Halaman

Jumaat, 7 Oktober 2011

Selagi Ada Kasih 13

Mereka berdua berjalan menyelusuri kaki lima kampus itu sambil berbual kosong. Banyak perkara yang mereka berdua bincangkan. Adakalanya mereka tertawa gelihati. Pandangan siswa-siswi yang berselisih dengan mereka, tidak dihiraukan. Mereka tenggelam dalam dunia mereka sendiri.
“Eh…Nia, lepas ni nak kemana?” Soal Zaza saat mereka menghampiri taman yang terdapat di kolej tersebut.
Itulah dia, Fariza atau lebih di kenali sebagai Zaza. Teman baru Dania sewaktu di kolej itu. Mereka berkenalan sewaktu sama-sama mendaftar masuk di kolej tersebut. Keramahan Zaza telah merapatkan mereka berdua. Sementa lagi, mereka berdua dari falkulti yang sama. Bermula daripada hari itu, mereka berdua rapat.
Walaupun anak seorang Dato, Zaza tidak sombong. Malah gadis bertubuh langsing dan berkulit putih itu seorang yang merendah diri. Wajahnya persis cina. Hinggakan pada mulanya Dania ingatkan Zaza adalah gadis cina. Tapi bila di terangkan oleh gadis tersebut yang ibunya berdarah cina, barulah Dania percaya.
“Aku ingat nak pergi library sekejap, Za. Nak cari bahan rujukkan. Nak ikut ke?” Soal Dania sambil merenung wajah ayu Zaza.
“Ahh…kau. Tak habis-habis library. Cubalah ajak aku pergi tempat lain ke. Sedaplah sikit aku dengarnya. Ni tidak. Asyik-asyik library. Bosan aku.” Cebik Zaza. Sesekali dia menolak anak rambutnya yang menutup mata akibat dibuai angin.
“Habis tu, kau nak aku ajak pergi mana?” Soal Dania lagi. Takkan taman bunga pula?
“Pergi makan ke?”
“Makan…makan…makan…Tu aje yang kau tahu. Besarnya tidak juga.” Cebik Dania sambil memeluk tubuhnya. Itu aje yang difikir.
“Ha…kita pergi taman bunga nak?” Selamba sahaja ayat itu meluncur laju keluar dari bibir munggil Zaza. Matanya dikerdipkan beberapa kali. Berharap Dania bersetuju dengan ajakkannya itu. Mesti dia tak mahu.
“Taman bunga? Nak buat apa? Kau nak berdating ke kat sana ke?” Selamba sahaja soalan itu keluar dari bibir Dania. Biar betul budak ni.
“Aku mana ada boyfriend nak dating. Lainlah kalau aku ada boyfriend. Sedap sikit aku nak berdating kat sana.” Marah Zaza. Orang ajak betul-betul, dia main-main pula.
“Ha…dah tu yang kau ajak aku pergi sana buat apa? Kan bagus kalau kau ikut aku pergi library. Ada gak faedahnya, Za.” Luah Dania sambil tersenyum.
“Apa faedahnya? Cuba kau cakap kat aku.”
“Banyak faedahnya, Za. Salah satunya, kita dapat ilmu tau bila kita pergi ke sana.” Ucap Dania lembut.
“Tapi boringlah Nia. Asyik hadap buku aje.” Zaza mula menarik muncung mendengarkan cadangan Dania itu. Sesekali nak juga cuci mata ni.
Jika dia ke perpustakaan, dia pasti akan tidur dalam perpustakaan. Tak sanggup untuk dia berada lama di dalam tempat itu. Dia cuma akan ke sana apabila tiba musim peperiksaaan. Samada suka atau tidak dia akan memaksa dirinya ke sana. Bukan Dania tak tahu akan perangai sahabatnya itu.
Terdiam Dania mendengar kata-kata dari Zaza itu. Dia melihat Zaza sudah menarik muncung panjang sedepa seakan merajuk kerana cadangannya tidak di terima oleh temannya itu. Dia tahu, Zaza seorang yang manja. Memadailah dia merupakan anak bongsu dalam keluarganya. Dania menepuk lembut bahu sahabat baiknya itu. Merajuklah tu.
“Memanglah boring tapi kita dapat ilmu. Kalau pergi kat tempat-tempat tu semua takde ilmu yang kita dapat, Za.” Pujuk Dania lembut.
“Eh…siapa kata tak dapat? Dapat tau. Pandai aje kau.” Pantas Zaza menjawabnya.
“Memanglah dapat tapi ilmu yang negatif buat apa. Aku mahu ilmu yang positif. Bukannya yang negatif.” Jawab Dania selamba. Kalau ilmu yang macam tu, tak mahulah aku. Banyak lagi kerja yang boleh aku buat.
“Kau ni kan, bila aku cakap ada aje jawabnya. Kalau tak menjawab tak boleh ke?” Renggus Zaza kasar. Aduh…ni yang malas aku nak berdebat dengan dia.
Sekali lagi ulahnya itu membuatkan Dania tersenyum. Tidak sedikit pun Dania ambil hati dengan ulah kawannya itu kerana dia tahu sifat Zaza sedari dulu. Malah begitu juga Zaza. Dia pasti akan kalah bila di ajak bersoal-jawab dengan Dania.
Bukan sekali dua mereka berbahas hujah. Sudah acap kali dan kekalahan itu pasti akan berpihak kepadanya. Dania pula tidak pernah mendabik dada dengan apa yang terjadi. Dia tidak mahu sahabatnya itu tersasar jauh.
Sedang mereka berbicara, terdengar oleh mereka akan seseorang melaungkan nama Zaza. Pantas keduanya menoleh. Terlihat oleh mereka berdua Farid, senior mereka menuju ke arah mereka berdua. Melihatkan itu pantas Dania meminta diri.
“Apalah yang mamat ni nak dengan aku agaknya. Kacau daun betullah. Aku baru aje nak pujuk Nia. Dia pula datang mengganggu ketenteraman awam aku.” Ucap Zaza perlahan.
“Oklah, Za. Aku pergi dulu.” Malas dia ingin mencampuri urusan sahabatnya itu dengan Farid. Pasti ada hal penting yang ingin dibincangkan oleh pemuda itu dengan Zaza.
“Eh! Kau nak kemana?” Soal Zaza sambil merenung wajah Dania dengan penuh kehairanan. Takkan nak tinggalkan aku seorang-seorang kat sini kot.
“Kan aku dah kata aku nak ke library.”
“Tunggulah aku. Kita pergi sama-sama.” Pinta Zaza. Dengan harapan Dania akan menunggunya.
“Takpelah. Farid nak jumpa kau tu. Nanti kita jumpa kat sana ajelah, ya?” Pujuk Dania.
“Oklah.” Jawab Zaza sambil menarik muncungnya tanda merajuk. Ni semua mamat ni punya pasal.
Pemergian Dania hanya dihantar dengan pandangan mata sahaja sehinggalah gadis itu hilang dari pandangan matanya. Kehadiran Farid di sisi tidak sedikit pun dihiraukan olehnya. Sehinggalah pemuda itu menegurnya.
“Hai, Za” Sapa Farid lembut.
“Hai.” Sepatah sahaja dijawabnya.
“Nia nak kemana tu?” Soal Farid sambil merenung Dania dari jauh.
“Library.” Mahu tak mahu sahaja ayat itu keluar dari bibirnya. “Apa hal panggil saya?” Ujar Zaza sambil merenung wajah Farid. Kacau program aku ajelah dia ni.
Jejaka itu tersenyum manis apabila mendengar pertanyaan Zaza itu. Dia sedikit teragap-agap untuk menjawab pertanyaan tersebut. Namun, di kuatkan juga hatinya. Dia tahu hanya Zaza sahaja yang dapat menolongnya saat itu.
“Sebenarnya abang nak minta tolong sikit. Boleh?”
“Apa dia?” Soal Zaza hairan. Aik…tak pernah-pernah minta tolong dengan aku kenapa tiba-tiba aje mamat ni minta tolong pula? Pelik.
“Zaza rapatkan dengan Nia?” Tanpa menjawab soalan Zaza, Farid kembali menyoal Zaza. Harap dia boleh tolong aku. Hanya dia saja harapan aku.
“Ya. So?” Soal Zaza sambil berpeluk tubuh. Apa kena-mengena Nia dalam hal ni pula?
“Boleh tak cakap dengan dia yang abang nak kenal dengan dia?” Antara dengar dengan tidak Farid meluahkan perasaannya.
“Pardon.” Soal Zaza sepatah. Aku salah dengar? Ke dia yang salah cakap? Rasanya aku tak salah dengar tadi.
“Abang nak kenal dengan Nia. Boleh tak Zaza tolong beritahu kat dia yang abang nak kenal dengan dia?” Lancar sahaja ayat itu keluar dari mulutnya.
Zaza merenung wajah jejaka yang tercegat di hadapannya itu. Di teleknya wajah itu dalam-dalam. Seakan tidak percaya dia dengan kata-kata lelaki itu. Dia akui bahawa Farid merupakan seorang lelaki yang kacak dan menjadi kegilaan ramai gadis-gadis di kampus itu. Kebanyakan gadis di kampus itu ingin berpacaran dengannya. Siang malam mimpikan jejaka tersebut.
Siapa yang tak inginkan jejaka kacak dan kaya seperti Farid itu menjadi buah hati sendiri. Semua orang mahu. Bukan sahaja kacak dan kaya, malah Farid juga bijak dan aktif dalam sukan. Dia juga merupakan model remaja yang popular. Tapi sayang, jejaka itu dikenali sebagai playboy di kolej tersebut. Setiap minggu dia pasti akan bertukar-tukar pasangan. Tiada satu pun yang kekal dengannya. Yang terbaru didengarnya, Farid sekarang berpasangan dengan Gina. Gadis kacukan Cina dan Belanda.
Yang peliknya, entah dari mana jejaka itu mengetahui namanya tidak dia tahu. Setahunya, hendak kata pandang, jeling pun belum tentu lagi jejaka itu sudi menjeling wajahnya. Saat ini, jejaka kacak di hadapannya ini sedang meminta pertolongan darinya untuk berkawan dengan Dania. Biar betul! Seakan mimpi dirasakannya.
Melihatkan tiada tindakbalas dari gadis di hadapannya itu, Farid memanggil-manggil nama Zaza. Seakan tersedar dari mimpinya, Zaza merenung wajah Farid. Pandangan mata mereka bertaut seketika.
“Boleh tak tolong abang ni?” Soal Farid lembut. Harap-harap dia boleh tolong.
“Untuk apa?” Soal Zaza kembali tanpa menjawab soalan yang diajukan oleh Farid.
“Kan abang dah kata tadi yang abang nak kawan dengan dia.”
“Tak. Maksud saya, kan bang dah ada Gina. Kenapa nak kawan dengan Nia pula?” Soal Zaza hairan. Sengal apa? Atau silap makan ubat.
“Orang tua-tua kata, berkawan biar seribu berkasih biar satu.” Luah Farid sambil tersenyum manis.
“Ha’ah. Berkahwin biar empat, yang lain jadi spare part. Begitu?” Selamba sahaja ayat itu keluar dari bibir Zaza. Macamlah aku tak tahu niat kau tu. Faham sangat dah.
Wajah Farid sedikit berubah apabila mendengarkan Zaza melengkapkan pantun yang diberinya tadi. Namun, cepat-cepat dia bersuara kembali bagi menjernihkan suasana. Dia tidak mahu Zaza tersalah anggap dengan niatnya.
“Eh…kahwin empat itukan sunah Nabi. Tak salah kiranya kita ikut sunah Nabi, kan?” Ucap Farid lembut. Seakan membela dirinya.
“Kenapa kahwin aje nak ikut sunah Nabi tapi dalam soal lain tak pula diikutnya?” Soal Zaza sambil berpeluk tubuh. Meluat dia dengan kata-kata Farid itu. Itulah lelaki.
Farid terdiam sambil tersengih mendengar soalan yang diajukan oleh Zaza itu. Sesungguhnya dia sendiri tiada jawapan bagi soalan yang diajukan. Seakan ianya terkena di batang hidungnya sendiri. Melihatkan dia yang hanya diam membisu, Zaza pantas bersuara.
“Ke bang nak kenakan Nia?” Soal Zaza sinis. Dia seakan ragu-ragu dengan niat ikhlas Farid terhadap sahabatnya itu. Bukan boleh percaya dia ni.
“Kenakan apa pula?” Farid mengerut dahi tanda tidak faham dengan soalan yang diajukan. Apa maksud dia?
“Manalah tahu kalau abang nak buat Nia jadi spare part abang ke?”
“Eh…takdelah terfikir sampai macam tu sekali.” Sanggah Farid. Sememangnya dia ingin berkawan dengan Dania secara serius. Bukannya untuk di buat main. Seperti yang dikatakan oleh Zaza sebentar tadi.
“Jadi nak seriuslah ni?” Senyum Zaza sinis. Boleh percaya ke?
Pantas Farid mengganggukkan kepalanya laju tanpa memikirkan terlebih dahulu akan jawapan yang sepatutnya diberikannya kepada Zaza.
“Kalau serius, Gina tu abang nak campak kat mana? Dalam poket?”
Farid terdiam seketika sebelum menjawab soalan yang diajukan oleh Zaza itu. Dia takut tersilap kata maka ianya akan memakan dirinya sendiri seperti tadi.
“Abang dengan Gina, hanya kawan aje. Tak lebih dari itu. Percayalah.” Perlahan suara itu keluar dari mulutnya. Minta-minta dia percaya dengan kata-kata aku.
“Boleh percaya ke?” Soal Zaza lagi sambil merenung wajah Farid. Dia kurang yakin dengan jawapan yang diberikan oleh pemuda itu. Berkepit macam belangkas, tu namanya kawan? Kalau girlfriend agaknya, mungkin lebih teruk dari tu.
“Betul. Kami kawan aje. Tak lebih dari itu. Abang anggap dia macam kawan-kawan abang yang lain. Percayalah.”
Zaza terdiam sambil mencebik bibirnya. Malas dia mahu bersoal-jawab dengan Farid lagi. Jika diikutkan hatinya, malas untuk dia membantu pemuda itu. Dia bimbang jika Farid akan mempermainkan teman baiknya satu hari nanti. Niaya aje kawan aku tu nanti.
“Tolong ya, Za.” Pinta Farid apabila melihatkan Zaza hanya mendiamkan diri sedari tadi.
“Kenapa abang nak kawan dengan dia? Bukankah masih ramai lagi gadis dalam kolej ni yang boleh abang kawan? Malah lebih cantik, bijak dan seksi lagi selain daripada dia. Nia got nothing, bang. Dia cuma gadis biasa aje. Takde yang istimewa pun dengan Nia tu.” Ujar Zaza panjang lebar.
“Entahlah. Abang pun tak tahu kenapa abang nak kawan dengan dia.” Jawab Farid perlahan. Yang pasti, aku sukakan dia.
“Maksud abang?” Soal Zaza hairan.
“Nia ni lain sikit. Dia tak macam perempuan-perempuan lain yang ada dekat kolej ni. Dia semacam tak hiraukan kehadiran abang di sini. Sedangkan perempuan-perempuan di sini, pantang nampak abang. Mereka pasti teruja dan terkejar-kejar. Tapi dia tak. Itu sebabnya abang nak kenal dengan dia.” Ujar Farid jujur.
“Nak tahu sebabnya?”
Farid menoleh ke arah Zaza apabila mendengarkan soalan yang di utarakan itu. Zaza kembali menyambung kata-katanya apabila melihatkan kebungkaman Farid itu. Zaza tahu, dia perlu menyedarkan Farid tentang gadis yang bernama Dania Rahmat. Dia tidak mahu Farid terus mengharap pada sahabatnya.
“Sebab niat dia cuma satu, bang. Dia datang ke sini untuk belajar dan bukannya bercinta. Di sebabkan itulah, dia lebih menumpukan perhatiannya kepada belajar dan bukannya bercinta.” Jelas Zaza dengan panjang lebarnya.
Farid terdiam mendengar kata-kata tersebut.
“Saya boleh sampaikan pesanan abang tu tapi saya tak janji apa-apa. Samada dia terima atau tidak, terpulanglah pada dia. Saya tak boleh paksa. Ini soal hati dan perasaan orang.” Luah Zaza lembut.
“Terima kasih, Za.” Farid tersenyum ceria apabila mendengarkan kata-kata Zaza.
Zaza hanya menganggukkan kepalanya. Dia berpusing untuk meninggalkan Farid di situ. Dia ingin segera menemui Dania. Dia tahu, sahabat baiknya itu pasti sedang menunggunya di perpustakaan seperti yang dijanjikan. Tidak berapa jauh dia melangkah, namanya diseru oleh Farid. Pantas dia menoleh ke arah jejaka tampan itu. Apa lagi yang dia mahu ni?
“Sampaikan salam abang pada dia.” Laung Farid.
Sekali lagi Zaza menganggukkan kepala sambil tersenyum. Hati kecilnya tertawa kecil melihatkan ulah Farid itu. Seorang lelaki kacak dan di gelar playboy oleh kebanyakkan pelajar di kolej itu, menjadi penakut untuk bertemu dengan seorang gadis biasa seperti Dania. Entah apalah ilmu Nia pakai agaknya sampai mamat ni gentar nak jumpa dengan dia?
Apa yang membuatkan dia tertawa gelihati ialah ini bukan kali pertama Farid berdepan dengan perempuan. Malah telah acapkali tapi kenapa Farid tidak sendiri meluahkan hasratnya kepada Dania? Kenapa diperlukan bantuannya pula? Semua persoalan itu bermain di kotak fikirannya saat itu.




Matanya memerhatikan satu per satu buku yang tersusun dengan teraturnya di rak-rak yang disediakan. Namun, buku yang ingin dicari tidak dijumpainya lagi. Namun dia tidak sekali berputus asa. Sekali lagi dia memerhatikan rak buku di hadapannya itu. Satu per satu buku-buku yang tersusun rapi itu disentuh dengan jemarinya yang runcing. Takkan dah ada orang pinjam pula. Tadi aku tanya, mereka kata ada kat sini. Tapi sekarang takde pun. Iskh…biar betul.
Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Akhirnya, dia tersenyum gembira kerana telah berjaya menjumpai apa yang dihajatinya. Buku yang dicarinya terletak dirak yang berhampiran dengan rak yang dicarinya. Syukur alhamdulillah. Jumpa juga akhirnya.
Diselaknya muka buku itu perlahan-lahan. Sesekali dia membaca apa yang tertulis di halaman buku itu. Punggungnya dilabuhkan di atas lantai perpustakaan tersebut supaya pembacaannya lebih kusyuk lagi.
Leka sekali dia menatap buku yang berada di tangannya itu sehinggakan tidak sedar dengan keadaan sekeliling. Begitulah keadaannya apabila telah leka dengan sesuatu bidang yang di minatinya itu. Dia boleh menjadi leka. Kelekaannya itu terganggu apabila Zaza menegurnya dari arah kanan.
Pantas dia mengangkat kepala apabila terlihatkan sahabatnya itu sedang menahan nafasnya yang kelihatan lelah seakan baru sahaja lepas berlari acara seratus meter. Zaza mendekatinya sambil menekan perutnya yang mengah akibat berlari itu. Dia cuba mengatur nafasnya supaya menjadi stabil. Penatnya aku.
“Hm…kau ni kenapa?” Soal Dania hairan. Sengal apa?
“Aku penat. Berlari.” Luah Zaza sambil menahan rasa mencungapnya.
“Berlari? Siapa yang kejar kau?” Soal Dania perlahan. Matanya sedari tadi tidak dilarikan dari menatap buku yang berada di tangannya itu.
“Aku berlari bukan sebab orang kejar akulah.” Jawab Zaza sambil melabuhkan punggungnya di atas lantai bersebelahan Dania. Saat itu dapat dirasakan keselesaannya. Aarrgghh…leganya dapat duduk.
“Kalau bukan sebab orang kejar kau, dah tu sebab apa?” Soal Dania lagi.
Jari-jemarinya masih lagi membelek-belek helaian muka surat buku yang ada di atas pangkuannya itu. Keadaan teman baiknya itu tak sedikit pun dihiraukannya. Baginya, keadaan Zaza tidak menarik perhatiannya saat itu. Yang lebih menarik perhatiannya saat itu adalah buku yang berada di hadapan matanya.
“Aku mencari kau. Naik penat aku cari kau. Rupanya kat sini.”
“Kan aku dah kata yang aku ke library. Lupa?” Dania melirik ke arah Zaza. Sesekali dia menggelengkan kepalanya perlahan. Lupalah tu.
“Aku bukan lupalah” Sangkal Zaza keras.
“Dah tu? Apa masalahnya?”
“Tak ingat” Jawab Zaza sambil tersengih kecil.
“Lupa dan tak ingat tu kan ke sama aje maknanya. Cuma ejaannya saja yang lain.” Sangkal Dania pula.
“Yelah…yelah. Kau menang. Aku kalah.” Zaza membentak kecil. Asyik aku aje yang terkena dengan dia. Geram betul aku.
Dania tersenyum mendengar jawapan Zaza itu. Tumpuannya sedari tadi tidak dialihkan dari buku yang berada di tangannya itu. Ulahnya itu diperhatikan sahaja oleh Zaza.
“Nia, aku ada benda nak cakap dengan kau ni.” Luah Zaza sambil merenung wajah Dania. Dia berharap agar Dania dapat menumpukan perhatiannya kepada apa yang ingin dia perkatakan sebentar lagi. Mesti dia terkejut dengan apa yang aku cakapkan ni.
“Apa dia? Kau nak kahwin ke?” Soal Dania selamba.
“Iskh…kau ni. Ke situ pula.” Marah Zaza dengan usikan Dania itu. Kalau aku nak kahwin tak perlulah aku belajar tinggi-tinggi macam ni. Baik aku duduk kat rumah aje.
“Dah tu, apa dia?” Soal Dania tanpa menghiraukan Zaza. Cakap macam serius aje.
“Ada orang kirim salam pada kau.”
“Walaikumsalam.” Jawab Dania sepatah tanpa sebarang reaksi.
Namun tiada sebarang reaksi yang diberikan oleh Dania selain dari menjawab salam yang telah di sampaikan oleh Zaza sebentar tadi. Ulahnya itu mengundang keanehan di wajah Zaza. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia ni dengar ke tidak apa yang aku cakap tadi?
“Nia…” Panggil Zaza lembut. Ke dia sengaja buat tak dengar?
“Apa?” Tanpa menghiraukan Zaza.
“Kau dengar tak aku cakap ni? Aku kata ada orang kirim salam pada kau.” Ulang Zaza sekali lagi. Bimbang dia jika Dania tidak dengar kata-katanya.
“Kan aku dah cakap, walaikumsalam. Kau nak aku cakap apa lagi?”
“Er…er…kau tak mahu tahu siapa yang kirim salam kat kau ke?” Teragap-agap Zaza bertanya. Pelik dia dengan ulah Dania itu. Biar betul.
“Hmm…siapa?” Hendak tak hendak ayat itu keluar dari bibir Dania. Kacau dau betullah minah ni.
“Farid.” Sepatah sahaja jawapan yang diberikan oleh Zaza.
“Hmm…ok.”
Mendengarkan jawapan Dania itu membuatkan Zaza sedikit kehairanan. Wajahnya berkerut seribu. Direnung wajah Dania dalam-dalam sebelum berbicara.
“Kau dengar tak aku cakap pada kau ni, Nia?” Marah Zaza.
“Ya. Aku dengar, Za.”
“Kalau kau dengar, apa yang aku cakap tadi? Cuba kau ulang balik. Bagi aku pula yang dengar.”
“Kau cakap, Farid kirim salam pada aku, betul?” Luah Dania sambil merenung wajah Zaza.
Melihatkan ulah Dania yang selamba itu, membuatkan Zaza tersengih. Difikirkan temannya itu tak dengar apa yang telah diperkatakan olehnya sebentar tadi. Dia dengar rupanya. Aku ingatkan dia tak dengar tadi.
“So, sekarang boleh aku baca balik buku ni?” Soal Dania lagi. Geram betul dia dengan ulah Zaza itu.
“Silakan.” Sepatah sahaja ayat yang keluar dari bibir Zaza. Nasib baik tak kena sembur dengan minah ni.
“Terima kasih.” Ujar Dania lembut dan tegas. Kacau aje aku nak membaca.
“Janganlah marah. Aku ingatkan kau tak dengar tadi. Tu yang aku tanya berulang kali.” Pujuk Zaza. Dia tidak mahu marah Dania berlanjutan.
“Bukan bermakna aku tak dengar apa yang kau cakap bila aku tak beri perhatian. Aku dengar semua itu. Janganlah kau risau. Lagi pun aku tak pekak lagi.” Ujar Dania selamba.
“Dah tu, kenapa tak bagi respon?” Bentak Zaza.
“Siapa kata aku tak bagi respon? Kan aku ada bagi respon tadi.” Sanggah Dania.
“Yelah. Sepatah yang aku tanya, sepatah yang kau jawab. Bila aku kata ada orang bagi salam kat kau, kenapa kau tak tanya aku siapa orangnya?” Rungut Zaza. Takde perasaan betullah dia ni. Sabar ajelah aku.
“Aku malas nak ambil tahu pasal tu.” Ucap Dania perlahan.
“Kenapa pula?” Soal Zaza hairan. Pelik dia dengan sikap Dania itu. Jika gadis lain, pasti mereka teruja apabila ada jejaka kacak seperti Farid memikat mereka. Namun, Dania tidak begitu. Ada masanya dia hairan dengan sikap Dania itu. Seakan tidak berperasaan lagaknya. Ke sememangnya dia tak punya perasaan pun pada lelaki?
“Kau tahukan prinsip aku? Aku datang ke sini untuk belajar dan bukannya bermain-main apatah lagi bercinta.” Ujar Dania sambil tersandar tenang. “Aku bukan datang dari keluarga yang kaya dan senang macam kau, Za. Aku orang kampung. Keluarga aku miskin. Jadi bila dah dapat peluang belajar di sini, aku tak mahu sia-siakan peluang tu. Bagi aku, peluang tu datang cuma sekali saja. Jika kita abaikan peluang tu, takkan ada peluang yang kedua ataupun yang ketiga. Walaupun kita cuba berkali-kali.” Sambung Dania lagi. Kau tak faham keadaan aku, Za.
“Tapi…gagal sekali tidak bererti kita akan gagal selamanya, Nia. Kita boleh cuba lagi sehinggalah kita berjaya.”
“Untuk kau mungkin ya. Tapi aku? Semuanya perlukan duit, Za. Mana aku nak cari duit kalau aku gagal semester ni? Bukannya sedikit tapi banyak. Aku tak mampu untuk semua itu.”
“Kan abang saudara kau boleh tolong. Dia kan kaya.”  Ujar Zaza.
Dania terdiam apabila mendengar kata-kata Zaza itu. Ingatannya melayang ke arah orang yang di ceritakan oleh Zaza. Rayyan hanya diperkenalkan oleh Dania kepada Zaza sebagai abang saudaranya sahaja. Baginya cukuplah sahaja Zaza kenal Rayyan sebagai abang saudaranya. Tak lebih dari itu. Dia tidak mahu orang tahu status Rayyan di sampingnya. Itu perjanjian yang telah mereka buat sebelum ini. Agak lama dia terdiam sebelum dia diajukan soalan yang seterusnya dari temannya itu.
“Kau…pernah bercinta Nia?” Soal Zaza tiba-tiba bagi memecah kesunyian yang membelenggu mereka berdua saat itu.
“Bercinta? Tak. Kau?” Soal Dania kembali. Dia merenung wajah Zaza lembut. Aku tak bercinta Za tapi kami terus sahaja berkahwin tanpa persetujuan kami berdua.
“Aku? Cinta monyet adalah.” Ujar Zaza sambil tertawa kecil.
“Ye ke? Bila?” Senyum Dania mendengarnya.
“Alah masa sekolah menengah dulu.” Terang Zaza jujur.
“So, sekarang macam mana? Masih dengan dia lagi?” Soal Dania lagi. Buku yang berada di dalam pangkuannya ditinggalkan seketika. Seakan topik yang di bawa oleh Zaza itu sedikit menarik minatnya.
“Tak. Budak tu pun dah takde kat sini lagi. Dia dah sambung study kat New Zealand.”
“Habis tu, kau frust menonggenglah?” Dania tertawa kecil mendengarkan cerita temannya itu. Tidak dia menyangka bahawa Zaza akan membuka cerita tentang pengalamannya bercinta pada dia saat itu.
“Nak kata frust menonggeng tu, taklah sangat. Tapi frustlah juga.” Tawa Zaza.
Kedua mereka tertawa kecil. Bimbangkan tawa mereka pecah, mereka berdua menutup mulut dengan tangan. Apabila tawa mereka sudah mula reda, Dania mula bersuara.
“Macam mana rasanya bercinta, Za?” Soal Dania jujur. Ingin dia mencungkil pengalaman sahabatnya itu sewaktu bercinta.
Zaza menoleh ke arah Dania apabila mendengarkan pertanyaan itu. Direnungnya wajah polos itu dalam-dalam. Seakan mencari ketulusan di wajah mulus itu.
“Kau tak pernah bercinta, Nia?” Soal Zaza tanpa menjawab soalan yang diajukan oleh Dania kepadanya sebentar tadi. Takkanlah orang cantik macam dia tak pernah bercinta?
Pantas Dania menggelengkan kepalanya bagi menjawab soalan yang diajukan buatnya. Memang dia tidak pernah bercinta. Dunianya hanyalah belajar dan membantu Puan Zaiton di kedai makan. Dia tidak punya masa untuk bercinta.
“Sekali pun tak pernah? Maksud aku, cinta monyet pun tak pernah?”
Sekali lagi Dania menggelengkan kepalanya. Melihatkan itu, Zaza menghela nafas panjang sebelum memulakan bicaranya.
“Cinta itu indah, Nia. Indah sangat. Kita akan rasa bahagia. Jika boleh kita nak jumpa orang yang kita cintai itu setiap hari. Kalau boleh, nak tatap wajah dia dua puluh empat jam. Everything we done, kita nak orang yang kita cinta tu tahu. Kita akan rasa alam ni kita yang punya. Kita takkan hiraukan orang lain. Kita akan ikut aje apa saja yang diperkatakan orang yang 
kita cintai. Bak kata orang, kita akan jadi mister yes di sepanjang masa.” Terang Zaza dengan panjang lebarnya. Yes! That’s power of love.
“Oh…macam tu. Tapi macam mana kita tahu yang kita cintakan orang tu? Maksud aku, jatuh cinta pada orang tu. Bagaimana pula?” Soal Dania dungu.
“Kita akan sayang dan rindu pada dia. Maksudnya sayang yang teramat sangat. Hati kita akan berdebar-debar bila berdekatan dengan dia. Jantung kita akan berdegup deras. Macam nak pecah jadinya. Kalau dia pegang tangan kita, kita akan dapat rasa getarnya. Macam kena electric shock. Bila mata kita dengan mata dia bertentangan, kita akan dapat rasa getarnya. Dalam mata dia akan terpancar cahaya cinta tu. Kalau dia tak beritahu kita sekali pun, kita dapat rasakan perasaan tu.” Jelas Zaza lagi.
“Sampai macam tu sekali?” Soal Dania lagi. Teruk juga penyakit orang bercinta ni.
Zaza menjawabnya sambil menganggukkan kepalanya. Bibirnya menguntum senyuman manis. Seakan membayangkan yang dirinya sedang di lamun cinta saat itu.
“Teruk juga ya.” Ujar Dania sambil menghela nafas panjang. Dia tak sangka sampai begitu sekali impaknya jika jatuh cinta. Takut pula dia untuk jatuh cinta jika ianya seperti yang telah Zaza perjelaskan padanya.
“So, apa kata kalau kau bercinta.” Ujar Zaza sambil mengangkat keningnya.
“Aku? Dengan siapa?” Soal Dania hairan. Ahhh…sudah. Jangan dibuat kerja. Tahu oleh Tengku Rayyan nanti, mati aku dikerjakannya. Jangan buat pasal.
“Farid.” Sepatah ayat itu keluar dari bibir Zaza.
“Aahh…mengarutlah kau.” Tanpa sedar keluar rengusan halus dari bibir Dania. Ada dengan mamat tu. Macam dah tak ada orang lain lagi. Cubalah cari orang yang lebih bagus dari mamat tu.
“Apa pula mengarutnya?”
“Tak mahulah aku.” Pantas Dania menggelengkan kepalanya. Banyak lagi kerja yang boleh aku buat dari bercinta dengan dia.
“Apasal plak?” Soal Zaza hairan. Dia dah ada pilihan lain ke?
Dania tidak menjawabnya. Hanya gelengan kepala sahaja yang menjadi jawapan kepada soalan Zaza itu. Baginya belum masanya lagi untuk dia terangkan kepada Zaza akan duduk perkara yang sebenar. Dia yakin, satu hari nanti pasti dia akan ceritakan kepada Zaza kenapa dan mengapa dia menolak cadangan sahabatnya itu.
“Kau belajarlah bercinta dengan dia dulu. Then, kalau rasa tak sesuai clash aje. Apa susah.” Selamba sahaja Zaza memberikan cadangannya kepada Zaza. Takkan itu pun aku nak ajar dia kot.
“Woit…kau ingat cinta aku ni murah sangat ke? Senang-senang aje nak buat macam tu?” marah Dania. Geram benar hatinya dengan cadangan Zaza itu. Ikut suka dia aje.
“Bukan begitu maksud aku. Cari pengalaman aje dulu. Bila dah ada pengalaman, barulah buat perbandingan. Yang mana bagus dan yang mana tidak.”
“Kalau aku nak cari pengalaman sekali pun bukan dengan dia tapi orang lain.” Luah Dania tegas. Dari dia baik Tengku Rayyan. Dah tentu-tentu aku tak rugi apa pun. Rugi-rugi pun suami aku sendiri. Bukan orang lain.
“Dengan siapa?” Zaza seakan teruja apabila mendengarkan kata-kata Dania itu. Betullah dia punya seseorang dalam hatinya. Tapi siapa ya? Kenapa selama ni aku tak tahu yang dia sukakan seseorang?
“Orang yang aku cintalah. Yang sanggup sehidup semati dengan aku. Yang sanggup susah dan senang dengan aku. Tak kira dalam apa jua keadaan.”
“Ada lagi ke orang macam yang kau inginkan tu dalam dunia yang serba canggih ni, Cik Dania oiii?” Keluh Zaza. Baginya impian Dania itu adalah sesuatu yang mustahil.
“Insya-ALLAH, ada. Cuma cepat dengan lambat aje aku temuinya.” Dania tersenyum manis. Dia yakin akan itu.
Zaza mencebikkan bibirnya sahaja mendengar kata-kata Dania itu sebelum memulakan bicaranya.
“Aku doakan agar kau menjumpai orang yang kau idamkan tu, Nia.”
“Amin...” Luah Dania sambil menadahkan tangannya.
“Ni aku nak beritahu kau. Si Farid tu kata nak kenal dengan kau. Dia nak kawan dengan kau. Boleh ke?” Zaza menukar topik perbualan hangat mereka sebentar tadi.
“Aku tanya kau sesuatu, ok? Kau pernah dengar bunga larangan tak?” Soal Dania tanpa menjawab soalan Zaza.
“Bunga larangan?” Soal Zaza kembali. Apa kena-mengena Farid dengan bunga larangan pula ni? Confius aku.
“Ya. Bunga larangan. Kau pernah dengar tak?” Ulang Dania sekali lagi.
“Pernah.” Ujar Zaza sepatah sambil menganggukkan kepala. Layan ajelah, Za.
“Kau tahu apa maksud bunga larangan?”
“Kalau tak silap akulah, bunga yang dilarang petik atau ambil oleh orang lain selain dari penjaganya. Maknanya bunga itu dijaga rapi oleh penjaganya. Selalunya dalam cerita-cerita dongeng adalah bunga larangan ni. Zaman moden yang serba canggih ni, rasanya dah takde lagi. Kenapa kau tanya aku macam tu?” Zaza merenung wajah Dania dengan kerutan di dahi.
“Takde apalah. Saja tanya.” Sengih Dania. Akulah bunga larangan tu, Za. Aku hanya boleh dipandang tapi tidak boleh dipetik oleh sesiapa pun kecuali yang berhak. Iaitu suami aku sendiri.
Zaza yang melihatkan ulah sahabatnya itu hanya menggelengkan kepala sambil mencebikkan bibirnya. Namun kepalanya ligat berfikir dengan soalan yang telah ditanya oleh Dania mengenai bunga larangan sebentar tadi. Bermacam-macam soalan yang timbul dibenaknya saat itu. Tapi segera dihindarinya. Dia tahu, pasti Dania mempunyai alasannya yang tersendiri kenapa dan mengapa dia mengajukan soalan yang sedemikian kepadanya.

2 ulasan:

Juju berkata...

nexttt............nak dania n tengku rayyan....

Eijan berkata...

Citer ni menarik tp nak byk part antara nia dan tg rayyan....