak kata dia bodoh, dia dungu…dia sedia menerimanya. Namun demi kasihnya yang menggunung pada si ayah, dia sanggup dilakukan sebagai hamba oleh Puan Zaiton dan juga Kartika.
Dia akui, dia bijak dalam pelajaran namun dia terpaksa padamkan hasratnya untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Dia yakin bahawa satu hari nanti dia akan dapat mencapai cita-citanya. Dia amat pasti tentang itu.




Tiada ulasan: