Halaman

Rabu, 26 Mac 2014

Hanya Kamu Saja 1


Biarlah satu dunia menundingkan jari kepadaku, asalkan kau percayakan aku.

Ann duduk sambil menongkat dagu dengan kedua belah tangannya. Sesekali kepalanya dianggukan perlahan-lahan. Seakan dia faham dan mengerti apa yang telah diperkatakan dan diterangkan oleh sahabat baiknya itu. Hakikatnya, tiada satu pun perkara itu yang masuk ke dalam otaknya untuk diproses.
            Kelopak matanya pula terasa begitu memberat sekali. Seakan luahan hati sahabatnya kini adalah hikayat dongeng yang telah diceritakan kepadanya. Agar bisa dia melelapkan matanya barang seketika cuma. Fuh, dapat tidur best juga ni!
            Sudah beberapa hari dia tidak cukup tidur akibat menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarahnya. Tugas sebagai seorang pelajar kadangkala buatkan dia terasa begitu penat sekali tetapi demi segulung ijazah yang perlua diraih, maka dia harus berkorban. Itu adalah cita-citanya. Itulah impiannya sedari kecil.
            Hanya tinggal beberapa semester sahaja lagi untuk dia tamatkan pengajiannya di kolej. Selepas itu, dia akan menempuh alam baru. Iaitu alam pekerjaan pula. Dia berharap agar alam pekerjaannya tidaklah seteruk yang dibayangkan.
            Dia tersentak kecil apabila sahabatnya itu menjerit nyaring berserta dengan tepukan berbisa di lengannya. Terkebil-kebil anak matanya memandang wajah sahabatnya itu. Lengan yang sedikit pijar digosoknya beberapa kali agar bisa meredakan kesakitan yang melanda. Terkejut aku dibuatnya.
            “Kau dengar tak apa yang aku cakapkan tadi?” Sahabatnya menyoal tegas.
            “Dengar…Dengar…” Teragap-agap dia menjawab pertanyaan sahabatnya itu. Sesekali dia menelan liurnya. Jangan dia angin sudahlah. Mati aku nak menjawabnya.
            “Tolonglah aku!! Pleasee…” Rayu sahabatnya lembut.
            Lengan Ann yang menjadi mangsa pukulannya tadi disentuh lembut. Berharap agar rayuannya itu akan dipertimbangkan oleh sahabatnya. Malah dia berharap sangat agar Ann dapat membantunya kali ini. Bukannya dia tidak boleh cari orang lain tetapi dia lebih gemar menggunakan khidmat Ann.
            Andainya dia tidak merayu sedemikian rupa, pasti sahaja sahabatnya itu tidak mahu membantu. Bukan dia tidak kenal perangai pelik sahabatnya itu. Merayulah macam mana sekalipun, jika dia tidak mahu membantu akan diberikan pelbagai alasan.
            Mereka bukannya baru kenal. Mereka telah lama bersahabat baik. Disebabkan itulah, dia arif sangat dengan perangai Ann. Baginya, Ann seorang gadis yang pelik. Pelik dalam soal apa? Ann bukannya seperti gadis-gadis yang ada di luar sana. Dia seakan hidup dalam dunianya sendiri walaupun dia bercampur dengan orang lain.
            “Erk!! Tolong apa ek?” Soal Ann selamba. Dia kurang mengerti akan permintaan gadis itu. Apa yang dia nak aku buat?
            “Kau ni betul ke dengar apa yang aku cakapkan tadi?” Anak matanya sudah tajam merenung wajah bersih sahabatnya itu. Kata dengar. Dah tu, tanya balik kenapa?
            “Erk!! Kau cakap apa?” Ann menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mampus aku kali ni!
            “Ya ALLAH, Ann!! Dah hampir dua jam aku duk bercerita kat kau tapi satu hapa pun kau tak pay attention.” Keluh gadis itu geram sambil menggelengkan kepalanya. Menghabiskan air liur aku aje.
            Sakit sungguh hatinya melihatkan tingkah sahabatnya itu. Jika diturutkan hatinya yang marah saat ini, mahu sahaja dia mencekik-cekik leher sahabatnya itu. Wajahnya telah mula kelihatan bera. Merah padam jadinya. Bagaikan udang dibakar.
            Ann tersengih kecil dengan wajah tidak bersalah mendengarkan bebelan gadis itu. Sedar akan kesalahan yang telah dia lakukan sebentar tadi. Bukan niatnya untuk buat endah dan tidak sahaja tetapi cerita sahabatnya itu terlalu panjang untuk dianalisis. Sehinggakan sukar untuk otak kecilnya mencerna yang mana patut diambil serius dan yang mana pula harus dinyahkan.
            “Kau kemana masa aku bercerita?” Gadis itu cuba menahan marahnya.
            “Aku kan ada kat sini. Mana pulak aku pergi mana-mana.” Ann jawab tanpa perasaan.
            “Kalau kau ada kat sini…takkanlah kau tak pay attention langsung apa yang aku bagitau kau?” Bentak gadis itu sedikit kuat. Geram dan sakit hati mula bercampur menjadi satu.
            “Adoyiii!!! Masalah problemnya sekarang ni, Cik Nur Chinta…cerita kau tu boleh buat satu buku novel tau tak?” jelas Ann jujur.
            “Apsal pulak?” Gadis yang bernama Nur Chinta itu mengerutkan dahinya.
            “Punyalah panjang berjela-jela. Cuba kau ringkaskan aje. Jadikan synopsis ke. Senang sikit otak aku nak reload segala cerita kau tu. Ini tak, sampai naik jammed otak aku dibuatnya.” Ujar Ann tenang. Takdelah aku mengantuk macam tadi.
            “Iskh, kau ni!! Ada-ada ajelah.” Rengus Nur Chinta. “Aku nak mintak kau tolong aku. Jadi photographer aku. Sepanjang bulan ni model-model aku ada photo shoot.” Jelas Nur Chinta dengan panjang lebar.
            “Apsal aku pulak? Budak-budak kau ada. Suruh ajelah mereka.”
            “Masalahnya sekarang ni, budak-budak aku sibuk dan aku kekurangan tenaga kerja. Yang aku nampak sekarang ni, kau seorang aje yang free. Disebabkan itulah aku offer kerja ni dengan kau.”
            Ann menggaru dahinya yang tidak gatal. Pening dia dengan ulah sahabatnya itu. Semacam tiada orang lain lagi yang dia boleh cari. Malah gadis itu boleh sahaja mencari jurugambar sambilan yang lain untuk membantunya.
Dia yakin sama sekali bahawa pasti sahaja ada jurugambar sambilan yang berminat. Mana mungkin mereka tidak berminat andainya upah yang diberikan oleh syarikat gadis itu agak lumayan berbanding dengan tempat lain. Kenapa peluang itu mahu diberikan juga kepadanya?
            “Kau nak tolong atau tak?” Nur Chinta menumpukan perhatiannya kepada Ann apabila Ann tidak memberikan sebarang tindak balas.
            “Aku ni susah sikitlah, Chinta.” Keluh Ann perlahan. Serba salah pulak aku nak menolaknya.
            “Kenapa pulak?
            “Aku bukannya tak mahu tolong kau.” Ann mengusap kepalanya yang terlindung dengan tudung bawal yang dipakainya.
            “Dah tu, apa masalahnya?”
            “Masalah problemnya sekarang ni, aku pun bukannya pandai sangat ambil gambar ni. Untuk suka-suka tu bolehlah lagi. Kalau yang macam kau mintak ni aku tak beranilah. Takut lain pulak jadinya. Aku bukannya pro pun. Baru amatur aje. Lainlah aku ni pro. Kau tak payah offer lagi, aku dah tawarkan diri.
            Lagi satu, aku ni belajar lagi. Bila cuti aje aku akan merayau serata ceruk. Cari bahan-bahan yang boleh menarik minat aku. Paling kuat pun, Gee akan called aku mintak tolong kat tempat dia. Kau bukannya tak tahu aktiviti aku yang agak padat tu.” Jelas Ann dengan panjang lebarnya. Jangan dia terasa dengan penolakan aku tu dahlah.
            “Aku bayarlah, Ann. Aku bukan mintak tolong suka-suka. Lagipun, ni bukan kali pertama kau tolong aku. Dah banyak kali dah. Aku pun dah tengok gambar yang kau ambil, semuanya okay aje. Takde yang tak okaynya. Kan? Aku berpuas hati. Cantik-cantik pulak tu. Kalah dengan pro.” Nur Chinta menguatkan lagi hujahnya.
            “Ini bukan soal bayaranlah, babe.” Keluh Ann.
            Jika ingin diceritakan soal bayaran, Nur Chinta memang akan memberinya pulangan yang besar. Lebih besar dari yang Gee berikan. Seakan tidak berbaloi langsung dengan kerjanya. Apa yang sering ditekankan di sini hanyalah kepuasan. Dia ingin rasa puas waktu bekerja. Bila dia terasa akan kepuasannya, maka hasilnya pasti sahaja akan membuatkan dia tersenyum lebar.
            Dia boleh bekerja dengan sesiapa sahaja. Samada Nur Chinta mahupun Gee. Cuma dia inginkan kepuasan di dalam kerjanya. Andainya diberi pilihan untuk memilih dia lebih gemar bekerja dengan Gee berbanding Nur Chinta.
            Nur Chinta dan Gee merupakan sahabat baiknya sewaktu di alam persekolahan lagi. Masing-masing datang dari keluarga yang berada. Cuma dia sahaja yang datang dari golongan yang sederhana. Namun, itu tidak sedikit pun menjarakkan perhubungan di antara mereka bertiga. Malah Nur Chinta dan Gee tidak pernah langsung merendah dan memperlekehkannya. Disebabkan itulah, hubungan mereka bertiga kekal sehingga ke hari ini.
            Nur Chinta menguruskan syarikat modeling manakala Gee pula menguruskan taska. Walaupun dia suka mengambil gambar bagi mengisi masa lapangnya tetapi dia lebih gemar mengambil gambar-gambar alam semulajadi daripada gambar-gambar model yang berpakaian tidak pernah cukup dengan kain dan benang.
            Untuk meluahkan rasa hatinya kepada sahabatnya itu, dia tidak sampai hati pula. Dia tidak mahu mengecilkan hati sahabatnya itu. Lagipun, Nur Chinta dan Gee telah banyak membantunya di kala dia di dalam kesusahan. Oleh kerana itulah, dia lebih gemar mendiamkan sahaja apa yang terbuku di lubuk hatinya.
            Akhirnya, dia mengambil pendekatan yang sewajarnya. Mungkin minat Nur Chinta lebih kepada bidang tersebut dan rezekinya dari sumber yang begitu. Jadi, tidak adil rasanya dia mempertikaikannya. Rezeki masing-masing. Yang pening ikhlas dan juga halal.
            “Kalau bukan pasal bayaran, pasal apa?” Nur Chinta masih tidak puas hati dengan penolakan Ann itu. Ada saja alasan dia.
            “Kau kena faham tugas seorang pelajar, Chinta. Belajar…belajar…dan belajar. Bila ada assignment pula, kena buat. Bila ada presentation dan kuiz, kena prepare. Aku takut yang aku tak boleh nak hadap semua tu. Mahunya mereng pulak otak aku yang kecil ni nanti.”
            “Woit, setan!! Apa yang kau dok merepek ni?!!” Nur Chinta menjengilkan matanya ke arah Ann.
            Sakit pula hatinya mendengarkan alasan yang tidak munasabah daripada Ann itu. Bukannya dia tidak pernah menjejakkan kaki di kolej. Dia pernah merasa semua itu. Malah dia tahu apa yang Ann bicarakan. Baginya, itu bukanlah boleh dijadikan alasan untuk Ann menolak permintaannya sebentar tadi.
            “Aku pun tak tahu apa yang aku duk mengarutkan.” Ann tertawa besar. Sah, otak aku dah tak boleh nak berfikir dengan betul lagi!
            Nur Chinta menggelengkan kepalanya. Kepalanya bertambah berdenyut-denyut melihatkan ulah Ann itu. Sejujurnya dia tidak dapat menerima alasan yang baru sahaja diberikan oleh sahabatnya itu.
            “Aku tahu kau tu student. Yang aku cakapkan sekarang ni hanya untuk hujung minggu saja. Tak pun masa kau takde class. Faham?” Nur Chinta menekankan suaranya agar Ann mengerti apa yang cuba disampaikan kepada gadis itu.
            Dia akui Ann memang seorang amatur. Walaupun begitu setiap gambar yang diambil oleh Ann seakan professional. Dia amat kagum sama sekali dengan kebolehan yang dimiliki oleh Ann. Bukan sahaja dia, malah Gee juga begitu.
            Disebabkan itulah, dia berani menawarkan Ann kerja part time di syarikat modelingnya yang baru sahaja mula bertapak ini. Yang menjadi masalahnya, Ann seakan liat sedikit untuk membantunya. Ada sahaja alasan yang akan diberikannya.
            Berlainan pula dengan Gee. Ann boleh sahaja membantu Gee tatkala sahabat mereka itu meminta pertolongan daripadanya. Ada masanya dia berkecil hati juga dengan Ann tetapi cepat-cepat ditepisnya sangkaan buruk yang bertandang.
            Dia tahu, Ann tidak gemar sama sekali untuk membantunya kerana kebanyakan model-modelnya akan memakai pakaian yang tidak cukup kain. Bukan baru sehari dua dia mengenali Ann. Dia tahu bagaimana sikap Ann. Walaupun Ann tidak pernah sekali untuk meluahkannya.
            “Macam ini ajelah, Chinta. Aku akan tolong kau bila aku free aje. Macam mana?” Akhirnya, Ann membuat keputusan. Kasihan pulak aku dengan minah ni.
            “Maksud kau?”
            “Hujung minggu ataupun bila aku takde class. Setuju?”
            “Gee pulak macam mana?” Nur Chinta menyoal kembali. Apa pulak kata minah tu nanti?
            “Dia tu tak tentu. Kalau dia perlukan aku, dia akan cari aku. Kalau tak tu, aku dengan kerja-kerja akulah. Lagipun, selalunya aku tolong dia bila cuti semester aje. Dia jarang ganggu aku sebelum cuti semester tu.” Jelas Ann dengan panjang lebar.
            Nur Chinta menganggukkan kepalanya. Dalam soal ini, Gee tidaklah berkecil hati dengannya andai Ann membantunya di Chinta Agency nanti.
            “Tentang bayaran tu pulak, terpulanglah pada kau nak bayar macam mana.” Sambung Ann bila dilihatnya Nur Chinta tidak langsung menjawab kata-katanya seketika tadi.
            “Ermm…aku bayar kau macam selalulah. Ikut jam. Boleh?”
            Ann menganggukkan kepalanya tanda setuju. Dengan bayaran seperti yang telah dicadangkan oleh Nur Chinta itu sudah agak lumayan baginya. Tidak perlulah dia berunding harganya lagi.
            Kali ini, Nur Chinta bisa sahaja tersenyum manis. Dia tahu, dia boleh harapkan Ann. Ann seorang yang ringan tulang dalam membantu teman-temannya. Malah dia juga sanggup membantu andainya dia tidak mendapat upah.

Tiada ulasan: