Halaman

Jumaat, 21 Oktober 2011

Selagi Ada Kasih 14

Hujan lebat yang turun seakan tidak mahu berhenti. Ketika di kolej tadi, hujan telah pun turun membasahi bumi. Oleh kerana ingin mengelakkan hujan dari bertambah lebat, Dania mengambil keputusan untuk pulang ke rumah cepat dari hari biasa.
Namun, hari itu merupakan hari yang malang baginya. Ketika dalam perjalanan pulang, dia telah terlibat dalam satu kemalangan kecil. Tanpa di sedari dia telah dilanggar oleh seseorang dari arah belakang. Ini telah mengakibatkan tangan kanannya mengalami kecederaan kecil. Mujur skuter yang dinaikinya tidak mengalami kerosakkan yang teruk.
Farid yang melanggarnya tanpa sengaja itu telah membawanya ke klinik yang berdekatan. Jejaka itu telah berulang kali memohon maaf darinya di atas ketidaksengajaannya. Tanpa mahu memanjangkan lagi perkara itu, Dania akhirnya memaafkan kesalahan pemuda tersebut. Baginya, Farid tidak salah. Jika tidak kerana kecuaiannya sendiri pasti mereka berdua dapat mengelakkan kemalangan tersebut.
Farid juga telah menawarkan diri untuk menghantarnya pulang. Namun, ditolak dengan baik pertolongan pemuda itu. Cukuplah Farid telah sudi membawanya ke klinik. Dia tidak mahu termakan budi  dengan pemuda itu. Dalam keadaan yang basah kuyup kerana hujan, akhirnya dia sampai jua di rumah.
Kepulangannya disambut oleh Sunarti. Melihatkan dirinya yang basah kuyup dan menggigil kesejukkan itu menambahkan kehairanan di hati gadis kelahiran Jawa Tengah itu.
“Lor…kok kebasahan sih, Nia? Mandi hujan ya?” Soal Sunarti lembut. Wajah Dania ditenung simpati.
Dania tidak terus menjawab. Dia berusaha melawan kesejukkan yang menusuk hingga ke tulang hitamnya saat itu. Dia menyerahkan topi keledarnya kepada Sunarti yang masih lagi tercegat di sisinya. Dah tahu aku kuyup begini, boleh lagi dia tanya macam tu. Apalah Sunarti ni. sabar ajelah.
“Saya kena hujanlah Sunarti. Tolong ambilkan saya tuala. Boleh?” Pinta Dania sambil membuka jaket yang dipakainya bagi mengelakkan hujan dan panas.
Tanpa banyak soal, Sunarti akur dengan arahan yang diberikan oleh Dania. Pemergian Sunarti dihantar dengan pandangan matanya sahaja. Sehinggalah gadis itu hilang dari pandangannya. Mak Kiah mendekati Dania yang masih lagi tercegat di pintu masuk vila mewah tiga tingkat itu.
“Nia…Nia…kenapalah tak tunggu hujan tu berhenti dulu? Kalau tidak takdelah Nia basah begini.” Soal Mak Kiah sambil menggelengkan kepala. Saja cari penyakit betul budak ni.
“Kalau Nia tunggu, malam baru Nia akan sampai rumah Mak Kiah. Tengok dari gaya hujan ni pun, lambat lagi berhentinya.” Tutur Dania lembut. Dia tahu Mak Kiah risaukan keadaannya.
Mak Kiah menghela nafas sambil menyambut jaket yang dihulur oleh Dania. Dania menggigit giginya melawan kesejukan yang bertandang. Ya ALLAH…sejuknya.
“Kot ye, pun tunggulah hujan tu berhenti dulu. Ni kalau demam siapa yang susah? Nia juga kan? Bukannya orang lain.” Bebel Mak Kiah. Kasihan dia melihat Dania yang kebasahan itu. Timbul rasa kasihan di hatinya akan keadaan Dania yang sudah lencun kerana hujan. Iskh…budak ni. Ada saja jawabnya. Kalau tak menjawab tu, bukan Danialah namanya.
Dania tersengih mendengar kata-kata Mak Kiah itu. Dia tahu nasihat Mak Kiah itu ada benarnya. Dia tidak kisah di nasihat sebegitu. Lagipun dia telah menganggap wanita separuh umur dan suaminya itu sebagai pengganti kepada ibu dan ayahnya sepanjang dia berada di situ.
Dania menutup hidungnya apabila secara tiba-tiba dia terbersin di hadapan Mak Kiah. Wanita berumur itu hanya menggelengkan kepalanya sahaja melihatkan ulahnya itu. Itulah, degil sangat.
“Tengok tu, kan dah selesema.” Marah Mak Kiah.
Dania tersenyum kecil mendengar teguran dari Mak Kiah itu. Sunarti datang sambil membawakan tuala kering buat Dania. Dania mengelap badannya setelah mengucapkan terima kasih. Ulahnya itu diperhatikan oleh Mak Kiah dan juga Sunarti. Tiba-tiba mata tua itu tertancap ke arah tangan Dania yang berbalut.
“Kenapa dengan tangan Nia tu?” Soal Mak Kiah kehairanan.
Dania tidak terus menjawab, malah matanya juga tertumpu ke arah yang diperkatakan oleh Mak Kiah. Begitu juga dengan Sunarti.
“Nia jatuh ya?” Soal Sunarti pula.
“Ha’ah. Saya jatuh motor tadi.” Dania menjawab tenang. Dia tidak mahu bercerita tentang duduk perkara yang sebenarnya pada Mak Kiah dan Sunarti kerana tidak mahu Mak Kiah dan juga Sunarti bimbang akan keadaannya itu.
“Ya ALLAH, Nia. Bila?” Jelas terlihat riak cemas di wajah tua Mak Kiah.
“Masa nak balik tadi. Tapi takde apa-apalah Mak Kiah. Terseliuh sikit aje. Lagi pun, Nia dah jumpa doktor. Mak Kiah janganlah bimbang.”
“Lain kali hati-hatilah bawa motor tu. Hujan-hujan macam ni, jalan raya licin. Bukan Nia tak tahu semua tu.” Tegur Mak Kiah lagi.
“Benar kata mbah tu. Kalau ditanya Tengku nanti, apa yang perlu kami bicarakan?” Sampuk Sunarti pula.
Dania tersenyum sebelum menjawab apabila mendengar soalan Sunarti itu. Saat itu terbayang di matanya wajah kacak Rayyan. Dia pasti lelaki itu juga akan sepertinya Mak Kiah dan juga Sunarti.
“Jangan dibilangin sama Tengku.” Ujar Dania meniru loghat Sunarti.
“Jika dimarahin, bagaimana?” Soal Sunarti lagi.
“Pandailah saya menjawabnya nanti. Lagipun kemalangan ni bukan kita boleh elak. Kalau hari ini kita elak, esok atau lusa pasti kita akan kena juga.”
Mak Kiah dan Sunarti terdiam mendengar kata-kata Dania itu. Dalam diam mereka mengiakan pernyataan tersebut. Dania bersuara kembali bagi memecah kesunyian di antara mereka bertiga.
“Puteri di mana, Mak Kiah?” Soal Dania sambil matanya melilau mencari kelibat Rifqah. Sedari tadi dia tidak nampak kelibat gadis kecil itu. Lazimnya Rifqah akan menunggunya di ruang tamu vila mewah itu.
“Ada di atas. Siapkan kerja sekolahnya.” Balas Mak Kiah.
“Kalau macam tu, Nia naik dululah. Tukar pakaian.”
“Yelah. Jangan lupa mandi. Takut demam pula nanti.” Pesan Mak Kiah.
“Baiklah, Mak Kiah.”
Dania melangkah meninggalkan Mak Kiah dan Sunarti yang masih lagi tercegat di muka pintu. Dia ingin segera ke biliknya untuk membersihkan diri dan bertukar pakaian. Bimbang jika berlama-lama nanti dia akan diserang demam dan selesema.




Selepas makan malam, Dania terus masuk tidur. Badannya terasa kurang enak. Tangannya yang masih berbalut itu terasa berdenyut-denyut. Pantas dia menelan ubat yang telah dibekalkan oleh doktor kepadanya tadi. Kepalanya pula mula berdenyut-denyut menahan sakit. Nak demam ke aku ni?
Rayyan belum lagi pulang dari pejabatnya. Ini amat dia pasti kerana semenjak dia pulang dalam hujan lebat tadi, kereta mewah milik lelaki itu tiada di pengkarangan rumah. Kebelakangan ini, lelaki itu sering sahaja pulang lewat. Dia amat pasti tentang itu. Perginya pula seawal pagi dan pulangnya pula lewat malam. Adakalanya, hampir subuh barulah lelaki itu pulang. Tidak dia tahu kemana perginya lelaki itu. Mungkin dia banyak kerja di pejabat barangkali. Lantaklah dia. Bukan urusan aku pun.
Entah bila masanya dia tertidur, tidak sedikit pun disedarinya. Mungkin kerana akibat kesan ubat yang dimakannya sebentar tadi. Lena sekali tidurnya. Sehinggakan tidak sedar akan kehadiran tapak-tapak halus yang mendekati katilnya saat itu.
Lenanya terganggu apabila terasa tubuhnya digoncang oleh seseorang dengan lembut. Begitu payah sekali dia membuka matanya. Dia akuinya, matanya begitu berat sekali untuk dibuka. Dalam kepayahan itu, terpandang olehnya akan Rifqah yang tercegat di depan mata dengan wajah yang sayu. Dia menguap kecil sebelum memulakan bicaranya.
“Puteri? Ada apa Puteri?” Soalnya dalam keadaan yang masih mamai.
“Puteri mimpi kena kejar monster.” Sayu suara Rifqah menusuk ke gegendang telinganya.
“Mimpi tu cuma mainan tidur aje. Takde monster dalam rumah ni.” Ujar Dania. Sesekali dia menguap kecil akibat kantuk. Mengantuknya mata aku.
“Tapi Puteri takut.” Renggek Rifqah.
Mendengarkan luahan kata si kecil itu, Dania menghela nafas panjang. Sesekali dia menggaru lehernya yang tidak gatal. Badannya benar-benar letih dan sakit-sakit. Saat itu ingin sahaja dia tidur tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun termasuklah Rifqah.
“Boleh tak kalau Puteri tidur dengan mummy?” Pinta gadis kecil itu.
Dania terdiam mendengar permintaan Rifqah itu. Sudah acapkali diarahkan agar gadis kecil itu tidak memanggilnya mummy, namun arahannya cuma sia-sia sahaja. Rifqah pasti akan mengingkarinya. Dia tahu, Rifqah rindukan belaian kasih seorang insan yang bernama ibu tapi dia bimbang jika ulah Rifqah itu akan mengundang kemarahan Rayyan dan keluarganya. Rifqah masih lagi kecil untuk memahami keadaan itu.
Lamunannya terhenti apabila terdengarkan renggekkan kecil dari Rifqah. Direnung wajah mulus di hadapannya itu. Sesekali dia mengerdipkan matanya agar berada di dalam kesedaran. Saat itu, wajah comel itu berbalam-balam diruang matanya.
“Mummy, boleh tak Puteri tidur dengan mummy? Puteri takut.” Pinta Rifqah lagi.
Dania hanya menganggukkan kepalanya sahaja bagi menjawab permintaan yang di utarakan oleh Rifqah itu. Tanpa menunggu lama lagi, Rifqah pantas naik ke atas katilnya. Rifqah dibelai manja. Sehinggalah Rifqah tertidur lena di sebelahnya.




Kepulangannya malam itu disambut oleh Sunarti. Badannya benar-benar terasa begitu letih sekali. Terlalu banyak kerja-kerja yang harus diuruskan di pejabat siang tadi. Pelawaan Helmi yang mengajaknya supaya ke kelab malam itu, ditolak lembut. Dia melabuhkan punggungnya di sofa yang terdapat di ruang tamu rumah itu.
Bukan dia tidak mahu keluar berhibur dengan temannya itu, cuma hari itu dia memang benar-benar keletihan. Dia sengaja pulang awal kerana ingin merehatkan badan dan juga ingin meluangkan masa dengan Rifqah. Seingatnya, sudah agak lama dia tidak menghabiskan masa dengan anaknya itu. Semenjak Dania bekerja dengannya, masanya lebih ditumpukan dengan dunia luarnya dan juga kerjayanya berbanding meluangkan masa dengan Rifqah.
Mujurlah Rifqah tidak merenggek akan kesibukkannya itu seperti selalu. Akhir-akhir ini dapat dilihat Rifqah begitu rapat dengan Dania. Sehinggakan Dania dipanggilnya mummy. Bukan dia tak tahu semua itu. Dia tahu. Ada masanya, Dania akan menegur perbuatan Rifqah. Namun, semakin ditegur semakin galak Rifqah akan memanggil Dania dengan panggilan tersebut.
Dia akui, Rifqah tidak mudah rapat dengan orang lain dengan begitu mudah. Dia faham sangat dengan perangai anaknya itu. Tapi dengan Dania, dia begitu cepat mesra walaupun pada mulanya dia agak takut-takut dengan Dania. Lamunannya terganggu apabila Sunarti menegurnya dengan lembut.
“Tengku mahu makan? Kalau mahu, nanti saya hangatkan lauknya.” Ujar Sunarti dalam loghat Indonesianya.
“Tak apalah, Sunarti. Saya tak ada selera nak makan.” Jawabnya lembut. Aku nak tidur aje. Dah tak larat sangat dah ni.
“Kalau begitu, saya ke belakang dulu ya?” Pinta Sunarti.
Hanya anggukkan sahaja yang diberikannya. Dia menyandarkan kepala di sofa bagi merehatkan kepalanya saat itu. Baru beberapa langkah Sunarti melangkah meninggalkannya, diseru nama gadis itu. Pantas gadis itu berpaling kehairanan.
“Ya, Tengku?”
“Mana Rifqah? Dari tadi saya tak nampak dia pun.”
Baru kini dia rasakan rumah itu begitu sunyi tanpa suara anaknya, Rifqah. Jika tidak, waktu-waktu begini pasti Rifqah akan menonton televisyen bersama Dania. Ada sahaja benda yang mereka berdua bualkan. Bukan sahaja Rifqah yang tiada, Dania juga begitu. Ruang tamu itu terasa sunyi tanpa kehadiran dua insan tersebut.
Baginya, Dania dan Rifqah ibarat belangkas di rumah itu. Di mana ada Dania, di situlah ada Rifqah. Begitulah sebaliknya. Dania seakan tidak jemu melayan karenah gadis sebesar Rifqah. Apa sahaja yang disoalnya, pasti akan dijawab dengan tenang, lembut dan penuh sabar oleh Dania. Walaupun kadang-kala soalan yang diajukan oleh anak gadisnya itu tidak logik dek akal.
“Ohh…Puteri? Ada di atas. Tidur barangkali, Tengku.”
“Tidur? Awalnya dah tidur.” Soalnya kehairanan. Dia melirik ke arah jam yang tergantung di dinding. Jam menunjukkan tepat ke angka sepuluh malam.
“Ya, Tengku. Hari ni mereka berdua masuk tidur awal.” Tanpa disoal, Sunarti memberitahu.
“Takkan dua-dua sekali tidur?” Soal Rayyan lagi. Pelik.
“Selalunya begitulah, Tengku. Kalau Nia tidur awal, Puteri pun turut tidur awal. Kenapa Tengku?”
“Takdelah. Selalunya mereka tidur lambat. Kenapa pula hari ini mereka tidur awal pula?”
“Ohh…Nia enggak enak badan. Jadi hari ini, lepas makan ubat dia terus tidur.”
“Tidak enak badan? Demam?” Soal Rayyan sambil merenung wajah Sunarti.
“Bukan sih. Tadi masa pulangnya dari kampus, Nia lagi accident. Lepas tu dia kebasahan dalam hujan lebat. Mungkin disebabkan itu, badannya enggak enak.” Jelas Sunarti dengan panjang lebarnya.
Rayyan hanya terdiam mendengar penerangan dari Sunarti itu. Dia menghela nafas pendek sebelum memulakan bicaranya.
“Takpelah. Kamu suruh Mak Kiah buatkan saya susu panas dan hantarkan ke bilik saya.” Ujar Rayyan sambil bangkit dari duduknya sebentar tadi.
“Baik, Tengku.”
Rayyan terus berlalu menuju ke biliknya. Ketika kakinya ingin melangkah masuk ke dalam bilik, langkahnya terhenti seketika. Kakinya menuju ke arah bilik yang menempatkan Rifqah. Apabila pintu bilik itu ditolak perlahan. Di dapati Rifqah tiada di tempatnya. Nafas panjang dihelanya. Pasti dia tidur dengan Dania lagi.
Dia sedia maklum, jika Rifqah tiada dibiliknya, pasti anak kecil itu ada di bilik Dania. Pasti Rifqah tidur bersama dengan Dania lagi. Bukan sekali dua dia menghalang anak itu dari tidur bersama Dania, sudah acapkali namun halangannya itu sia-sia sahaja. Rifqah pasti tidak mengendahkan kata-katanya.




Dia merenung kegelapan malam yang semakin dingin itu. Selepas mandi tadi, dia lebih suka berdiri di situ sambil menikmati kepekatan malam. Merenung ke arah dada langit yang kelam. Titis-titis hujan masih lagi membasahi bumi. Ketukkan di pintu mengganggu konsentrasinya saat itu. Tetamunya melangkah masuk setelah mendapat keizinan darinya.
“Airnya, Tengku.” Ujar Mak Kiah lembut.
“Terima kasih, Mak Kiah. Letakkan di situ.” Luahnya tenang.
Arahan yang diberikan dipatuhi. Ruang bilik itu terasa sunyi dan sepi. Itulah rutinnya setiap malam. Selepas minum susu panas yang dicampurkan dengan badam, dia pasti akan tidur. Hanya Mak Kiah sahaja yang dibenarkan masuk ke dalam biliknya itu.
Bilik yang besar lengkap dengan katil kelamin dan juga almari solek. Almari pakaiannya pula bersambung dengan pintu bilik air. Di sudut kanan diletakkan sofa panjang dan di hadapan katil diletakkan sebuah televisyen. Sedikit ringkas kerana dia bukannya seorang lelaki yang gemar dengan perabut yang banyak dan serabut seperti orang lain.
Begitu juga dengan keadaan vilanya. Dia suka yang ringkas. Biarlah apa pun orang kata, hakikatnya dia tidak mahu sesuatu itu terlalu semak di hadapan mata.
“Tengku mahu apa-apa lagi ke?” Soal Mak Kiah tiba-tiba.
Mendengarkan soalan itu, pantas dia menoleh ke arah Mak Kiah. Lalu dirapati wanita itu.  Punggungnya dilabuhkan di sofa yang terdapat di dalam bilik tersebut.
“Saya nak tanya Mak Kiah sesuatu.” Ujarnya lembut.
“Apa dia, Tengku?” Soal Mak Kiah pantas.
“Betul ke Dania accident?” Tanya Rayyan sambil merenung wajah Mak Kiah yang sedang berdiri tercegat di hadapan matanya.
“Ma…Ma…Mana Tengku tahu?” Soal Mak Kiah teragap-agap tanpa menjawab soalan Rayyan. Macam mana dia boleh tahu?
“Kenapa? Saya tak perlu tahukah pasal benda ni?” Soal Rayyan kembali sambil menyandarkan tubuhnya.
Mak Kiah terdiam mendengarkan soalan Rayyan itu. Dia kehilangan kata-kata. Pandangan Rayyan itu membuatkannya serba-salah. Dia telah berjanji dengan Dania untuk tidak memberitahu Rayyan berkenaan kemalangan tersebut tetapi Sunarti telah terlebih dahulu memberitahu Rayyan perkara tersebut. Iskh…ni mesti Sunarti yang bagitahu dia. Kalau tidak, takkan dia boleh tahu pasal ni.
“Kenapa, Mak Kiah?” Soal Rayyan.
“Tak…Tak…Tak ada apa, Tengku.”
“Kalau takde apa-apa kenapa Mak Kiah teragap-agap?”
Mak Kiah tersengih mendengar soalan yang telah di utarakan oleh Rayyan itu. Dalam hatinya mula memarahi Sunarti kerana membocorkan rahsia tersebut.
“Cuba cakap betul-betul dengan saya. Jangan nak selindung-selindung.” Ujar Rayyan lembut. Mesti Dania yang tak bagi Mak Kiah beritahu pada aku.
“Tapi…Nia tak bagi Mak Kiah beritahu pada Tengku pasal benda ni.” Jujur Mak Kiah menjawab.
Rayyan tersenyum kecil mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Mak Kiah. Dia menghela nafas pendek sebelum memulakan bicaranya. Aku dah agak dah.
“Oklah, Mak Kiah. Saya nak tanya Mak Kiah sesuatu. Siapa yang bayar gaji Mak Kiah? Dania atau saya?” Ugut Rayyan sambil membetulkan duduknya.
Sengaja dia berbuat demikian. Dapat dilihat hubungan Mak Kiah dan Dania rapat. Serapat hubungan Dania dan Rifqah. Apa sahaja yang diarahkan oleh Dania, akan mereka turuti. Dapat pula jika perkara itu perlu dirahsiakan darinya.
“Tengku.” Sepatah sahaja ayat itu keluar dari bibir tua tersebut.
“Jadi?” soal Rayyan sepatah.
Kali ini giliran Mak Kiah pula yang mengeluh berat. Dia menjadi serba-salah sebenarnya. Dia telah berjanji dengan Dania dan kini dia terpaksa memungkiri janjinya dengan gadis itu.
“Memang betul Nia accident masa balik kolej tadi.”
“Dia dah ke klinik?”
“Katanya dah.”
“Teruk ke keadaan dia?” Soal Rayyan lagi.
“Tak teruk sangat. Cuma tangan kanan dia terseliuh sikit aje.”
“Dia demam ke Mak Kiah?”
“Tak perasan pula Mak Kiah, Tengku. Tapi masa dia pulang tadi hujan lebat. Habis basah kuyup dia dibuatnya.”
Rayyan menghela nafas panjang apabila mendengar penerangan dari Mak Kiah itu. Kepalanya digeleng-geleng perlahan.
“Kenapa dia tak tunggu hujan berhenti dulu, kemudian baru pulang?” Keluh Rayyan.
“Mak Kiah ada tanya dia macam tu juga tadi tapi katanya takut lambat sampai rumah. Jadi, dia redah ajelah.”
“Dah lama dia tidur?”
“Lepas makan malam tadi, dia terus masuk tidur.”
“Takpelah, Mak Kiah. Mak Kiah boleh pergi.”
Tanpa berlengah lagi, Mak Kiah terus berlalu pergi meninggalkan Rayyan kembali sendirian di kamarnya. Rayyan pantas meneguk air susu yang di bawa oleh Mak Kiah tadi. Gelas kosong diletak di atas meja di sisinya.
Kakinya pantas melangkah menuju ke bilik Dania. Perlahan-lahan pintu bilik Dania ditolaknya. Dilihat Rifqah begitu lena sekali tidur berbantalkan lengan Dania. Dapat dilihat juga tangan kanan Dania yang berbalut itu memeluk tubuh kecil Rifqah. Dalam diam dia tersenyum kecil sambil menggelengkan kepalanya melihat gelagat mereka berdua itu.
Dengan langkah yang perlahan dia mendekati katil yang menempatkan Dania dan Rifqah. Makin dia hampir, makin dapat dilihat dengan jelas wajah mulus Dania. Dalam diam dia tertawan. Hmm…boleh tahan juga dia ni.
Dalam diam dia mengamati wajah mulus itu. Dania berkulit hitam manis, mempunyai rambut lurus separas bahu, hidungnya sedikit mancung dan bibirnya merah bak delima. Dalam diam dia memerhatikan wajah gadis di hadapannya itu. Tak sangka dia ni cantik juga.
Niat untuk mengangkat Rifqah agar kembali ke biliknya, dibatalkan. Dia membetulkan selimut yang membaluti tubuh dua insan yang sedang lena dibuai mimpi itu. Ketika dia tunduk untuk mencium dahi Rifqah, hidungnya terhidu akan keharuman rambut Dania. Pantas kepalanya ditoleh ke arah Dania yang sedang lena itu.
Saat ini wajahnya dan wajah Dania benar-benar begitu dekat sekali. Pantas dia melarikan wajahnya dari bertembung dengan wajah Dania. Dadanya berdebar kencang. Seperti mahu pecah rasanya. Nafasnya mula tidak teratur. Tangannya memegang dadanya yang berdegup kencang. Apa kena dengan aku ni? Kenapa boleh jadi macam ni?
Namun ketika dia bangun untuk pergi meninggalkan bilik tersebut, terasa tangannya ditarik oleh seseorang. Dia tergamam seketika. Dadanya kembali berdebar-debar. Dia cuba mengatur nafasnya yang mula berombak itu. Tiba-tiba Dania bersuara memecah kesunyian di malam yang sepi itu.
“Jangan tinggalkan Nia.” Bisik Dania perlahan.
Rayyan menelan liurnya. Terasa begitu pahit sekali. Matanya dipejam rapat serapat rapatnya. Permintaan Dania sebentar tadi seakan diluar bidang kuasanya. Namun sekali lagi, Dania bersuara. Betulkah apa yang aku dengar ni? Atau ianya sekadar mainan perasaan aku aje?
“Jangan tinggalkan Nia.”
Lirih sekali dia mendengar suara Dania saat itu. Pantas dia menoleh. Dilihatnya gadis itu menutup matanya. Dia tersenyum seketika sambil menghela nafas. Sesekali dia menggelengkan kepalanya. Menggigau rupanya. Aku ingatkan betul-betullah tadi. Cuak betul aku dibuatnya.
“Jangan tinggalkan Nia, ayah. Jangan tinggalkan Nia. Nia sayang ayah.”
Mendengarkan ayat yang meluncur keluar dari bibir munggil Dania itu membuatkan Rayyan tergamam. Dapat dilihat dahi Dania berkerut dan berpeluh-peluh kecil. Tanpa berlengah lagi, pantas dia meraba dahi gadis itu. Terasa panas. Barulah dia tahu bahawa gadis itu demam.

2 ulasan:

Juju berkata...

bessttttt...semakin menarik jln crita....lagi2

idA berkata...

salam dik..akak baru terjumpa blog ni..akak da baca citer ni dan akak nak ucapkan syabas dik..citer ada mengenai nasib anak tiri yg dirundung malang mmg menarik perjalanan citernya..Teruja nak tahu adakah Tengku da mulai menerima Nia dalam hati dan kehidupan hariannya..Berapa ek umur Puteri..ingin nak tahu dari nukilan adik..budak ni mmg bijak dan comel ..sehingga kdg kdg luahan hati Puteri spt budak berumur 6 tahun..
Harap ada kesinambungan citer ni..apa ek terjadi kat Nia..Tengku dan Farid yg mengharap kan Nia yg menjadi bunga larangan..satu ungkapan yg dlm maksudnya..