Halaman

Rabu, 2 April 2014

Kasih Jangan Kau Pergi 9

FAHMI melangkah masuk ke dalam bilik VIP tersebut dengan tenang. Kelihatan ahli keluarganya yang lain masih lagi berada di dalam bilik tersebut. Tiada seorang pun yang berganjak dari situ. Mamanya juga masih lagi setia berada di sebelah papanya. Sesekali tangan tua itu dipicitnya lembut. Seakan menyalurkan sedikit kekuatan kepada tubuh tua yang sedang terkedang lemah di atas katil.
            Adik-beradiknya yang lain hanya duduk di sofa yang telah disediakan. Begitu juga dengan Puan Emelda, ibu tirinya. Perlahan-lahan dia mendekati katil yang menempatkan papanya, Tan Sri Kamal. Dia ingin memaklumkan kepada papanya tentang apa yang telah dia temui. Papanya pasti akan gembira dengan berita itu.
            “Assalammualaikum, papa.” Bisik Fahmi lembut dan perlahan di telinga insan yang bergelar ayah itu.
            Tan Sri Kamal membuka kelopak matanya perlahan-lahan tatkala mendengarkan suara yang berbisik lembut di telinganya. Wajah tampan anak sulungnya menjadi tatapan matanya kini. Segarit senyuman hambar dihadiahkan buat anak itu.
            “Bila kamu sampai?” soal Tan Sri Kamal perlahan. Adakah dia dah temui anak tu?
            “Baru saja, papa.” Ujar Fahmi tenang. “Maafkan Fahmi sebab lambat sampai. Ada urusan yang perlu Fahmi uruskan sebelum Fahmi kemari.” Jelas Fahmi tanpa disuruh.
            “Papa nak bercakap dengan kamu. Hanya kamu.” Pinta Tan Sri Kamal lemah. Ada urusan lagi yang belum selesai.
            Fahmi merenung wajah mamanya, Puan Sri Rafidah. Puan Sri Rafidah menganggukkan kepalanya tanda faham akan arahan yang diberikan oleh suaminya itu. Dia bangkit dari duduknya. Jika arahan itu telah dikeluarkan oleh suaminya bermakna suaminya hanya ingin berdua-duaan dengan anak lelaki sulungnya itu. Dia tidak mahu ada orang lain turut berada di situ. Termasuklah dia dan juga anak-anaknya yang lain.
            “Mari kita semua keluar.” Arah Puan Sri Rafidah. “Papa ada perkara yang hendak dibincang dengan Fahmi.”
            Kesemua yang ada di situ akur dengan arahan yang diberikan oleh Puan Sri Rafidah. Walaupun jelas kelihatan di wajah masing-masing akan ketidakpuasan di hati mereka. Namun arahan yang diberikan amat sukar untuk mereka engkari.
            Puan Sri Rafidah menoleh tatkala terasa tangannya dipegang lembut oleh seseorang. Wajah suaminya direnung. Seakan meminta penjelasan lanjut. Sesungguhnya dia begitu kurang pasti dengan maksud pegangan daripada lelaki itu.
            “Idah tunggu di sini. Biar yang lain saja yang keluar.” Pinta Tan Sri Kamal. Dia mahukan Puan Sri Rafidah turut serta berada di sininya tatkala itu.
            Puan Sri Rafidah menganggukkan kepalanya tanda akur dengan arahan yang diberikan oleh si suami. Dia kembali melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah tadi didudukinya sebentar tadi.
            “Sekarang, cerita pada papa. Papa nak tahu segala-galanya.” Arah Tan Sri Kamal apabila hanya tinggal mereka bertiga sahaja di bilik berkenaan. Tidak sabar rasanya dia ingin tahu akan cerita yang sebenar. Kemana menghilangnya insan yang dicari selama ini? Masih hidup lagikah ataupun telah tiada lagi di muka bumi ini?
            “Fahmi dah jumpa dengan orang yang papa suruh Fahmi cari tu tapi…” Fahmi memulakan bicaranya tetapi dia tidak jadi meneruskan kata-katanya. Perlukah aku menceritakan segala-galanya pada papa? Tak sanggup rasanya aku membebankan papa saat ni.
            “Tapi apa, Fahmi?” soal Tan Sri Kamal lemah. Ada sesuatu yang terjadi ke?
            “Fahmi mintak maaf, papa. Fahmi tak berjumpa dengan ibunya tapi Fahmi hanya jumpa dengan anaknya saja.” Jelas Fahmi. Biarlah aku simpan saja cerita yang mengaibkan tu. Papa dan mama tak perlu tahu akan tu semua.
            “Maksud Fahmi?” celah Puan Sri Rafidah. Adakah orang yang dicarinya tu telah pergi buat selama-lamanya?
            “Ibu dia dah meninggal, mama.” Ujar Fahmi perlahan. Maafkan aku. Aku terlewat di dalam menemui mereka berdua.
            “Innalillahiwainnalillahirajion.” Luah Puan Sri Rafidah perlahan. “Tapi bila?”
            “Semasa dia berusia enam belas tahun, ma.”
            “Sakit apa?” soal Tan Sri Kamal perlahan. Matanya terpejam rapat. Serasa tidak sanggup untuk menerima berita kehilangan insan yang dicintainya itu. Kenapa aku tak tahu akan semua tu?
            “Barah hati, papa.” Fahmi merundukkan wajahnya. Tidak sanggup dia untuk melihat wajah kehampaan papanya itu.
            Tan Sri Kamal menghela nafas panjang dan berat apabila mendengarkan kata-kata itu. Dia tidak menyangka sama sekali nasib yang menimpa bekas isterinya. Saat ini dia terasa benar-benar bersalah terhadap wanita itu dan anak yang tidak pernah dia pedulikan. Ya ALLAH, akukah yang terlewat?
            “Bagaimana pulak dengan adik kamu?” soal Puan Sri Rafidah. Ingin dia tahu perkembangan anak tirinya itu. Semoga dia selamat.
            “Selepas ibunya meninggal, dia telah dibesarkan oleh neneknya. Neneknya meninggal sewaktu dia sedang menunggu keputusan SPM. Selepas tu, dia tinggal bersama-sama kawannya dan bekerja sebagai despatch.” Jelas Fahmi dengan panjang lebar. Dia tak layak untuk tu.
            Saat ini terbayang wajah ayu dan gebu milik seseorang. Walaupun wajah itu sedang tersenyum manis namun dia tahu, senyuman yang menghiasi di bibir adiknya itu hanyalah sekadar menutup kelukaan dan kedukaan yang telah lama mengguris hatinya. Jika aku cepat, pasti akan aku cuba me-bahagiakan kalian. Pasti akan aku cuba jalankan tanggungjawab aku sebagai seorang anak dan jugak abang.
            “Lelaki?” soal Puan Sri Rafidah sepatah.
            “Tak. Perempuan, ma.” Fahmi mengusap rambutnya. Terbit sekuntum senyuman nipis di bibirnya.
            “Macam mana seorang perempuan boleh bekerja macam tu? Setahu mama, kerja-kerja macam tu hanya sesuai untuk orang lelaki saja. Bukannya perempuan, Fahmi.” Tegas Puan Sri Rafidah. Macam dah takde kerja lain yang boleh dilakukannya lagi dalam dunia ni.
            “Desakan hidup, ma. Lagipun dia tak punya kelulusan apa-apa selain dari SPM. Hanya dengan berbekalkan sijil SPM sajalah dia teruskan hidup di bandar ni. Jika tak, apa yang dia nak makan untuk teruskan hidup?
Lainlah kalau dia punya kelulusan yang tinggi. Pasti dia takkan bekerja sedemikian rupa. Fahmi yakin yang dia akan dapat pekerjaan yang lebih bagus daripada sekarang. Untuk menyara kehidupannya, dia tak boleh memilih pekerjaan. Apa saja yang ada di hadapan mata, dia sambar.” Terang Fahmi dengan panjang lebarnya. Jika aku berada di tempatnya sekalipun, aku akan bertindak sedemikian rupa.
            “Semuanya salah papa, Fahmi.” Sampuk Tan Sri Kamal sayu. “Kalaulah papa tak bertindak melulu dulu, pasti perkara sebegini takkan terjadi. Pasti hidup adik kamu tu takkan jadi sebegini teruk.” Sambung Tan Sri Kamal lagi.
            Terbayang di ruang matanya kini apa yang telah dilakukan kepada bekas isterinya beberapa tahun yang lalu. Dia menceraikan wanita itu tanpa usul periksa. Tanpa mendengar terlebih dahulu akan penjelasan daripada isterinya itu. Semuanya dia lakukan kerana terlalu mengikut kata hati. Terlalu mengikut kata-kata hasutan sahabat baiknya. Akibatnya, dia sendiri yang menanggung bahananya. Dia menderita kerana terlalu rindukan isteri dan juga anak perempuan tunggal yang ditinggalnya.
            Ya ALLAH, ampunilah dosaku! Sesungguhnya aku berdosa terhadap isteri dan anakku! Jika boleh diundurkan masa, pasti akan aku undurkan masa tu kembali. Pasti aku ingin kembali di saat dia menjadi milik aku tapi aku tahu ianya adalah mustahil untuk aku lakukannya. KAU tempatkanlah dia di tempat orang yang beriman dan soleha. Sesungguhnya dia seorang isteri yang baik dan patuh akan perintah MU. Patuh kepada perintahku.
            “Sudahlah tu, bang. Benda dah nak jadi.” Pujuk Puan Sri Rafidah lembut. “Idah yakin, ada hikmah yang tersembunyi atas semua ni.” sambung Puan Sri Rafidah. Cuma kita saja yang tak nampak akan tu semua.
            “Abang menyesal, Idah. Abang benar-benar menyesal. Kalau abang siasat dulu perkara yang sebenarnya, pasti mereka takkan menderita sebegini. Pasti mereka akan hidup bahagia di tempat yang sepatutnya. Pasti mereka dapat apa yang sepatutnya mereka kecapi sekarang ni.” Tan Sri Kamal berkata sendu. Kejamkah aku terhadap anak dan isteriku selama ni?
            “Sudahlah tu, papa. Sekurang-kurangnya kita dah jumpa dengan dia. Papa boleh tebus kembali apa yang pernah papa lakukan terhadap dia.” Giliran Fahmi pula memujuk Tan Sri Kamal. Mahukah dia memaafkan orang yang telah meninggalkannya selama ni?
            Tidak sanggup pula dia melihat Tan Sri Kamal bersedih. Dalam keadaan Tan Sri Kamal sedemikian, dia tidak boleh terlalu runsing. Akibat kerunsingan dan juga tekanan yang dia alaminya itulah telah membuatkan tekanan darahnya naik.
            “Papa nak jumpa dengan dia, Fahmi. Bawa dia jumpa dengan papa.” Pinta Tan Sri Kamal. Aku ingin memohon keampunan dengan darinya. Aku tahu selama ni aku banyak buat salah pada dia dan jugak ibunya.
            “Insya-ALLAH. Nanti, Fahmi usahakan ya, pa?” Fahmi berkata perlahan. Mahu ke dia berjumpa dengan kami sedangkan selama ni, kami dah banyak mengabaikan dia? Setelah apa yang telah kami lakukan kepadanya selama ini?
            Dia sendiri tidak pasti samada dia mampu memujuk adiknya itu ataupun tidak. Sedangkan dia sendiri tidak pernah bersua muka dengan gadis itu. Dia cuma dapat melihat gadis itu daripada jauh sahaja. Itu pun dengan bantuan Zarul.
            Tan Sri Kamal menghela nafas panjang. Dia berharap sangat dapat bertemu dengan anak gadisnya itu sebelum dia menutup mata. Ingin dipohon kemaafan kepada gadis itu di atas apa yang telah dia lakukan selama ini. Dia tahu, amat sukar anak itu ingin memaafkannya tetapi dia harus mencuba.
            Dia amat yakin dan pasti bahawa anak itu akan memaafkannya. Walaupun jauh di sudut hati kecilnya berasa ragu-ragu dengan apa yang dia rasakan saat ini. Tidak salah jika dia mencuba terlebih dahulu. Dia telah bersedia menerima segala kemungkinan yang berlaku seandainya anaknya itu tidak dapat memaafkannya.

Tiada ulasan: