Halaman

Jumaat, 5 Oktober 2012

Kau Kusayang Bab 8


“Awak dah makan ke?” soal Darwisy di saat mereka melabuhkan punggung di dalam kereta mewah keluaran luar negara itu.
            Damia hanya menggelengkan kepalanya sahaja bagi membalas pertanyaan Darwisy. Saat itu barulah dia teringat bahawa dia masih belum lagi menjamah apa-apa pun seharian ini. Dia lebih menumpukan perhatiannya pada kerja-kerjanya sahaja. Ada tidak pun dia cuma mengambil dua keeping sandwich yang telah dibelikan oleh Fierdaus untuknya sewaktu rehat makan tengahari tadi.
            “Kita berhenti makan dulu ya?” ajak Darwisy lagi.
            “Okay.” Balas Damia sepatah.
            Kereta yang dipandu oleh Darwisy akhirnya berhenti di sebuah gerai makan tepi jalan. Darwisy mematikan enjin kereta mewah tersebut sebelum memulakan bicaranya.
            “Awak tak kisahkan kalau kita makan di sini?” soal Darwisy lagi. Wajah ayu Damia direnungnya. Harap-harap dia tak kisah.
            “Tak.” Balas Damia sepatah sambil menggelengkan kepalanya. Aku tak kisah makan di mana pun. Asalkan kenyang.
            “Kalau macam tu, jom kita keluar.” Ajak Darwisy. Nasib baik. Kalau tidak, lari budget aku bulan ni.
            Damia akur dengan ajakkan pemuda itu. Damia memesan nasi goreng papprik dan carrot susu untuknya. Manakala Darwisy pula hanya memesan teh tarik sahaja tanpa makanan.
            “Kenapa tak pesan makanan?” soal Damia hairan. Wajah Darwisy direnungnya. Takkan aku nak makan seorang aje kot.
            “Saya dah makan kat rumah tadi. Masih terasa kenyang lagi.” Jawab Darwisy jujur. Mahunya gemuk aku nanti.
Sememangnya dia masih lagi terasa kenyang. Sengaja dia berhenti di situ apabila mengetahui bahawa Damia masih lagi belum menjamah sebarang makanan. Terasa kasihan pula dia dengan gadis itu. Malahan dia punya tujuan lain mengajak gadis itu berhenti di situ. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan dengan Damia dan dia berharap agar Damia akan bersetuju dengan cadangannya sebentar nanti.
            “Kalau macam tu, kenapa berhenti di sini? Baik terus balik aje. Makan kat rumah pun okay juga.” gumam Damia perlahan. Lagipun, entah sedap atau tidak makanan kat sini.
            “Sebab awak tak makan lagi.” Terang Darwisy. Macamlah dia akan makan kat rumah nanti. Kalau makan tak apalah juga.
            Dia tahu, Damia tidak akan makan apabila sampai sahaja di rumah nanti. Lazimnya, gadis itu akan terus masuk tidur selepas membersihkan diri. Bukan dia tidak tahu akan ulah Damia itu. Kak Ina sering kali sahaja merunggut apabila makanan yang dimasaknya membazir begitu sahaja. Penat sahaja Kak Ina masak yang sedap-sedap tetapi yang makannya hanya mereka bertiga saja. Dia, Kak Ina dan juga Pak Abu. Damia memang jarang makan di rumah. Semuanya Kak Ina yang maklumkan kepadanya.
            Dari situlah baru dia tahu, Damia tidak akan menjamah sebarang makanan jika dia pulang lewat dari pejabat. Akibat keletihannya itu, Damia lebih suka merehatkan dirinya dari mengambil makanan bagi mengisi perutnya. Kadangkala, berbagai alasan yang dia berikan kepada Kak Ina bagi mengelakkan dia untuk menjamah makanan tersebut. Yang melucukan jawapan yang sering kali dia beri kepada Kak Ina adalah tidur lebih penting daripada mengisi perutnya.
            “Tak sedaplah kalau saya seorang makan tapi awak tak. Lainlah kalau awak makan sekali dengan saya.” Damia merenung wajah kacak Darwisy yang duduk di sisinya. Nanti apa pula orang kata.
            “Tak apalah. Saya temankan awak makan.” Pujuk Darwisy. Berharap agar Damia termakan dengan pujukkannya itu. Aku betul-betul dah tak boleh nak masuk lagi ni.
            Damia terdiam tatkala mendengarkan kata-kata pujukkan Darwisy itu. Pandangan matanya leka memerhatikan keadaan di dalam gerai tepi jalan tersebut. Terdapat begitu ramai benar pelanggan di dalam gerai tersebut. Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Darwisy. Dia tidak selesa barangkali.
            “Sorrylah kalau saya bawa awak makan di sini.” Ujar Darwisy tiba-tiba. Macam tak selesa aje dia ni.
            Damia menoleh ke arah Darwisy apabila menyedari lelaki itu sedang berbicara dengannya. Wajah lelaki itu direnungnya dalam-dalam. Dia bercakap dengan aku ke? Ke telinga aku ni terlebih korek sampai boleh dengar dia bercakap dengan orang lain?
            “Pardon.
            “Awak tak selesa di sini ya? Nak saya bawa ke tempat lain? Tempat yang lebih selesa lagi ke?” soal Darwisy bertalu-talu. Payah juga kalau bawa anak orang kaya ni keluar makan. Semuanya serba tak kena dengan mereka.
            Ini adalah pertama kali mereka berdua keluar makan bersama. Semenjak Damia dan dia disahkan menjadi suami isteri, hidup mereka berdua bagaikan orang asing. Damia dengan dunianya dan begitu juga dia. Dia lebih selesa begitu. Asalkan Damia tidak mengganggu kehidupannya, itu sudah memadai.
            “Eh! Tak perlulah. Saya selesa di sini.” Ujar Damia tenang. Walaupun pertama kali aku datang ke gerai sebegini.
            “Betul ni?” soal Darwisy. Seakan meminta kepastian dari Damia. Jangan terpaksa sudahlah.
            Damia pantas menganggukkan kepalanya bagi mengukuhkan jawapan yang diberikan. Memang dia selesa di situ walaupun pertama kali menjamu selera di gerai tepi jalan sebegitu. Memang dia selesa di situ cuma suasana begitu seakan memberikannya satu kelainan pada dia. Seronok juga dapat makan di sini. Kalau Gina, Liza dan Aina tahu, pasti mereka takkan percaya yang aku makan di sini. Dengan Darwisy pula tu.
            “Tapi…air muka awak nampak macam tak selesa aje.” Ujar Darwisy. Ke…dia saja nak jaga air muka aku je?
            “Don’t worry. I’m really comfortable here.” Yakin Damia. Dia tidak mahu Darwisy terasa bersalah dengan membawanya makan di situ. Ingat aku tak boleh makan kat kedai macam ni ke?
            Darwisy tersenyum lega mendengarkan kata-kata Damia itu. Dia tahu Damia takkan berbohong dengannya. Dalam hatinya dia bersyukur yang teramat kerana Damia dapat menerima suasana tersebut. Pesanan yang dipesan oleh mereka sampai dan Damia menjamu seleranya dengan tertib dan sopan sekali. Ulahnya itu, sesekali diperhatikan oleh Darwisy dengan ekor matanya. Tertibnya dia makan. Agaknya, semua anak orang kaya macam dia.
            Damia mengesat mulutnya yang sedikit berminyak dengan tisu apabila dia selesai menjamu selera. Dia akui bahawa makanan di situ sedap dan kena dengan citarasanya. Boleh tahan juga makanan di sini.
            “So, macam mana? Sedap?” soal Darwisy sambil merenung wajah Damia. Jangan dia cakap yang bukan-bukan dah le.
            Damia menganggukkan kepalanya sambil menghirup minumannya. Memang sedap pun. Lain kali bolehlah datang lagi dengan Aina, Gina dan Liza. Mereka pasti suka makan di sini. Lagipun mereka bukannya tak biasa makan kat tempat macam ni. yang penting, makanan haruslah sedap.
            “Huda, saya ada benda nak cakap dengan awak.” Luah Darwisy tenang. Harap-harap dia setuju dengan cadangan aku ni.
            Damia mengangkat kepalanya. Matanya merenung wajah Darwisy dengan lembut. Hanya Darwisy sahaja yang memanggilnya dengan nama Huda. Rata-rata mereka yang mengenalinya lebih suka menggunakan namanya yang pertama berbanding dengan namanya yang kedua.
            Seakan faham dengan pandangan mata itu, Darwisy kembali bersuara. Dia berharap agar Damia bersetuju dengan permintaannya itu. Walaupun ianya cukup berat untuk Damia tunaikan.
            “Sebenarnya, saya nak balik kampung minggu depan.” Terang Darwisy. Harap-harap dia setuju dengan permintaan aku ni.
            “Okay.” Jawab Damia sepatah. Balik ajelah. Apa kena-mengena dengan aku pula? Selalunya tak perlu pula minta izin pun. Terus aje balik.
            “Tapi…” Darwisy tidak meneruskan kata-katanya. Sesekali dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Macam mana nak cakap ni?
            “Kenapa? Awak tak cukup duit ke? Nak pakai duit?” soal Damia lurus. Agaknya dia nak pakai duit sebab nak bagi mak ayah dia kot.
            “Bukan…bukan itu.” Jawab Darwisy teragap-agap. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Bukan soal duitlah. Ini soal lain. Kalau soal duit aku taklah risau sangat.
            “Dah tu? Apa masalahnya?” soal Damia lagi. Ke nak ajak aku sekali? Hahaha…mana mungkin dia nak ajak aku sekali. Tak pernah dia buat.
            “Kalau boleh, saya mahu awak ikut saya balik sekali.” Perlahan Darwisy meluahkan kata-katanya. Okay ke ayat aku tu?
Sesekali dia menelan liurnya. Walaupun permintaannya itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk Damia tunaikan, namun terasa juga gementar tatkala dia melafazkannya. Bimbang juga andainya Damia menolak tanpa berfikir panjang terlebih dahulu. Kalau dia tak ikut aku, apa yang aku nak bagitahu ayah dan emak nanti?
            Hampir tersedak Damia mendengarkan permintaan lelaki itu. Wajah bersih lelaki itu direnungnya dalam-dalam. Seakan meminta kepastian. Bermimpi ke aku? Ke dia yang salah cakap? Tidak tahukah dia bahawa keluarganya tidak sukakan aku seperti mana dia tak sukakan aku walaupun bukan sebagai seorang isteri? Lupakah dia dengan semua itu?
            Melihatkan Damia yang hanya mendiamkan diri, Darwisy kembali bersuara memecah kesunyian di antara mereka berdua. Dia tahu, dia perlu juga meluahkannya kepada Damia dan memujuknya agar Damia bersetuju mengikutnya pulang ke kampung. By hook or by crook, dia harus ikut juga aku balik ke kampung.
            “Saya dah tanya pada Fierdaus akan jadual awak. Menurut Fierdaus, sepanjang dua minggu ni takde aktiviti yang memerlukan kehadiran awak sepenuhnya. Kalau ada nanti, Fierdaus yang akan memaklumkannya sendiri kepada awak dengan kadar segera. Walaupun ianya melibatkan kerja-kerja penting. ” Jelas Darwisy lagi dengan panjang lebar. Minta-minta dia setuju.
            Damia terkejut seketika tatkala mendengarkan kata-kata Darwisy itu. Sampai begitu sekali Darwisy lakukan hanya semata-mata ingin dia turut serta mengikutnya pulang ke kampung. Kenapa dia beria-ia ajak aku pulang ke kampung? Apa yang ada di sana sehingga memerlukan kehadiran aku? Selalunya, takde pun.
            “Selama kita berkahwin, tidak pernah sekali pun awak ikut saya balik kampung. Kalau saya balik pun, saya akan balik seorang. Saya tidak mahu keluarga saya syak yang bukan-bukan  tentang perkahwinan kita. Emak dan ayah pun dah mula bising-bising bertanyakan awak. Saya dah tak tahu nak jawab apa lagi, Huda.” Gumam Darwisy lagi. Aku harap dia termakan dengan kata-kata aku ni.
            Damia menghela nafas panjang sebelum memulakan bicaranya. Dia akui, selama dua tahun berkahwin dengan Darwisy hanya sekali sahaja dia menjejakkan kakinya ke kampung lelaki itu. Itu pun di awal perkahwinan mereka dahulu. Begitu juga dengan Darwisy. Seakan telah berjanji pula mereka berdua.
Masing-masing seakan cuba mengelakkan diri dari terlibat dengan aktiviti keluarga mertua. Masing-masing tidak betah tatkala berada di rumah mertua. Ada sahaja yang tidak kena. Samada dia mahupun Darwisy. Walaupun mereka tidak meluahkannya, namun bahasa tubuh dapat menceritakan segala-galanya. Kenapa hati aku rasa tak sedap aje dengan permintaan dia kali ni? Bagaikan ada yang tidak kena aje.
            Bukan dia tidak mahu berlama-lama di kampung Darwisy. Jujur dia katakan bahawa dia sukakan suasana yang nyaman dan tenang di kampung Darwisy. Seakan dia tidak mahu pulang lagi ke bandar jika dia telah menjejakkan kakinya di sana. Cuma yang membuatkan dia tidak betah berlama di situ kerana dia tidak tahan tatkala dicerca dan dicaci oleh ibu Darwisy. Malah dia seringkali diperbandingkan dengan Arfah, calon pilihan keluarga Darwisy. Alamatnya pedih lagilah telinga aku mendengar kata-kata nista dari mereka nanti. Wahai telinga, sabar ajelah kau ya. Mungkin dengan cara begini, boleh bukakan pintu hati mereka untuk menerima aku sebagai menantu keluarga mereka.
            Baginya, cukup-cukuplah dia terseksa dengan perbuatan Darwisy terhadapnya selama ini. Tidak sanggup lagi dia menanggung semua itu. Dia juga manusia yang punya hati dan perasaan. Dia bukannya robot yang tidak punya sebarang perasaan. Yang tidak dapat membezakan sama ada orang suka atau tidak dengan kehadirannya.
            Agak lama juga dia mendiamkan diri sebelum memulakan suaranya. Perlukah aku berkorban demi cinta dan kasih aku pada dia selama ini? Perlukah aku mengalah sedangkan hati aku sakit dengan perbuatan mereka?
            “Apa yang ada di sana sehingga kehadiran saya diperlukan?” Damia menyoal perlahan. Tak boleh ke aku dikecualikan dalam hal ni?
            Darwisy tersenyum lebar apabila mendengarkan pertanyaan Damia itu. Dia yakin Damia akan bersetuju mengikutnya pulang ke kampung. Dia tahu, isterinya itu tidak akan menghampakannya walaupun seteruk mana pun layanan yang dia berikan kepada gadis itu.
            “Ada kenduri kahwin.” Ujar Darwisy ceria. Dia pasti takkan kecewakan aku.
            “Siapa yang kahwin?” soal Damia lagi. Kenapa orang lain yang kahwin aku yang susah?
            “Sepupu saya. Kita pulang ya?” pujuk Darwisy lembut. Sesungguhnya dia memang seorang wanita yang baik.
            Perlahan-lahan Damia menganggukkan kepalanya. Entah mengapa, hatinya cukup berat untuk mengikut Darwisy pulang kali ini. Namun, kerana tidak mahu menghampakan permintaan Darwisy, dia terpaksa akur jua. Ikut ajelah, Mia. Dah arahan suami. Ingkar nanti berdosa pula. Silap-silap tak cium syurga aku nanti. Aku tak mahu jadi begitu. Aku nak jadi isteri yang soleha. Walaupun aku tahu aku takkan mungkin mendapat gelaran tersebut.

Tiada ulasan: