Damia
mengeliat kecil. Sesekali dia menutup mulutnya apabila dia menguap. Selepas
makan ubat malam tadi, dia terus sahaja masuk tidur. Langsung dia tidak sedar
apa yang berlaku. Ditoleh seketika ke arah patung beruangnya yang berwarna
coklat itu. Dipeluknya patung beruang itu dengan erat sekali sebelum melangkah
menuju ke bilik air. Dia ingin membersihkan dirinya sebelum turun ke bawah.
Patung beruang itu adalah hadiah
hari lahirnya tiga tahun lepas dari adiknya, Dinie. Itu adalah hasil dari gaji
pertama Dinie sewaktu bekerja sementara menunggu panggilan untuk menyambung
pelajaran keluar negara. Dia amat menyayangi patung beruang coklat itu. Antara
dia dan patung itu tidak boleh dipisahkan. Kemana sahaja dia pergi, pasti akan
dibawanya bersama.
Setelah membersihkan diri, dengan
jalan terjengkot-jengkot dia menuruni anak-anak tangga rumah dua tingkat
tersebut. Kak Ina yang menyambutnya di hujung anak tangga melemparkan seulas
senyuman manis buatnya. Untuk seketika, senyuman mereka berbalas.
“Mia nak minum?” tanya Kak Ina
lembut.
“Boleh juga. Bawa ke depan ya, kak.”
Arah Damia lembut. Dia ingin bersantai di ruang tamu sahaja.
Kak Ina menganggukan kepalanya.
Damia menapak perlahan ke ruang tamu. Saluran enam satu enam menjadi pilihan.
Patung beruangnya setia berada di sisi. Rancangan kartun Tom and Jerry menjadi pilihannya. Sesekali dia tertawa kecil dan
berbual-bual perlahan dengan patung beruangnya yang dinamakan Kimura itu.
Begitulah ulahnya ketika bersama dengan Kimura. Ada sahaja perkara yang ingin
dia bualkan. Seakan patung itu adalah seseorang yang bisa mendengarkan setiap
apa yang dia bicarakan.
Kak Ina menghampiri Damia sambil
menatang sedulang minuman. Dia menghidangkan air yang diminta Damia.
“Mia perlukan apa-apa lagi ke?” Kak Ina
merenung wajah Damia.
“Tak, kak. Kalau Mia perlukan
apa-apa nanti, Mia panggil akak.” balas Damia lembut.
“Kaki Mia macam mana? Dah okay?”
soal Kak Ina lagi sekadar berbahasa. Matanya mula melirik ke arah kaki Damia
yang masih lagi berbalut.
“Macam itulah, kak. Berdenyut-denyut
rasanya. Malam tadi Mia tak boleh nak tidur.” Damia merenung ke arah kakinya
yang berbalut. Sampai sekarang masih sakit lagi.
“Mia makan ubat tak malam tadi?”
“Makan tapi…masih tak boleh tahan.
Sampai demam dibuatnya.” Adu Damia manja. Bilalah nak baik kaki ni?
“Mia demam? Kenapa tak kejutkan
akak?” Kak Ina terkejut dengan penerangan Damia itu. Bimbang juga hatinya andai
sesuatu yang buruk terjadi ke atas majikannya itu.
“Alah…sikit ajelah, kak. Lagi pun
Kimura ada temankan Mia. Akak janganlah risau.”
Kak Ina tahu siapa yang diperkatakan
oleh Damia itu. Semenjak ada Kimura, Damia tidak takut lagi untuk tidur
sendirian di dalam kamar.
Tidak kira samada waktu dia sakit mahupun
hujan lebat. Seakan patung itulah yang akan menjadi penemannya. Bila bersama
dengan patung itu, Damia akan berasa selamat sedikit. Jadi dia tidak perlulah
sesiapa menemaninya ketika dia keseorangan pabila malam menjelma.
Dinie sengaja menghadiahkan patung
itu kerana dia tahu akan kelemahan kakaknya. Kehadiran Kimura hanyalah sebagai
peneman tidur Damia. Itulah yang dikatakan oleh Dinie kepada Damia beberapa
tahun yang lalu sewaktu dia menghadiahkan patung beruang itu kepada Damia.
Bagus juga idea Dinie tu.
Darwisy
melangkah turun dari tingkat atas. Dari anak tangga lagi dia dapat mendengar
suara Damia sedang berbicara dengan seseorang. Sesekali terdengar di telinganya
gelak tawa manja Damia. Entah apa yang menjadi bahan ketawa gadis itu, tidak
dia tahu. Dia melangkah menuju ke ruang tamu. Ada tamu ke yang datang
bertandang?
“Tengoklah tu, Kimura. Selalu sangat
si Tom kena dengan si Jerry. Jerry ni pun satu juga. Mentang-mentanglah dia
kecil, teruk Tom kena dengan dia. Sengal betullah. Nak tengok mereka berbaik,
memang payah.” Luah Damia sambil tertawa kecil. Kalau aku dapat si Jerry tu,
aku picit-picit dia.
Darwisy menoleh kiri dan kanan.
Tiada siapa yang dilihat di situ melainkan Damia sahaja. Sesekali dia menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Dia bercakap dengan siapa? Aku tengok dia seorang
aje. Takde orang lain pun. Takkan dia bercakap dengan telefon pula? Tapi…siapa
Kimura tu? Macam nama orang Jepun aje.
Damia menoleh ke arah belakang
apabila mendengarkan deheman Darwisy itu. Serta-merta mati bicara dan tawanya
tadi. Dia terkejut seketika melihatkan kehadiran Darwisy di situ. Aku ingatkan
dia kerja hari ni. Rupanya ada di rumah. Nasib baik aku tak pakai yang
seksi-seksi macam malam kelmarin. Kalau tidak mahunya buntang mata dia.
Damia membelek tubuhnya seketika.
Saat ini dia hanya mengenakan t-shirt berlengan pendek dan juga seluar pendek
separas lutut dari jenama DKNY. Walaupun ianya sedikit seksi namun ianya
tidaklah menjolok mata sangat.
“Tak kerja ke?” Damia menyoal sekadar
berbahasa. Dia dengar ke aku bercakap dengan Kimura tadi? Minta-minta tidak.
Kalau tidak, mahunya koyak muka aku ni.
“Tak. Awak?” soal Darwisy kembali
sambil melabuhkan punggung di kerusi berdekatan dengan Damia. Takkan dia
bercakap seorang diri kot. Biar betul dia ni.
Di sisi Damia terdapat patung
beruang yang besar berwarna coklat. Wajah mulus Damia direnungnya. Entah
kenapa, seakan dia ingin mengajak gadis itu berbual dengannya hari ini. Ingin
juga dia tanya tentang kemalangan yang menimpa gadis tersebut. Hatinya tidak
akan tenteram selagi tidak mendengar sendiri dari mulut gadis itu.
“Tak. Cuti sakit.” kata Damia
selamba. Aku boss pun boleh dapat cuti sakit. Macam kelakarlah pula rasanya.
“Kak Ina kata awak kemalangan. Betul
ke?” Darwisy terus ke tajuk asal yang ingin diketahui semenjak semalam.
Damia tidak terus menjawab. Dia
mencapai patung beruang berwarna coklat yang berada di sisinya lalu dipeluknya
erat. Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Darwisy. Seingatnya, patung
itulah yang dipeluk oleh Damia sewaktu tidur malam tadi. Macam budak kecil. Dah
besar-besar pun nak main anak patung lagi.
“Hmm…tapi sikit saja. Taklah teruk
sangat pun.” Balas Damia. Memanglah sikit tapi sakitnya sampaikan aku demam.
“Awak memandu ke?” soal Darwisy
lagi. Wajah Damia direnungnya tajam. Takkan dia memandu pula.
“Eh, taklah!!” pantas Damia menjawab
sambil menggelengkan kepalanya. Gila aku nak driving. Mahu mengamuk pula Dato’ Lufti nanti. Siapa yang nak
menjawabnya?
“Dah tu, macam mana boleh
kemalangan?”
Damia tersenyum kecil. Dia bukan
kemalangan yang melibatkan kenderaan. Sebenarnya dia kemalangan di padang
futsal. Kakinya terseliuh sewaktu sedang mengejar bola. Liza, Aina dan Gina
telah pun membawanya ke klinik untuk rawatan lanjut. Disebabkan itulah, dia
diberikan cuti sakit sehingga kakinya sembuh. Panjanglah cuti aku jawabnya.
Maka bertambah banyaklah kerja-kerja aku di pejabat tu.
“Saya kemalangan sewaktu bermain
futsal dengan kawan-kawan saya.” Jelas Damia. Mesti dia pun pelik dengan aku.
“Teruk tak?” Jelas kerisauan di
wajah kacak lelaki itu. Tengok macam taklah teruk sangat. Kenapa diberi cuti
sakit pula?
Darwisy mendekati Damia. Lalu dia
melabuhkan punggungnya di sebelah Damia. Duduknya semakin rapat sehinggakan
Damia terpaksa memberikannya ruang. Apa hal pula dia ni? Kalau ya pun nak prihatin
bagainya dengan aku, janganlah duduk dekat sangat. Buat mendebarkan jantung aku
ajelah. Bukan dia tak tahu yang jantung aku ni bagaikan nak melompat keluar
kalau duduk rapat dengan dia.
“Taklah teruk sangat pun cuma kaki
terseliuh sikit aje.” Damia berkata perlahan. Aku guguplah. Dahlah aku ni suka
tahap cipan dengan kau.
Damia menundukkan kepalanya sambil
memerhatikan kakinya yang berbalut. Begitu juga dengan Darwisy. Perlahan-lahan Darwisy
menarik kaki Damia. Ulahnya membuatkan Damia tersentak kecil. Buntang matanya
seketika.
“Apa awak nak buat ni?” soal Damia.
Resah dia dengan ulah Darwisy itu. Jantung aku dah berdegup tahap maksima dah
ni.
“Kenapa?” Soal Darwisy kembali.
Takut sangat aku apa-apakan dia.
“Takdelah. Awak nak buat apa?” Damia
resah. Jangan dia buat yang bukan-bukan sudahlah. Niaya aje kaki aku nanti.
Dari boleh jalan nanti, terus tak boleh nak berjalan.
“Kaki ni tak boleh dibalut macam ini
aje. Kena juga diurut. Kalau tak diurut, bila nak baiknya?” Perjelas Darwisy
selamba. Dengan harapan Damia akan faham dengan penjelasannya itu. Kalau balut
macam ni, belum tentu cepat baik.
Darwisy membuka balutan yang
membalut kaki Damia perlahan-lahan. Ulahnya itu diperhatikan sahaja oleh Damia.
Sesekali dia menelan liurnya. Entah mengapa hatinya tidak enak tatkala
mendengarkan kata-kata Darwisy itu. Urut? Mesti sakit gila.
“Tapi, saya dah makan ubat yang doktor
bagi. Nanti eloklah.” Teragap-agap Damia bersuara. Minta-minta dia terima apa
yang aku katakan. Tak sanggup aku nak melalui situasi yang menyakitkan itu.
“Makan ubat hanya untuk mengurangkan
rasa sakitnya aje. Lambat sikit nak baik. Kalau kita urut, cepatlah pulih
bengkak kaki awak ini.” Jelas Darwisy dengan panjang lebar. Mesti dia takut
sebab aku nak urut kaki dia.
Kaki Damia yang bengkak itu mula disapu
minyak urut yang telah diambilnya di dalam kotak kecemasan perlahan-lahan.
Sesekali Damia mengerutkan dahinya sambil menggigit bibir menahan rasa sakit
dan juga ngilu. Matanya tidak lari dari melihat ke arah kakinya yang diusap lembut
oleh Darwisy saat ini. Aduh, ini yang aku tak suka ni!!
“Sakit tak?” Damia menyoal dungu.
Harap-harap tak.
“Taklah.” Jawab Darwisy sepatah
sambil tersenyum. Takkan aku nak kata sakit pula? Kalau aku cakap pasti dia tak
mahu teruskan.
“Betul ke?” soal Damia lagi. Seakan
meminta kepastian dari pemuda itu. Boleh percaya ke dia ni?
“Betul.” Darwisy menjawab sepatah.
Seakan menyakinkan Damia akan kata-katanya itu. Dia tahu, dia tidak boleh
berterus-terang sangat dengan Damia tentang perkara itu. Bimbang nanti Damia
tidak akan bersetuju dengan cadangannya itu.
“Okay.” Balas Damia sepatah sambil
menganggukan kepalanya antara mahu dengan tidak. Takpe. Aku percayakan dia.
Kalau dia kata tak sakit, maknanya tak sakit.
Darwisy meneruskan misinya mengurut
kaki Damia. Damia menjerit sekuat-kuat hati apabila kesakitan mula menerpa. Kak
Ina yang sedang memasak di dapur, bergegas menerpa ke ruang tamu tatkala
mendengarkan jeritan Damia itu. Apabila melihatkan apa yang terjadi, dia
menggelengkan kepalanya perlahan. Iskh, budak-budak ni!! Aku ingatkan apalah
tadi. Buat terperanjatkan orang sajalah.
Darwisy menyembunyikan senyumannya
melihatkan ulah Damia itu. Bimbang jika Damia akan terlihat senyumannya nanti. Damia
memeluk erat patung beruangnya. Sesekali dia menjerit meminta tolong pada
Kimura yang berada di dalam pelukannya agar membantu. Sayangnya tidak sedikit
Drawisy endahkan. Darwisy menghentikan kerja-kerjanya apabila ianya telah
selesai. Tanpa sedar, di bibirnya terbit sekuntum senyuman manis melihatkan
ulah Damia itu. Kepalanya digelengkan perlahan-lahan. Mengalahkan budak kecil
dia ni. Lainlah kalau budak kecil. Ini dah besar macam ni pun tak tahan dengan
sakit. Sabar ajelah.
Damia mengelap air mata yang
mengalir. Tidak dia sangka bahawa proses mengurut yang dijalankan oleh Darwisy
amat menyakitkan sekali. Jika dia tahu, pasti dia tidak akan bersetuju dengan
cadangan lelaki itu. Tersedu-sedu dia menahan tangisnya. Kalau aku tahu, pasti
takkan aku teruskan. Aku lebih rela tahan sakit ni daripada benarkan dia
mengurut kaki aku.
“Sampai hati awak.” Ucap Damia sayu.
Air jernih yang membasahi pipi gebunya tanpa henti itu dikesatnya dengan
belakang tangan. Dia tipu aku.
“Memanglah sampai hati. Kalau tak
sampai hati, saya ni robot. Hanya robot saja yang tak punya hati dan perasaan
tau.” Balas Darwisy dengan selambanya. Tidak sedikit pun dia mengendahkan
tangisan Damia itu. Seakan tangisan Damia langsung tidak berjaya melembutkan
hatinya. Anak manja betul. Sikit-sikit menanggis.
“Orang cakap betul-betul dia
main-main pula.” Rengus Damia kecil. Bukan dia yang rasa sakit tapi aku.
Lainlah kalau dia yang rasa.
“Betullah saya cakap.” Sengaja dia
ingin mengenakan Damia. Sesekali kenakan dia ni, best juga.
Damia menarik muncungnya apabila
mendengarkan kata-kata Darwisy itu. Darwisy tersenyum lalu duduk kembali di sisinya.
Masih lagi kedengaran esak tangisan Damia. Wajah sayu itu kini menjadi tatapan
anak matanya. Manjanya dia. Rasa nak aje aku cubit pipinya yang gebu tu. Geram
pun ada bila tengok dia macam ni.
“Dahlah tu. Buruk tau kalau orang
tua menangis tau.” Usik Darwisy lagi. Dia nampak comel kalau macam ni. Suka aku
tengok dia.
“Saya belum tua lagi tau. Awak yang
buat saya menanggis.” Luah Damia sambil mencebikan bibirnya. Bukan nak pujuk
aku. Lagi nak sakitkan hati aku. Dah buat aku macam ni, pujuklah. Ini dia boleh
buat tak tahu aje.
“Bila masanya pula?” Nafi Darwisy
lembut. Kami jarang dapat bersama begini. Selalunya, kami akan buat hal
masing-masing. Seakan kami cuma teman serumah saja. Bukannya suami isteri.
“Masa awak urut kaki saya tadi. Awak
dah lupa? Awak kata tak sakit tapi sakit rupanya. Awak tipu saya.” Marah Damia.
Dalam baik rupanya aku telah diperbodohkan oleh dia.
Darwisy tergelak kecil sambil
menggelengkan kepalanya perlahan-lahan apabila mendengarkan kata-kata Damia
itu. Seakan kata-kata Damia itu berjaya mencuit hatinya. Seakan kata-kata Damia
itu satu bahan gurauan yang telah diperdengarkan oleh untuknya. Takkanlah aku
nak beritahu hal yang sebenarnya?
“Memang tak sakit pun. Awak tu yang
manja sangat.” Darwisy menarik hidung Damia yang sedikit mancung itu. Memang
dasar anak manja.
“Sakitlah!!” Jerit Damia kecil.
Pantas tangan Darwisy ditepisnya kuat. Suka sangat tarik hidung aku. Aku
lagilah tak suka orang pegang hidung aku. Dia dengan Dinie sama aje. Ingat
hidung aku ni untuk ditarik-tarik ke?
“Manja.” Kata Darwisy sepatah sambil
mencebikan bibirnya. Kenapalah aku rasa tenang ketika bersama dengan dia?
Seakan segala masalah yang timbul, hilang begitu saja. Seakan dia adalah
pengubat duka lara aku.
“Memang saya manja pun.” Balas Damia
sambil memeluk erat Kimura. Baru kau tahu ke yang aku ni manja? Selama ini kau
tak pernah nak ambil tahu langsung pasal aku. Aku aje yang terhegeh-hegeh pada
kau. Ada atau takde aku ni dalam hidup kau, sama aje. Takde bezanya.
Darwisy menggelengkan kepala
melihatkan ulah Damia. Entah kenapa hatinya benar-benar rasa terhibur dengan
ulah manja Damia itu. Seakan tidak mahu suasana yang ceria itu pergi dengan
begitu sahaja. Alangkah indahnya kalau kami sentiasa begini. Ada senda-gurau,
rajuk dan tangis.
“Dah jadi isteri orang pun masih
peluk teddy bear lagi ke?” sela
Darwisy. Macam budak-budak aje.
“Suka hati sayalah. Awak sibuk
kenapa? Saya tak kacau hidup awak pun, kan?” soal Damia selamba. Kenapa nak
kacau hidup aku?
“Sebab, umur macam awak ni tak
sesuai lagi dah dengan benda-benda macam ni semua. Bak sini benda ni.” Darwisy
menarik patung beruang yang berada di dalam pelukan Damia. Daripada peluk benda
ni, baik peluk aku. Ada juga faedahnya.
“Awak nak buat apa?” Marah Damia.
Makin kejap dia memeluk Kimura. Dia tidak mahu Darwisy mengambil Kimura dari
pelukannya. Saja nak cari pasallah tu.
“Saya nak letakkan dalam store. Tempatnya hanya layak di situ.” kata
Darwisy selamba. Sakit pula mata aku ni tengok dia peluk patung ni.
“Tak boleh.” Tegas Damia. Suka-suki
dia aje nak letak Kimura dalam store.
Kalau Kimura duduk dalam store, siapa
nak temankan aku tidur malam nanti?
“Kenapa pula?” tanya Darwisy hairan.
Dahinya berkerut seribu mendengarkan ucapan Damia itu. Apa istimewanya patung
ni pula?
“Ini hadiah hari lahir saya dari
Dinie. Dia yang belikan untuk saya. Kalau takde bear ni, saya tak boleh nak tidur malam. Awak tau tak?” jelas Damia
panjang lebar tanpa dipinta. Dapat pula kalau hujan. Siapa nak temankan aku?
Lainlah kalau kau nak temankan aku.
“Nanti saya belikan yang lain. Yang
lebih besar dari ni pun saya sanggup. Mahu?” pujuk Darwisy. Dia berharap agar
Damia termakan dengan pujukannya itu. Minta-minta dia setuju dengan cadangan
aku ni.
“Tak mahu. Kalau awak belikan yang
lain pun, ianya takkan sama dengan yang Dinie beri.” Tolak Damia selamba. Nanti
apa kata Dinie kalau aku letakkan Kimura di dalam store? Pasti Dinie akan berkecil hati dengan aku.
Darwisy terkedu seketika. Dia menghela
nafas panjang mendengarkan kata-kata Damia itu. Dia merenung wajah polos Damia
dalam-dalam. Dilihat gadis itu memeluk erat patung beruang tersebut. Seakan
tidak mahu melepaskannya walaupun seketika. Seakan tidak membenarkan sesiapa
pun mengambil patung berkenaan darinya. Apa istimewanya patung ni? Takkan hanya
semata-mata ia hadiah dari Dinie maka ia tidak boleh dilepaskan?
Hatinya sakit tiba-tiba melihatkan
ulah Damia itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia harus berperasaan sedemikian.
Tapi…siapa Dinie? Cemburu ke aku dengan dia? Dia kata, dia cintakan aku melebihi
dari segalanya tapi kenapa ada orang lain dalam hidup kami? Adakah cinta dan
sayangnya hanya wujud di bibir saja? Bukannya lahir di hati?
Lamunannya berkecai tatkala dilihat
Damia bangkit dari duduknya. Dengan langkah yang berjengkot-jengkot dia menapak
sambil membibit patung beruangnya. Aku kena pergi dari sini. Nanti dia akan
ambil Kimura dari aku.
“Awak nak kemana?” Darwisy menyoal hairan.
Mana pula dia nak pergi ni?
“Atas.” Damia menjawab sepatah.
Sebelum apa-apa terjadi, baik aku bawa Kimura lari. Itu jalan yang terbaik.
“Boleh jalan tak?” soal Darwisy
lagi. Hilang seketika persoalan siapa Dinie di hati Damia saat ini. Yang lebih
penting adalah keadaan Damia.
“Boleh kot.” Balas Damia perlahan.
Silap-silap nanti, mahu aku menanggis tak berlagu dibuatnya malam ni. Tak rela
aku.
Damia meneruskan langkahnya. Ulahnya
itu diperhatikan sahaja oleh Darwisy. Tidak jauh dia menapak, dia hampir
terjatuh tersungkur saat kakinya tersadung kerusi yang ada berdekatan. Namun,
sempat tubuhnya yang kecil itu disambut oleh Darwisy.
“Awak tak apa-apa?”
“I’m
okay.”
“Lain kali mintalah tolong orang.
Jangan nak sombong. Awak tu bukannya sihat sangat.” Bebel Darwisy perlahan. Geram
benar dia dengan ulah Damia itu. Dia ni memang degil. Entah degil siapa agaknya
yang dia ikut? Silap-silap degil abah dia.
Damia terdiam mendengarkan bebelan
Darwisy itu. Dia mula menarik muncungnya. Dia akui ada kebenaran kata-kata
tersebut. Tanpa di duga, Darwisy terus mendukungnya. Dia terkejut seketika.
Tidak sangka olehnya lelaki itu akan bertindak seberani itu. Apa hal pula
dengan dia ni?
“Awak buat apa ni? Turunkan
sayalah.” Marah Damia. Buat malu aje kalau orang nampak. Kalau Kak Ina nampak,
apa dia akan kata?
“Saya akan hantar awak ke atas.”
Terang Darwisy. Dah macam ni pun masih nak berdegil lagi. Sabar ajelah aku.
“Tapi…” Damia tidak jadi meneruskan
kata-katanya apabila Darwisy pantas mencelah. Mesti Kak Ina gelakkan aku nanti.
Mana aku nak sorokan muka aku ni?
“Cubalah dengar cakap saya ni. Jangan
asyik nak membantah aje.” Tegas Darwisy. Suka sangat membantah.
Damia terdiam mendengarkan kata-kata
Darwisy yang sedikit tegas itu. Sebenarnya dia malu dengan ulah Darwisy itu. Saat
itu dapat dirasakan bahawa wajahnya panas menahan malu. Darwisy meletakkannya
di atas katil perlahan-lahan. Walaupun telah berulang kali dia meminta agar
lelaki itu meninggalkannya di hadapan pintunya bilik sahaja. Bukannya dia tidak
boleh jalan untuk masuk ke dalam biliknya. Dia masih mampu lagi berjalan
walaupun dengan perlahan.
Darwisy tetap berkeras. Dia ingin
menghantar Damia hingga ke bilik. Ingin dia pastikan bahawa Damia selamat
sampai di katilnya. Dia tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku ke atas wanita
itu. Apa yang akan dia katakan kepada Dato’ Lufti dan Datin Afifah jika sesuatu
yang buruk berlaku ke atas anak kesayangan mereka?
“Awak perlukan apa-apa lagi ke?”
soal Darwisy sambil merenung wajah Damia. Tak sanggup pula tinggalkan dia dalam
keadaan macam ni.
“Tak.” Jawab Damia sepatah sambil
menggelengkan kepalanya. Kenapa dia baik sangat dengan aku hari ni?
“Kalau awak perlukan apa-apa, jerit
saja nama saya. Saya berada di bilik saya.” Arah Darwisy. Dia kini telah
menjadi tanggungjawab aku. Jadi aku harus menjaganya dengan sebaik yang boleh.
“Okay.” Damia menganggukan kepalanya
tanda faham dengan arahan Darwisy itu. Bukan dia sentiasa baik dengan semua
orang ke?
Darwisy berlalu pergi meninggalkan
Damia. Belum pun jauh kakinya melangkah, Damia menyeru lembut namanya. Pantas
dia menoleh.
“Terima kasih.” kata Damia lembut.
Lupa nak ucap terima kasih tadi.
“It’s
okay. Hari ini, hari awak. Esok atau lusa manalah tahu hari saya pula.
Boleh juga saya minta tolong dengan awak.”
“Boleh, apa salahnya. Untuk awak,
saya sanggup lakukan apa saja.” Damia tersenyum lebar. Termasuklah nyawa aku
sekali. Jika itu yang kau inginkan.
“Boleh saya tanya sesuatu?” soal
Darwisy tiba-tiba. Kenapa aku nak tahu akan semua itu?
“Apa dia?” soal Damia kembali. Wajah
kacak Darwisy direnungnya tanpa rasa bersalah. Dia nak minta ganjarannya ke?
“Siapa Kimura?”
“Kenapa?” soal Damia sepatah. Apa
kena-mengena Kimura dalam hal ni?
“Takdelah. Awak menjerit nama dia
masa saya urut kaki awak tadi.” Jujur Darwisy.
Damia tersenyum kecil mendengarkan
kata-kata Darwisy itu. Tidak dia menyangka bahawa itu yang akan ditanya oleh
Darwisy kepadanya. Difikirnya, Darwisy akan meminta sesuatu sebagai ganjaran
kerana telah membantunya sebentar tadi. Namun, dia silap. Cemburu ke dia dengan
Kimura?
“Come.
Sit here.” Arah Damia. Takkanlah dia nak cemburu dengan aku. Aku sedar
siapa aku di sisi dia. Langsung tak layak.
Dia menepuk ruang katil yang kosong
di sisinya. Seakan disihir, Darwisy mematuhi arahan yang diberikan oleh Damia
kepadanya. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Damia. Damia merenungnya
dalam-dalam sambil tersenyum. Wajahnya didekatkan dengan Darwisy. Dapat
dirasakan nafas lelaki itu menampar lembut wajahnya. Dia memang kacak. Tak
hairanlah kalau ada yang terpikat dengan kekacakannya.
Ulahnya itu berjaya membuatkan
Darwisy gugup. Jantungnya mula berdenyut pantas. Seakan mahu pecah dirasakannya.
Nafas yang diaturnya mula tidak tentu arah. Kenapa dengan aku ni?
“Awak cemburu, ya?” soal Damia
perlahan. Katakanlah ya, Darwisy. Aku ingin sekali mendengarnya. Walaupun ianya
hanya sekali.
“Cemburu? Tentang apa?” Darwisy menyoal
dungu. Cemburu ke aku dengan Kimura?
“Kimura.” Jawab Damia sepatah. Lagi
nak dinafikan. Cakap ajelah kau tu cemburu. Takde siapa yang akan gelakkan kau.
“Takde masa saya nak cemburu.” jawab
Darwisy dengan suara yang bergetar. Wajahnya dipalingkan dari merenung wajah
Damia. Kenapa aku rasa berdebar-debar setiap kali bersama dengan dia?
“Betul ni?” Duga Damia lagi. Yelah
tu. Boleh percaya ke?
Darwisy menganggukan kepalanya laju.
Sedikit pun dia tidak memandang wajah Damia. Jemarinya digengam erat agar dapat
menghalau keresahan yang melanda di hati. Damia memusingkan wajah Darwisy agar
menghadapnya. Senyuman manis dihadiahkan buat lelaki itu. Dapat dilihat dengan
jelas kekalutan yang terpamer di wajah lelaki yang dicintainya sepenuh hati.
Mana mungkin dia cemburu dengan aku. Mengarut betullah aku ni. Lainlah kalau
aku ni orang amat dicintainya sepenuh hati.
“Jadi, awak nak kenal dengan Kimura lah?”
tanya Damia lagi. Boleh aje.
Sekali lagi Darwisy menganggukan
kepalanya bagi menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Damia. Sememangnya dia
ingin sangat kenal dengan Kimura itu. Dapat dirasakan bahawa lelaki itu telah berjaya
merampas cinta Damia darinya. Hebat sangat ke lelaki itu sampai sanggup rampas
cinta dia dari aku?
“Okay.” Luah Damia tenang. “Encik Darwisy
Malik, saya kenalkan awak dengan Kimura. Kimura, ini Darwisy Malik. Dia, hubby saya.” Dengan wajah yang tidak
bersalah, Damia memperkenalkan Darwisy dan Kimura. Kimura pun dah lama nak
kenal dengan dia tapi tak kesampaian.
Darwisy tergamam seketika. Wajah
Damia dan Kimura yang berada di dalam tangan Damia direnungnya silih berganti. Seakan
tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi. Terkebil-kebil
matanya melihatkan situasi tersebut. Melihatkan dia yang kelu seribu bahasa,
Damia kembali bersuara.
“Inilah Kimura yang awak nak kenal
sangat tu.”
“Bear
ni, Kimura?” soal Darwisy lambat-lambat. Biar betul.
Damia menganggukan kepalanya pantas
tanda menjawab pertanyaan Darwisy itu. Sesekali dia melirik ke arah Kimura yang
berada di dalam gengamannya. Dah tu kau ingat siapa Kimura tu? Boyfriend baru aku? Takde maknanya.
“Tapi kenapa nama ia macam nama
Jepun?” Darwisy menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pelik betullah dia ni.
“Memang nama Jepun pun.” Jawab Damia
tanpa rasa bersalah.
“Maksud awak?”
“Saya peminat pelakon Jepun. Namanya
Takuya Kimura. Jadi, saya namakan bear ni sempena nama pelakon tu. So, wujudlah Kimura.”
Darwisy menganggukan kepalanya tanda
faham. Seakan faham dengan penjelasan yang diberikan oleh Damia itu. Patung
rupanya. Aku ingatkan dia bercinta dengan orang Jepun tadi. Buat malu ajelah
aku ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan