Halaman

Jumaat, 23 September 2011

Selagi Ada Kasih 12

Dania melabuhkan punggungnya di buaian kayu yang terdapat di taman mini itu. Sesekali dia mengayun-ayun kecil buaian yang didudukinya itu. Matanya mula memerhati ke sekeliling. Dapat dilihat bunga-bunga yang di tanam oleh Pak Hamid tumbuh dengan segar sekali. Taman kecil itu kelihatan seperti taman bunga yang indah. Dapat dirasakan keindahan taman itu. Macam dalam filem pula aku rasa.
Bunga-bunga segar di situ seakan memberikannya kedamaian dan ketenangan dalam diam. Dia menutup matanya sambil menghirup udara segar yang bertiup. Untuk seketika, dia lupa akan tugasan yang diberikan oleh pensyarahnya. Jika sebentar tadi dia merasa begitu letih dan tertekan dengan bebanan yang di hadapi, tapi kini tidak lagi.
Dia tersenyum kecil. Dapat dirasakan bayu segar yang berpuput lembut menampar lembut wajahnya. Namun, bayu-bayu itu tidak bisa membuka matanya. Dia seakan terleka seketika. Rifqah telah sihat dari demamnya. Anak kecil itu telah lincah seperti biasa. Mengenangkan anak kecil itu, senyuman di bibirnya semakin lebar. Perlahan-lahan dia membuka matanya. Buaian kayu itu dihayunnya perlahan-lahan. Mengikut gerak hatinya saat itu. Ceria dan gembira.
Semenjak baik dari demamnya, Rifqah agak rapat dengannya. Walaupun anak kecil itu masih belum lagi mahu bercakap dengannya, namun dia tetap bersyukur kerana anak itu telah mula menerimanya sedikit demi sedikit di dalam keluarga itu. Dia tahu, kesabarannya dalam melayani tingkah laku Rifqah selama ini berbaloi juga.
Lamunannya terganggu apabila Rifqah hadir di hadapannya. Direnung wajah comel itu. Sekuntum senyuman manis dilemparkan buat sang puteri.
“Mari kat Kak Nia, sayang.” Luah Dania sambil mendepangkan tangannya. Namun arahannya itu tidak di endahkan oleh Rifqah. Dia masih lagi merenung wajah Dania sambil menyembunyikan tangannya di belakang. Melihatkan ulah si kecil itu membuatkan hati kecil Dania tertanya-tanya. Apa yang dia pegang?
“Apa yang ada kat tangan Puteri tu?” Tanya Dania lembut. Jangan benda yang bukan-bukan sudahlah. Niaya aje aku nanti.
Tanpa menjawab soalan daripada Dania, pantas Rifqah menghulurkan tangannya. Di tangannya terdapat sejambak bunga yang di petik dari taman itu. Terdapat berbagai-bagai jenis bunga yang cantik. Dania tergamam seketika. Dia merenung wajah Rifqah dengan penuh kehairanan. Untuk aku ke?
“Untuk Kak Nia ke?” Soal Dania lagi. Hatinya mula berbunga kecil. So sweet!
Hanya anggukkan sahaja yang diberikan oleh gadis kecil itu sebagai jawapan soalan tersebut. Dengan rasa terharu, Dania mencapai bunga yang dihulurkan oleh gadis itu.
“Cantiknya. Pandai Puteri pilih, ya. Terima kasih, sayang.”
Mendengarkan jawapan yang di beri dan melihatkan keceriaan di wajah Dania, membuatkan Rifqah tersenyum lebar. Seakan berasa bangga apabila pemberiannya di hargai oleh Dania.
“Puteri tahu tak, Puterilah orang pertama yang hadiahkan Kak Nia bunga. Selama ni Kak Nia tak pernah terima bunga dari sesiapa pun. Terima kasih, ya sayang.” Ujar Dania lagi. Walaupun Rifqah tidak mahu bercakap dengannya, tindakbalas dari Rifqah itu menceriakannya.
Rifqah tertawa kecil sehingga menampakkan barisan giginya yang tersusun putih itu. Dania tahu, Rifqah berasa bangga apabila di berikan penghargaan dan pujian begitu.
“Mari, Kak Nia cium sikit.”
Tanpa menunggu lama, Rifqah terus merapatinya. Dania memeluk Rifqah dengan penuh kasih sayang dan sebuah kucupan hinggap di dahi anak kecil itu. Tanpa disedari, anak kecil itu turut memeluknya erat. Namun, ianya cuma seketika sahaja. Apabila terlihatkan sebuah Honda City masuk ke dalam kawasan rumah itu, pantas pelukkannya terlerai.
“Daddy…” Luah Rifqah perlahan.
Mendengarkan ucapan itu, pantas Dania memanjangkan lehernya melihat orang yang di sebut oleh Rifqah tadi. Dapat dilihat Rayyan bersama seorang lelaki asing di dalam kereta tersebut. Tanpa berlenggah lagi, Rifqah terus berlari mendapatkan Rayyan. Dania bangkit dari duduknya. Dia dah pulang ke? Tapi…siapa dengan dia tu?
“Puteri…jangan lari. Nanti jatuh.” Dania menghela nafas panjang melihat ulah Rifqah itu. Iskh…budak ni. Pantang betul nampak bapa dia. Kalau jatuh nanti siapa yang susah? Aku jugak. Sabar ajelah.
Dalam diam dia mengikuti langkah Rifqah. Dari jauh dapat dilihat Rifqah sudah menerpa ke arah Rayyan. Dapat dilihat dengan jelas kegembiraan dan keceriaan di wajah lelaki itu. Anak dengan bapa sama aje.
Dania mendekati Rayyan dan Rifqah yang kini sudah pun berada di dalam dukungannya. Puas wajah Rifqah diciumnya bagi menghilangkan rindu yang sarat di dada. Ulahnya itu hanya diperhatikan oleh Dania dan temannya itu. Temannya itu hanya menggelengkan kepala sahaja melihatkan ulahnya itu.
Seakan tahu bahawa dia tidak diperlukan di situ, Dania melangkah masuk tanpa menghiraukan mereka bertiga. Dia tidak mahu kehadirannya mencacatkan suasana gembira tersebut.
“Sudahlah tu, Ray. Kau ni macam dah 10 tahun tak jumpa dengan budak tu. Pada hal baru aje lima hari.” Helmi menggelengkan kepalanya melihatkan ulah Rayyan itu. Ni baru lima hari, belum lagi lima bulan. Kalau lima bulan agaknya, mahu lemas budak tu dikerjakan.
“Eh…lima hari tu rasa macam lima tahun tau tak?” Balas Rayyan.
“Yelah. Tapi agak-agaklah, bro. Orang lain pun ada anak jugak. Tapi takdelah macam kau tu. Macam orang jumpa awek pulak.” Selamba ayat itu keluar dari mulut Helmi. Kalau jumpa awek cium macam tu, bestlah juga.
“Itulah kau. Kau tak tahu bagaimana perasaan orang yang ada anak macam aku ni. Cuba kau kahwin dan ada anak. Pasti kau pun akan rasa seperti apa yang aku rasa.”
“I don’t think so.” Luah Helmi sambil menggelengkan kepalanya. Yelah tu.
“Jangan cakap aje. Kau belum kena lagi. Bila dah kena nanti baru kau tahu. Ha…masa tu nanti aku akan gelakkan kau pula.”
Helmi hanya mencebikkan bibir mendengarkan pernyataan temannya itu. Tumpuan Rayyan kini beralih pula ke arah Rifqah yang masih berada di dalam dukungannya itu.
“Sayang daddy macam mana? Sihat?” Soal Rayyan kepada Rifqah.
“Baru baik demam, daddy.” Jawab Rifqah lancar.
“Demam? Bila masa Rifqah demam? Daddy tak tahu pun.” soal Rayyan kehairanan sambil mengerut dahi seribu. Ke aku yang terlupa dia demam?
“Dah dua hari dah tapi mummy dah bawa Rifqah ke klinik.” Jawab Rifqah selamba.
“Mummy?” Sepatah ayat itu keluar dari bibir Rayyan. Aku salah dengar ke?
Rifqah pantas menganggukkan kepalanya bagi menjawab soalan Rayyan itu. Untuk seketika, wajah Rayyan berubah serta-merta. Dia saling berpandangan dengan Helmi yang berada di sebelahnya.
“Rifqah, sayang. Rifqah kata tadi, mummy bawa Rifqah ke klinik, kan?” Helmi seakan cuba mencari penjelasan daripada Rifqah pula apabila dia melihat Rayyan hanya terdiam apabila mendengar perkhabaran itu. Dia tahu sahabatnya itu terkejut dengan pengakuan anak kecil itu. Dia tahu, gadis sekecil Rifqah pasti takkan bisa menipu.
Sekali lagi Rifqah menganggukkan kepalanya dengan pantas bagi mengiakan pertanyaan dari Helmi. Melihatkan itu, pantas Helmi menyoal Rifqah lagi. Dia seperti Rayyan juga. Keliru dengan pengakuan jujur si kecil. Takkan Sandra datang jumpa dengan dia kot. Biar betul.
“Boleh uncle tahu, bila mummy Rifqah datang jumpa Rifqah?”
Rifqah terdiam seketika apabila mendengar soalan Helmi itu. Dia tidak terus menjawab soalan yang diutarakan oleh lelaki itu. Dahinya berkerut sambil jarinyanya yang comel itu mengetuk-ngetuk dagu, seakan memikirkan jawapan yang sesuai untuk soalan itu. Samada ianya sukar untuk di fahami ataupun tidak. Agak lama juga akhirnya, barulah anak kecil itu bersuara.
“Hari-hari mummy dataang jumpa dengan Rifqah.” Jujur sahaja jawapan yang diberikan oleh Rifqah tersebut.
Seakan mahu terhenti degup jantung Rayyan saat itu apabila mendengarkan jawapan dari ikhlas dari Rifqah. Kepalanya terasa seakan berpusing seketika. Helmi pula hanya mampu menggigit bibirnya sahaja.
“Mari masuk, Helmi.” Ujar Rayyan tiba-tiba. Untuk apa dia datang lagi?
Tanpa berlengah lagi, Helmi mengikuti langkah Rayyan. Sampai sahaja di ruang tamu, dilaungkan nama Mak Kiah. Terkocoh-kocoh wanita tua itu mendapatkan Rayyan.
“Tengku panggil Mak Kiah?” Soal Mak Kiah.
Rayyan menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan daripada Mak Kiah itu. Dia merenung wajah tua dihadapannya dengan perasaan bersimpang siur.
“Saya dapat tahu Rifqah demam, betul?” Soal Rayyan tanpa menjawab soalan Mak Kiah sebentar tadi.
“Ya. Betul, Tengku.” Jawab Mak Kiah sambil menganggukkan kepalanya.
“Kenapa Mak Kiah tak maklumkan pada saya?” Soal Rayyan lagi. Direnung wajah tua itu dalam-dalam.
“Nia kata tak perlu. Lagi pun, dah jauh malam masa tu. Kami tak mahu mengganggu Tengku.” Luah Mak Kiah jujur.
“Siapa yang bawa Rifqah ke klinik?”
“Nia dan Pak Hamid.”
“Selama saya tak ada, ada sesiapa jumpa dengan Rifqah?” Bagaikan polis pencen Rayyan terus mengajukan soalan kepada Mak Kiah. Dia masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang telah diberikan oleh Mak Kiah itu. Takkan Mak Kiah nak berahsia dengan aku pula?
“Setahu Mak Kiah, tak ada.” Jawab Mak Kiah sambil menggelengkan kepala. Memang takde pun. Hanya kami sahaja. Siapa pula yang datang jumpa dengan Puteri?
“Betul?” Sepatah soalan itu keluar dari bibir Rayyan. Seakan kurang yakin dengan pengakuan jujur Mak Kiah itu. Ke Mak Kiah sembunyikan sesuatu dari aku?
“Betul, Tengku. Puteri hanya bersama dengan kami sahaja. Dia tak kemana-mana pun.”
Rayyan hanya terdiam mendengar penjelasan dari Mak Kiah. Bibirnya diketap perlahan. Dia menghela nafas panjang sebelum memulakan bicaranya.
“Tak apalah, Mak Kiah. Mak Kiah pergilah buat kerja. Tolong panggilkan Dania. Saya nak jumpa dia sekarang.”
“Baik, Tengku.”
Mak Kiah mengangguk lalu berlalu meninggalkan mereka bertiga di ruang tamu itu. Rayyan melabuhkan punggungnya di sofa yang disediakan. Dia menghela nafas panjang.
“Dah tu, siapa yang dipanggilnya mummy?” Luah Rayyan perlahan. Takkan mummy dia datang jumpa dia? Pelik. Kalau ya, kenapa baru sekarang? Kenapa tidak dulu lagi?
“Kau rasa siapa?” Tanya Helmi sambil merenung wajah tegang Rayyan.
Rayyan hanya mampu menjungkitkan bahunya sahaja tanda tidak tahu akan jawapannya. Dia sendiri binggung dengan apa yang telah terjadi saat itu. Kehadiran Dania sambil menatang sedulang air tidak sedikit pun dihiraukannya. Dia leka memikirkan persoalan-persoalan yang sedang bermain di benak fikirannya.
Namun, tidak pula Helmi. Dia bagai terpaku apabila melihat wajah gadis sunti di hadapannya itu. Di dalam hatinya tertanya-tanya gerangan siapakah gadis di hadapannya kini? Ditatap wajah ayu itu dengan penuh kusyuk sekali. Rifqah pula leka dengan barang permainan yang dihadiahkan oleh Rayyan sebentar tadi. Setelah menghidangkan minuman untuk tetamunya, Dania merenung wajah kusut Rayyan.
“Tengku nak jumpa dengan saya?” Lembut Dania bertanya.
Apabila mendengarkan suara tersebut, Rayyan pantas mengangkat wajahnya. Direnung wajah Dania dalam-dalam sebelum menjawab soalan yang di utarakan.
“Kenapa awak tak beritahu saya yang Rifqah demam hari tu?” Soal Rayyan tenang.
“Waktu tu dah lewat. Saya minta maaf sebab tak beritahu pada Tengku.” Tenang sahaja tutur Dania sambil merenung wajah Rayyan.
“Awak sepatutnya beritahu saya perkara tu, Dania. Ni tidak, dah last minute baru saya tahu.” Luah Rayyan tegas. Dia memang sengaja cari pasal dengan aku.
“Kan saya dah kata tadi, hari tu dah lewat malam. Dah hampir pagi pun. Kalau saya beritahu sekali pun, bukannya Tengku boleh terus sampai ke sini on the spot.” Selamba sahaja Dania menjawab kata-kata Rayyan. Bengang benar dia dengan sikap Rayyan itu. Dia ni tak faham bahasa atau sengaja cari masalah dengan aku?
“Apa sahaja yang berkaitan tentang anak saya, saya sanggup ambil apa saja risikonya, Dania. Tak kira siang ataupun malam. Jauh ataupun dekat. Faham?” Ujar Rayyan sambil merenung wajah Dania tajam. Dia ingat aku main-main ke?
“Itu saya faham tapi keadaan Puteri tidak mengizinkan saya menunggu Tengku lebih lama lagi.” Sedikit tegas kata-kata tersebut keluar dari bibir Dania. Kusut betullah dia ni.
“She is my daughter, Dania. Not yours”  Ujar  Rayyan.
“Saya tahu dia anak Tengku tapi saat itu dia di bawah tanggungjawab saya…jagaan saya dan Tengku tak perlu risau tentang semua itu. Saya ada untuk jaga dia.”
“Itu saya tahu tapi kalau apa-apa terjadi pada anak saya bagaimana? Awak nak bertanggungjawab?” Tegas Rayyan sambil bercekak pinggang. Kalau kau nak bertanggungjawab lainlah.
“Tengku, kami di sini menjaga anak Tengku seumpama kami menjaga diri kami sendiri.” marah Dania. Dia ni memang sengaja cari masalah dengan akulah. Geram betul aku.
“Awak takde anak dan awak tak tahu bagaimana perasaan saya. Saya tak suka orang buat keputusan sesuka hati begini. Lebih-lebih lagi tentang anak saya. Rifqah, anak saya dan awak tak berhak mengambil sebarang keputusan dalam hidup dia. Faham!” Tegas Rayyan lagi sambil bercekak pinggang. Kalau tak faham juga tak tahulah aku.
“Habis tu, Tengku mahu kami tunggu sampai Tengku pulang baru kami boleh buat keputusan. Begitu? Lainlah kalau Tengku nak lihat keputusan yang Tengku buat tu akhirnya akan memakan diri Tengku sendiri. Ha…masa tu menyesal pun dah tak guna lagi.” Dengus Dania sambil berpeluk tubuh. Sakit hatinya bila bercakap dengan lelaki itu. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Susah sangat, bawa aje anak kau tu kemana saja kau pergi. Tak payah nak menyusahkan orang lain. Hidup aku pun senang.
“Awak nikan…saya cakap sepatah, sepuluh yang awak jawab.” Ujar Rayyan sambil menunding jari ke arah Dania. Kalau tak menjawab, tak boleh agaknya. Ada aje jawapannya.
“Masalahnya…cara Tengku tu salah. Cubalah sesekali dengar pendapat orang lain pula. Ni tidak, asyik nak dengar pendapat Tengku aje. Saya bukan buat keputusan dengan sesuka hati. Puteri demam panas hari tu. Saya dan Pak Hamid yang bawa dia ke klinik. Kalau lambat, Tengku tahu tak apa yang jadi? Tahu tak?” Luah Dania tegas. Nak aku terangkan dengan lebih detail lagi ke?
“Saya tak mahu ambil tahu itu semua. Sekurang-kurangnya beritahu saya. Saya ni daddy dia. Jangan biarkan saya orang yang terakhir yang tahu pasal benda ni, faham?”
“Mummy…Daddy…janganlah gaduh macam ni.” Sampuk Rifqah sambil tersedu hiba. Dia tidak suka apabila Dania dan Rayyan bergaduh begitu. Dia jadi takut apabila melihatkan keadaan begitu.
Mendengarkan suara itu, pantas pandangan mereka beralih. Rifqah sudah memegang baju mereka berdua sambil menanggis. Air jernih mengalir laju di pipi munggil itu. Helmi hanya memerhatikan sahaja ulah dua insan di hadapannya itu. Dia sendiri kurang faham dengan situasi tersebut. Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa kena dengan mereka berdua ni?
“Mummy…Daddy…janganlah gaduh lagi. Puteri tak suka dengar mummy dan daddy gaduh. Puteri takut.” Sambung Rifqah lagi.
“Daddy minta maaf, sayang.” Luah Rayyan sambil mengesat lembut air jernih yang mengalir di pipi gebu si kecil itu. Dia tahu dia bersalah terhadap Rifqah. Dia tidak sepatutnya bergaduh dengan Dania di hadapan anaknya itu. Dia seakan terlupa akan kehadiran Rifqah di antara mereka saat itu. Semuanya salah Dania. Saja cari pasal dengan aku.
“Daddy janji tak marahkan mummy lagi?” Luah Rifqah sambil merenung wajah Rayyan.
Rayyan tidak terus menjawab soalan Rifqah itu. Dia menoleh ke arah Dania yang berada di dalam keadaan terkejut itu. Direnung wajah gadis itu dalam-dalam. Pandangan mereka bertaut seketika. Pantas Dania melarikan wajahnya. Akhirnya, dia memulakan bicaranya.
“Daddy janji, sayang. Daddy janji.” Rayyan menghela nafas panjang sambil menganggukkan kepala.
“Mummy…” Rifqah merenung wajah Dania dalam sendu.
Dania kehilangan kata-kata. Itulah pertama kali semenjak dia tinggal di situ, anak kecil itu bercakap dengannya. Namun, dia semakin kehilangan kata-kata apabila Rifqah memanggilnya mummy. Liur yang ditelannya terasa kesat. Betulkah apa yang aku dengar ini? Atau aku masih lagi sedang bermimpi saat ini?
Melihatkan Dania yang hanya mendiamkan diri, Rifqah kembali bersuara.
“Puteri minta maaf pada mummy. Puteri janji yang Puteri takkan jadi budak nakal lagi. Puteri akan dengar cakap mummy. Mummy jangan marah kat daddy lagi, ya?” Sendu Rifqah sambil memeluk Dania dengan erat.
Hati Dania tersentuh melihat ulah Rifqah itu. Dalam diam dia menganggukkan kepalanya. Lalu didakap erat tubuh kecil Rifqah sebelum memulakan bicaranya. Dia tak salah. Kenapa perlu dilepaskan kesalahan pada dia?
“Kak Nia maafkan Puteri. Kak Nia tahu Puteri budak yang baik.” Ujar Dania lembut.
“Mummy maafkan daddy tak?” Soal Rifqah lagi.
Dania terdiam seketika sebelum menjawab pertanyaan Rifqah. Matanya merenung Rayyan seketika sebelum memulakan bicaranya. Dia tahu dia harus beralah saat ini. Tak guna dia terus-terusan menyalahkan satu sama lain. Beralah itu lebih baik dari bergaduh.
“Daddy Puteri tak salah, kenapa Kak Nia perlu maafkan?” Soal Dania. Wajah munggil itu diusapnya dengan penuh kasih sayang.
“Tapi tadi mummy dengan daddy kan gaduh?”
“Kami tak gaduh, sayang. Kami cuma berbincang.” Luah Dania lembut. Berbincang ke kalau macam tu punya hebat? Lantaklah. Asalkan ianya boleh memujuk hati si kecil ini. Itu dah cukup bagi aku.
“Betul ni?” Ujar Rifqah sambil mengelap air mata yang mengalir di pipinya dengan belakang tangan. Lega hatinya apabila mendengarkan pengakuan Dania itu.
“Betul tapi Puteri tak boleh panggil Kak Nia, mummy. Puteri kena panggil akak sebagai Kak Nia. Bukan mummy” Pujuk Dania.
“Kenapa pula?” Tanya Rifqah hairan.
“Sebab Kak Nia bukan mummy Puteri. Kak Nia cuma pengasuh Puteri.” Jawab Dania lembut. Dalam diam dia berharap agar Rifqah memahami maksud yang ingin disampaikan olehnya. Dia tahu sukar untuk anak kecil sebaya Rifqah ingin memahami apa yang dia perkatakan sebentar tadi.
Gadis itu terdiam mendengar penerangan daripada Dania. Dahinya kelihatan berkerut seribu. Seakan sedang cuba untuk memahami kata-kata Dania itu.
“Habis tu, siapa mummy Puteri?” Soal Rifqah kembali.
Mendengarkan soalan yang di utarakan oleh Rifqah itu membuatkan Dania terdiam seketika. Dia merenung Rayyan yang ada di sisi mereka. Pandangan mereka bertaut seketika. Rayyan melarikan wajahnya apabila terasa renungan Dania menusuk dalam ke anak matanya. Agak lama keadaan sunyi seketika di antara mereka berempat.
Melihatkan soalannya tiada jawapan daripada mereka di situ, Rifqah sekali lagi mengutarakan soalannya. Rayyan menghela nafas panjang sebelum menjawab soalan yang di utarakan. Perlahan-lahan dia mendekati Rifqah. Sukarnya nak menjawab soalan ni.
“Sayang…kenapa tanya mummy? Daddykan ada di sini?” Luah Rayyan lembut. Aku sendiri tak punya jawapannya. Bagaimana untuk aku terangkan pada dia?
“Kawan-kawan Puteri semuanya ada mummy. Kenapa Puteri takde mummy?” Selamba sahaja soalan itu meluncur laju dari bibir si kecil.
“Jadi Rifqah nak mummylah, ya?” Soal Rayyan lagi.
“Bukan macam tu.” Rifqah mula menarik muncung.
“Dah tu?” Soal Rayyan hairan. Tadi dia juga yang tanya pasal mummy dia.
            “Kalau ada daddy, mestilah ada mummy, kan?” Rifqah merenung wajah daddynya.
“Jadi Rifqah nak tahulah mummy Rifqah di mana?” Soal Rayyan lagi.
Pantas anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu menganggukkan kepalanya. Sekali lagi Rayyan menghela nafasnya sebelum berbicara. Dia tahu amat berat untuk dia berbuat demikian namun dia terpaksa.
“Ok. Daddy boleh beritahu Rifqah di mana mummy Rifqah tapi Rifqah kena janji dengan daddy yang Rifqah akan jadi budak baik dan jangan jadi budak nakal lagi. Boleh?”
“Boleh, daddy. Puteri janji.” Pantas Rifqah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum manis.
“Sebenarnya…mummy Rifqah dah lama meninggal.” Luah Rayyan tenang.
“Ray! Apa yang kau cakap ni?” Helmi terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Rayyan itu.
Dania yang melihat aksi pemuda asing itu, sedikit terpinga-pinga. Dapat dirasakan bagai ada sesuatu yang tidak kena di antara pemuda itu dengan pernyataan yang baru sahaja di buat oleh Rayyan sebentar tadi. Hatinya tiba-tiba rasa kurang enak. Bermacam-macam andaian bermain dibenaknya saat itu. Ada yang tak kena ke dengan perkahwinan dia?
Namun, tanpa menghiraukan sahabatnya itu, Rayyan kembali bersuara.
“So, sekarang daddy mahu Rifqah pergi mandi dan bersiap. Kita akan pergi rumah nenek sebentar lagi. Ok?”
Pantas Rifqah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Tanpa berlengah lagi Rifqah terus berlari ke biliknya.
“Dan awak…” Ditolehnya ke arah Dania. “Siapkan dia.” Arah Rayyan.
“Baik, Tengku.” Akur Dania dengan arahan yang diberikan oleh Rayyan kepadanya sebentar tadi.
Tanpa menunggu lama, Dania akur dengan arahan yang diberikan oleh Rayyan. Hilang sahaja gadis itu dari pandangan mereka, Helmi kembali bersuara.
“Kau dah gila apa, Ray?” Marah Helmi. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa sahabatnya itu sanggup berkata demikian. Benci sungguh sahabatnya itu dengan bekas isterinya. Baginya, jika benci sekali pun, bukan begitu caranya untuk dia terus membuang Sandra.
“Kenapa pula?” Soal Rayyan kembali tanpa menjawab soalan yang diajukan oleh Helmi kepadanya sebentar tadi. Punggungnya dilabuhkan di sofa bersebelahan Helmi.
“Kenapa kau cakap macam tu pada Rifqah tadi?”
“Cakap? Cakap apa?” Soal Rayyan kembali tanpa rasa bersalah.
“Kau kata mummy dia dah meninggal.”
“Betullah mummy dia dah meninggal. Dah tu kau nak aku cakap apa?” Selamba sahaja ayat itu keluar dari bibir Rayyan. Seperti kata-katanya sebentar tadi tidak mengalami sebarang kesalahan langsung.
“Ray, mummy diakan ada lagi. Kenapa kau sanggup cakap mummy dia dah meninggal?” Soal Helmi tenang. Baginya Rayyan tidak sepatutnya berkata sedemikian rupa. Teruk-teruk Sandra pun, dia pernah menjadi isteri kepada lelaki itu dan ibu kepada Rifqah. Gila betullah dia ni. Sanggup dia cakap macam tu sekali.
         “Habis tu, kau nak aku cakap apa lagi, Helmi? Kau nak aku cakap pada dia, yang mummy dia tinggalkan kami sebab mummy dia bencikan kami? Kau nak aku cakap, yang mummy dia curang dengan lelaki lain? Kau nak aku cakap, yang mummy dia lari ikut jantan lain? Kau nak aku cakap macam tu ke Helmi pada dia? Kau nak aku cakap pada dia tentang kebenarannya? Biar dia tahu siapa mummy dia yang sebenarnya. Begitu?” Tegas sekali ayat-ayat yang keluar dari bibir Rayyan.
Helmi bungkam seketika apabila mendengar soalan yang keluar dari mulut Rayyan itu. Dia terkedu seketika. Dia seakan kehilangan kata-kata. Rayyan menghela panjang nafasnya sebelum memulakan bicaranya.
“Aku tahu, satu hari nanti Rifqah pasti akan tanya aku di mana mummy dia tapi aku belum lagi bersedia untuk menjawab soalan-soalan tu, Helmi. Aku takde jawapan bagi soalan yang akan diajukannya seperti tadi.” Luah Rayyan lemah. Dia meraup wajahnya yang kusut itu. Belum cukup kuatkah aku saat ini?
“Aku minta maaf, Ray.” Luah Helmi perlahan. Bahu Rayyan ditepuknya perlahan.
“Kau tak salah pun dalam hal ni. Kenapa nak minta maaf?” Ujar Rayyan perlahan. Semuanya salah aku. Bukan salah kau pun.
“Aku salah, Ray. Aku terlupa akan hakikat yang sebenarnya. Malah aku tidak sepatutnya marah kau macam tu tadi.”
“Takpe. Aku faham.”
“Tapi pada aku, tak baik kau kata dia dah meninggal. Kau boleh beri alasan yang lain. Bagi aku perkataan meninggal itu terlalu kasar bunyinya. Bagaimana kalau tiba-tiba mummy dia muncul. Apa yang akan kau katakan pada dia? Sedangkan sebelum ni kau kata mummy dia dah meninggal.” Ujar Helmi lembut. Tak ke gila jadinya?
“Ayat aku belum habis lagi.”
“Maksud kau? Aku tak faham.” Helmi merenung wajah Rayyan dengan penuh kehairanan.
“Maksud aku, meninggalkan aku dan dia. Bukannya meninggal yang satu lagi tu.”
Mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Rayyan itu, membuatkan Helmi tersenyum tawar. Dia tahu, Rayyan tidak berniat untuk membuat begitu kepada bekas isterinya. Walaupun Rayyan tidak meluahkan isi hatinya, Helmi tahu yang Rayyan masih lagi mencintai Sandra, bekas isterinya itu.
Tapi sayang sekali, Sandra tidak tahu menghargai kasih sayang yang telah diberikan oleh insan yang bernama Tengku Rayyan Tengku Rasydan. Sandra lebih gemar mengejar keseronokkan yang dicarinya di luar sana.
Dia tahu Sandra sudah bergelar model yang terkemuka sekarang ini. Wajahnya sering kali muncul di dada-dada majalah dan akhbar. Dia juga tahu, dalam diam lelaki di hadapannya ini sering juga mengikuti perkembangan wanita itu. Namun, Sandra seakan sudah melupakan Rayyan dan anaknya. Dia leka dan hanyut dengan dunia glamournya.
Dia juga tahu, Rayyan begitu merana sekali akibat ditinggalkan oleh Sandra satu masa dulu. Dirinya seakan tidak terurus. Namun, bila dikenangkan Rifqah yang masih kecil Rayyan kembali bersemangat. Semenjak ditinggalkan oleh Sandra, Rayyan seakan menguncikan pintu hatinya buat insan yang bernama wanita. Masanya lebih banyak dihabiskan bersama Rifqah dan perangai lamanya berulang kembali. Dia menjadi pemburu wanita.
           Bukan seorang dua wanita yang tewas ditangannya tetapi ramai. Dia seperti membalas dendam dengan apa yang telah dilakukan oleh Sandra kepadanya dulu. Bila ada wang dan kekayaan, tidak susah baginya untuk mendapat wanita yang diingini. Dapat pula wajahnya yang kacak dan tampan. Setiap malam minggu pasti dia akan berkepit dengan mana-mana perempuan yang dia ingini.

2 ulasan:

Juju berkata...

smbg2 lgi...bestttt yg amat!!!

@RiNnIe@ berkata...

teruskan usaha.....