Halaman

Isnin, 7 November 2011

Selagi Ada Kasih 15

Dia membuka matanya apabila terasa silaunya matahari. Kepalanya terasa amat berat sekali. Pantas tangannya merasa dahinya. Jemarinya tersentuh sesuatu di atas dahinya. Dia menjadi sedikit kehairanan. Siapa pula yang letak cool fever atas dahi aku ni? Mak Kiah ke?
Tanpa berlengah lagi, pantas dia bangkit dari tidurnya. Pagi ini dia ada sesi perbincangan di kolejnya. Dia harus ke kolej. Matanya melirik ke arah jam loceng yang terdapat di atas meja belajarnya. Buntang anak matanya apabila melihat jarum jam menunjukkan tepat pukul sembilan pagi. Aduhh….aku dah lambat. Macam manalah aku boleh tak terkejut ni?
Pantas dia mencapai tuala yang tergantung di hujung katilnya. Selesai mandi, dia bersiap ala kadar sahaja. Dengan memakai jeans dan berkemeja lengan panjang berwarna ungu, dia melangkah turun dari tingkat atas. Rambutnya yang paras bahu di ikat ekor kuda sahaja. Tanpa menoleh ke kiri dan kanan, dia terus menuju ke meja makan.
Tiada siapa di situ kecuali dia sahaja. Pantas dia ke dapur mendapatkan Mak Kiah yang sedang menyiapkan bahan-bahan untuk juadah tengahari itu. Sunarti pula berada di belakang, menjemur pakaian yang telah siap dicucinya.
“Mak Kiah…” Sapanya lembut.
“Eh…Nia. Nak kemana ni?” Soal Mak Kiah hairan.
“Nia nak ke kolej. Pagi ni Nia ada sesi perbincangan.” Jawab Dania lembut.
“Tapi…bukankah Nia tak sihat?” Soal Mak Kiah lagi.
“Nia dah makan ubat tadi Mak Kiah. Kejap lagi okaylah tu.”
“Tak mahu minum dulu ke?”
Serba-salah Dania di buatnya. Demi menjaga hati orang tua itu, Dania meneguk secawan teh dan mencapai sekeping roti yang telah di bakar lalu di sumbat ke dalam mulutnya. Walaupun hakikatnya, tekaknya tidak dapat menerima semua itu saat ini.
“Ok, Mak Kiah…Nia pergi dulu. Dah lambat dah ni.” Sapa Dania.
“Mummy nak pergi mana?” Sapa Rifqah. Hairan dia melihat Dania yang sedikit kelam-kabut pagi itu.
Dania menoleh apabila mendengar suara itu. Entah dari mana datangnya si kecil itu tidak dia tahu. Yang pastinya Rifqah sudah tercegat di sisinya saat itu. Sekuntum senyuman diberikan buat sang puteri.
“Kak Nia nak ke kolej, sayang. Kak Nia ada perbincangan pagi ni.” Ujar Dania lembut.
“Bukan ke awak tak sihat?” Sampuk Rayyan secara tiba-tiba. Takkan nak pergi juga.
Hampir tercekik dia apabila mendengarkan suara itu. Pantas dia mendongakkan wajahnya menatap yang empunya suara. Dilihat Rayyan sudah berdiri di belakang Rifqah. Bila masa dia ni muncul? Tak kerja ke dia hari ni?
“Pagi ni saya ada perbincangan dengan kawan-kawan saya. Saya tak boleh tak pergi sebab tak lama lagi nak exam.” Jelas Dania lembut.
“Tapi awakkan tak sihat. Boleh di kecualikan.” Ujar Rayyan sambil memeluk tubuh.
“Saya dah makan ubat demam tadi. Kejap lagi, oklah ni.” Balas Dania.
“Jangan nak mengada. Kalau apa-apa jadi pada awak nanti siapa yang nak bertanggungjawab?” Tegas sekali kata-kata Rayyan. Aku juga. Bukan kau aje.

“Biarlah saya tanggung sendiri. Lagipun, esok kelas tak ada. So, saya boleh rileks but today saya kena pergi sebab group saya ada presentation. Bukan saya sengaja mahu pergi.” Rayu Dania. Dia berdoa agar Rayyan akan membenarkannya pergi. Aduh…dia ni. Cubalah faham keadaan aku saat ni.
Mendengarkan itu, Rayyan terdiam. Dia menghela nafas panjang sebelum bersuara. Susah bercakap dengan orang degil ni.
“Oklah. Awak tunggu sebentar.”
Dania menjadi hairan dengan tingkah laku Rayyan itu. Tidak lama kemudian Rayyan datang semula mendapatkannya dan Rifqah yang masih tercegat di muka pintu dengan penuh kehairanan.
“Jom…” Ajak Rayyan lembut. Dia akan menghantar Dania ke kolej pagi itu.
“Mana?” Tanya Dania hairan. Dia nak ajak aku kemana?
“Kolejlah. Tadi awak kata nak pergi kolej, kan?” Soal Rayyan sambil merenung wajah Dania yang masih lagi kehairanan.
“Ya. Tapi…” Dania tidak jadi meneruskan kata-katanya. Takkan dia nak hantarkan kot?
“Hari ini saya yang akan hantar awak ke kolej. Jom, Rifqah. Kita hantar mummy ke kolej.” Rayyan menghulurkan tangannya ke arah Rifqah.
Rifqah tidak menunggu lama lagi, terus menyambut huluran tangan dari daddynya itu. Dania masih lagi tercegat di muka pintu dalam keadaan kebinggungan. Sesungguhnya dia menjadi hairan kenapa dengan Rayyan hari itu. Sakit apa mamat ni? Ke tersilap makan ubat malam tadi?
“Ha…tunggu apa lagi? Cepatlah. Tadi kata dah lambat.” Gesa Rayyan. Dia tahu Dania terkejut dengan ulahnya itu.
Laungan Rayyan itu mengejutkan Dania dari lamunannya. Dengan hati yang berat, Dania melangkah jua menuju ke arah kereta. Otaknya benar-benar buntu dengan kebaikkan Rayyan padanya pagi itu. Kenapa dia ni baik sangat dengan aku hari ni? Macam ada benda yang tak kena aje. Dia ni bukan boleh percaya sangat.
Sepanjang dalam perjalanan ke kolej, mereka tidak banyak cakap. Rifqah juga begitu. Ralit dia memerhatikan keadaan sekeliling. Masing-masing seakan tenggelam dengan dunia masing-masing. Sesekali Rayyan menjeling kecil ke arah Dania yang duduk di sebelahnya itu.
“Kelas habis pukul berapa?” Soal Rayyan tiba-tiba.
“Ha?” Dania menoleh ke arah Rayyan. Dia bercakap dengan aku ke?
“Saya tanya, kelas habis pukul berapa hari ini?” Ulang Rayyan.
Dania tidak pantas menjawab. Dia menoleh sekilas ke arah jam di tangannya. Dilihat jarum jamnya yang tidak bergerak. Aiik…apsal pula jam ni? Mati ke? Aduh…masalah betullah. Perlahan-lahan dia mengetuk permukaan jam itu. Ulahnya diperhatikan sahaja oleh Rayyan dengan kehairanan.
“Kenapa?” Soalnya hairan.
“Jam ni…mati pula.” Selamba sahaja jawapan itu keluar dari bibirnya. Wajah Rayyan direnungnya. Kelihatan lelaki menghela nafas panjang.
“Apa yang mati, mummy?” Sampuk Rifqah dari arah belakang secara tiba-tiba.
“Jam Kak Nia ni mati.” Jawab Dania jujur. Macam manalah aku boleh tak perasan tadi?
“Kalau dah mati, tanamlah. Buat apa simpan lagi.” Lancar sekali jawapan yang diberikan oleh Rifqah itu.

Tanpa disedari Rayyan dan Dania menutup mulut mereka berdua, menahan tawa dari pecah. Melihatkan itu pantas Rifqah kembali bersuara. Hairan dia melihat Dania dan Rayyan ketawa apabila mendengarkan kata-katanya.
“Kenapa ketawa? Betullah Puteri cakap. Kalau dah mati tanamlah.”
“Sayang, jam kalau mati perlu ditukar baterinya. Ianya tak perlu ditanam.” Jawab Rayyan tenang sambil tersenyum nipis.
“Tapi ianya hidup. Setiap benda hidup yang mati perlu ditanam.” Petah sekali Rifqah mempertahankan hujahnya.
“Memanglah tapi jam adalah benda. Bukan seperti haiwan dan juga manusia. Bila ianya mati, ianya tak perlu ditanam. Puteri faham tak?” Sampuk Dania.
“Ohh…begitu. Puteri ingatkan semua benda hidup yang mati perlu ditanam.” Ujar Rifqah lagi.
“Tak semua benda hidup, Puteri.” Ujar Dania lagi.
“Ni siapa yang cakap macam ni pada Rifqah?” Soal Rayyan sambil menoleh sekilas ke arah Rifqah yang duduk di belakang Dania. Ajaran sesat betullah.
“Mak Kiah dan Pak Hamid. Kak Sunarti pun cakap macam tu.” Balas Rifqah.
“Masa bila dia orang cakap begitu?” Soal Rayyan lagi.
“Masa Tommy mati dulu. Pak Hamid tanam ia. Masa tulah Pak Hamid dan Mak Kiah cakap pada Puteri.”
“Tommy? Siapa Tommy tu?” Giliran Dania pula yang bertanya sambil menoleh ke arah Rayyan yang berada di sebelahnya.
“Tommy tu kucing siam peliharaan Rifqah.” Terang Rayyan.
Dania menganggukkan kepalanya seakan faham dengan penjelasan dari Rayyan itu. Malas untuk dia bertanya dengan lebih lanjut lagi akan kematian kucing siam peliharaan Rifqah itu.
Suasana sepi kembali menyelubungi di antara mereka. Masing-masing mula melayani fikiran masing-masing. Sehinggalah kereta Rayyan memasuki pengkarangan kolej Dania. Rayyan menghentikan keretanya di hadapan taman yang selalu di jadikan tempat pertemuan di antara Dania dan Zaza bertemu.
“Terima kasih sebab sudi hantarkan saya ke kolej hari ni.” Ujar Dania sambil membuka tali pinggang keselamatan yang melilit tubuhnya.
“Tak apa. Lagi pun, saya tak kerja hari ini.” Luah Rayyan lembut. “Awak balik pukul berapa hari ini?” Soal Rayyan lagi.
“Insya-ALLAH dalam pukul sebelas pagi. Kenapa?” Tanya Dania hairan. Takkan dia nak ambil aku juga kot.
“Nanti saya datang ambil awak.” Ujar Rayyan tenang.
“Eh…takpelah. Saya boleh balik sendiri. Jangan susah-susah.” Tolak Dania lembut. Bimbang andainya lelaki itu terasa dengan penolakkannya itu. Dia sakit ke aku yang sakit?
“Awak nak balik naik apa?’ Soal Rayyan sambil merenung wajah Dania.
“Naik bas.” Pantas Dania menjawab soalan Rayyan itu. Takkan nak merangkak pula.
“Awak nak jalan dari luar tu masuk dalam seorang?’ Tanya Rayyan lagi.
Dania terdiam seketika. Bibirnya diketap perlahan. Dia akui, untuk jalan masuk ke rumah Rayyan agak jauh juga dia perlu berjalan. Sekurang-kurangnya hampir 45 minit atau lebih barulah dia akan sampai ke rumah. Dia yakin bahawa dia tidak mampu untuk berjalan sebegitu jauh dalam keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan saat ini. Mahu dia rebah di tengah jalan nanti.
Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Rayyan. Dapat di lihat kerutan di dahi gadis itu. Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang.
“Pukul sebelas nanti awak tunggu saya di sini. Nanti saya datang ambil.” Arah Rayyan.
“Tapi…” Dania tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila Rayyan pantas memotong kata-katanya. Kenapa dia ni baik sangat hari ni? Macam dia sembunyikan sesuatu aje dari aku.
“Takde tapi-tapi lagi. Ini arahan dari saya. Suka atau tidak awak kena ikut. Faham?” Sedikit tegas kata-kata itu keluar dari bibir Rayyan. Ada saja alasannya.
Dengan lambat-lambat, Dania menganggukkan kepalanya. Dia tahu, suka atau tidak dia terpaksa akur dengan arahan itu. Ini kerana dia tidak mahu bertengkar dengan lelaki tersebut. Lebih-lebih lagi di hadapan Rifqah.
“Oklah. Saya pergi dulu.” Ujar Dania sambil menghulurkan tangan. Beraralah ajelah. Aku tak rugi apa-apa pun.
Rayyan kaget seketika. Dengan teragak-agak dia menyambut huluran tangan Dania. Terasa sejuk hatinya apabila Dania menunduk cium tangannya. Dia tahu, ini adalah kali kedua gadis itu berbuat sedemikian. Kenapa aku rasa tersentuh dengan perbuatannya ini?
Bukan Dania tidak mahu berbuat demikian tetapi memandangkan dia tidak selalu jumpa lelaki itu sewaktu lelaki itu keluar pergi ke pejabat. Dan dia pula ingin ke kolej. Setiap pagi, dia akan keluar terlebih dahulu sebelum Rayyan bagi mengelakkan kesesakkan jalan raya.
Rayyan merenung wajah mulus itu dalam-dalam. Dalam diam hati kecilnya memuji sikap yang telah ditunjukkan oleh Dania sebentar tadi. Tanpa menghiraukan pandangan Rayyan, Dania menoleh ke arah belakang.
“Puteri, Kak Nia dah nak pergi ni. Sayang Kak Nia sikit, cepat.” Pinta Dania.
Tanpa menunggu lama, Rifqah mendekati Dania. Kedua pipi mulus Rifqah diciumnya penuh kasih sayang. Begitu juga Rifqah. Dia membalas ciuman Dania itu dan juga mencium tangan Dania.
“Bye, mummy. Hati-hati tau.” Lambai Rifqah.
“Iye, sayang. Saya pergi dulu. Assalammualaikum.” Balas Dania lembut.
Rayyan menjawab huluran salam yang dihulurkan oleh Dania itu perlahan. Permergian Dania dihantar dengan pandangan mata sahaja. Akhirnya, dia berlalu pergi dari situ apabila dilihat Dania bertemu dengan teman sekuliahnya, Zaza.
“Siapa yang hantar kau tu?” soal Zaza sambil merenung ke arah kereta mewah yang dipandu oleh Rayyan.
Sesungguhnya dia sedikit terkejut apabila Dania datang ke kolej dengan dihantar oleh seseorang pagi itu. Jika sebelum ini, Dania sering ke kolej dengan menunggang skuternya. Paling tidak pun gadis itu akan menaiki teksi jika skuternya mengalami kerosakkan.
Tahu sangat dia dengan perangai Dania yang tidak mudah dan mahu termakan budi dengan orang yang membantunya. Dania lebih rela berusaha sendiri dari termakan budi. Katanya, takut suatu hari nanti sukar untuknya membalas budi yang telah ditaburkan oleh seseorang kepadanya. Selagi boleh, dia ingin mengelakkannya.
Dania pula tidak segera menjawab soalan yang diberikan oleh Zaza itu. Dia lebih gemar mendiamkan diri dari menjawab soalan tersebut. Dia tahu, jika dilayan setiap pertanyaan Zaza itu, pasti berjela-jela soalan yang akan ke udara nanti.
“Eh Nia…kau dengar tak aku tanya ni?” Soal Zaza kembali.
“Apa dianya, Zaza?” Soal Dania malas. Iskh…buzy body betullah dia ni.
“Aku tanya, siapa yang hantar kau tadi?” Sekali lagi Zaza bertanya.
“Orang.” Jawab Dania sepatah.
“Aku tahulah orang. Takkan beruang pula.” Ujar zaza sambil menahan marah. Saja menguji tahap kesabaran aku betullah dia ni.
“Dah tu, tanya lagi buat apa?” Soal Dania sambil tertawa kecil dan merenung wajah Zaza. Suka dia melihat gadis itu marah begitu. Dia suka apabila melihat gadis itu merajuk. Wajah yang dipamerkan oleh Zaza pasti melucukan.
“Kau ni kan, cubalah jawab betul-betul bila orang tanya tu. Janganlah main-main.”
“La…salahkah aku cakap?”
“Takdelah. Cuma jawapan kau tu menyakitkan hati aje, tau tak?” Gumam Zaza sambil berpeluk tubuh. Menyesal aku tanya.
“Kau tahu tak, Zaza? Bila orang tak mahu jawab apa yang kita tanya tu bermakna dia tak mahu kita masuk campur dalam urusan dia. Faham?” Jujur Dania memberitahu.
Mendengarkan kata-kata Dania yang lembut dan tegas itu membuatkan Zaza terdiam sambil berpeluk tubuh. Muncungnya ditarik tanda protes ke atas Dania. Melihatkan itu, Dania tersenyum kecil. Dia tahu Zaza terasa dengan kata-katanya sebentar tadi. Dia tidak bermaksud demikian. Sengaja dia ingin mengusik sahabatnya itu.
“Alah…janganlah merajuk. Aku main-main ajelah.” Ujar Dania sambil memeluk bahu Zaza. Namun pujukkan Dania itu tidak memberi kesan kepada Zaza. Dia masih lagi mendiamkan diri.
“Oklah…oklah…aku beritahu. Yang hantar aku tadi tu, abang saudara aku. Puas hati, Cik Zaza?” Terang Dania lembut. Tak sanggup dia melihat Zaza merajuk dengannya lama-lama. Akan terasa sunyi hidupnya tanpa gurau senda teman baiknya itu.
“Abang saudara kau yang hensem tu?” Soal Zaza pantas. Saat ini, hilang sudah rajuknya dengan Dania. Di birai matanya terbayang wajah Rayyan yang kacak.
Dania menganggukkan kepala sambil tersenyum. Hensem ke mamat tu? Bolehlah. Daripada si Farid tu.
“Patutlah aku macam kenal aje tadi. Tapi kenapa pula dia yang hantar kau pagi ni? Selalunya kau naik skuter.” Soal Zaza kehairanan.
“Kebetulan dia tak kerja hari ni jadi, dia hantarlah aku. Kenapa?” Soal Dania hairan.
“Aku bukan apa cuma aku hairan aje.” Ujar Zaza sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Hairan? Kenapa pula?” Dahi Dania berkerut mendengarkan kata-kata Zaza itu. Bukan kau saja yang hairan, Za. Aku pun hairan dengan dia.
“Yelah, tak pernah-pernah dia hantar kau tetiba aje hari ni dia hantar kau. Kenapa?” Soal Zaza sambil merenung wajah Dania. Macam ada something yang tak kena aje.
Dania menjungkitkan bahu sambil mencebikkan bibir tanda tidak mempunyai jawapan bagi soalan yang diajukan oleh Zaza itu. Bukan Zaza sahaja yang hairan, dia juga begitu. Namun dibiarkan sahaja persoalan yang bermain dikepalanya berlalu begitu sahaja. Berprasangka baiklah dengan semua orang, Nia. Mungkin niat Tengku Rayyan itu baik dan ikhlas.
“Tapi…dia hensem juga ya.” Ucap Zaza sambil tersenyum kecil. Tergoda aku di buatnya.
Dania menoleh ke arah Zaza apabila mendengar sahabatnya itu bersuara. Di wajahnya terkandung 1001 kehairanan dengan ucapan yang diberikan. Hensem? Dia cakap siapa yang hensem?
“Siapa yang hensem?” Tanya Dania kehairanan. Dia cakap siapa?
“Abang saudara kau itulah. Siapa lagi? Takkan aku cakap mamak yang jual kacang putih kat pasar sana tu. Apalah kau ni, Nia.” Rengus Zaza perlahan. Iskh…suka sangat spoilkan mood akulah dia ni.
“Manalah aku tahu. Aku ingatkan kau cakap pasal orang lain. Kau tu kalau bercakap ada masanya boleh ‘termasuk’ orang lain dalam topik kau.” Ujar Dania sambil tertawa kecil.
“Siapa yang aku nak masukkan sekali tu? Cuba kau beritahu aku.”
“Entah. Manalah aku tahu kau.”
Zaza mencebikkan bibirnya apabila mendengar ucapan Dania itu. Langkah mereka berdua makin laju menuju ke arah dewan kuliah. Sudah ramai teman-teman mereka yang hadir di bilik kuliah tersebut. Mereka berdua melangkah mencari tempat duduk yang sesuai.
“Eh…Nia. Kenalkanlah aku dengan dia.” Bisik Zaza perlahan.
“Siapa?” Soal Dania kehairanan. Dia ni, salam tidak…apa tidak, tiba-tiba aje suruh aku kenalkan dia. Sengal ke apa?
“Siapa lagi kalau bukan abang saudara kau tu. Iskh…pick up lembab betullah dia ni. Penat aje aku bercakap tau.” Zaza menggelengkan kepalanya melihatkan ulah Dania itu.
Dania tersengih mendengarkan kata-kata sahabatnya itu. Ooo…dia nak kenal dengan Tengku Rayyan rupanya. Aku ingatkan apalah tadi.
“Salah aku pulak? Kau tu yang salah. Salam tidak, apa tidak tiba-tiba aje terus sergah aku. Tak ke aku blur dibuatnya. Lain kali bagilah salam dulu, kawan. Jangan main terjah aje. Kau ingat ini rancangan Terjah yang dibuat oleh Nas Ahmad tu ke?” Ujar Dania membela diri. Lainlah kalau rancangan Terjah tu. Tak prepare jawapan lagi.
“Boleh tak?”
“Boleh apanya, Zaza?” Soal Dania tanpa menghiraukan Zaza. Pening aku dengan dia ni.
“Kenalkan dengan abang saudara kau tulah. Boleh tak?”
“Serius ke?” Wajah Zaza direnungnya dalam-dalam. Serius ke minah ni nak kenal dengan Tengku Rayyan?
“Eh…seriuslah ni. Ingat aku main-main ke?”
“Ok. Kalau kau nak kenal dengan dia, nanti aku kenalkan.” Jawab Dania tenang.
“Betul ni, Nia?” Soal Zaza ceria. Macam tak percaya aje.
“Betullah. Tadi kau juga yang kata nak kenal denagn dia, kan?”
“Ok. Bila?” Soal Zaza teruja. Tak di sangka impiannya untuk berkenalan dengan Rayyan akan tercapai juga akhirnya. Selama ini dia hanya nampak Rayyan dari jauh sahaja. Belum pernah lagi dia nampak lelaki itu secara dekat.
“Hari ini. Boleh?”
“Hari ini? Biar betik.”
“Ya. Kenapa?” Tanya Dania hairan. Dia tak nak dah ke?
“Aku rasa macam tak sesuai aje. Yelah, dengan pakaian aku macam ni.”
“Alah, Za. Kalau orang tu suka pada kita, tak kira kita pakai apa pun dia pasti akan terpikat punya. Yang penting hati.”
“Betul jugakkan.” Jawab Zaza sambil menganggukkan kepala.
Dania merenung wajah Zaza. Dia akui, Zaza sememangnya cantik tapi sayang sehingga kini masih belum ada yang dapat buka pintu hatinya. Mungkin Zaza terlalu memilih pasangan hidup itu tidak Dania ketahui.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam dik..terkedu juga Dania tetiba saja mamat poyo tu buat baik kat dia dan layanan 1st class pulak tu..sudah ada getaran cinta ke buat isteri tercinta..teruja nak tahu..bibit cinta buat Dania dari Rayyan yg garang macam singa tu..alahai dik comel nya si Rifqah tu..akak dah dpt bayangkan watak mia sara la dik...
Harap ada kesinambungan citer ni dimasa yg terdekat ini..rasa da tak sabar nak tahu..kenapala zaza itu gediks yg amat..
salam
kak idA