Halaman

Selasa, 1 Mei 2012

Kau Kusayang Bab 3


        Adlan melangkah menuju ke arah pejabatnya. Teguran dari para pekerjanya hanya dibalas dengan anggukan sahaja sambil melemparkan sekuntum senyuman manis buat mereka. Dia melabuhkan punggungnya di kerusi yang terdapat di dalam bilik tersebut. Suis komputer dihidupkan. Dicapainya beberapa keping kertas yang terletak di atas tray. Ditelitinya satu per satu. Setiap satu memo yang berada di tangannya dibaca dengan teliti sebelum menurunkan tandatangan bagi tindakkan yang selanjutnya diambil.
Adlan Razman merupakan seorang duda anak satu. Dia merupakan anak sulung dari dua adik-beradik. Seorang pengusaha chalet yang berjaya. Dia seorang lelaki yang tabah dalam mengharungi kehidupannya. Isterinya meninggal dunia saat melahirkan anak sulung mereka, Faid.
Semenjak itu, pintu hatinya seakan tertutup untuk mencari penganti arwah isterinya itu. Masanya lebih banyak ditumpukan sepenuhnya terhadap chalet yang telah diusahakan bersama arwah isterinya dan juga terhadap putera sulungnya.
Bukan dia tidak pernah cuba untuk membuka pintu hatinya menerima insan lain agar hadir dalam hidupnya. Namun, dia gagal untuk menerimanya. Seakan bayang-bayang arwah isterinya, Farhah sentiasa sahaja hadir di sisinya. Dia tidak sanggup untuk menduakan cinta isterinya dengan perempuan lain. Mana mungkin aku mencari penggantinya. Aku terlalu cintakan dia. Seakan baru semalam dia tinggalkan kami semua. Tinggalkan aku dan juga putera kecil kami, Faid.
Tumpuannya terganggu seketika di saat pintu biliknya diketuk oleh seseorang dari luar. Tetamunya melangkah masuk setelah mendapat keizinan darinya. Kepalanya didongakkan merenung tetamunya yang baru sahaja melangkah masuk.
Sekuntum senyuman manis dihadiahkan buat tetamunya itu. Begitu juga dengan tetamunya itu. Mereka saling berbalas senyuman sebelum tetamunya memulakan bicara di antara mereka berdua.
“Maaf, Encik Adlan. Saya perlukan tandatangan encik untuk meluluskan pembelian barang-barang yang kami perlukan.” Luah Karim lembut sambil menghulurkan fail biru yang berada di tangannya sedari tadi.
Adlan menyambut huluran dari Karim itu tanpa sepatah kata. Satu per satu senarai itu diperiksanya terlebih dahulu sebelum dia menurunkan tandatangannya. Begitulah yang sering dia lakukan sebelum meluluskan pembelian bahan mentah untuk kegunaan mereka.
Karim merupakan pengurus Food & Baverage di resort berkenaan. Dia ditugaskan menguruskan keperluan asas bagi kegunaan resort tersebut. Karim telah ditugaskan olehnya untuk memesan barang-barang keperluan dapur. Jika tiada lelaki itu, dia sendiri yang terpaksa turun padang untuk memastikannya.
“Dah habis terus ke barang-barang ni, Karim?” soal Adlan tanpa mengangkat wajahnya. Matanya masih lagi meneliti senarai di hadapannya itu.
“Nak kata habis terus tu, tidaklah. Stok untuk dua bulan lagi cukuplah.” Terang Karim.
Adlan menganggukkan kepalanya mendengarkan kata-kata Karim itu. Lalu dia menurunkan tandatangannya sebelum menyerahkan semula fail berwarna biru itu kepada Karim. Wajah Karim direnungnya sebelum memulakan bicara.
“Sempat ke pembekal-pembekal kita nak hantar barang-barang yang kita pesan itu sebelum dua bulan lagi?” soal Adlan lagi sambil tersandar tenang. Jangan tak sempat sudah. Niaya aje nanti. Mana pula nak cari stok?
Dia tidak mahu barang keperluan yang mereka pesan sampai lewat dari tarikh yang di pesan. Kelak perniagaan mereka juga yang akan terjejas. Adlan tidak mahu itu yang terjadi. Sebagai seorang pengusaha chalet dia harus memastikan bekalan makanan mencukupi untuk resort tersebut.
“Insya-ALLAH, Encik Adlan. Nanti akan saya peringatkan kepada pembekal-pembekal kita supaya menghantarkannya secepat yang mungkin.” Janji Karim. Dia juga bimbang andainya barang yang dipesan akan tiba lewat dari tarikh yang telah ditentukan.
“Pastikan semuanya berjalan dengan lancar, Karim. Saya tak mahu kelak kita juga yang akan mendapat bencananya.” Tegas Adlan. Mahu tutup pula resort ni nanti.
Karim menganggukkan kepalanya apabila mendengarkan arahan dari Adlan itu. Dia juga seperti Adlan, tidak mahu sesuatu yang sebegitu terjadi. Ini periuk nasi mereka. Jika itu yang terjadi, pasti akan tertutuplah periuk nasinya nanti. Bukan sahaja Adlan yang rugi, dia dan pekerja lain turut mendapat tempiasnya.
“Kalau tiada apa-apa lagi, awak boleh teruskan kerja-kerja awak.” Arah Adlan.
Karim menganggukkan kepalanya sebelum berlalu meninggalkan Adlan sendirian di dalam bilik tersebut. Adlan kembali menatap memo yang berada di hadapannya sebentar tadi. Sesekali dia mencatitkan sesuatu di atas memo itu sebelum meletakkannya semula di atas tray yang paling bawah sekali supaya akan di ambil tindakkan bagi pekerja yang terbabit.
Maria, setiausahanya akan maklumkan kepada pekerja berkenan andainya memo yang telah mereka berikan mendapat kelulusan daripada Adlan. Jika memo itu berkait rapat dengan kewangan, maka Maria akan serahkan ianya terus ke bahagian kewangan.
Adlan menguruskan sebuah chalet yang terletak di tepi pantai. Chalet itu diberi nama Cahaya Beach Resort. Chalet itu merupakan hasil titik peluhnya. Dari hanya mempunyai lima buah chalet yang biasa sahaja, kini chaletnya itu telah pun berkembang dengan pesatnya. Dia menawarkan harga yang berpatutan kepada para pengunjungnya.
Terdapat berbagai jenis chalet yang terdapat di situ. Dari chalet yang murah harganya sehinggalah yang berharga mewah. Untuk mereka yang hanya datang bersendirian sehinggalah untuk yang berkeluarga. Malah terdapat berbagai kemudahan yang disediakan di chalet tersebut. Antaranya, terdapat spa dan para pengunjung boleh melayari internet melalui jaluran wifi yang telah disediakan. Juga terdapat gym bagi mereka yang ingin melakukan senaman secara aktiviti dalaman dan juga kolam renang yang sederhana besar.
Lokasi chalet yang terletak di tepian pantai itu sering sahaja menarik minat para pelancung. Tidak kiralah samada pelancung dari dalam mahu pun luar negara. Di kawasan chalet yang luas itu telah disediakan berbagai aktiviti-aktiviti menarik yang boleh disertai oleh para pengunjung. Tidak kiralah samada sukan air mahupun sukan darat.
Setiap satu chalet itu, direka khas dengan bentuk yang unik sekali sehinggakan bisa menarik tumpuan para pengunjung. Chaletnya direka mengikut bentuk-bentuk tradisonal rumah-rumah melayu yang terdapat di Malaysia. Malah setiap bilik-bilik yang ada juga dinamakan dengan mengunakan nama-nama bunga.
Sengaja dia memilih nama-nama bunga bagi menamakan setiap chalet yang ada. Dengan cara itu, para pengunjung bisa mengingatinya dengan mudah. Bukan sahaja para pengunjungnya, malah kakitangan-kakitangan yang bekerja di situ pun bisa mengingatinya dengan mudah dan mereka tidak keliru.
Tumpuan Adlan terganggu sekali lagi apabila pintunya dikuak oleh seseorang tanpa mengetuknya terlebih dahulu. Dia mengangkat wajahnya apabila menyedari seseorang melangkah masuk mendekatinya. Senyumannya melebar tatkala terpandangkan wajah itu. Wajah insan yang amat dirindui dan dikasihinya dengan sepenuh hati.
“Papa…” seru si kecil. Lalu tubuh Adlan diterkamnya tanpa sebarang arahan.
Adlan menggelengkan kepalanya melihatkan ulah si kecil itu sebelum memulakan bicaranya. Wajah comel itu diciumnya dengan penuh kasih sayang. Itulah buah hatinya. Harta peninggalan arwah Farhah untuk dirinya.
“Faid datang dengan siapa ni?” soal Adlan. Mesti dengan Farah.
Tidak dia nampak pun barang sesiapa yang mengekori langkah si kecil ketika dia melangkah masuk seketika tadi. Hanya Faid sahaja yang dinampaknya. Tidak pula dia nampak kelibat Farah. Farah sahaja yang rajin melayan karenah si kecil itu.
“Faid datang dengan ibu.” Ujar Faid pelat.
Adlan menganggukkan kepalanya tanda mengerti. Dia tahu, ibu yang dimaksudkan oleh Faid adalah Farah, bekas adik iparnya. Faid dan Farah agak rapat. Kemana sahaja Farah pergi, pasti akan dibawanya sekali Faid bersama. Adakalanya, keakraban mereka terlalu sukar untuk dipisahkan. Walaupun untuk seketika.
Pernah juga dia terfikir, seandainya Farah berkahwin suatu hari nanti pasti anak itu akan rasa kehilangan. Dia tidak mahu itu yang terjadi. Untuk mengongkong kehidupan gadis itu, bukan dia orangnya. Malah dia juga ingin melihat Farah berbahagia di samping orang yang dicintainya. Bukannya mengabdikan diri kepada dia dan juga Faid.
Baru sahaja Adlan ingin membuka bicaranya, Farah melangkah masuk sambil tersenyum manis mendapatkannya dan juga Faid. Sesekali gadis itu menggelengkan kepalanya.
“Faid, janganlah buat ibu macam ni. Puas tahu ibu cari Faid tadi tau.” Keluh Farah. Wajah Faid direnungnya lembut. Ingatkan dah hilang tadi. Rupanya kat sini dia.
Takut juga hatinya jika si kecil ghaib begitu sahaja. puas dicarinya, namun tidak dijumpainya. Ikhtiar terakhir adalah ke pejabat Adlan.
“Apa yang Faid dah buat?” soal Adlan sambil merenung wajah putih bersih Farah di hadapannya. Pasti Faid nakal lagi.
“Dalam sekelip mata saja dia hilang, bang. Farah ingatkan dia tak keluar lagi dalam kereta. Puas juga Farah cari. Rupanya dia di sini.” Ujar Farah lembut. Nak gugur jantung aku bila tengok dia tiada tadi.
Faid tersengih mendengarkan bebelan Farah itu. Wajah Farah dan Adlan dipandangnya bersilih ganti tanpa ada rasa bersalah walau sedikit pun. Seakan dia tidak membuat apa-apa kesalahan pun terhadap ibu saudaranya itu. Adlan menghela nafas sambil menggelengkan kepalanya mendengarkan aduan Farah itu. Tidak dia sangka Faid akan sebegitu nakal.
Bila bersamanya, Faid tidak senakal itu. Malah anak kecil itu akan mendengar setiap apa yang dia perkatakannya. Namun, apabila bersama Farah pasti ada sahaja karenah yang dibuatnya. Sehinggakan naik lelah Farah melayan segala karenahnya. Memang Farah jarang mengeluh dengan sikap Faid itu tetapi dia tahu Faid pasti akan membuli Farah. Ada sahaja ulah yang akan dibuatnya.
Faid tidak berani bertindak sedemikian dengannya kerana dia seorang yang tegas. Andai sesuatu yang dilakukan oleh Faid tidak memuaskan hatinya, pasti anak kecil itu akan ditegurnya. Dia tidak mahu Faid menjadi terlalu nakal. Dia takut suatu hari nanti sukar untuk dia melentur Faid. Itu yang amat dibimbanginya.
Faid cuma manja dengan Farah. Dia tahu, Faid ketandusan kasih sayang dari seorang insan yang bernama ibu. Isterinya, Farhah meninggal dunia tiga tahun yang lalu sewaktu melahirkan Faid. Disebabkan itulah, Faid lebih manja dengan Farah.
Semenjak dari hari itu, dia tidak berkahwin lagi. Dia lebih rela menjadi seorang bapa tunggal dalam membesarkan Faid. Walaupun ada masanya dia sibuk dengan tugasnya dalam menguruskan Cahaya Beach Resort, dia akan pastikan masanya diluangkan juga buat putera kecilnya itu.
Dia tersentak dari lamunannya apabila Faid menarik lembut tangannya. Pantas matanya merenung wajah comel puteranya yang sedari tadi berada di sisinya.
“Papa, jomlah.” Renggek Faid.
“Faid nak kemana? Papa ada kerja ni.” Tolak Adlan lembut. Mana saja dia nak ajak aku berjalan.
“Betul kata papa tu, sayang. Kalau papa dah tak sibuk nanti kita ajak papa pergi jalan-jalan ya.” Pujuk Farah. Berharap anak kecil itu akan makan pujukkannya. Jangan abang marah dengan dia sudah.
“Faid nak ajak papa pergi makan. Dah lama papa tak makan dengan Faid.” Rajuk si kecil. Berharap agar pujukkannya itu akan melembutkan hati Adlan.
Adlan menghela nafas panjang mendengarkan kata-kata Faid. Dia akui, bahawa dalam minggu ini belum sekali pun dia berkesempatan duduk makan semeja dengan Faid. Di atas kesibukkan menguruskan chaletnya itu dia seakan terlupakan buah hatinya nan satu itu. Ya ALLAH, kasihannya anak aku. Aku lupakan dia hanya kerana sibuk dengan kerja.
“Okaylah. Jom kita pergi makan.” Luah Adlan lembut. Kerja, bila-bila masa aku boleh siapkan. Anak aku lebih penting dari kerja aku ni.
Faid melonjak kegirangan mendengarkan kata-kata Adlan itu. Farah hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. Tidak dia sangka bahawa anak saudaranya itu akan segembira itu mendengarkan keputusan Adlan. Sukanya dia.
“Papa, kita ajak ibu sekali ya?” pinta Faid.
“Yelah. Takkan kita nak tingalkan ibu makan seorang kot. Kasihan ibu.” Senda Adlan.
Sekali lagi Faid melonjak kegembiraan mendengarkan kata-kata Adlan itu. Pantas dia mendekati Farah. Lalu tangan Farah digengamnya lembut. Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Adlan sambil menggelengkan kepalanya.

Tiada ulasan: