Halaman

Sabtu, 20 Ogos 2011

Selagi Ada Kasih 10


Bayu pagi yang berpuput lembut itu menampar lembut wajahnya. Perlahan-lahan dia menghirup udara bersih dan segar pagi itu. Terasa begitu nyaman sekali. Terasa seperti dia berada di kampungnya ketika itu. Saat itu, terbayang suasana kampung halaman yang begitu indah dan nyaman. Dia melemparkan sekuntum senyuman manis.
Semalaman dia berfikir. Dia akan memulakan hari yang baru dalam hidupnya selepas ini. Dia tidak mahu mengingati kisah-kisah sedih yang telah berlaku dalam hidupnya. Dia tahu apa yang berlaku pasti ada hikmahnya dan sebagai seorang manusia dia harus menerimanya dengan tabah dan redha. Walaupun dugaan yang datang terlalu berat untuk dipikulnya.
Kakinya melangkah menuju ke arah dapur. Di situ dia dapat mendengar suara Mak Kiah dan Pak Hamid berserta Sunarti sedang rancak berbicara. Dengan senyuman yang masih lagi terukir di bibirnya dia merapati ketiga-tiga insan itu. Salam yang dihulurkan di jawab mereka serentak.
Semalam, dia telah mengetahui serba sedikit tentang ahli keluarga vila mewah itu. Mak Kiah dan Pak Hamid telah lama berkhidmat di vila itu. Manakala Sunarti pula baru sahaja dua tahun. Pak Hamid ditugaskan sebagai pemandu kepada Rayyan. Jika lelaki itu keluar daerah, Pak Hamid akan di amanahkan untuk menjaga vila mewah tersebut. Kerja-kerja Pak Hamid pula lebih kepada tukang kebun dari pemandu kerana Rayyan gemar memandu sendiri ke pejabat dari menggunakan khidmat Pak Hamid.
Manakala Mak Kiah pula di tugas menyediakan makan dan minum Rayyan dan Rifqah. Sunarti pula di tugaskan dalam membersihkan vila tersebut. Vila yang mewah itu di namakan Teratak Rifqah, sempena nama Rifqah.
Kehadirannya disambut dengan gembira oleh Mak Kiah, Pak Hamid dan Sunarti. Tanpa di suruh, dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang di sediakan.
“Awalnya bangun.” Luah Mak Kiah sambil menuangkan secawan kopi buat Dania.
“Hmm…lepas Subuh tadi Nia tak tidur lagi, Mak Kiah.” Jawab Dania sambil menganggukkan kepalanya.
“La…kenapa tak sambung aje tidurnya? Bukankah Cik Dania penat semalam?” Sampuk Pak Hamid.
“Dah biasa, Pak Hamid. Kat kampung pun Nia selalu macam ni.”
“Cik Dania nak makan apa? Nasi lemak ke kuih?” Sampuk Mak Kiah.
“Nia nak makan kuih aje.”
Mak Kiah menghulurkan piring kuih untuk Dania. Ucapan terima kasih diberikan di atas huluran tersebut. Pagi itu mereka bersarapan bersama-sama.
“Macam mana tidur malam tadi? Nyenyak?” Tanya Mak Kiah pula.
“Kurang sikitlah.” Jawab Dania jujur. Sememangnya dia akan sukar melelapkan mata apabila beralih tempat tidur.
“Kenapa? Ngak selesa barangkali ya?” Sampuk Sunarti Seakan faham apa yang di lalui oleh Dania saat itu.
“Mungkin juga. Lagi pun Nia ni tak boleh berpindah tempat tidur. Memang tidak lena jadinya.”
“Ataupun rindukan bantal busuk?” Senda Pak Hamid  sambil tertawa kecil.
Dania tertawa kecil apabila mendengar pertanyaan dari Pak Hamid itu. Begitu juga dengan Mak Kiah dan Sunarti.
“Takdelah, Pak Hamid. Dah besar-besar ni bantal busuk apanya. Lainlah kalau masa kecil dulu. Bolehlah ada bantal busuknya.”
“Eh…manalah tahu. Ada orang macam tu.” Sengih Pak Hamid.
“Nia tidak.” Pantas Dania menggelengkan kepala.
“Dah, Cik Dania. Minum. Jangan di layan Pak Hamid kamu ni. Kalau di layan mahu sampai esok pun takkan habis ceritanya.” Bicara Mak Kiah bagi menukar topik mereka pagi itu.
Dania hanya tersenyum sahaja mendengarkan kata-kata tersebut. Perlahan-lahan dia meneguk air kopinya sebelum berbicara.
“Mak Kiah…boleh Nia minta sesuatu, tak?”
“Apa dia? Cakaplah.” Ujar Mak Kiah. Dia merenung wajah Dania. Entah mengapa timbul rasa kasihnya pada gadis itu. Walaupun dia tahu, dia dan Dania barulah sahaja mengenali di antara satu sama lain.
Dia tertarik dengan sikap Dania yang menghormati orang tua seperti dia dan suaminya, Pak Hamid. Pak Hamid juga seakan dapat rasa apa yang dia rasakan. Mereka sama-sama suka akan gadis itu.
“Kalau boleh janganlah panggil Nia, cik.”
“Kenapa pula?” Dahi Pak Hamid dikerutkan tanda tidak mengerti.
“Sebab…Nia rasa janggallah Pak Hamid bila orang panggil Nia macam tu.”
“Kalau gitu, mau di panggil apa sih?” Sampuk Sunarti.
“Panggil saja Dania. Ataupun Nia. Nia tak kisah.”
“Tapi kalau Tengku marah nanti, macam mana?” Soal Mak Kiah pula.
“Katakan Nia yang suruh. Lagipun Nia pun macam kalian jugakan, makan gaji di sini. Jadi Nia rasa tak perlulah bercik-cik dengan Nia. Boleh?” Pinta Dania. Lemas aku bila mereka panggil aku, cik. Tak boleh bernafas rasanya.
Mereka bertiga saling berpandangan di antara satu sama lain. Seakan ianya adalah sesuatu yang mustahil untuk mereka penuhi. Seakan mengerti akan gambaran yang diberikan, Dania kembali bersuara.
“Atau pun, kalian panggil Nia begitu depan Tengku aje. Bila Tengku tak ada barulah panggil Nia dengan nama. Bolehkan?”
Agak lama mereka bertiga mendiamkan diri, akhirnya mereka menganggukkan kepala tanda setuju dengan syarat yang di kenakan.
“Terima kasih.” Ujar Dania sambil tersenyum. “Ok Mak Kiah, hari ni kita nak masak apa?” Dania menukar topik perbualan di antara mereka.
“Eh…tak perlulah. Hari ni Mak Kiah yang masak. Nia duduk aje. Nia kan ke penat lagi. Rehatlah dulu. Biar hilang penat tu betul-betul.”
“Betul kata Mak Kiah kamu tu, Nia.” Sampuk Pak Hamid.
“Tapi…Nia nak tolong Mak Kiah.”
“Takpe. Sunarti boleh tolong Mak Kiah. Jangan Bimbang.” Jawab Mak Kiah pantas.
“Lor…kok tadi disuruhnya saya mencuci pakaian.” Balas Sunarti sambil merenung wajah Mak Kiah.
“Mencuci pakaian tu bukannya kamu cuci pakai tangan. Pakai mesin. Sementara tunggu mesin tu selesai kamu boleh tolong Mak Kiah. Jangan banyak songeh.”
“Tapi Mbah, saya mahu mengemas di depan. Udah banyak habuk si. Bising nanti Tengku kalau di depannya banyak habuk. Saya juga yang dimarahin nanti.” Elak Sunarti lagi.
“Kamu ni ada saja alasannya, Sunarti. Sepatah aku cakap, sepuluh patah kamu jawab ya.” omel Mak Kiah.
“Lantak kamu berdualah. Malas aku nak melayannya.” Pak Hamid terus bingkas dari duduknya. Boleh pening kepala aku melayan mereka ni.
Dania yang melihatkan situasi itu tertawa kecil. Walaupun tidak tahu banyak tentang keluarga itu namun dia tahu mereka semua seakan berahsia dengannya tentang kehidupan Rayyan. Baginya itu semua tidak penting. Yang penting, dia rasa selesa di situ. Malah kehadirannya di terima dengan hati yang terbuka.
Sedang mereka berbual, terdengar satu suara menegur mereka dari arah belakang. Pantas mereka berpaling. Untuk seketika suasana menjadi sunyi. Seperti di langgar garuda lagaknya.
“Mak Kiah, siapkan minuman untuk saya.” Suara itu kedengaran lembut dan sedikit tegas memberikan arahannya.
“Ba…ba…baik, Tengku.” Teragap-agap Mak Kiah menuturnya. Ada rupanya dia. Ingatkan dia di rumah Puan Sri.
Tanpa menunggu lebih lama lagi Mak Kiah menyiapkan arahan yang diberikan oleh Rayyan. Dania terpaku seketika apabila melihat kelibat pemuda itu yang telah pergi meninggalkannya. Bila masa dia balik? Tak jadi tidur di rumah keluarganya ke?
Setelah siap dengan tugasnya, minuman yang di pinta di hantar ke ruang makan. Mak Kiah kembali semula sambil mendapatkan Dania.
“Tengku nak jumpa dengan Nia.” Ujar Mak Kiah lembut.
“Sekarang ke?” Soal Dania hairan. Apa hal pula ni?
Hanya anggukkan sahaja yang diberikan oleh Mak Kiah sebagai jawapan kepada soalan yang diajukan oleh Dania. Dengan lambat-lambat Dania merapati Rayyan yang sedang minum di ruang makan. Ketika kakinya sampai, kelihatan Rayyan sedang melayani seorang gadis kecil. Pasti anak dia, Tengku Rifqah. Boleh tahan comel juga budak kecil ni.
“Tengku panggil saya?” Ujar Dania lembut.
“Duduk.” Hanya sepatah sahaja arahan yang keluar dari bibir pemuda itu tanpa menoleh ke arahnya.
“Tak apalah, Tengku. Saya berdiri saja.”
Mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Dania itu, pantas Rayyan menoleh ke arahnya. Direnung wajah gadis itu dalam-dalam sebelum berkata-kata.
“Saya kata duduk…duduk.” Tegas sekali arahan yang dikeluarkan. Antara mahu dengan tidak Dania terpaksa akur. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang bertentangan dengan Rifqah. Untuk seketika mata mereka bertentangan. Sebuah senyuman kecil diberikan buat gadis kecil itu namun, sayang sekali senyumannya tidak bersambut. Sombong, macam bapak dia juga.
Pantas Dania menarik kembali senyumannya apabila melihatkan ulah Rifqah itu. Dania menilik gadis kecil yang sentiasa merenungnya tanpa berkelip itu. Orangnya berkulit putih, berambut hitam lurus dan mempunyai tahi lalat di bawah bibir sebelah kanannya. Matanya sedikit sepet dan hidungnya pula sedikit mancung. Ikut ayah dia kot. Tapi dia cute dan comel.
“Macam mana malam tadi? Lena tidur?” Soal Rayyan tanpa menoleh ke arah Dania.
“Ha?” Dania merenung wajah Rayyan. Dia tidak menyangka bahawa Rayyan akan berbicara dengannya saat dia sedang ralit menilik wajah kecil di hadapannya itu. Melihatkan  ulahnya itu, pantas Rayyan menoleh merenung wajahnya. Hanya sengihan sahaja yang diberikan kepada pemuda itu. Sorry. Aku leka menelek muka budak kecil kat depan aku ni.
“Awak kemana waktu saya bercakap dengan awak?” Kedengaran sedikit tegas suara Rayyan saat itu. Berangan apa dia ni?
“Sorry.” Luah Dania sepatah. Namun sengihan tidak lepas dari bibirnya. Eleh…tu pun nak marah. Angin betullah mamat ni. Malang betul siapa yang jadi isteri dia ni. Isteri? Akulah tu.
 Rayyan menghela nafas panjang sebelum meneguk minumannya.
“Lena awak tidur malam tadi?” Sekali lagi soalan itu di ulang oleh Rayyan. Sengaja dia ingin bertanya akan keadaan Dania. Bimbang juga hatinya jika Dania tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya kini.
“Tak.” Selamba dan sepatah sahaja ayat itu keluar dari mulut kecil Dania. Memang tak lena pun. Takkan aku nak kata lena pula. Tu dah kira menipu.
Mendengarkan jawapan jujur yang diberikan, pantas Rayyan menoleh dan merenungnya dalam. Seakan mencari jawapan di situ. Seakan mengerti akan pandangan itu pantas Dania bersuara.
“Maksud saya, saya tak lena tidur malam tadi sebab tak biasa lagi kot.” Tersungging sengihan di bibir merkah Dania. Sesekali dia menggaru lehernya yang tidak gatal. Oklah tu kot jawapan tu.
“Kalau awak perlukan apa-apa, awak boleh minta pada Mak Kiah ataupun Sunarti. Mereka boleh bantu awak.”
Hanya anggukkan sahaja yang diberikan oleh Dania bagi memahami apa yang diterangkan oleh Rayyan kepadanya. Kau tak beritahu pun aku tahu nak minta bantuan dari mereka berdua.
“Ini saya kenalkan anak saya, Rifqah. Rifqah, ini auntie Dania. Auntie Dania ni akan jadi pengasuh Rifqah bermula dari hari ini. Auntie ni yang akan uruskan segala-galanya tentang Rifqah. Salam dengan auntie, sayang.” Luah Rayyan lembut.
Namun tidak sedikit pun arahan itu dipatuhinya. Matanya sedari tadi tidak bergerak dari merenung wajah bersih Dania. Menyedari itu, sekali lagi Dania menghulurkan senyumannya buat gadis kecil itu. Tanpa arahan dari sesiapa pun, Dania menghulur tangannya kepada Rifqah. Dia berharap dengan huluran tangannya itu, Rifqah akan berlembut hati dengannya.
“Hai, Tengku. Nama kakak, Dania. Tengku boleh panggil kakak, Kak Nia aje.” Luah Dania lembut. Namun huluran tangan Dania itu dibiarkan sepi sahaja. Rifqah tidak sedikit pun mengendahkannya.
Mendengarkan ucapan dari Dania itu pantas Rayyan berpaling. Direnungnya wajah Dania dalam-dalam. Menyedari itu pantas Dania menoleh kearahnya.
“Kenapa?” Tanya Dania hairan. Aku ada buat salah ke? Rasanya takde pun.
“Kakak? Hei...kenapa Rifqah kena panggil awak, kakak?” Tegas Rayyan. Perasan betul minah ni.
“Sebab saya lebih muda dari awak dan lebih tua dari dia.” Selamba sahaja ayat itu keluar dari mulut Dania. Itu kenyataannya. Takkan dia nak panggil aku nenek pula. Agak-agaklah.
“Jadi sebab itu dia kena panggil awak, kakak? Begitu?” Bentak Rayyan keras. Dia ni, ikut suka dia aje.
“Yelah. Dan pangkat mak cik tu tak sesuai langsung dengan saya. Saya masih muda tahu. Belum masuk ke tahap itu lagi. Agak-agaklah kalau nak suruh dia panggil saya mak cik sekali pun.” Rengus Dania kasar. Apa? Ingat aku ni tua sangat ke sampai anak dia kena panggil aku mak cik? Eeeeiiii…Tak sesuai langsung.
“Jangan nak perasanlah. Untuk pengetahuan awak, status awak tu dah melayakkan awak untuk dipanggil mak cik dan bukannya kakak. Faham?” Sedikit tegas kenyataan yang dikeluarkan oleh Rayyan itu. Takkan itu pun aku nak kena ingatkan.
“Oh…hanya kerana status ajelah yang membezakannya? Begitu?” Cebik Dania. Mana boleh, aku muda lagi tau. Tak rela aku.
“Of course.” Tegas ayat tersebut keluar dari bibir pemuda itu. Dia memang sengaja cari masalah dengan aku pagi-pagi ni.
“Tapi kenyataannya saya masih muda dan pangkat mak cik tu tak sesuai langsung-langsung dengan saya. Ok?” Marah Dania sambil merenung tajam wajah Rayyan.
“Iskh…perempuan ni. Ada yang makan penampar jugak dengan aku nanti.” Bisik Rayyan sambil menahan marah. Macam manalah aku boleh terfikir untuk berkahwin dengan dia agaknya? Kalau aku tahu perangai dia macam ni, sumpah aku takkan kahwin dengan dia. Lantaklah nak jadi apa pun, jadilah.
“Tamparlah. Tampar.” Cabar Dania. “Awak ingat penampar awak aje boleh pakai? Penampar saya, nak letak di pajak gadai?” Soal Dania sambil bercekak pinggang. Ingat aku takut ke dengan penampar kau tu?
Pergaduhan kecil mereka itu hanya diperhatikan sahaja oleh Rifqah. Terkebil-kebil gadis kecil itu melihat tanpa mencelah. Tanpa disedari adegan mereka itu diperhatikan oleh orang lain selain dari Mak Kiah dan Sunarti.
“Ni apa halnya ni?” Celah Safiya kehairanan apabila melihat Rayyan sedang bertengkar dengan seorang gadis yang tidak dikenalinya. Siapa pula budak ni?
Niat hatinya ingin melihat keadaan si adik yang membawa pulang anaknya lewat malam tadi. Namun kehadirannya di situ pagi ini di sambut dengan pergaduhan kecil di antara Rayyan dan gadis muda yang tidak dikenalinya itu. Sesungguhnya dia tidak pernah sekali mengenali gadis itu. Sehinggalah ke hari ini. Orang gaji baru Ray ke?
Kedua mereka menoleh apabila ada suara asing yang menyampuk pertengkaran kecil tersebut. Raut wajah Rayyan berubah seketika apabila melihatkan kedatangan Safiya. Terkebil-kebil dia merenung Safiya. Rifqah pantas berlalu mendapatkan ibu sudaranya itu.
“Kenapa ni, Ray?” Soal Safiya sekali lagi kepada Rayyan. Hairan dia dengan situasi tersebut. Belum pernah lagi dia melihat Rayyan bertengkar dengan mana-mana wanita selain dari bekas isterinya, Sandra.
“Bila sampai?” Soal Rayyan tanpa menjawab soalan Safiya. Aduh…kantoi. Macam manalah aku boleh tak perasan dia datang? Ni semua gara-gara perempuan nilah.
“Baru aje. Sampai-sampai lihat kamu sedang bertengkar. Siapa ni?” Soalnya sambil merenung wajah Dania. Boleh tahan juga budaknya.
Rayyan terdiam seketika. Dia menoleh ke arah Dania yang berada di sisinya seketika sebelum menjawab soalan yang diajukan oleh Safiya kepadanya. Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa aku nak beritahu dia ni?
“Dania. Pengasuh Rifqah.” Lemah sekali suaranya menuturkan kata-kata tersebut. Moga dia percaya dengan alasan yang aku berikan tu. Kalau tidak, masak aku nanti nak bersoal-jawab dengan dia dan juga mama.
“Interesting. Sejak bila pula Rifqah ada pengasuh? Setahu I, semenjak Rifqah dilahirkan sampai sekarang ni, dia tak ada pengasuh. Tak pernah ada. Kenapa tiba-tiba saja sekarang dia ada pengasuh?” Soal Safiya sambil berpeluk tubuh. Atau dia sedang sembunyikan sesuatu dari aku?
Sekali lagi Rayyan terdiam mendengar soalan yang di utarakan untuknya. Tidak berniat untuk menjawabnya, Rayyan terus menuju ke ruang tamu. Dania yang masih lagi terkejut hanya mampu melemparkan sekuntum senyuman hambar buat tetamunya. Siapa pula ni? Suku-sakat dia ke? Masalah betullah.
“Hai…I, Tengku Safiya. Kakak, Ray.” Safiya mendekati Dania yang masih lagi tercegat di tempatnya. Budaknya boleh tahan tapi…
Tangan yang dihulurkan disambut dengan teragak-agak oleh Dania.
“Saya, Dania. Pengasuh Tengku Rifqah.” Ujar Dania. Betul pun suku-sakat dia. Aku ingatkan awek dia ke tadi. Rupanya kakak dia.
“Dah lama kerja?”
“Baru lagi. Tengku duduklah dulu. Saya buatkan air.” Luah Dania. Macam manalah boleh terover pula gaduh dengan mamat tu? Kan dah kantoi dengan kakak dia. Mesti dia akan fikir yang bukan-bukan tentang aku.
Pantas kakinya menuju ke arah dapur. Melihatkan ulahnya itu, Safiya hanya tersenyum sahaja. Ini sudah bagus. Satu pencapaian yang baru.
“Kenapa you datang?” Soal Rayyan apabila kakaknya itu melabuhkan punggung di sofa yang terdapat di hadapannya itu. Rifqah diribanya.
“Salah ke kalau I datang ke rumah adik I sendiri?” Soal Safiya tanpa menjawab soalan yang diutarakan oleh Rayyan. Macam nak sembunyikan sesuatu aje dari aku.
“Takdelah. Sekurang-kurangnya telefonlah dulu. Ni tidak, main aci redah aje. Kalau I takde tadi macam mana? Kan dah menyusahkan you  aje.”
“Takde susah apanya Ray. Kalau I telefon tadi, tak dapatlah I tengok drama sebabak you dengan budak tu.” Safiya melemparkan senyuman kecil buat adiknya itu. Kira aku ni bernasib baiklah hari ni.
“Drama apanya?” Soal Rayyan sambil menggelengkan kepala. Aduh…ni semua Dania punya pasallah ni. Saja cari masalah dengan aku pagi-pagi ni.
Perbualan mereka terganggu apabila Dania datang sambil menatang sedulang minuman dan sepiring kuih untuk tetamunya. Dihidangkan minuman itu di atas meja yang di sediakan. Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Safiya. Begitu teratur sekali cara gadis itu di hadapannya. Seakan tidak kekok dengan kerja-kerja dapur. Hatinya dapat merasakan sesuatu. Namun dia tidak berani untuk mentafsirkannya. Siapa budak ni sebenarnya?
“Jemput minum, Tengku.” Jemput Dania lembut sambil melemparkan senyuman manis.
“Terima kasih, Dania.”
Dania bangun untuk melangkah ke dapur. Namun baru beberapa langkah, namanya dia diseru oleh seseorang. Pantas dia menoleh. Apa lagi yang dia mahu dengan aku ni? Aku lagilah nak larikan diri dari dia.
“Boleh I cakap sesuatu dengan you sebentar?” Pinta Safiya lembut.
Pantas Dania mengangguk kepala mendengarkan permintaan dari Safiya itu. Janganlah dia marahkan aku sebab bergaduh dengan adik dia.
“I rasa you masih baru lagi di sini, kan?” soal Safiya lagi.
Sekali lagi hanya anggukkan yang diberikan oleh Dania bagi jawapan kepada wanita itu. Entah mengapa sukar untuknya bersuara saat itu.
“Untuk pengetahuan you, I tak suka tengok you bergaduh dengan Ray di hadapan Rifqah. Kalau boleh elakkan. Sebab ianya satu perkembangan yang tidak baik untuk anak sekecil Rifqah. You faham maksud I, kan?” ujar Safiya. Jika boleh dia tidak mahu perkara itu berulang lagi.
“Saya faham, Tengku.” Dania menundukkan kepalanya menahan malu apabila dit egur begitu. Aku dah agak. Dia mesti bela adik dia punya.
“I bukan nak bela adik I atau nak salahkan you…tidak. Bagi I, dua-dua salah. Dahlah gaduh depan anak, di depan rezeki pulak tu. Macam manalah rezeki nak masuk kalau macam ni gayanya.”
Lembut dan tegas sekali kata-kata yang dituturkan oleh Safiya itu. Dania hanya mampu menundukkan kepalanya sahaja. Sesungguhnya dia amat tidak menyangka itu yang terjadi. Jika dia tahu perkara itu yang terjadi, pasti dia tidak akan bergaduh dengan Rayyan disebabkan benda kecil. Mukanya sudah merah menahan malu. Malunya aku.
“I harap lepas ni perkara macam ni takkan berlaku lagi. Faham?” Sedikit tegas Safiya memberikan arahannya. Rayyan tersenyum kecil melihatkan ulah Dania itu. Padan muka. Kan dah kena marah.
“Saya faham, Tengku. Saya minta maaf.”
“You too, Ray. Jangan jadi macam budak-budak. Dah jadi bapak budak pun perangainya tak berubah-ubah. Cubalah ubah perangai tu sikit.”
“Apa pulak I? Dialah yang mula dulu. Dia yang cari gaduh dengan I dulu. Bukannya I.” Bantah Rayyan. Aku pula yang kena.
“Awak…” Kata-katanya mati apabila terlihatkan pandangan mata Safiya yang merenung mereka berdua. Hanya sengihan sahaja yang diberikan apabila menyedari kesilapan diri. Macam manalah boleh tak perasan ni?
“Sorry…” Sepatah ayat itu keluar dari bibirnya. Setan betul mamat ni. Saja kenakan aku depan kakak dia.
“Dah. You pergi buat kerja you.”
Tanpa berlengah lagi, Dania terus menuju ke dapur. Tidak sanggup dia berlama di situ. Dia yang mulakan dulu, aku juga yang salah. Nasib baiklah kakak dia ada, kalau tidak dah lama aku sembur dia. Geramnya aku.
“Mana you jumpa dia, Ray?”
“Siapa?” Ditoleh ke arah kakaknya yang sedang duduk santai di atas sofa itu.
“Budak tulah. Siapa lagi.”
“Oh…dia budak kampung kat tempat I pergi hari tu.”
“Kenapa you bawa dia balik?”
“Dia orang miskin. Jadi I offer dia kerja dengan I sebagai pengasuh Rifqah.” Antara mahu dengan tidak sahaja Rayyan menerangkannya kepada Safiya. Dalam hatinya berdoa agar Safiya tidak bertanya dengan lebih lanjut lagi tentang Dania. Janganlah tanya yang bukan-bukan.
“Tapi… Rifqah tak mahulah daddy.” Sampuk Rifqah dengan pelatnya. Garang betul.
“Kenapa pula?” Rayyan mengerut dahi kehairanan. Apa masalah pula kali ni?
“Dia garang sangat. Rifqah takut kena dera aje dengan dia nanti.” Selamba sahaja ayat itu keluar dari bibir si kecil. Tak sanggup aku dibuatnya.
Rayyan dan Safiya ketawa gelihati apabila mendengar kata-kata yang lahir dari mulut anak kecil itu. Mereka tidak menyangka bahawa Rifqah akan berkata begitu. Mereka pasti Rifqah terpengaruh dengan cerita-cerita yang pernah di paparkan di kaca televisyen.
“Tapi auntie suka dia.” Luah Safiya sambil membelai lembut rambut Rifqah.
Mendengarkan jawapan dari Safiya itu membuatkan Rayyan dan Rifqah memandangnya dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa pula?” Soal Rayyan hairan. Biar betul kakak aku ni.
“Sebab hanya dia seorang saja yang berani melawan perintah daddy Rifqah. Orang lain tak berani.” Selamba sahaja Safiya memberikan pendapatnya.
Mendengarkan kata-kata Safiya itu, membuatkan Rayyan merenggus kasar. Dia akui, memang Dania begitu. Jika dia tidak setuju, dia akan bercakap secara terus-terang. Dia tidak akan menyembunyikan rahsia hatinya. Itulah manusia yang bernama Dania.

1 ulasan:

twins berkata...

haaaaaaaaaa bagus btul dania ni...apa la ug akan terjdi lpas ni..