Halaman

Isnin, 2 September 2013

Kasih Jangan Kau Pergi 2

QUE berdiri tegak di hadapan pintu yang tertulis ‘PENGURUS’. Dadanya mula terasa berdebar-debar seketika. Dia tahu yang dia bakal dimarahi oleh Encik Osman sebentar nanti. Perlahan-lahan dia menadah tangannya untuk berdoa. Berdoa semoga Encik Osman tidak akan memarahinya dan berlembut hati dengannya hari itu.
            Ya ALLAH, minta-minta Encik Osman tak anginlah dengan aku sekejap lagi. Aku mohon sangat-sangat pada MU. Aku tahu yang aku bersalah sebab selalu sangat datang lambat dan menyusahkan orang tua tu tapi…KAU sejukkan dan lembutkanlah hati dia. Hanya pada KAU saja tempat aku meminta. Aku janji lepas ini aku takkan lewat lagi.
            “Kau baca doa apa tu, Que?” soal Diana tiba-tiba. Panjangnya doa dia.
            Kusyuk benar dia melihat Que membaca doa sehingga tidak sedar dia telah pun berdiri di belakang gadis itu. Que pantas menolehkan wajahnya tatkala mendengarkan suara itu. Terlayar di hadapan matanya akan wajah bersih Diana. Terkejut dia seketika melihatkan Diana di situ. Pantas dia mengurut dadanya. Kalau hari-hari macam ni, mahu aku mati terkejut aje dibuatnya dia ni.
            “Iskh, kau ni! Memang sengaja nak bagi aku sakit jantung, kan?!” marah Que. Adoyiii!!! Apalah dosa aku dapat kawan macam dia ni?
            “Kenapa pulak?” soal Diana dungu. Salah ke soalan aku tadi?
            “Yelah. Lama-lama aku boleh mati terkejut disebabkan kau, tahu tak?” tegas Que. Nasib baiklah kau ni kawan aku. Kalau tak, ada yang makan pelempang percuma aje dari aku pagi ni.
            “Kenapa aku pulak?” soal Diana lagi tanpa rasa bersalah. Aku ada buat salah ke tadi?
            “Sebab…kau suka sergah-sergah aku macam ni.” tegas Que. Kalau tak faham jugak, tak tahulah aku.
            “Sorry.” Luah Diana sepatah. Manalah aku tahu dia terkejut dengan aku.
            “Sorry naik lorilah.”
            “Kau baca doa apa tadi? Bukan main panjang lagi aku tengok.” soal Diana. Sengaja dia menukar tajuk perbualan di antara mereka berdua. Bimbang juga andainya ia akan berlarutan.
            “Iskh, sibuklah kau ni! Semuanya nak tahu. Dia ada kat dalam ke?” Buzy body betul. Semua benda nak ditahunya.
            Diana menganggukan kepalanya pantas bagi menjawab pertanyaan Que itu. Que menghela nafas panjang sebelum mengetuk pintu bilik tersebut. Dia melangkah masuk tatkala mendapat arahan daripada Encik Osman. Dengan langkah lambat-lambat, dia mendekati meja yang diduduki oleh Encik Osman.
Saat itu, dadanya berdebar dengan begitu kencang secara tiba-tiba tatkala terpandangkan susuk tubuh Encik Osman yang sedang duduk membelakangkannya. Minta-minta mood dia baik hari ini. Janganlah macam hari yang sudah-sudah tu.
            “Assalammualaikum, boss. Boss nak jumpa dengan saya ke?” soal Que lembut. Harap hati dia lembut sikit bila dengar salam aku tu.
            Malangnya, tiada balasan daripada lelaki tua itu. Dia resah seketika. Encik Osman tidak pernah bersikap sedemikian rupa dengannya. Jika orang tua itu ingin memarahinya, dia akan meluahkannya begitu sahaja tanpa menghiraukan perasaan Que atau sesiapa sahaja. Tidak kiralah pekerja yang berjawatan sepertinya mahupun pekerja yang berjawatan tinggi daripadanya. Apa kena pulak dengan orang tua ni?
            Que kembali bersuara apabila melihatkan Encik Osman yang hanya mendiamkan diri tanpa sepatah bicara. Seakan kebisuan lelaki tua itu menggigit tangkai hatinya tatkala ini. Topi berjenama Nike yang tersarung di kepalanya, diperbetulkan agar tampak kemas. Semacam aje orang tua ni. Sakit ke? Tak pun meroyan tahap cipan nak beranak kembar sepuluh.
            “Saya mintak maaf boss sebab saya datang lambat lagi pagi ni. Mo…Mo…Motor saya buat hallah pulak pagi ni.” jelas Que teragap-agap. “Boss sendiri tahukan yang saya pergi balik kerja dengan motor kapcai saya tu. Kalau takde motor tu, macam mana saya nak kerja.” Tenang Que berkata. Minta-minta dia terima alasan aku yang maha bangang ni.
            “Patah kaki tu. Takkan saya nak hantar surat naik bas pulakkan? Tapi macam peliklah pulak kalau saya hantar surat naik bas.” Sambung Que lagi dengan selambanya. “Ada ke boss, dispatch macam saya ni hantar surat naik bas? Takde, kan?” seloroh Que. Mahunya setahun aku kena gelak dengan Melon dan Candy. Tak sanggup aku, babe.
            Namun tidak sedikit pun soalan yang telah diajukan oleh Que itu dijawab oleh Encik Osman. Malah, lelaki tua itu tidak sedikit pun memalingkan wajah untuk menghadapnya barang seketika. Que menelan liurnya melihatkan ulah Encik Osman yang maha pelik tahap petala kelapan itu. Apa ke hal pulak dengan orang tua ni? Sakit tekak ke dia pagi ni? Tak pun buang tebiat. Se-lalunya tak pulak macam ni. Payah jugak kalau macam ni.
            “Okaylah, boss. Saya mintak maaf. Saya tahu saya salah tapi saya janji dengan boss yang saya takkan buat lagi. Itu pun kalau motor kesayangan saya tak buat hallah, kan. Kalau motor saya buat hal, saya tak boleh buat apa-apa. Lainlah kalau boss dengan murah hatinya nak tukarkan dengan motor baru.
Ha!! Waktu tu, sebelum Subuh saya dah terpacak dekat sini. Tak payah boss nak pening-pening kepala lagi melayan karenah saya.” Ujar Que selamba. Dia nak belikan aku motor baru…takde maknanya. Orang tua ni kedekut nak mati. Tukar kereta ada pula duitnya. Dasar tangkai jering.
            Diana melangkah masuk sambil membawa sekeping fail berwarna kuning cair. Sekuntum senyuman manis dihadiahkan buat Que sebelum mendekati meja Encik Osman. Fail yang berwarna kuning cair itu diserahkan kepada Encik Osman yang masih lagi membelakangi Que seperti tadi.
            “Ini dia fail yang encik minta tadi.” Ujar Diana lembut dan sopan. Pasti dia akan terkejut sebentar nanti.
            Fail kuning cair itu mula bertukar tangan. Perlahan-lahan lelaki itu menyelak fail yang telah diberikan oleh Diana kepadanya satu per satu. Segala butiran yang terdapat di dalam fail itu dibacanya dengan teliti. Tiada satu pun yang terlepas daripada pandangan matanya tatkala ini. Kerja dia boleh tahan cuma kedatangan dia saja yang tidak memuaskan.
            Pandangan Diana dan Que saling bersatu saat ini. Hanya bahasa mata sahaja yang menjadi penghantaran di antara mereka berdua saat itu. Kenapa? Soal Que. Dia inginkan jawapan dari Diana. Dia tahu Diana pasti tahu serba sedikit apa yang telah terjadi. Aku tak tahu, jawab Diana sambil mengangkat bahu. Sesekali dia menggeleng kepala perlahan.
            Takkanlah kau tak tahu, soal Que lagi dengan menjenggilkan matanya. Seakan jawapan yang diberikan oleh Diana itu tidak memuaskan langsung hatinya kala ini. Diana menjulingkan matanya, memang aku tak tahu. Que menggigit bibirnya sambil mengecilkan matanya yang bundar itu apabila melihatkan jawapan yang telah diberikan oleh Diana.
Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Apa pun tak bolehlah minah ni. Semuanya dia tak tahu. Entah apa yang dia tahu agaknya, tak aku tahu. Nama aje sengetary. Lang-sung tak boleh harap.
            “Betul ke apa yang awak cakap tadi?” soal lelaki itu tenang. Atau dia sengaja mahu beri alasan supaya aku percayakan dia?
            Lelaki itu memalingkan wajahnya sambil menghadap wajah Que. Que terkedu seketika. Wajah lelaki di hadapannya ditatap dalam-dalam. Terlopong mulut Que melihatkan lelaki kacak itu. Siapa pulak mamat ni? Bila masa pulak boss aku yang tua kerepot nak mampus tu bertukar menjadi muda belia? Pakai susuk ke hapa orang tua ni? Tak pun dia cucuk botox kat muka dia. Sebab tu nampak muda semacam aje.
            Lelaki itu merenung lembut ke arah wajah Que yang tergamam tatkala melihatkan dia di situ. Diana tertawa kecil sambil menutup mulut melihatkan ulah Que itu. Dia tahu Que terkejut dengan apa yang terjadi. Itulah yang ingin diterangkan kepada Que sebelum Que melangkah masuk ke dalam menemui ketua baru mereka.
Semua pekerja di situ telah dimaklumkan akan kehadiran ketua baru tersebut bagi menggantikan Encik Osman yang telah pun bersara minggu lepas. Dia amat pasti Que juga tahu dan gadis itu terlupa akan perkara tersebut. Malangnya, Que asyik sahaja memotong kata-katanya. Sehinggakan dia tidak berpeluang langsung untuk memberitahu kepada sahabatnya itu akan kedatangan Pengurus yang baru. Terkejutlah tu.
            “Tutup mulut awak itu. Masuk lalat nanti, susah pula saya.” Luah lelaki tersebut selamba. Macam nampak hantu pula dia.
            Pantas Que menutup mulut dengan jemarinya. Tidak dia sangka bahawa aksi spontannya itu telah diketahui oleh ketua barunya itu. Matanya merenung ke arah Diana yang masih lagi menahan gelak. Kurang asam jawa punya kawan. Dia gelakkan aku. Siap kau. Lepas ni kau pulak yang kena dengan aku. Kita tunggu dan lihat.
            “Diana…awak keluar dulu.” Arah ketuanya sedikit tegas.
            “Baik, Encik Irfan.” Akur Diana lembut. Mesti dia angin dengan aku sekejap lagi.
            Diana masih lagi tersengih tatkala melintasi Que. Que mengetap bibirnya sambil menjengilkan matanya ke arah Diana. Ulah mereka berdua itu hanya diperhatikan sahaja oleh Irfan dengan ekor mata. Sehinggalah Diana hilang dari pandangan matanya. Sesekali dia menggelengkan kepalanya. Macam budak-budak perangainya.
            “Betul ke apa yang awak cakapkan tadi?” soal Irfan kembali sambil menyandarkan tubuhnya yang tegap dan sasa itu ke kerusi yang didudukinya dengan tenang.
            Que tersentak kecil tatkala mendengarkan suara garau itu. Pandangannya dihalakan ke arah lelaki muda yang berada di hadapannya kini. Dilihat Irfan sedang tersandar tenang di kerusinya. Adoyiii!!! Betul-betul masalah problemlah! Macam manalah aku boleh terkantoi dengan dia ni pulak?
            “Saya cakap apa tadi boss?” soal Que selamba. Aku lupalah apa yang aku cakap tadi.
            “Aik, takkan awak dah lupa apa yang awak cakapkan tadi?!” Jawapan yang diingini tetapi soalan pula yang di berikan oleh Irfan kepadanya. Lupa atau sengaja lupa?
            “Setahu saya, saya cakap banyak tadi boss. Saya tak tahu yang mana satu boss maksudkan.” Jujur Que bersuara. Janganlah kau tuntut janji aku tu. Tolonglah!!! Aku takut yang aku tak boleh tunaikan janji aku tu.
            “Tentang kedatangan awak.” Irfan mengingatkan Que kembali. Ada masalah ingatan apa budak ini?
            “Oooo…pasal tu.” Que menganggukan kepalanya. “Mungkin kut.” Que menjawab perlahan. Aku ingatkan pasal apalah tadi. Cuak jugak aku hehehe!!!
            “Kut?” Irfan merenung Que. Macam tak confident aje jawapannya.
            “Tak. Maksud saya, kalau motor saya okay, cepatlah saya datang tapi kalau motor saya KO, faham-faham sendiri dahlah.” Ujar Que selamba. Takkan itu pun aku nak bagitahu pada kau kut. Sendiri fikirlah, der.
            “Bukan sebab…awak bangun lambat ke yang buat awak lambat sampai hari ini?” teka Irfan. Lagi nak tipu aku. Macamlah aku tak tahu trick orang macam dia ini.
            “Eh, tak! Motor saya problem, boss.” Pantas Que menjawab. Dia ni macam tahu-tahu aje yang aku tipu dia.
“Betul ini?” Tenang Irfan menyoal. Faham sangat dah dia punya trick.
            Sekali lagi dengan pantas Que menganggukan kepalanya tanpa memikirkan akan natijah yang akan dia hadapi sebentar lagi. Dia amat yakin bahawa dia dapat menipu Irfan di kala itu. Irfan adalah Pengurusnya yang baru. Sudah pasti Irfan tidak akan tahu tipu helah yang dimainkannya itu. Moga-moga dia percaya dengan apa yang aku cakapkan ni.
            “Okay. Saya percayakan awak.” Ucap Irfan lembut. “Tapi awak kena ingat satu saja. Awak boleh tipu saya dan juga teman-teman awak yang ada di luar sana tapi awak tak boleh tipu ALLAH. Hanya DIA saja yang tahu akan kebenarannya.”
            Sengaja Irfan bermain psikologi dengan Que. Dia amat pasti yang Que akan mengakui akan kelewatannya hari ini. Que menelan liurnya apabila mendengarkan kata-kata yang lahir dari bibir Irfan itu. Bibirnya diketap kuat. Tidak dia menyangka sama sekali helahnya itu dapat dihidu oleh lelaki tersebut. Iskh, macam manalah mangkuk tingkat ni boleh tahu aku tipu dia? Apa dia ni ahli nujum negara ke?
            “Okaylah…Okaylah. Saya bagitahu. Saya lewat bangun pagi ni. Puas hati?” jerkah Que kasar. Dia ni lebih teruk dari Encik Osman. Orang tua tu takdelah seteruk dia ni.
Sakit pula hatinya dengan ulah Irfan itu. Disebabkan lelaki itu, dia akhirnya mengalah jua. Tidak dia menyangka sama sekali bahawa lelaki itu bisa memerangkapnya. Iskh, sengaja nak mengenakan akulah tu!
            Irfan tersenyum manis tatkala mendengarkan pengakuan jujur dari Que itu. Dia tahu, Que pasti akan mengalah dengannya. Hakikatnya dia memang sengaja mengenakan gadis tersebut. Ingin dilihat sejauh mana gadis itu akan menipunya. Dengan aku nak tipu…sorrylah. Aku dah faham sangat dengan taktik orang macam kau.
            “Mengaku dari tadi kan ke senang! Tak payah nak bagi alasan motor awak rosaklah. Jam loceng awak tak kejutkan pagi tadilah. Tayar motor pancitlah, kan? Kalau motor itu rosak betul-betul macam mana? Awak juga yang susah, kan? Bukan saya ataupun orang lain.” pujuk Irfan lembut. Ini, lagi nak menipu. Sabar ajelah aku dengan dia ini.
            “Motor tu pun selalu rosak, boss. Takde nak hairan pun.” Alasan Que. Lainlah kalau motor baru. Takdelah alasan aku nak bagi kau.
            “Awak tahu tak, Iwana? Setiap apa yang keluar dari mulut kita ini adalah satu doa. Bila awak kata yang motor awak itu rosak, menandakan yang awak mendoakan motor awak rosak.” Nasihat Irfan lembut. Ada saja alasan yang dia berikan supaya orang percayakan kata-kata dia. Pening juga aku nak melayannya.
            Que merenung wajah Irfan. Dia terpaku seketika. Bukan disebabkan oleh nasihat yang baru sahaja diluahkan oleh pemuda itu tetapi nama yang baru sahaja meniti dibibir lelaki itu. Telah agak lama dia tidak mendengar sesiapa pun memanggilnya dengan nama itu. Kebanyakan teman-teman lebih suka memanggilnya dengan nama Que berbanding dengan nama tersebut.
Kenapalah nama tu yang kau gunakan? Kenapalah tak kau panggil aku seperti mana mereka semua panggil aku? Aku lagilah nak lupakan kenangan-kenangan lama tu tapi kau seakan-akan kembalikan semula ingatan aku pada orang yang aku sayang. Pada orang yang aku rindu.
            Hanya umi dan opahnya sahaja yang akan memanggilnya dengan nama tersebut. Ayahnya? Telah lama dia luputkan wajah dan nama lelaki itu dari hidupnya. Lelaki itu ada ataupun tiada, ianya tetap sama sahaja. Ianya tidak akan dapat mengembalikan sesuatu yang telah lama hi-lang dalam hidupnya. Umi…Opah…Iwana rindukan kalian.
            “Boss panggil saya ni apa hal? Saya ada banyak lagi kerja kat luar tu.” Que menyoal mendatar.
            “Mulai daripada hari ini, saya adalah ketua kamu yang baru. Nama saya Irfan Ahmad. Awak boleh panggil saya, Irfan sahaja. Saya akan menggantikan Encik Osman yang telah bersara minggu lepas.” Ujar Irfan tenang. Orangnya cantik tapi sayang sama sekali, dia tomboy.
            “Ada aku kesah.” Luah Que perlahan. Peduli hapa aku? Kau ada ataupun tak, langsung takde kena-mengena dengan aku pun. Kerja aku jalan jugak.
            “Awak cakap apa?” soal Irfan hairan. Dia ada cakap something ke tadi?
            “Takde apa-apa. Saya tanya, ada benda yang boss nak saya hantar hari ni ke?” Que menukar tajuk perbualan di antara mereka berdua. Fuh, nasib baik dia tak dengar! Kalau tak, mahunya aku kena tendang keluar dari sini.
            Irfan menghela nafas panjang dengan ulah Que itu. Sesekali dia menggelengkan kepalanya perlahan. Dia cuba sedaya upaya untuk bersabar dengan karenah-karenah yang ditunjukkan oleh Que. Gadis itu tampak kasar di luar tetapi sebenarnya dalamannya tetap lembut. Ianya dapat dilihat melalui raut wajahnya yang tenang itu.
            “Saya dah teliti fail awak. Saya lihat, kerja-kerja awak amat memuaskan. Malah Encik Osman sendiri cukup berpuas hati dengan setiap kerja-kerja awak. Cuma yang tak memuaskan saya adalah kedatangan awak. Bukan saya saja, Encik Osman pun cakap begitu. Saya dapati awak selalu datang lewat. Kenapa? Ada masalah?” Irfan merenung wajah Que dengan lembut. Apa sajalah masalah budak ini?
            “Bukan ke saya dah kata tadi, motor saya.” Jawab Que antara mahu dengan tidak. Sesekali dia membetulkan topi yang tersarung cantik di atas kepalanya. Dia ni tak faham bahasa ke apa? Nak aku cakap bahasa Sepanyol agaknya baru dia faham.
            “Kalau saya tukarkan motor itu dengan yang baru macam mana?” cadang Irfan. Kita lihat reaksi dia macam mana. Setuju ataupun tidak?
            “Mengarutlah boss ni!” Rengus Que kasar. Datang pulak baiknya hati dia nak tukarkan motor aku tu. Buang tebiat apa mamat ni?
            “Apa pula mengarutnya? Ini untuk kesenangan syarikat juga, kan?” pancing Irfan lagi. Macam tak setuju aje.
            “Ikut suka bosslah. Duit boss, bukan duit saya pun. Lainlah kalau duit saya. Boleh jugak saya fikir lima, enam kali nak menukarnya.” Ujar Que selamba. “So, takde apa-apa lagi, kan? Kalau takde, saya keluar dulu. Kerja saya berlambak kat luar tu.” Malas aku nak layan mamat ni. Buat sakit otak aku aje.
            Irfan menggelengkan kepala melihatkan ulah Que itu. Pemergian Que hanya dihantar dengan pandangan sahaja. Sehinggalah gadis itu hilang di sebalik pintu biliknya. Belum habis lagi aku cakap, dia dah keluar. Hai!! Macam manalah Encik Osman boleh tahan dengan perangai dia ini? Sabar ajelah. Ini baru dia. Belum tahu lagi dengan yang lain.

Tiada ulasan: