Halaman

Ahad, 12 Ogos 2012

Kau Kusayang Bab 6


Adlan menghela nafas panjang. Pandangannya dilemparkan ke serata alam. Lautan biru yang luas terbentang menjadi santapan anak matanya kini. Keriuhan para pengunjung yang berkunjung ke pantai itu tidak sedikit pun berjaya menarikan hatinya. Saat ini, hanya lautan luas itu sahaja yang mampu menarik minatnya.
            Di pantai itulah dia bertemu dan berkenalan dengan arwah isterinya Farhah. Di pantai itu jugalah yang telah menciptakan kenangan yang terindah di antara mereka berdua. Bagaimana dia bertemu dengan Farhah dan sehinggalah di saat dia melamar Farhah untuk menjadi permaisuri hidupnya. Seakan segala memori itu terpampang di dada lautan yang maha luas itu.
            Perkenalannya dengan Farhah terjadi di saat dia menyelamatkan gadis itu dari menjadi mangsa lemas. Semenjak itu, hubungan mereka berdua menjadi akrab. Dari hanya bergelar sahabat biasa sahaja, timbul pula perasaan sayang pada wanita itu. Indahnya kenangan silam itu. Seakan sukar untuk aku lupakan walaupun hanya untuk seketika cuma.
            Hubungan mereka berdua mendapat restu dari kedua belah pihak. Setelah hampir tiga tahun mengenali hati budi masing-masing, dia melamar Farhah. Dan Farhah menerima lamarannya. Setelah setahun mendirikan rumah tangga, dia mengambil keputusan untuk membuka chalet di situ.
            Dengan sokongan dan dorongan dari Farhah, akhirnya terbinalah Cahaya Beach Resort. Farhah banyak membantunya. Dari perniagaan mereka kecil sehinggalah perniagaan mereka menjadi maju. Farhah tidak pernah kenal erti penat dan letih dalam mempromosikan chalet mereka itu.
            Hidup mereka bertambah serinya lagi, apabila Farhah disahkan mengandung cahaya mata mereka yang sulung. Dia adalah antara manusia yang paling gembira saat itu. Rezeki yang datang bagaikan mencurah-curah dalam keluarga mereka.
            Namun, langit tidak selalu cerah. Dia kehilangan Farhah buat selama-lamanya di saat Farhah melahirkan anak pertama mereka. Hidupnya mula menjadi suram serta-merta. Walaupun si kecil ada untuk mengubat sepinya, tetapi dia masih rindukan Farhah. Baginya, Farhah adalah nyawanya. Perginya Farhah seakan membawa separuh dari nyawanya.
            Mujur ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang ada memberikan sokongan dan dorongan tanpa henti. Dia bangun dari mimpi yang panjang. Dia tahu, dia harus redha dan pasrah dengan pemergian Farhah. Jika dia menyayangi Farhah, ALLAH lebih menyayangi wanita itu daripadanya. Dia tidak boleh terus-terusan bersedih kerana putera kecilnya memerlukan perhatian sepenuhnya dari dia. Jika ada Farhah sekali pun, Farhah tentu akan merasa sedih dengan apa yang terjadi padanya. Dia tidak mahu terus hanyut dengan semua itu.
            Dia menghela nafas panjang. Terasa nafasnya begitu sesak sekali saat itu. Dia akan jadi begitu andainya dia kembali teringatkan arwah isterinya itu. Dirasakan seakan baru semalam Farhah tinggalkan dia dan Faid. Rindunya aku pada dia.
            Dia menoleh apabila terasa bahunya disentuh oleh seseorang dengan lembut. Temannya itu menghadiahkan sekuntum senyuman buatnya. Dibalas sekadar yang termampu sahaja. Pandangannya kembali tertumpu semula ke dada laut. Temannya melabuhkan punggungnya di sisinya. Dia juga seperti Adlan, merenung lautan yang luas terbentang di hadapan mata.
            “Jauh kau menung. Apa yang kau fikirkan?” soal temannya itu.
            “Takde apalah. Bila kau sampai?” soal Adlan kembali sambil mengusap wajahnya. Jauhnya aku menung.
            “Adalah dalam…lima belas minit tadi.” Ujar si teman sambil melirik jam di tangan. “Asyik sangat aku sangat tengok kau termenung. Apa yang kau fikirkan?” soal si teman lagi. Berangankan apalah dia ni?
            “Takde apalah. Saja duduk layan blues kat sini.” Jawab Adlan sambil tersenyum kecil. Seakan kenangan itu tidak mahu pergi meninggalkan aku walaupun sesaat.
            Si teman turut tersenyum kecil tatkala mendengarkan kata-kata Adlan. Pandangannya ditebarkan ke arah lautan yang luas terbentang.
            “Kau teringatkan arwah ke?” soal temannya tiba-tiba. Dia seakan faham dengan ulah Adlan yang duduk termenung di situ. Yelah tu. Apa lagi yang boleh buat dia termenung kalau bukan kerana Farhah.
            “Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermain, Man. Dia isteri aku. Memanglah aku ingat dia.” Luah Adlan perlahan. Tipulah kalau aku tak ingatkan dia.
            “Dia dah lama takde, Lan. Kita yang yang hidup ni, harus teruskan hidup. Aku tahu kau terlalu sayangkan dia.” Ujar Arman tenang. Dah aku agak.
            “Entahlah, Man. Setiap kali aku pandang muka Faid, aku teringatkan dia. Rasa macam baru semalam aje dia tinggalkan kami.”
            “Sabarlah, Lan. ALLAH lebih sayangkan dia dari kita. Yang boleh kita lakukan saat ini, doakan dia semoga berada di samping orang-orang yang soleh dan soleha.” Nasihat Arman. Kasihan juga aku dengan dia ni.
            “Aku tak pernah lupakan itu, Man. Setiap kali selepas solat, aku mesti doakan dia. Semoga ALLAH ampunkan semua dosa-dosa dia dan tempatkan dia di samping orang-orang yang beriman.” Kedengaran lemah Adlan meluahkan kata-katanya. Alangkah bagusnya kalau dia ada untuk sama-sama membesarkan Faid.
            Arman menghela nafas panjang mendengarkan kata-kata Adlan itu. Sesekali dia menganggukkan kepalanya. Sememangnya dia amat mengenali arwah isteri sahabatnya itu, Farhah. Dia dan Adlan bersahabat baik semenjak mereka di bangku sekolah lagi. Jadi segala kisah cinta Adlan dan Farhah, dia ketahuinya. Apa saja. Semuanya dia tahu. Dari saat mereka bertemu sehinggalah di saat arwah meninggalkan dunia yang fana ini.
            Dia juga turut merasa simpati dan terharu dengan nasib sahabat baiknya itu. Adlan kehilangan Farhah di saat dia memerlukan sokongan pada dari seseorang yang amat dikasihinya. Mujurlah ada Faid penyambung kasih sayang di antara mereka berdua.
            “Kau datang dengan siapa?” Adlan menukar tajuk perbualan di antara mereka berdua.
Dia tidak mahu mereka berdua tenggelam dengan cerita-cerita mengenai arwah Farhah. Cukuplah hanya dia sahaja yang masih diselubungi dengan kenangan-kenangan bersama arwah. Kenangan itu tak mungkin akan aku hapuskan walaupun satu hari nanti aku ketemu dengan insan lain. Kenangan itu akan tetap kukuh di dalam ingatan ku sehingga aku menutup mata.
            “Dengan anak dan isteri aku.” Jawab Arman tenang.
            “Mana mereka?” soal Adlan lagi sambil tertinjau-tinjau mencari kelibat seseorang.
            “Tengah berehat di bilik.”
            Adlan menganggukkan kepalanya apabila mendengarkan kata-kata Arman itu. Arman selalu datang bercuti di situ bersama keluarganya. Adakalanya dia akan datang bersama-sama keluarganya dan juga keluarga mertuanya. Sengaja ingin mempromosikan chalet tersebut kepada ahli keluarganya yang lain katanya. Dia rasa terhutang budi dengan usaha sahabat baiknya itu membantunya mempromosikan chalet tersebut.
            “Lan, kalau aku tanya kau sesuatu kau marah tak?” soal Arman tiba-tiba.
            “Iskh!! Kau ni. Belum tanya lagi macam mana aku nak tahu samada aku marah ke tidak? Cubalah tanya dulu. Barulah tahu samada aku marah ke tidak?” Adlan menggelengkan kepalanya. Apa punya soalanlah dia ni?
            Arman tersengih sambil menggarukan kepalanya apabila mendengarkan yang tidak gatal. Betul jugak tu. Apalah aku ni?
            “Ha! Kau nak tanya aku apa? Tanyalah.”
            “Kenapa kau tak mahu kahwin lagi, Lan?” soal Arman teragap-agap. Jangan dia salah anggap apa yang aku tanya ni, dahlah.
            Adlan menghela nafasnya tatkala mendengarkan pertanyaan Arman itu. Seakan soalan itu begitu berat sekali untuk dijawabnya.
            “Kau tak kasihankan Faid ke?” soal Arman lagi. Aku yang tengok pun kasihan dengan si Faid tu. Inikan pula dia sebagai ayahnya.
            “Siapa kata aku tak kasihankan dia, Man?” soal Adlan pula. Aku kasihankan anak aku tu, Man. Tipulah aku kalau aku katakan aku tak kasihankan dia yang tak dapat kasih sayang seorang insan bergelar ibu.
            “Kalau kau kasihan, bukakanlah pintu hati kau tu untuk terima orang lain. Jangan terus-terusan begini. Kalau Farhah ada, pasti dia pun tak setuju dengan tindakan kau ini.” Pujuk Arman lembut.
            “Aku tak dapat terima orang lain selain dari arwah Farhah.” Tegas Adlan. “Aku dah cuba lakukan tapi masih tidak berjaya, Man.”
            “Kau kena kuat, Lan. Sampai bila kau nak terus begini? Faid perlukan insan yang dipanggil mama. Dia perlukan belaian dan sentuhan seorang ibu.”
            “Entahlah, Man. Selagi aku mencintai dia, selagi itulah aku tak boleh terima cinta orang lain. Datanglah sebagaimana cantik sekali pun perempuan tu, aku tetap inginkan dia. Aku terlalu cintakan dia, Man. Jika aku berkahwin lagi, seumpama aku menduakan cinta dia pada aku.” Jelas Adlan dengan panjang lebarnya. Aku tak sanggup untuk melakukannya. Aku tak sanggup!!!
            “Lan, aku faham perasaan kau. Tak semestinya kau berkahwin lain maka kau akan menduakan cinta dia. Cinta kau pada dia tidak akan sesekali hilang. Cuma kau kena teruskan hidup kau. Sampai bila kau nak hidup dibayangi oleh arwah isteri kau? Dia dah lama pergi tinggalkan kau, Lan. Kau harus beri peluang pada Faid untuk mendapat belaian dan kasih sayang dari seorang insan yang bernama mama. Sampai bila dia nak bermanja dengan Farah? Farah pun punya dunianya sendiri.” Luah Arman dengan panjang lebar. Lainlah kalau kau nak kahwin dengan dia.
            Adlan meraup wajahnya yang kusut itu sebelum meluahkan kata-kata. Fikirannya buntu seketika. Bukan baru ini dia diasak dengan persoalan-persoalan sedemikian. Malah telah acapkali. Bukan sahaja dari Arman tetapi dari ahli keluarganya juga, perkara ini berbangkit. Kenapalah semua orang tak faham dengan perasaan aku?
            “Entahlah, Man. Aku takut nanti anak aku didera oleh mak tiri dia bila aku tidak ada di rumah.” Adlan menjawab selamba. Okay ke alasan yang aku berikan tu?
            “Iskh!!! Kau ni. Ke situ pula yang kau fikir.” Arman menggelengkan kepalanya. Apa punya pemikiranlah dia ni.
            “Kenyataannya, Man. Sekarang ni dah jadi macam zaman dulu-dulu. Yang mana ibu tiri suka sangat mendera anak tiri. Aku tak sanggup tengok Faid didera oleh mak tiri dia. Kalau macam itulah, baik aku tak payah kahwin. Anak aku pun selamat.” Luah Adlan selamba. Kepala pun tak pening nak fikir benda ni semua.
            “Kau nikan, terlebih tengok sinetron betullah. Dah macam Yati pula.” Ujar Arman sambil merujuk kepada isterinya, Yati. Sesekali dia menggelengkan kepalanya.
            “Kenyataannya.”
            “Kalau dah gitu, kau kahwin ajelah dengan Farah. Habis cerita.” Cadang Arman. Susah sangat. Pening aku melayannya.
            “Farah? Farah mana?” Adlan mengerutkan dahinya sambil merenung wajah Arman. Takkan adik arwah pula kot.
            “Farah mana lagi kalau bukan adik ipar kau tu.”
            “Iskh!!! Kau gila ke apa?” tolak Adlan.
            “Apasal pula?”
            “Dia itukan ke adik ipar aku. Adik kepada Farhah.”
            “Adik ipar kau tu bukan muhrim kau, kawan. Jadi dia dihalalkan bernikah dengan kau. Dia bukannya diharam menikah dengan kau.” Tegas Arman. Takkan semua itu aku nak kena ingatkan kau.
            “Tak mahulah aku.” Adlan pantas menolak.
            “Kenapa?”
            “Aku dah anggap dia sebagai adik aku, Man. Takkanlah aku nak nikah dengan dia. Tak sanggup aku.” Adlan menggelengkan kepalanya. Mahu janggal rasanya nanti.
            “Sekurang-kurangnya dia sayangkan Faid macam anak dia sendiri. Lagi pun, takkanlah dia sanggup mendera anak saudara dia sendiri. Anak kepada kakak dia.”
            Adlan terdiam mendengarkan kata-kata Arman itu. Seakan sedang memikirkan kata-kata itu. Tidak berniat untuk dia mengulas kata-kata lelaki itu.

Tiada ulasan: