Halaman

Sabtu, 9 Jun 2012

Kau Kusayang Bab 4

Damia merebahkan badan yang letih di atas katilnya yang besar itu. Terasa akan kempukkan tilam itu membelai tubuhnya saat itu. Selesai membersihkan diri dan menunaikan solat Isyak sebentar tadi, dia mula bersantai di atas katil dengan niat ingin beradu. Seronoknya dapat bergolek atas katil ni.
Matanya mula mengerling ke arah jam loceng yang terdapat di atas meja kecil bersebelahan dengan katilnya. Jarum jam menunjukkan tepat pukul dua pagi. Namun, matanya masih juga tidak mengantuk. Puas dipusing-pusingkan badannya kiri dan kanan. Masih juga tidak mahu lelap. Kenapa tak mahu lelap ni? Esok aku kerja pula tu. Lainlah kalau esok cuti.
Dia bangkit dari tidur lalu menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Matanya mula meliar memandang ke sekeliling bilik tidur yang suram itu. Diperhatikan setiap ruang biliknya yang suram. Akhirnya, matanya tertumpu ke satu arah. Sekuntum senyuman terukir di bibirnya tatkala itu. Kacaknya dia. Patutlah ramai yang terpikat termasuk aku. Cemburunya aku.
Potret seorang lelaki yang sengaja dibesarkan menjadi santapan matanya kini. Sengaja dia membesarkan potret-potret lelaki itu lalu dihiasi di dalam kamar tidurnya. Hampir setiap sudut biliknya terdapat potret lelaki yang sama dalam beberapa gaya. Tetapi yang pastinya, lelaki itu sedang tersenyum manis sehingga menampakkan kedua lesung pipitnya. Alangkah bagusnya andai aku dapat memiliki hati dan juga cintanya. Alangkah bagus andainya, dia menjadi hak aku yang muthlak.
Dia sengaja berbuat demikian agar dia tidak akan melupakan lelaki itu walaupun sesaat. Lelaki yang telah berjaya menakluki hati wanitanya. Lelaki yang telah berjaya meleburkan sifat keegoannya selama ini. Lelaki itu jugalah yang telah mengajarnya akan erti cinta yang selama ini dia tidak pernah tahu. Itulah dia, lelaki itu.



Dari jauh dia sudah dapat melihat lelaki itu sedang berbual dengan teman-temannya. Begitu ceria dan gembiranya lelaki itu dilihatnya. Senyuman yang tidak pernah lekang dari bibir lelaki itu, berjaya menarik hati wanitanya. Malah bukan itu sahaja. Ada sesuatu yang telah membuatkan dia jatuh cinta kepada lelaki itu. Hanya dia sahaja yang tahu. Perkara itu sengaja dirahsiakan dari pengetahuan teman-teman baiknya.
Sedari tadi dia hanya menjadi pemerhati sahaja tanpa sebarang tindakkan. Entah kenapa dan mengapa, dia suka melihat senyuman dan ketenangan yang terhias di wajah lelaki itu. Apabila lelaki itu tersenyum, pasti terserlah lesung pipit yang dalam di kedua belah pipinya yang putih itu. Kacaknya dia.
Lelaki itu tampan dan kacak. Malah menjadi rebutan para siswi di kolej mereka. Berkulit putih, berhidung mancung, bibirnya pula sentiasa sahaja merah bak delima dan matanya sedikit sepet. Seakan anak cina. Rambutnya yang lurus sentiasa sahaja tersisir rapi. Wajahnya pula seakan iras Aaron Aziz, pelakon kacak yang menjadi kegilaan remaja masa kini termasuklah dirinya. Tubuhnya begitu sasa sekali. Sudah berpunya ke dia? Jika sudah, alangkah bertuahnya gadis yang berjaya mengisi kekosongan hati lelaki itu.
Dia selalu sahaja perhatikan lelaki itu. Kemana sahaja lelaki itu, akan menjadi tarikannya. Entah mengapa, hatinya benar-benar tertarik dengan lelaki tersebut. Jika diturutkan hatinya saat itu, mahu sahaja dia mendekati jejaka pujaannya itu. Ingin sahaja dia meluahkan perasaannya terhadap lelaki tersebut.
Biarlah orang hendak katakan dia seperti perigi mencari timba sekali pun. Dia tidak kisah. Asalkan dia dapat meluahkan apa yang terbuku di sudut hatinya. Namun dia sedar, dia tidak setanding dengan lelaki itu. Jejaka itu terlalu kacak dan tampan malah dia juga sempurna sedangkan dia hanya gadis biasa sahaja. Walaupun dia memiliki segala-galanya. Tapi dia tidak layak langsung buat aku. Macam si cantik dan si hodoh saja.
Dia tersentak kecil apabila terdengar namanya diseru kuat oleh seseorang berserta dengan hentakkan meja yang sedikit kuat. Pantas matanya menikam ke arah wajah yang empunya suara. Sahabatnya menggelengkan kepala sahaja apabila melihatkan ulahnya itu. Begitulah ulahnya tatkala terpandangkan lelaki tersebut. Seakan dunia ini hanya milik mereka berdua sahaja.
“Kenapa dengan you?” soal Aina hairan sambil merenung wajah Damia yang blur saat itu. Apa kena pula dengan minah ni?
Damia tidak menjawab pertanyaan Aina itu. Dia hanya mengisyaratkan pandangan matanya sahaja tanda dia kurang mengerti dengan apa yang dimaksudkan oleh Aina sebentar tadi. Aina, Liza dan Gina hanya mengeluh berat melihatkan ulahnya itu. Teruk betul minah ni. Sabar ajelah aku.
“You kemana masa kami bercakap dengan you?” Soal Gina pula. Wajah Damia direnung tenang. Entah apalah yang dia fikirkannya? Nak kata masalah negara, tak pernah pun dia membuka mulut menceritakannya. Dah tu, masalah apa?
“Ni tak lain tak bukan mesti tengah tengok mamat itulah, kan?” sampuk Liza pula. Kan dah kantoi. Macamlah kami tak tahu.
“Mamat? Mamat mana?” soal Damia dungu. Tanda tidak mengerti akan tekaan teman-temannya itu. Dia cakap pasal siapa?
Liza mengisyaratkan matanya ke arah yang menjadi perhatian Damia sebentar tadi. Kini, tumpuan mereka semua tertumpu ke arah yang menjadi tumpuan Damia sebentar tadi. Kelihatan pemuda itu bersama teman-temannya sedang berbual dengan gembiranya. Sesekali terdengar gelak tawa mereka menyapa di telinga.
“Sudahlah tu, DH. Cari ajelah orang lain. Macam dah takde orang lain lagi kat dalam dunia ni. Dia juga yang you inginkan.” Luah Liza perlahan. Seakan memujuk Damia saat itu. Hensem sangat ke mamat tu? Aku tengok, biasa-biasa aje. Takde apa yang menarik pun.
DH adalah gelaran yang mereka berikan buat Damia. DH diambil sempena nama Damia. Nama Damia Huda itu terlalu panjang untuk mereka menyebutnya. Jadi mereka bertiga telah sepakat memanggil Damia dengan gelaran DH sahaja. Lebih ringkas dan mudah. Tidak perlu untuk berbelit-belit lidah menyebut nama Damia yang panjang itu.
“Tapi…I sukakan dia.” Bentak Damia. Kenapalah you all tak mahu faham perasaan aku?
“DH…dia tu, ramai peminat. I tak mahu you makan hati berulam jantung dengan dia nanti.” Celah Aina. Susah kalau cakap dengan orang dah angau ni.
Bukan dia tidak tahu yang Damia sukakan lelaki itu. Terlalu suka. Cuma Damia belum lagi menyuarakan hasrat hatinya pada pemuda itu sahaja. Dia yakin. Malah teramat yakin, luahan hati Damia itu pasti akan ditolak mentah-mentah oleh pemuda tersebut. Masakan orang sekacak dan setampan lelaki itu tidak mempunyai pilihan hati. Dia tidak mahu lihat Damia terluka dan kecewa akibat penolakkan pemuda itu nanti.
“Apa maksud you?” soal Damia hairan. Wajah Aina direnungnya dalam-dalam. Bukan nak bagi semangat. Malah nak menjatuhkan lagi pula. Apa punya kawanlah mereka ni?
“Maksud Aina, orang kacak, hensem dan sempurna macam dia tu tentu-tentulah ada yang berkenan. Silap-silap dia dah ada pilihan hati dia sendiri. Bila bersama dengan dia nanti, you akan sakit hati. Sebabnya? Peminat-peminat misteri dia ramai. Apa you boleh bersabar ke dengan karenah dia yang banyak wanita tu?” sampuk Gina dengan panjang lebarnya. Takkan tak faham lagi?
Gina, gadis kacukan Cina Canada itu menyampuk. Dia tidak berniat untuk memperkecil-kecilkan Damia. Dia sayangkan Damia seperti mana Aina dan juga Liza. Dia tidak mahu Damia kecewa dan terluka akibat lelaki yang sebegitu. Sebagai seorang sahabat, mereka hanya mampu menasihatkan sahaja. Selebihnya terpulanglah pada Damia untuk menilainya. Dapat pula muka hensem macam tu. Silap-silap, playboy. Dahlah minah ni tak pernah bercinta. Mahunya frust tertonggeng pula dikerjakan mamat tu nanti.
Mereka berempat kenal semenjak dari semester pertama lagi. Sejak dari itu mereka semakin rapat. Dapat pula mereka berempat sekepala dan mempunyai minat yang sama. Jadi persahabatan mereka semakin akrab. Kemana sahaja mereka pergi pasti akan dilihat bersama. Tidak pernah salah seorang tiada di sisi.
Memadai pula mereka berempat merupakan anak-anak orang yang berpangkat. Jadi mereka tidak kekok untuk menjalinkan persahabatan itu. Malah mereka sering sahaja berkongsi pendapat dan masalah bersama. Mereka akan saling bantu-membantu untuk menyelesaikan masalah yang melanda si teman tanpa mengira siang mahupun malam.
“I tahu dia bukan begitu.” Nafi Damia. Cuba dipertahankan lelaki itu dari pandangan negatif teman-temannya. Dia takkan buat begitu. Aku yakin sangat.
“DH…we all sayangkan you, okay. Sayang sangat-sangat. We all tak mahu lihat you terluka kerana dia.” Pujuk Liza lagi. Dia berharap Damia termakan dengan kata-kata pujukkannya itu. Cubalah faham DH. Kenapa nak seksa diri sendiri hanya kerana lelaki itu? Banyak lagi lelaki lain dalam dunia ni.
“I tahu tapi hati I ni tak boleh nak terima orang lain selain daripada dia.” Ujar Damia perlahan. Aku tetap mahukan dia. Bukan orang lain.
Telah dia cuba membuang lelaki itu dari hati dan mindanya, namun dia tidak berjaya. Semakin dia cuba menghindarkan diri dari lelaki itu, semakin itulah bayang pemuda itu menghampirinya. Buntu dia dengan keadaannya itu. Bukan tidak pernah aku cuba untuk lupakan dia tapi semakin aku lari darinya, semakin itulah dia mengejar aku. Bagaikan bayang-bayang. Sentiasa saja mengekori kemana saja aku pergi.
“DH, kalau you ingin jadi peminat misteri dia, I sokong sangat-sangat tapi kalau you nak jadi more than that…I orang pertama yang akan bantah.” Tegas Gina. Macamlah takde orang lain dalam dunia ni.
“Betul kata Gina tu, DH. You must think about your future, honey. You sendiri tak pernah luahkan perasaan you pada dia. Entah dia boleh terima you ataupun tidak, kita tak tahu.” Sampuk Aina. Harap-harap dia termakan nasihat kami ni.
Damia menarik muncungnya apabila mendengarkan kata-kata Aina dan Gina. Sahabat-sahabatnya itu bukan memberinya galakan malah menjatuhkan pula semangatnya sahaja. Dia bukan sahaja memuja lelaki itu dalam diam, malah dia ingin memiliki lelaki itu sebagai haknya yang muthlak. Dia mahu hidup bersama-sama dengan pemuda itu. Tidak kisahlah apa orang akan cakap yang penting apa yang dia inginkan akan menjadi kenyataan.
Aku tak akan sesekali mengaku kalah. Biarlah apa pun yang ingin orang katakan. Aku tetap inginkan dia. Dia adalah jodoh aku. Telah tertulis bahawa dia akan jadi milik aku juga suatu hari nanti. Aku akan pastikannya. Datanglah walau sejuta seteru sekali pun, dia akan tetap menjadi milik aku. By hook or by crook, he’s mine. Akan aku buktikan pada kalian semua. Percayalah.
Tiba-tiba Damia bangkit dari duduknya. Ulahnya itu mengundang kehairanan pada Liza, Aina dan juga Gina. Tidak dihiraukan langsung pandangan teman-teman baiknya itu. Kakinya diatur mendekati insan yang menjadi pujaaan hatinya selama ini. Akan aku buktikan pada mereka semua. Sekurang-kurangnya aku mencuba. Dia terima atau tidak, aku tak mahu tahu. Yang penting, akan aku luahkan apa yang aku rasa saat ini. Daripada aku pendamkan macam tu aje, baik aku luahkan.
Perlahan-lahan bahu si pemuda yang tidak diketahui namanya itu ditepuk lembut. Menyedari akan itu, pantas si jejaka berpaling. Dia sedikit terkejut apabila seorang gadis yang tidak dikenalinya datang menyapa. Mak ai!! Seksinya minah ni. Mana datang pula dia ni?
Pantas dia bangun dari duduknya dan berdiri di hadapan gadis tersebut. Teman-temannya yang tadi sedang rancak berbual terus terhenti bualannya. Damia mendongakkan wajahnya menentang pandangan jejaka itu. Barulah dia sedar kini bahawa jejaka itu lebih tinggi daripadanya. Perlahan-lahan dia menelan liurnya. Mak aiii!! Tingginya dia. Tak sangka pula dia ni tinggi ya amat. Ingatkan rendah aje.
Untuk seketika, pandangan mereka saling bertentangan di antara satu sama lain. Terkebil-kebil mata Damia merenung wajah kacak pujaan hatinya itu. Terlopong seketika mulutnya melihatkan kekacakkan lelaki itu. Saat itu, dapat Damia rasakan sinar jernih di mata coklat tersebut. Dia terpaku seketika. Hilang sudah apa yang ingin dia perkatakan sebentar tadi. Ketampanan dan kekacakan wajah pemuda itu seakan memukaunya. Dapat dihidunya wangian yang digunakan oleh pemuda itu. Kacaknya dia. Kan bagus kalau dia jadi milik aku seorang.
Damia tersedar apabila dia ditegur lembut oleh pemuda yang menjadi pujaannya dan juga kegilaan para siswi di kolej mereka. Jantungnya berdetak laju tatkala mendengarkan suara pemuda itu. Machonya suara dia. Tergoda aku.
“Boleh saya bantu?” soal pemuda itu lembut. Siapa dia ni? Aku kenal dengan dia ke?
“Erk…erk…” Damia teragap-agap untuk meluahkan kata-katanya. Sejak bila aku jadi gagap pula ni? Setahu aku, aku tak gagap pun. Takkan depan dia aku boleh jadi gagap pula. Adoyiiii!!!
Pemuda itu merenung wajah Damia yang tampak resah saat itu sambil berpeluk tubuh. Dia seakan menanti setiap patah perkataan yang akan dikeluarkan oleh gadis di hadapannya itu dengan sabar. Liza, Aina dan Gina mula mendekati Damia. Bimbang mereka andainya Damia akan bertindak di luar dugaan. Bukan mereka tidak tahu sifat Damia yang satu itu. Damia bisa bertindak di luar dugaan. DH, jangan malukan diri sendiri. Tolonglah!!!!!
Agak lama juga Damia membisu sambil diperhatikan oleh lelaki itu. Akhirnya, dia menghela nafas panjang sebelum memulakan bicaranya. I can do it. Yes, I can do it.
“Ya?” soal pemuda itu lagi. Seakan tidak sabar dengan kebisuan Damia itu. Aku rasa aku tak kenal dengan dia ni tapi apa yang dia mahu?
“Nama I…Damia Huda.” Ujar Damia teragap-agap. “Damia Huda Lufti. I sukakan you.” Sambung Damia lagi. Okay ke ayat aku tu?
Tergamam pemuda itu seketika apabila mendengarkan pengakuan ikhlas dari bibir si gadis. Buntang matanya seketika mendengarkan pengakuan dari mulut comel itu. Teman-teman pemuda itu telah mula mentertawakan Damia. Namun, tiada sedikit pun senyuman terukir di bibir gadis berkenaan. Wajahnya benar-benar serius saat itu. Tidak diendahkan langsung keadaan sekeliling. Lantaklah. You all nak ketawakan aku ke, apa ke…ada aku kisah? Yang penting sekarang ni, aku dapat luahkan apa yang aku rasa pada dia.
“I sukakan you. I cintakan you. Boleh tak you kahwin dengan I?” soal Damia selamba sambil merenung wajah pemuda itu. Ops!!! Kenapa itu yang aku cakapkan pada dia? Malunya aku!!! Mama…tolong, Mia.
Damia pantas menutup mulutnya dengan jemarinya yang runcing. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa dia akan berkata sedemikian terhadap pemuda itu. Niatnya hanya ingin meluahkan perasaannya sahaja. Dan bukannya mengajak lelaki itu berkahwin dengannya. Tidak dia sangka bahawa dia terlanjur mengajak pemuda itu berkahwin dengannya. Mesti dia ingat aku perempuan gatal.
Sekali lagi pemuda itu tersentak apabila mendengarkan pengakuan dan permintaan dari gadis yang bernama Damia itu. Direnungnya wajah bujur sirih di hadapannya. Seakan mencari sinar kepastian dari yang empunya diri. Dia salah cakap ke aku yang salah dengar?
Ketawa teman-temannya tidak sedikit pun dihiraukan. Baru sahaja dia ingin membuka mulutnya, pantas tubuh kecil Damia di tarik oleh dua orang gadis cantik dan seksi seperti Damia. Dia terpinga-pinga seketika dengan ulah kedua gadis itu. Siapa pula ni? Kawan-kawan dia ke? Dia serius ataupun dia sengaja nak main-mainkan aku aje?
“Sorry. Dia tersilap makan ubat pagi tadi.” Ujar Aina sambil tersengih kecil. DH, buat malu ajelah. Adoyiiiii!!! Mana nak diletakkan muka tu?
Damia yang masih lagi dalam keadaan terpinga-pinga itu hanya menurut sahaja ulah teman-temannya. Namun, sesekali dia menoleh ke arah jejaka itu. Pandangan mereka bersatu untuk seketika.



Damia tersenyum manis apabila mengenangkan peristiwa itu.  Dan kini, dia telah pun sah menjadi milik lelaki itu. Memang lelaki itu telah menjadi suaminya yang sah. Namun perkahwinan mereka hanya tertulis di atas kertas sahaja. Dirinya tidak sepenuhnya menjadi milik lelaki itu. Untuk apa perkahwinan ini andainya aku hanya memiliki dirinya dan bukan hatinya? Bukan ini yang aku inginkan selama ini. Atau…aku ini seorang yang tamak? Seorang yang kejam? Setelah memilikinya, aku inginkan hatinya pula. Tamakkah aku? Kejamkah aku? Pentingkan dirikah aku ini?
Mereka hidup seperti orang asing. Damia dengan dunianya dan lelaki itu dengan dunianya. Mereka jarang sekali bertemu. Jarang. Jika dia tidak letakkan potret lelaki itu di setiap penjuru biliknya, pasti Damia akan lupa pada wajah insan yang dipanggil suami. Aku tak mahu lupakan dia. Aku mahu selalu dekat dengan dia kerana aku menyintainya. Salahkah aku kerana menyintai dia?
Disebabkan itulah, dia sengaja berbuat demikian. Dia tidak mahu lupa walau seinci pun wajah lelaki itu. Akan cuba disematkan ke dalam mindanya. Memang benar kata orang, jika kita kaya, kita bisa membeli apa sahaja dalam dunia ini. Tidak kira apa sahaja yang kita inginkan kecuali cinta dan kasih sayang. Hati dan perasaan. Aku kaya tapi aku miskin dengan kasih sayang dan cinta dari seorang insan yang bernama suami.
Itulah yang dia lalui saat ini. Dia boleh membeli insan yang bernama suami dengan apa yang dia ada saat ini tetapi dia tidak boleh sekali membeli hati dan perasaan lelaki itu. Hati dan perasaan lelaki itu bukan miliknya tetapi milik insan lain. Insan yang terdahulu hadir dalam hidup lelaki itu sebelum dia. Kenapa bukan aku yang terdahulu memiliki cintanya?
Perkahwinan mereka bukan dirancang. Tidak. Dia hanya ingin membantu lelaki itu di saat lelaki itu memerlukan pertolongannya. Keluarganya pun tidak tahu akan perkara itu. Dia berkahwin di atas belas dan simpati. Walaupun bukan ini yang dia inginkan.
Dato’ Lufti dan Datin Afifah menentang keras akan permintaannya. Apatah lagi abang sulungnya, Danial. Cuma kakak, Danish, abangnya yang nombor tiga dan adiknya sahaja yang tidak banyak bersuara. Mungkin pada mereka, ini yang terbaik buat Damia Huda Lufti. Benarkah ini yang terbaik untuk aku? Benarkah keputusan yang telah aku buat ini?
Hanya Kak Ina dan Pak Abu sahaja yang tahu akan pergolakkan rumah tangganya. Bukan dia tidak mahu berkongsi masalah dengan abah dan mamanya, cuma dia tidak mahu suaminya akan dipersalahkan oleh mereka suatu hari nanti. Dia tidak mahu itu yang terjadi dan dia tidak mahu mengambil risikonya. Ianya terlalu berat.
Lagipun dia malu untuk berkongsi masalahnya dengan orang lain. Biarlah dia selesaikan sendiri masalahnya. Selagi ianya boleh disembunyikan dari pengetahuan umum, selagi itulah akan cuba disembunyikannya.

Tiada ulasan: