Halaman

Rabu, 7 Mei 2014

Kasih Jangan Kau Pergi 10


Aku tak sanggup jauh darimu, kerna kau yang membuat aku menyayangimu.

QUE melemparkan pandangannya ke serata alam dari balkoni rumah pangsa yang disewanya. Di rumah pangsa yang sempit itulah, mereka tinggal seramai tiga orang. Dia, Candy dan juga Melon. Itu pun dia tetap rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya dia dan juga teman-temannya punya tempat untuk berlindung dari hujan mahupun panas. Terima kasih ALLAH.
            Pandangannya dihalakan ke arah dada langit yang dihiasi oleh taburan bintang-bintang yang bergemelapan bagaikan butiran permata. Dia tersenyum kecil seketika. Teringat akan dia lagu yang selalu uminya nyanyikan sewaktu dia masih kecil. Lagu kanak-kanak Twinkle Twinkle Little Star mula bermain-main di ruangan kepalanya saat ini. Rindunya aku dengan suasana tu. Rindu nak dengar suara umi.
            Sang bayu yang berpuput lembut menampar wajahnya yang bersih tanpa sebarang jerawat itu. Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia mengeluh sebegitu. Seakan dia sedang menanggung sesuatu yang begitu berat sekali.
            “Woit!! Apa yang kau menungkan iu?” Candy menampar lembut bahu Que. Leka benar dia melihat Que mengelamun. Macam orang memikirkan masalah negara aje lagaknya.
            “Takde apalah, Candy. Saja menghayati keindahan alam ciptaan ALLAH.” Ujar Que lembut. Aku pun tak tahu apa yang aku menungkan, Candy.
            “Sejak bila pulak kau pandai berfalsampah bagainya ni?” usik Candy lagi. Kuat sakit kawan aku ni.
            “Sejak kau keluar dari hospital ni.” Que menjawab selamba sambil tersengih. Aku pun tak tahu sejak bila aku jadi macam ni.
            Candy turut tersengih mendengarkan kata-kata Que itu. Dia menghulurkan mug yang telah berisi milo panas yang baru sahaja dibancuhnya kepada Que. Que mengucapkan terima kasih sambil menyambut huluran tersebut. Perlahan-lahan dia menghirup milo panas itu.
            “Mana dak Melon? Dari tadi aku tak nampak pun dia.” Soal Que. Macam biskut sungguh minah seorang ni. Pantang cuti, hilang aje kerjanya.
            “Mana lagi…keluarlah. Kau macam tak tahu pulak budak tu. Dia mana nak lekat kat rumah ni. Asyik keluar aje kerjanya.” Rungut Candy. Cubalah sesekali tu duduk kat rumah ni. Buat kerja yang berfaedah sikit.
            Que amat maklum sangat dengan perangai Melon nan satu itu. Sahabatnya itu pantang sekali ada masa yang terluang. Ada sahaja tempat dan aktiviti-aktiviti yang akan dilakukannya. Mereka berdua pasti Melon tidak akan melakukan aktiviti-aktiviti yang kurang sihat.
            “Kau tak keluar ke?” Que menoleh seketika ke arah Candy yang berada di sebelahnya.
            “Malaslah aku. Lagipun, aku takde mood. Kau?” soal Candy kembali.
            “Same like you.” Jawab Que manja. Nak keluar kemana? Takde arah tujuan.
            Candy tertawa kecil mendengarkan kata-kata Que itu. Dia tahu itulah jawapan yang akan diberikan oleh Que kepadanya. Que hanya akan keluar daripada rumah itu jika dia punya hal untuk diselesaikan sahaja. Tidak kiralah samada hari cuti mahupun malam minggu. Que lebih gemar menghabiskan masanya di rumah sahaja berbanding di luar sana.
            Dahulu, dia cukup hairan dengan cara hidup sahabat yang baru dikenalinya itu. Dia rasakan bahawa Que merupakan seorang gadis yang pelik. Gadis itu lebih suka menghabiskan masa lapangnya di hadapan televisyen daripada keluar daripada rumah tersebut. Dia hanya akan keluar jika Sweet mengajaknya keluar ataupun jika dia punya urusan yang perlu diselesaikan. Jika tidak, sehari suntuk dia sanggup duduk di hadapan televisyen. Kalau tidak pun dia akan menghabiskan masanya dengan membaca ataupun tidur.
            Selama hampir tiga tahun mengenali Que, barulah dia tahu akan perangai Que yang sebenarnya. Di awal perkenalan, dia selalu fikirkan bahawa Que seorang gadis yang sentiasa suka berpeleseran di kelab-kelab ataupun menghabiskan masanya dengan lumba haram yang sering disertainya. Melon juga begitu. Tak sangka pulak yang telahan aku tu jauh sekali sasarannya.
            Dia bukanlah manusia yang suka mengambil tahu apa yang teman-teman serumahnya lakukan. Masing-masing hidup dalam dunia mereka tersendiri tetapi mereka bisa berbincang apa sahaja untuk saling bertukar pendapat di antara satu sama lain. Buka sahaja topik, pasti berbagai pendapat yang akan diterimanya. Antara mahu terima ataupun tidak sahaja oleh akal fikiran mereka.
            “Kau tahu tak, Candy? Aku selalu berangan.” Ucap Que, memecah kesunyian di antara mereka berdua. Kelakar jugak bila aku fikirkan balik apa yang aku angankan ni.
            “Tentang apa?” Candy menoleh ke arah Que. Suka sangat berangan minah ni.
            “Kalau suatu hari nanti aku jadi kaya.” Selamba sahaja Que berkata. Macam bodoh saja angan-angan aku ni. Mana mungkin aku jadi kaya. Lainlah kalau aku ni dilahirkan sebagai anak orang kaya. Bolehlah nak berangan bagainya.
            “Iskh, kau ni! Macamlah takde benda lain yang kau hendak angan-angankan ya.” Candy menggelengkan kepalanya. Cubalah angan-angan macam mana nak berjaya dalam hidup ni ke. Sedap sikit aku mendengarnya.
            “Dah nama pun angan-angan, Candy. Umi aku cakap, kita tak perlu bayar setiap apa yang kita angan-angankan. Tak kiralah baik mahupun buruk. Ianya percuma. F.O.C, my dear.” Jelas Que dengan panjang lebarnya. Lainlah kalau kena bayar. Aku pun tak mahu berangan bagainya macam tu sekali.
            “Betul jugak kata-kata kau tu.” Candy menganggukkan kepalanya perlahan-lahan. “Apa yang akan kau buat kalau kau jadi kaya, Que?” Sambung Candy lagi.  Ingin juga dia tahu apa yang akan dilakukan oleh sahabatnya itu. Entah-entah dia nak buka syarikat sendiri barangkali. Siapa tahu apa yang dia inginkan dalam hidup ni. Boleh jugak aku dan Melon tumpang senang.
            “Mula-mula sekali, aku nak pergi tunaikan umrah. Sampai saja kat sana nanti, aku nak upah orang untuk buatkan haji bagi umi dan opah aku. Okay tak?” Que merenung wajah Candy sambil menaikkan ibu jarinya. Itu impian aku selama ni. Entah dapat ataupun tak, aku tak tahu. Semuanya kuasa ALLAH.
            “Ermm…okay jugak tu. Aku sokong sangat-sangat.” Candy melabuhkan punggungnya. “Kau nak pergi seorang aje ke?” Bagus jugak idea dia ni. Tak terfikir pulak akal aku yang sempit ni.
            “Iskh, kau ni! Dah tentu-tentulah aku ajak engkau dengan dak Melon sekali. Takkanlah aku nak pergi seorang aje.” Que melabuhkan punggungnya di sebelah Candy. Apalah dia ni! Alang-alang nak buat baik, biar buat baik dengan semua orang sekali.
            “Kenapa mesti aku dan Melon?” soal Candy hairan. Kenapa tak dengan orang lain?
            “Kau dan dak Melon kan ke kawan aku. Mestilah aku ajak kau orang berdua. Takkanlah aku nak ajak orang lain pulak.” Que menghela nafas panjang. Takkan itu pun aku nak kena bagitahu bagainya dengan dia.
            Que menggelengkan kepalanya perlahan-lahan. Sesungguhnya, itulah hajatnya. Dia akan membawa Candy dan juga Melon bersamanya jika apa yang dia angankan menjadi kenyataan. Mana mungkin dia berbuat sedemikian rupa. Dia bukannya orang kaya. Dia hidup di atas muka bumi ini pun dengan sekadar yang ada sahaja tetapi dia tetap bersyukur.
            “Sweet dan Eysa…kau tak mahu ajak sekali ke?” duga Candy. Takkanlah dia hanya nak bawak aku dan Melon aje.
            “Mereka berdua tu masih dalam pertimbangan aku.” Que mengetuk-getuk dagunya dengan jemarinya runcing. Perlu ke aku bawa mereka sekali?
            “Kenapa pulak?
            “Dak Eysa tu mungkin aku akan bawak sekali dengan Mak Piah tapi dak Sweet…” Que tidak jadi meneruskan kata-katanya. Nak bawak sekali ke minah tu? Rasa macam tak payah aje.
            Entah mengapa tatkala membicarakan tentang gadis yang dipanggilnya Sweet itu, hatinya begitu tersentuh sekali. Bukan baru sehari dua dia mengenali gadis itu tetapi telah bertahun. Dia mengenali gadis itu setelah dia mengenali Candy dan juga Melon. Entah mengapa dia berasa jelek dengan perangai gadis itu sejak akhir-akhir ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia bisa berperasaan sedemikian rupa.
            Sweet seorang gadis yang menjadi idaman setiap lelaki. Bukan sepertinya yang kasar bagaikan seorang lelaki. Yang membuatkan dia jelek dengan Sweet cuma satu iaitu perangai Sweet. Gadis itu suka bermuka-muka. Di hadapannya, gadis itu bisa menjadi seorang gadis yang manja dan pandai menggoda tetapi di belakangnya, Sweet suka mengata dan memburukkannya. Bukan dia tidak tahu semua itu. Cuma dia malas ingin membesarkan sesuatu yang baginya tidaklah penting mana pun. Dia bukan kisah sangat pun.
            Melon dan Candy cukup tidak sukakan dia bersahabat dengan Sweet. Pernah juga Candy dan Melon meluahkan isi hati mereka kepadanya. Apa yang boleh dia buat, hanyalah dengan mendiamkan diri sahaja.
            “Kenapa dengan Sweet?” pancing Candy. Mereka berdua bergaduh ke?
            Que terdiam. Tidak sedikit pun dia berkutik untuk menjawab pertanyaan yang telah diajukan oleh Candy kepadanya sebentar tadi. Dia menghela nafas panjang seketika. Sesekali dia meneguk air milonya yang telah mula suam itu. Ulahnya hanya diperhatikan sahaja oleh Candy.
            “Kau gaduh dengan dia ke?” duga Candy. Macam ada yang tak kena aje mereka berdua ni. Entah-entah mereka bergaduh.
            “Takdelah.” Balas Que perlahan. Malas aku nak cerita pasal dia.
            “Dah tu?”
            “Boleh tak, kita cerita pasal benda lain? Aku tak mahulah cerita pasal dia, Candy.” Pinta Que. Dia meraup rambutnya seketika. Aku nak lupakan dia untuk seketika, Candy.
            Sesekali dia mendongakkan kepalanya merenung dada langit yang kelam.
            “Apa lagi yang akan kau lakukan kalau kau jadi kaya?” Candy menukar tajuk perbualan di antara mereka berdua. Mesti mereka bergaduh ni.
            Jika Que malas membicarakan hal sedemikian pasti ada sesuatu yang telah terjadi di antara mereka. Tiga tahun bersama, dia mula faham akan perangai sahabat baiknya itu. Que akan mendiam diri jika dia tidak suka berbicara mengenai sesuatu. Ataupun, dia akan cuba mengelakkan diri daripada melepaskan kemarahannya pada orang lain. Pelik sungguh perangai kawan aku ni.
            “Aku akan merealisasikan impian kau.” Ucap Que selamba. Okay tak idea aku tu?
            “Kenapa pulak impian aku? Sepatutnya impian kau. Bukannya impian aku.” Candy menggelengkan kepalanya. Yang ni memang benar-benar pelik!
            “Kau dah lupa? Impian kau, impian aku jugak.” Que tersenyum manis. Itu pun andainya aku dapat merealisasikan impian kita, Candy.
            Candy tersenyum nipis tatkala mendengarkan kata-kata Que itu. Seingatnya, dia tidak pernah sekali menceritakan kepada Que dan juga Melon akan impiannya itu.
            “Kau tahu ke apa impian aku?”
            “Tak tahu.” balas Que pantas. Manalah aku tahu. Apalah dia ni.
            “Dah tu, macam mana kau nak laksanakan impian aku tu?” marah Candy. Sengal betullah kawan aku ni.
            “Apa impian kau?” Que menyoal kembali tanpa rasa bersalah.
            “Engkau ni, kelakar tahu tak?” Candy tertawa kecil. Macam manalah aku boleh dapat kawan dengan orang yang sebegini?
            “Kenapa pulak?” soal Que dungu. Salah ke aku tanya?
            “Kau tak tahu akan impian aku tapi kau berusaha nak melaksanakan impian aku. Tak ke kelakar namanya, Que.” Jelas Candy. Namun, aku bersyukur kerana mempunyai kawan seperti dia dan jugak Melon.
            “Sebab itulah aku tanya, apa impian kau?” Que membetulkan duduknya.
            Wajah bersih Candy ditatapnya dalam-dalam. Seakan meminta agar temannya itu sudi untuk berkongsi segalanya dengan dia. Dia begitu tergerak untuk mengetahui apa yang menjadi keinginan teman serumah merangkap sahabat baiknya itu.
            “Kau nak tahu?” duga Candy.
            “Sebab nak tahulah aku tanya. Kalau tak…assalammualaikum.” Que mengangkat tangannya. Banyak lagi kerja akulah weh!!!
            Candy tertawa besar mendengarkan kata-kata Que itu. Geli benar hatinya melihatkan ulah Que yang agak comel pada pandangan matanya.
            “Aku nak buka café.” Ujar Candy lembut. Itu impian aku sedari kecil lagi.
            “Café? Café yang macam mana?” Que menggerutkan dahinya seribu. “Maksud kau, cyber café?” Que menyoal pantas. Bukan ke cyber café dah berlambak kat Malaysia ni?
            “Bukanlah. Macam Secret Recipe tapi ada sediakan ruangan untuk internet. Sambil duduk borak-borak, customer boleh melayari internet di sudut yang telah dikhaskan.” Jelas Candy dengan panjang lebarnya.
            Terbayang di ruang matanya kini akan impiannya nan satu itu. Sebuah ruang kafe yang menyediakan makanan dan juga minuman. Malah para pelanggan bisa melayari internet secara percuma untuk urusan kerja atau suka-suka. Ianya lebih kepada sudut yang begitu santai sekali.
            “Hmm…good idea. Aku suka dengan cadangan kau tu. Satu sudut lagi kita letakkan sudut bacaan.” Cadang Que. Bagus jugak idea dia ni.
            “Sudut bacaan? Maksud kau?” Giliran Candy pula yang mengerut dahinya. Apa ke hal pulak nak letak sudut bacaan bagainya? Ingat library ke apa?
            “Boleh letakkan sudut bacaan seperti novel, majalah atau apa aje. Malah kita boleh sewakan setiap bahan bacaan yang terdapat di café kita tu.” Cadang Que. Sesekali dia menaikkan kedua keningnya berulang kali.
            “Geliga! Otak kau memang geliga! Boleh buat batu!” Seloroh Candy. Aku suka!!
            “Otak kau pun.” gurau Que. Tau tak apa.
            Mereka berdua tertawa serentak. Seakan apa yang sedang mereka bincangkan itu akan menjadi kenyataan tidak lama lagi. Walaupun ianya sekadar angan-angan yang entah bilalah akan direalisasikan oleh kedua mereka.
            “Apa lagi kau nak buat dengan duit kau bila kau dah kaya?” soal Candy. Besar sungguh angan-angan dan impian dia.
            “Aku nak sedekahkan separuh daripada duit aku tu kepada fakir-fakir miskin, rumah-rumah kebajikan dan jugak mereka yang memerlukan. Jika ada rezeki lebih sedikit, aku nak beli sebidang tanah.” Terang Que. Itu niat aku seandainya aku kaya suatu hari nanti. Walaupun ianya tak mungkin akan berlaku.
            “Kenapa? Kau nak buat rumah ke?”
            “Hmm…” Que tersenyum seketika sebelum menjawab pertanyaan dari Candy itu. “Memang aku nak buat rumah tapi bukan rumah aku.”
            “Dah tu, rumah siapa pulak?” soal Candy hairan. Takkan rumah sewa pulak.
            “Rumah untuk anak-anak yatim dan orang-orang tua. Aku nak wakafkan tanah aku tu.”
            “Mulia betul hati kau, Que.” Ujar Candy sambil menepuk lembut bahu Que. “Jangan nanti bila kau dah kaya, kau lupa segala impian dan hajat kau tu pulak.” Nasihat Candy. Aku pun tak pernah terfikir sedemikian rupa.
            “Insya-ALLAH…tak, Candy. Kau doakan aku supaya tak jadi macam tu ya.” Pinta Que. Aku tak mahu jadi macam tu. Aku tak mahu lupa diri.
            “Insya-ALLAH.” Balas Candy sepatah. Aku sentiasa doakan kau, Que. Bukan untuk kau saja, malah Melon pun akan aku doakan.
            Que kembali menebarkan pandangannya ke serata alam. Candy juga turut berbuat sedemikian. Dalam hati masing-masing berdoa agar apa yang mereka impikan bisa menjadi Kenyataan. Walaupun ianya terlalu jauh untuk mereka gapai.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Maaf bertanya, novel SELAGI ADA KASIH dah ada di pasaran belum. Saya sentiasa menunggu, novel yg terbaik saya rasa.

Intan Asyikin berkata...

Novel SELAGI ADA KASIH msh lg blm berada di pasaran. insya-Allah, andainya di atas izinNya akn berada di pasaran. bla msnya, sy x boleh tentukn. akn dimaklumkan kelak & sy ucapkn trima ksh ats sokongan anda