Adlan
dan Arman melabuhkan punggung mereka di atas rumput. Mereka berdua baru sahaja
lepas berlari di sepanjang pantai itu. Lazimnya hanya Adlan sahaja yang
melakukan aktiviti tersebut. Namun Arfiq menawarkan diri untuk menemaninya pagi
ini memandangkan lelaki itu datang bercuti bersama ahli keluarganya.
Peluh yang mula terbit di wajah
masing-masing disapu dengan tuala yang mereka bawa bersama. Adlan meneguk air
mineral yang dihulurkan oleh Arman perlahan-lahan. Terasa begitu nyaman sekali
air putih itu melalui tekaknya. Fuh, leganya!!!
Adlan tersenyum kecil sambil
menggelengkan kepalanya apabila melihatkan Arman merebahkan badannya di atas
rumput yang hijau. Nafasnya cuba diaturkan agar menjadi lancar. Baru sikit dah
pancit. Belum lagi berlari sepanjang pantai ni. Apalah!!
“Aduh, letihnya aku!!” Keluh Arman.
Pancit aku macam ni.
“Kau ni, baru sikit dah letih. Takde
stamina langsung.” Adlan merengus halus. Macam manalah nak sihat kalau macam ni?
“Aku bukan takde staminalah, Lan. Aku
dah lama tak jogging macam ni.” Arman
memberi alasan dengan kata-kata Adlan itu. Mahu tidur mati aku malam ni. Silap-silap
haribulan mahu sakit satu badan.
“Kalau kau tak buat senaman macam
ni, mana kau nak ada stamina, Man? Cuba kalau kau amalkan selalu. Insya-ALLAH,
pasti kau takkan jadi macam ni.” Nasihat Adlan.
“Aku bukannya tak mahu bersenaman,
Lan. Cuma aku sibuk sikit. Takde masa nak senaman bagainya. Lainlah kau.
Sentiasa ada masa.” Nafi Arman. Tak sanggup aku nak ikut dia lagi. Cukuplah
sekali.
“Alasan itu racun kejayaan, Man.”
Ujar Adlan sinis. “Umur macam kita ni kena selalu buat senaman. Kalau tidak
nanti bermacam-macam penyakit yang akan hinggap. Kencing manislah, lemah
jantunglah, darah tinggilah dan bermacam-macam lagi.” Nasihat Adlan lagi.
“Alah!! Ada orang tu selalu senaman
pun, penyakit hinggap juga. Penyakit ni Lan, kalau nak hinggap tu tak kira
samada orang tu selalu senaman ataupun tak. Bila nak hinggap, ia akan hinggap.
Dia tidak kira mangsanya. Tua ke, muda ke…mereka tetap akan dapat.” Luah Arman
dengan panjang lebarnya. Mulalah dia bagi ceramah pada aku.
“Kau ni kan, bila aku cakap ada aje
jawapannya. Tak pernah nak dengar cakap orang langsung. Cubalah sesekali tu
dengar cakap orang. Kita ni kalau boleh elak, kita elakan. Orang kata cegah
sebelum parah, Man. Jangan bila dah parah nanti baru nak menyesal. Ha! Masa tu,
kau menanggis sampai keluar air mata darah sekalipun dah tak berguna lagi.”
Jawab Adlan sedikit geram. Geram betul aku ni.
Arman tersengih sahaja mendengarkan
kata-kata Adlan itu. Tidak sedikit pun dia terasa hati dengan kata-kata itu.
Sudah acap kali dia mendengar kata-kata itu keluar dari bibir Adlan. Bahkan
bukan sahaja dari Adlan, malah dari isterinya pun begitu juga. Mereka berdua ni
dah berpakat ke nak kenakan aku?
Adlan melemparkan pandangannya ke arah
laut yang terbentang luas. Lautan yang membiru dan tenang itu menjadi santapan
matanya. Sesekali dia menghela nafas panjang. Dan sesekali dia tersenyum
sendirian. Ulahnya itu hanya diperhatikan oleh Arman dengan penuh tanda tanya.
Apa kena pula orang tua ni? Senyum seorang-seorang pula dia. Sakit apa? Jangan
buat pasal.
“Woit, kau kenapa?!” soal Arman
sambil menepuk lembut bahu Adlan. Angau apa kawan aku ni?
“Takde apalah. Kenapa kau tanya aku
macam tu?” soal Adlan kembali. Iskh, dia ni! Tak pernah nak bagi salam!
Terkejut aku!
“Takde apa kau cakap? Yang kau dok
tersengih seorang-seorang tu kenapa? Apa masalah kau?” Arman menjenggilkan
matanya merenung wajah kacak Adlan. Setahu aku, orang bercinta aje yang akan
tersengih seorang diri.
“Mana ada?” Nafi Adlan. Dia nampak
ke?
“Kalau takde, takkanlah aku boleh
nampak, bro?” soal Arman sinis. Lagi mahu sorok dengan aku. Apalah dia ni.
Adlan menggelengkan kepala sambil
tersenyum kecil. Tidak disangka ulahnya itu diperhatikan oleh Arman. Difikirkan
Arman tidak nampak akan senyumannya itu. Rupanya dia silap. Sesekali dia
menggaru kepalanya yang tidak gatal. Kantoi pula dengan mamat ni.
“Baik kau cakap dengan aku, apa
masalah kau ni?” Arman bangkit dari baringnya. Mesti ada apa-apa yang aku tak
tahu ni.
“Takde apalah.” Nafi Adlan lagi.
Takkan aku nak cerita pada dia kot. Mesti dia tak percaya.
“Kalau takde apa, masakan kau boleh
tersenyum sendirian. Setahu aku, orang yang senyum seorang diri ni angau.”
Arman berkata selamba. Pantas dia membetulkan duduknya di sebelah Adlan. Betul
ke dia tengah angau sekarang ni? Tapi dengan siapa?
Adlan tertawa besar mendengarkan
kata-kata Arman itu. Kepalanya digelengkan perlahan-lahan. Kata-kata Arman itu
seakan berjaya mencuit hatinya. Angau ke aku ni? Bercinta pun tidak, tiba-tiba
saja angau. Parahlah kalau macam ni. Tapi…kalau betul, dengan siapa? Perempuan
hari tu? Tak mungkin.
“Apasal kau gelak? Betulkan apa yang
aku cakap?” marah Arman. Lagi mahu sorok dengan aku.
“Apa yang kau merepek ni, Man?” soal
Adlan kembali setelah tawanya mula reda. Malu pula nak kongsi dengan dia.
“Aku bukan merepek tapi aku bercakap
tentang kenyataannya, Lan.”
“Ada ke orang nakkan aku ni? Aku ni
bukannya bujang lagi, Man. Aku duda yang mempunyai anak. Lainlah kalau aku
bujang. Ha! Masa tu, bukan main ramai lagi anak dara yang mahukan aku. Siap offerkan diri lagi.” Seloroh Adlan
Sengaja dia berkata demikian bagi
menutup rasa di hati. Entah mengapa, hanya wajah gadis itu sahaja yang bermain
di birai matanya saat ini. Wajah sayu itu juga yang diingatinya. Puas sudah dia
cuba menghapuskan wajah itu dari ingatannya, namun dia tidak berdaya. Kenapa
hanya wajah itu yang aku ingatkan? Sedangkan aku tak pernah mengenalinya.
“Tapi kau masih lagi muda. Aku rasa
tak salah kalau kau bercinta lagi, Lan.” sambut Arman lembut. Suka sangat
merendahkan diri. Dari dulu sampai sekarang.
“Kau mengarutlah, Man.” Adlan
tertawa kecil. Agaknya dia dah berkahwin.
“Kenapa perlu menidakkan sesuatu
yang benar, Lan?”
Adlan tidak menjawab pertanyaan Arman
itu. Senyuman manis masih tidak lekang walau sedikit pun dari wajahnya. Dia
tidak salahkan Arman. Apa yang diperkatakan oleh Arman ada benarnya. Bagaimana
aku nak angau kalau aku tak pernah bercinta, Man?
“Aku nak tanya kau sesuatu. Pernah
tak kau jumpa dengan seseorang yang serupa dengan Yati?” soal Adlan tiba-tiba.
“Maksud kau?” Arman mengerutkan
dahinya. Apa punya soalan dah?
“Kau jumpa dengan seseorang yang
seiras Yati. Dari segi rupa, bentuk tubuh, ketinggian mahupun suaranya. Serupa.
Pernah?” Adlan menoleh ke arah Arman yang duduk di sisinya. Mesti tak pernah.
“Buat masa ini, tak pernahlah lagi. Tak
tahulah, kalau akan datang aku jumpa dengan orang macam tu. Kenapa?” soal Arman
hairan. Apa kena-mengena pula dengan soalan aku tadi? Takkan dia jumpa dengan
seseorang yang serupa arwah Farhah pula kot. Biar betul.
“Aku pernah jumpa dengan seorang
perempuan, seiras dengan arwah Farhah.” Adlan berkata perlahan. Mereka serupa
tapi tak sama. Terlalu banyak perbezaan di antara mereka berdua. Terutamanya
dari segi penampilan.
Buntang mata Arman tatkala mendengarkan
kata-kata Adlan itu. Wajah pemuda berkulit hitam manis itu direnungnya
dalam-dalam. Seakan tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh temannya
itu. Betul ke apa yang aku dengar ni? Atau dia sengaja bergurau dengan aku
untuk menutup soalan aku tadi?
“Serupa?” soal Arman sepatah. Seakan
tidak percaya.
“Ya, serupa. Cuma…” kata-kata Adlan
terhenti seketika. Seakan sedang mengingati wajah yang tidak pernah luput dari
ingatannya walaupun seketika cuma.
“Cuma apa?” soal Arman pantas.
Perempuan tu lebih cantik dari arwah ke?
“Dia berbeza sedikit dengan arwah.”
Bukan sedikit tapi terlalu banyak bezanya.
“Beza yang macam mana?” Lebih muda
barangkali.
“Penampilannya. Arwah Farhah masih
menerapkan nilai-nilai gadis timur manakala perempuan ni lebih moden. Dengan
baju ketat tanpa lengan dan skirt pendeknya.” Adlan tersenyum kecil. Saat ini
terlayar di hadapan matanya wajah wanita yang ditemuinya beberapa bulan yang
lalu. Yang sama cuma satu. Mereka tak bersolek.
“Mana kau jumpa dengan dia?” Arman menyoal
lagi seakan berminat dengan cerita yang baru sahaja didengarinya. Ini sudah
bagus. Ada perkembangan nampaknya.
“Dia menginap di sini.” Adlan
menghela nafasnya.
Arman menganggukan kepala apabila
mendengarkan kata-kata Adlan itu sebelum memulakan bicara. Tidak dia sangka
bahawa Adlan akan bertemu dengan seseorang yang serupa dengan arwah isterinya
dahulu.
“Entah-entah saudara kembar arwah
tak? Manalah kita tahu.” Teka Arman.
“Apa yang kau merepek ni, Man? Arwah
mana ada saudara kembar.” Adlan menggelengkan kepalanya. Sengal betullah kawan
aku ni.
“Kau ada tanya Farah pasal ni?”
“Aku dah tanya ibu dan ayah mertua
aku. Kata mereka, arwah memang tak punya saudara kembar. Takkanlah mereka nak
tipu aku pula. Kalau betul arwah ada saudara kembar pasti mereka dah beritahu
aku masa kami kenal dulu. Ni langsung tak.” Jelas Adlan dengan panjang lebar.
Adakah ianya jelmaan Farhah?
Arman menganggukan kepalanya sekali
lagi tanda bersetuju dengan kata-kata Adlan itu. Masakan keluarga Farhah mahu
menyembunyikan anak mereka itu dari pengetahuan Adlan. Tak logik langsung kalau
mereka nak sembunyikan pun.
“Bila aku tengok dia, aku ingatkan
yang aku pandang tu arwah isteri aku.” Jujur Adlan meluahkan kata-katanya.
Nasib baik aku tak terkam dia. Jika tidak, mahu haru jadinya.
“Pelanduk dua serupa, Lan.”
“Betul juga tu.” Adlan menganggukan
kepalanya perlahan.
“Orang kata, dalam dunia ni ada tujuh
orang yang seiras dengan kita. Kalau tak sepenuhnya seratus peratus, sipi-sipi
pasti ada. Mungkin dia adalah salah seorang yang seiras dengan wajah arwah
Farhah. Siapa tahu, kan?”
Adlan menghela nafas panjang tatkala
mendengarkan kata-kata Arman. Dalam diam dia bersetuju dengan kata-kata Arman
itu.
“Kau suka pada dia ke?” soal Arman.
Tengok gaya macam suka aje.
“Dia? Siapa?” Adlan menyoal dungu.
Dia bercakap pasal siapa?
“Perempuan yang kau jumpa itulah.
Takkan Kak Bedah cleaner kat chalet
kau ni pula.” Seloroh Arman. Boleh dia main-main pula.
Adlan tertawa kecil sambil
menggelengkan kepalanya mendengarkan seloroh Arman itu. Terkena aku juga dengan
mamat ni. Sabar ajelah.
“Betulkan? Kau suka pada dia.”
Kemuka Arman lagi. Dapat dilihat dari riak wajah Adlan bahawa sahabatnya itu
mula menyukai wanita yang baru sahaja dikenalinya itu.
“Kau ni mengarutlah betullah, Man!
Entah-entah dia tu bini orang agaknya. Kau nak tengok aku kena belasah dengan
suami dia ke?”
“Itu kalau dia dah punya suami. Kalau
takde, bagaimana?” soal Arman sambil mengangkat keningnya beberapa kali. Lagi
nak nafi dengan aku.
“Entahlah, Man. Aku pun tak tahu
bagaimana?”
“Aku suka andai kau bukakan pintu
hati kau buat dia tapi kalau kau suka pada dia hanya kerana dia serupa dan
seiras dengan arwah Farhah, lebih baik kau padamkan saja hasrat kau tu, Lan.”
Arman berkata sedikit tegas.
Sekali lagi, Adlan menghela
nafasnya. Matanya kembali merenung lautan yang terbentang luas itu. Seakan
mencari secebis ketenangan di situ. Melihatkan dia yang hanya mendiamkan diri,
sekali lagi Arman bersuara.
“Aku bukan cemburukan kau, Lan. Sikit
pun tak. Malah aku nak tengok kau bahagia macam dulu. Cuma aku rasa, tak adil
jika kau terima dia hanya kerana dia meyerupai Farhah. Dia juga punya hati dan
perasaan. Apa dia akan rasa jika kau terima dia hanya kerana dia mengingatkan
kau kepada arwah isteri kau? Tentu hatinya akan terluka. Kau nak jadi macam tu
ke? Bagi aku ianya kejam sekali kalau kau buat dia begitu, Lan.” Nasihat Arman.
“Aku tahu, Man. Aku yakin yang aku
takkan berjumpa dengan dia lagi.” Luah Adlan perlahan.
“Maksud kau?”
“Aku bertemu dengan dia, lapan bulan
yang lalu. Itulah kali pertama dan terakhir aku bertemu dengan dia. Tidak
mungkin ada jodoh antara kami berdua.” Adlan berkata perlahan. Tidak mungkin.
Entah kenapa hatinya begitu sakit
tatkala melafazkan kata-kata itu. Seakan hatinya robek di atas kata-kata yang
baru sahaja dia lafazkan. Benarkah aku tidak kisah dengan semua ini? Benarkah
yang aku tak ingin bertemu dengannya sekali lagi? Benarkah aku tak mengharap
untuk bertemu dengannya lagi? Sedangkan setiap hari aku mengharap akan
kehadirannya dalam hidup aku walaupun hanya untuk seketika.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan