Halaman

Ahad, 16 Jun 2013

Kau Kusayang Bab 16

Darwisy memakir motornya bersebelahan dengan kereta mewah milik Damia. Topi ke-ledar yang tersarung di kepalanya ditanggalkan. Sesekali dia menjeling ke arah kereta tersebut. Timbul pula rasa kehairanan di hatinya apabila melihatkan kereta itu. Awalnya dia pulang. Selalunya lambat.
            Selagi tidak pukul dua atau tiga pagi, pasti gadis itu tidak akan pulang ke rumah. Tapi hari ini, sebelum jam dua belas tengah malam gadis itu telah pun berada di rumah. Bagus betul. Satu perkembangan yang baik.
            Dia melangkah masuk. Salam yang dihulurkan disambut oleh Kak Ina. Sekuntum senyuman manis dihadiahkan buat Kak Ina yang setia menyambut kepulangannya setiap hari. Sesekali teringin juga dia merasa Damia menyambutnya pulang dari tempat kerja. Sebagai seorang manusia dia tidak boleh tamak. Dia tahu, Damia sibuk dengan kerja-kerjanya di pejabat. Begitu juga dengan dia. Sebab itulah, dia tidak kisah andainya Damia tidak melakukan tanggungjawabnya itu.
            “Darwisy nak makan ke?” Kak Ina menyoal lembut.
            “Tak apalah, kak. Saya dah makan kat luar tadi dengan kawan.” beritahu Darwisy. Masih lagi terasa akan kekenyangannya.
            Kak Ina menganggukan kepalanya. Dia berlalu menuju ke dapur semula. Baru beberapa tapak dia melangkah meninggalkan Darwisy, langkahnya terhenti.
            “Ada apa, Darwisy?” soal Kak Ina hairan. Dia nak minum barangkali.
            “Huda dah pulang ya, kak?” soal Darwisy tanpa menjawab pertanyaan Kak Ina. Rindunya aku pada dia.
            “Ya, ada di atas. Kenapa?” tanya Kak Ina lagi. Dia nak jumpa dengan Mia ke?
            “Takdelah. Awal pula dia pulang hari ini. Selalunya dia pulang lewat.” Darwisy menggaru kepalanya yang tidak gatal. Okay ke ayat aku tu?
            “Dia kurang sihat sikit hari ini. Lepas makan ubat tadi, dia terus tidur.” Jelas Kak Ina tanpa disuruh.
            “Kurang sihat? Demam?” soal Darwisy bertalu.
            “Tak. Dia kemalangan.”
            “Kemalangan? Teruk ke, kak?” jelas kerisauan di wajah Darwisy saat itu. Kenapa aku orang yang terakhir tahu pasal benda ni?
            “Akak tak tahu nak cakap macam mana, Darwisy. Akak rasa lebih baik Darwisy pergi tengok sendiri.” Nasihat Kak Ina.
            Darwisy menganggukan kepalanya. Pantas dia mendaki anak-anak tangga menuju ke tingkat atas. Tidak sabar dia ingin mendapatkan Damia. Namun, niatnya untuk ke bilik gadis itu dibatalkan. Dia ingin membersihkan dirinya terlebih dahulu sebelum menemui Damia. Tidak selesa pula dia ingin jumpa gadis tersebut dalam keadaannya yang begitu.
            Selepas membersihkan diri, dia terus menuju ke bilik Damia. Tidak sabar rasanya dia untuk mengetahui keadaan gadis itu. Pintu bilik gadis itu diketuknya terlebih dahulu sebelum melangkah masuk. Namun, tiada kedengaran suara Damia. Dengan teragak-agak dia membuka pintu bilik tersebut. Dah tidur ke dia?
            Didapati Damia sedang tidur dengan lenanya sambil memeluk patung beruang sebesar budak lima tahun berwarna coklat. Wajah itu begitu tenang dan polos sekali. Perlahan-lahan dia mendekati Damia. Direnung wajah yang sedang lena dibuai mimpi itu. Puas dibelek dan diteleknya namun tiada pun tanda-tanda gadis itu terluka. Kata kemalangan tapi aku tengok okay aje. Takde yang berbalut. Dari kepala hinggalah ke tangan.
            Timbul kehairanan di wajahnya. Kepala yang tidak gatal digarunya berkali-kali. Entah-entah Kak Ina sengaja nak kenakan aku tak? Manalah tahu kalau-kalau mereka berdua ni berpakat. Tapi tak mungkinlah. Selama ini pun mereka tak pernah buat gurauan sebegini rupa. Bukan aje Kak Ina, Huda pun takkan bergurau sedemikian rupa.
            Wajah Damia ditatap lagi. Entah kenapa, dia tersenyum sendirian. Suka benar dia melihat wajah itu tatkala terlena. Anak rambut yang menutupi dahi Damia disentuhnya. Damia bergerak kecil apabila terasa akan sentuhan itu. Pantas Darwisy menarik semula tangannya. Jangan dia tersedar sudahlah. Niaya aje nanti. Apa aku nak cakap pada dia kalau dia tanya aku buat apa kat dalam bilik dia ni?
            Bimbang juga hatinya jika Damia terjaga dari tidurnya. Melihatkan gadis itu tidak terjaga, dia menghela nafas lega. Tanpa sedar, dihadiahkan sekucup ciuman di dahi Damia. Pantas dia memegang bibirnya. Terkebil-kebil matanya seketika. Apa yang aku buat ni? Kenapa aku cium dia?!
            Dia mula menelan liurnya. Pantas dia bangkit dari duduknya. Tidak sanggup lagi dia berlama di situ. Bimbang sesuatu yang buruk bisa terjadi di antara mereka berdua nanti. Namun, kakinya tidak jadi melangkah. Matanya mula memerhati ke sekeliling bilik tersebut. Betulkah apa yang aku nampak ni? Atau ianya sekadar mimpi saja?
            Dia terkedu seketika. Jantungnya seakan terhenti berdegup. Perlahan-lahan dia menelan liurnya. Dia tidak sangka dengan apa yang dipertontonkan di hadapan matanya kini. Walaupun bilik itu hanya dilimpahi dengan cahaya lampu yang suram namun itu tidak sedikit pun menghalang penglihatannya. Matanya mula meratah ke serata ruang bilik tersebut.
            Dia tidak tahu apa motif Damia melakukannya sebegitu rupa. Saat ini di hadapan matanya kini terpampang gambar-gambarnya dengan pelbagai aksi. Bukan sedikit. Malah di setiap sudut bilik itu terdapat gambarnya. Penuh. Seakan tiada satu ruang pun dibiarkan kosong. Dia ni stalker ke apa? Kalau tidak, takkanlah sikit punya banyak gambar aku ada dalam bilik dia ni.
            Bila masa Damia mengambilnya, tidak dia tahu. Seingatnya, tidak pernah sekalipun dia memberikan gambarnya kepada Damia. Ada tidak pun hanyalah gambar yang tertera di atas kad perkahwinan mereka berdua sahaja yang menjadi milik Damia. Selainnya tidak. Setiap aksi di dalam gambar itu terdapat pelbagai gayanya. Yang pastinya, dia sedang tersenyum gembira. Yang pastinya, dia sedan tertawa ceria.

            Dia melemparkan pandangannya ke serata alam. Dari tingkap biliknya dapat dilihat bintang-bintang yang bertaburan di dada langit sambil ditemani oleh sang bulan yang begitu setia sekali. Dia menghela nafas panjang. Seakan panorama malam yang cantik itu tidak langsung mampu untuk menarik minatnya kala ini. Kenapa hati ini resah saja? Bagaikan ada sesuatu yang tak kena.
            Begitu berat sekali nafas yang dihelanya. Seakan bebanan yang ditanggungnya tidak mampu digalas oleh kedua belah bahunya. Entah mengapa dia merasakan begitu sukar sekali untuk dia melupakan seraut wajah ayu yang telah hadir di dalam hidupnya kala ini. Wajah itu telah berjaya menggangu dan menarik perhatiannya tatkala ini.
Adakah aku sudah jatuh cinta dengannya? Mana mungkin aku jatuh cinta padanya sedangkan aku langsung tak pernah mengenalinya. Lainlah kalau aku sudah mengenalinya maka tak mustahil untuk aku jatuh cinta padanya. Adakah ini yang digelarkan orang, cinta pandang pertama? Aku jatuh cinta pandang pertama? Pada dia? Orang yang tak aku kenali dari mana datangnya? Orang yang aku tak tahu akan asal-usulnya? Orang yang aku tak tahu akan statusnya? Samada dia dah berkahwin ataupun tidak.
            Saat ini terlayar di birai mata wajah gadis yang ditemuinya beberapa bulan yang lalu di chaletnya. Puas sudah diusirnya bayangan gadis itu agar menjauhinya. Namun, dia gagal. Semakin dia cuba mengusirnya dan semakin itulah wajah itu menghantui hidupnya. Seakan tidak membenarkan dia melupakan wajah itu walaupun sesaat. Tak boleh jadi macam ni. Boleh jadi gila aku kalau berterusan begini.
            Wajah itu sering sahaja bertandang samada di dalam sedar ataupun mimpi. Bukan dia tidak pernah bertemu dengan wanita lain. Wanita yang lebih cantik dan bergaya dari gadis itu. Pernah. Malah ada yang lebih hebat dari gadis yang ditemuinya. Namun, dia tidak pernah rasa sebegini dengan wanita yang lain selain dari gadis itu. Hanya gadis itu sahaja yang bisa membuat dia panasaran sebegini.
            Adlan meraup wajahnya sambil beristigfar panjang. Seakan ingin membuang wajah itu agar terus menjauhinya. Agar ianya tidak lagi bertandang sampai bila-bila. Kenapa aku asyik ingatkan dia aje? Kenapa hanya wajahnya saja yang bermain di minda aku? Kenapa tidak orang lain? Sedangkan aku tak punya apa-apa hubungan dengan dia. Lainlah jika aku punya hubungan yang amat kukuh dengannya.
            Ya ALLAH, andainya dia ditakdirkan untuk aku, KAU temukanlah kami berdua. Jika tak, aku rela hubungan ini berakhir sampai di sini saja. Bukan niat hati aku untuk menyerah kalah tanpa berusaha tapi aku langsung tak mengenalinya. Mengapa hati aku menjadi resah tatkala terbayangkan wajahnya? Mengapa hati ini bagai ditarik-tarik untuk mengenalinya? Mengapa hati ini seakan tak mahu melepaskannya walaupun sesaat? Adakah kerana semata-mata dia menyerupai wajah arwah isteri ku, Farhah?
            Masih teringang-ingang di telinganya akan segala nasihat yang diberikan oleh Arman kepadanya tempoh hari. Benar kata Arman, dia tidak boleh menerima kehadiran seseorang itu hanya kerana wajah atau perwatakan yang dimiliki serupa dengan arwah isterinya. Ianya adalah tidak adil untuk gadis itu. Jika dia ingin memiliki wanita itu, dia haruslah memiliki wanita itu dengan hati yang terbuka. Dengan jiwa yang rela. Bukan dengan dibayangi oleh arwah Farhah. Mana mungkin aku melupakan  Farhah. Farhah merupakan cinta pertama aku dan aku amat menyintainya sepenuh jiwa raga aku.
            Dia menoleh seketika ke arah katil. Faid sedang tidur dengan pulasnya. Mengenangkan anak itu, hatinya menjadi sebak seketika. Bukan dia tidak mahu mendirikan rumah tangga lagi namun dia tidak sanggup untuk menduakan cinta dan kasih sayang Farhah terhadapnya dan Faid.
            Jika selama ini Farhah banyak berkorban untuknya dan Faid mengapa tidak dia lakukan perkara yang sama buat insan yang pernah dicintainya sepenuh hati itu. Cuma semenjak bertemu dengan gadis yang seiras Farhah, seakan cintanya terhadap arwah isterinya mula goyah. Mula goyah. Seakan cinta yang dimilikinya mula terbahagi dua. Antara Farhah dan juga gadis yang tidak diketahui namanya itu.
            Salahkah aku kerana telah menduakan ingatan aku terhadap Farhah? Salahkah aku kerana cuba untuk menerima kehadiran insan lain dalam hidup aku? Sedangkan sebelum ini aku telah pun berjanji dengan diri aku sendiri bahawa aku takkan sekali-kali menduakan cinta Farhah terhadap aku. Aku mahu terus setia bersamanya.
            Sekali lagi dia menghela nafas panjang. Entah untuk kali yang ke berapa agaknya dia mengeluh, tidak dia tahu. Yang pastinya, sejak akhir-akhir ini dia sering kali sahaja mengeluh dan mengelamun panjang. Sehinggakan para pekerjanya sendiri naik pelik dengan sikapnya itu. Kuat juga penangan minah itu pd aku. Jika tak, pasti aku takkan jadi begini.
            Ada masanya dia sendiri naik malu dengan sikapnya yang sering kali termenung itu. Pantang sahaja ada masa yang terluang, dia pasti akan termenung. Mengingati pertemuan tanpa disengajakan di antara dia dan gadis itu. Seakan kenangan itu tidak mahu sedikit pun meninggalkannya. Dan akhirnya menyebabkan dia kelemasan. Kelemasan dalam mengingati wajah itu. Kelemasan dalam mengharapkan sesuatu yang tidak pasti.
            Telah dia cuba untuk menyibukan dirinya dengan tugas-tugas yang terdapat di chalet dan di pejabat. Dengan harapan dia akan berjaya mengusir seraut wajah itu dari terus pergi mengganggunya. Namun, dia tetap gagal.

Tiada ulasan: