Halaman

Rabu, 20 Julai 2011

Selagi Ada Kasih 3

“Betul ke jalan ni, Adam?” Matanya mula memerhati ke kiri kanan jalan. Hatinya kuat menyatakan yang mereka berdua telah sesat. Macam sesat aje.
“Entahlah, Ray. Rasa-rasanya betullah kot.” Dia juga seperti Rayyan, memerhatikan kiri dan kanan jalan. Sesekali dia menggaru lehernya yang tidak gatal. Aku silap jalan lagi ke? Jangan sesat sudahlah.
Sudah agak lama mereka berdua berpusing-pusing disitu. Namun, tempat yang dicari tidak juga ditemuinya. Untuk berhenti dan bertanya dengan penduduk disitu, tidak seorang pun yang mereka nampak.
“I rasa macam kita dah sesatlah, Adam.” ujar Rayyan sambil menoleh ke arah Adam yang duduk disebelahnya. Dari tadi kat sini aje pusingnya.
“Mana you tau?” soal Adam sambil menoleh ke arah Rayyan.
“Kalau tak sesat, takkan dari tadi kita asyik berlegar-legar kat sini aje. Pusing-pusing kat situ juga.” jawab Rayyan selamba. Tak perasaan ke dia?
“Betul juga tu.” Adam mengiakan kata-kata Rayyan itu. “Ataupun kita silap jalan tak, Ray?”
“Kalau dah sesat, silap jalanlah tu. Apalah you ni, Adam.” Rayyan menggelengkan kepalanya. Aduhhh…sengal betullah dia ni.
“Tak, maksud I alamat yang diberi ni salah.” Adam membetulkan kata-katanya.
“Hmm…boleh jadi juga.” Rayyan menganggukkan kepala mendengar kata-kata Adam itu. “Nak tanya kat orang, satu umat pun tak nampak. Pelik betullah kampung ni. Agaknya orang kampung memang macam ni ke, Adam?”
“Eh! Taklah. Mungkin mereka bekerja kot.” pantas Adam menjawabnya.
“Kot ye pun bekerja takkan satu kampung. Takkanlah anak isteri dia orang pun kerja.” ujar Rayyan selamba.
“Entahlah Ray tapi setahu I orang kampung ni memang jarang keluar rumah. Dapat pula yang duduk kat ceruk yang macam ni…lagilah. Waktu-waktu begini mereka lebih suka berehat di dalam rumah sahaja.”
Rayyan hanya menganggukkan kepala apabila mendengar kata-kata dari Adam itu. Namun matanya tidak lepas dari memandang ke kiri dan kanan jalan. Malah tahu kalau-kalau ada orang kampung yang boleh diminta bantuan. Malangnya, apa yang diharapkan hampa.
“Kalau tak jumpa juga macam mana, Ray?” Adam kembali bersuara bagi memecahkan kebuntuan diantara mereka berdua.
“You cuba telefon mereka yang ada ditapak projek. Tanya betul-betul alamat tempat tu dan tanya sekali kat mana tempatnya. Tak pun suruh aje dia orang ambil kita.” arah Rayyan sedikit tegas. Dahlah tempat macam jin bertendang.
Adam menganggukkan kepalanya bagi mematuhi arahan yang diberikan oleh ketuanya itu. Hari itu, mereka berdua terpaksa ke lokasi tapak pembinaan sebuah pusat peranginan di Melaka. Projek pusat peranginan tersebut diterajui oleh syarikat mereka iaitu Mega Construction. Bagi memastikan proses pembinaan itu berjalan dengan lancar, mereka berdua ingin melawat tapak pembinaan tersebut.
Rayyan masih lagi leka memandang kiri dan kanan jalan. Sesekali dia terpegun melihat kehijauan pokok-pokok yang tumbuh di kiri kanan bahu jalan. Namun pemerhatiannya terganggu apabila kereta yang dipandu oleh Adam seakan cuba mengelakkan sesuatu secara tiba-tiba. Dan tanpa disangka mereka berdua hampir melanggar seorang gadis yang datang dari arah yang bertentangan.
Wajah Adam sedikit pucat dengan keadaan itu. Dia tergamam. Seketika pandangannya dan Rayyan bertentangan. Air liur yang ditelan terasa berpasir saat itu. Aku langgar orang ke tadi?
“Kenapa?” soal Rayyan sedikit gugup.
“I rasa I dah langgar orang.”ujar Adam gugup sambil menelan liur.
“What?” Rayyan sedikit terkejut apabila mendengar pengakuan jujur dari Adam itu. Pantas dia melangkah keluar dari keretanya dengan diikuti oleh Adam. Tidak jauh dari kereta mereka, kelihatan seorang gadis sedang mengerang kesakitan. Untuk kesekian kalinya mereka berdua saling berpandangan diantara satu sama lain.
“Aduhhh…sakitnya pinggang aku.” gadis itu menggosok pinggangnya perlahan-lahan. Boleh patah pinggang aku dibuatnya.
Tanpa berlengah lagi Rayyan dan Adam mendekati gadis tersebut. Gadis yang berkulit hitam manis itu tidak menghiraukan kedatangan pemuda-pemuda tersebut. Dia leka melayan kesakitan yang telah dialaminya itu. Adam membantu mengalihkan motosikal yang dipandu oleh gadis itu. Jangan teruk sudahlah. Naya aje aku kena dengan keluarga dia nanti.
“You tak apa-apa ke?” Rayyan membantu gadis tersebut untuk berdiri. Jangan patah riuk sudahlah.
Mendengarkan suara tersebut, pantas gadis itu menoleh. Ditenung tajam wajah dua orang pemuda asing yang berdiri dihadapannya dengan perasaan marah. Nak bunuh orang apa mereka ni?
“Encik ni tahu bawa kereta ke tidak?” Tanpa salam mahu pun mukadimah, gadis itu terus memarahi Rayyan dan Adam sambil bercekak pinggang. Adam dan Rayyan saling berpandangan diantara satu sama lain seketika apabila disergah oleh gadis itu. Mak aiii…garangnya. Tak padan yang kecil.
Melihatkan kedua pemuda itu tidak menjawab pertanyaannya, gadis itu kembali bersuara semula. Hatinya bertambah panas dengan ulah kedua pemuda itu.
“Jalan sikitlah punya luas. Kenapa masuk jalan orang juga? Apa nak bunuh orang ke?” marah gadis itu lagi. Matanya mencerun tajam ke arah kedua pemuda dihadapannya itu. Ingat aku ni anak ayam ke? Main suka dia aje nak langgar.
“Maaflah, cik. Kami tak sengaja.” lembut sekali tutur kata Rayyan memohon maaf dari gadis tersebut. Sesekali dia menelan liurnya. Anak siapalah punya garang ni?
“Senangnya minta maaf. Kalau saya mati tadi macam mana? Ha…siapa yang nak bertanggungjawab? Awak?” merenung tajam wajah Rayyan. “Atau pun awak?” mengalihkan pandangannya ke arah Adam.
“Maaflah, cik. Sebenarnya saya nak mengelakkan lubang tadi. Tak sangka pula boleh tersasar ke laluan sebelah. Tu yang terbabas.” teragap-agap Adam menuturkan kata-kata bagi membela dirinya yang cuai. Macam manalah boleh tak perasan lubang tu tadi?
“Lubang tu sikitlah punya besar. Dari jauh dah boleh nampak. Atau encik ni rabun jauh.” sinis sekali gadis itu menuturkan kata-katanya. “Kalau dah tahu rabun tu pakailah cermin mata. Tak payah menyusahkan orang disekeliling.” Sambungnya lagi.
“Bu…bu…bukan begitu, cik.” teragap-agap Adam menjawab kata-kata gadis tersebut. Iskh…dia ni. Garangnya ya amat. Apalah malang nasib aku hari ni dipertemukan dengan dia?
“Dah tu? Apa masalahnya?” soal gadis itu sambil bercekak pinggang. Untuk seketika dia seakan lupa akan kesakitan yang dialaminya sebentar tadi. Ni yang buat aku nak marah ni.
“Sebenarnya, saya sedang bercakap di telefon tadi. Saya tak sedar yang ada lubang kat situ. Bila dah dekat baru perasan. Tu yang…”  Adam menggaru leher yang tidak gatal. Sesekali Rayyan menyiku tangannya supaya tidak meneruskan bicara.
Mencerlung mata gadis itu merenung wajah Adam dengan tajam apabila mendengarkan penjelasan jujur dari pemuda itu. Rasanya, mahu dicekik-cekik sahaja pemuda tersebut agar kemarahannya reda. Keningnya terangkat sebelah secara tiba-tiba.
“Tulah…kerajaan dah beritahu, kalau nak guna telefon tu parkir kereta tepi. Tengok sekarang, siapa yang susah? Bukan encik aje, dengan saya sekali terbabit.”
“Macam nilah, cik. Kita selesaikan di sini aje. Berapa yang cik minta kami akan bayar bagi kos perubatan. Cakap aje berapa.” Rayyan mencelah meredakan situasi tersebut.
Dia berharap agar tawarannya itu dapat diterima oleh gadis tersebut. Malangnya, gadis itu bertambah menyingga apabila mendengarkan kata-kata tersebut. Merah padam muka gadis itu tatkala mendengarkan tawaran Rayyan. Iskh…dia ni. Ingat aku ni anak ayam ke?
“Senangnya cakap. Ingat saya ni anak ayam ke? Dah langgar, bayar. Macamlah nyawa saya ni tak berharga langsung. Macamlah saya ni takde mak bapak.” Selamba sahaja ayat itu keluar dari bibir munggil gadis tersebut. “Agaknya orang kaya macam encik berdua ni memang macam ni ye? Semua masalah selesai dengan duit. Ada masalah aje, selesaikan dengan duit. Senanglah kalau hidup macam tu.” Sambung dia lagi. Segaris senyuman sinis terbit dibibir gadis itu. Orang kaya. Semuanya macam tu.
“Habis tu, you nak kami buat apa?” Rayyan sudah mula bercekak pinggang apabila mendengar kata-kata sedikit kesat yang keluar dari mulut gadis tersebut. Orang buat baik pun tak mahu. Apalah perempuan ni?
“Yang encik nak marah saya kenapa? Salah ke apa yang saya katakan tadi?” kini giliran gadis tersebut pula bercekak pinggang. Angin pula dia. Ingat aku takut ke?
“Agaknya orang kampung memang macam ni. Sombong bodoh. Dahlah sombong, bodoh pula tu. Dah orang nak bayar ganti rugi masih lagi tak mahu terima. Apa kaya sangat ke orang kampung ni? Sampai orang hulurkan bantuan pun tak mahu terima.” soal Rayyan selamba.
“Kami bukan sombong bodohlah, bodoh. Cuma kalau dah langgar orang tu, bawalah pergi hospital ke, tak pun klinik. Ni tidak, nak lepas tangan aje. Hey!! Ingat kami ni orang kampung kebulur sangat ke duit orang kaya macam encik ni? Kami tak kebulurlah.” Gadis itu menunding jari ke arah Rayyan. Kau belum kenal siapa aku lagi tau.
Rayyan menahan amarahnya apabila mendengar kata-kata lancang dari gadis tersebut. Ingin sahaja dia menampar pipi munggil itu. Dia mengetap kuat bibirnya. Belum pernah dalam hidupnya dia ditentang secara berdepan begitu oleh mana-mana perempuan. Nafasnya sudah turun naik menahan marah akan ulah gadis tersebut. Baginya gadis itu terlalu berani. Giginya diketap kuat. Ada makan penampar juga budak ni nanti.
Melihatkan suasana tersebut, membuatkan Adam menjadi serba salah. Dia tahu Rayyan sedang mengawal kemarahannya terhadap gadis tersebut. Bagi meredakan suasana tersebut, Adam mula bertindak. Kalau didiamkan mahu sampai tahun depan pun mereka ni akan bertekak.
“Beginilah cik, apa kata kalau kami bawa cik ke klinik? Macam mana?” merenung wajah ayu gadis dihadapannya itu.
Dia berharap agar gadis itu bersetuju dengan cadangan yang diberikan dan pertengkaran diantara mereka tamat disitu juga. Jika tidak, pasti ianya akan berlarutan.
“Dah, tak payah. Terima kasih banyak-banyak.” Gadis itu terus berlalu meninggalkan mereka berdua yang sedang tercegat di situ. Dia mendapatkan motorsikalnya yang berada tidak jauh dari situ. Aku tak ingin. Biar aku tanggung sakit ni dari mengharap belas ehsan orang kaya macam mereka.
“Memang sombong bodoh. Orang nak tolong pun tak mahu. Dasar orang kampung, tak sedar diri.” Rayyan berbisik sinis apabila melihatkan keengganan gadis tersebut menolak pertolongan yang dihulurkan oleh mereka sebentar tadi.
Namun kata-katanya itu dapat didengar oleh gadis tersebut. Pantas dia menoleh ke arah Rayyan. Satu renungan tajam diberikan buat pemuda tersebut. Keningnya ternaik menahan marah. Dia ni memang sengaja cari pasal dengan aku.
“Biar sombong bodoh jangan tak tahu adab dan sopan. Harap muka aje hensem tapi perangai buruk macam cipan. Ingat aku hairan sangat ke nak naik kereta besar kau ni?” Gadis tersebut dengan selambanya menendang roda kereta pemuda tersebut. Ini telah menaikkan kemarahan Rayyan.
“Hey!! Kau ni apa hal?” Rayyan mendekati gadis tersebut dengan marah. Namun, sempat dia dihalang oleh Adam.
“Ray…Ray…sabar. Bawa bertenang.” ujar Adam lembut sambil menarik lengan Rayyan.
“Bertenang you kata? You tengoklah perangai dia. Macam ni ke perangai orang perempuan?” Keras sekali nada suara Rayyan.
“Ada aku kisah. Yang kau sibuk sangat kenapa? Perangai aku, ikut suka akulah.” ujar gadis itu selamba. Tanpa sedikit pun perasaan gerun dengan kemarahan Rayyan itu.
“Kau tengok tu…kau tengok…” Rayyan mengentap giginya kuat.
“Sabar, Ray. Biar I settlekan benda ni. Kalau kita gaduh macam ni sampai bila pun takkan selesai masalah ni. Silap-silap sampai malam kita kat sini.” tegas Adam. Geram benara Adam dengan ulah Rayyan dan gadis itu. Ada kena sepak juga mereka ni dengan aku nanti.
Bukan dia tidak tahu perangai Rayyan yang sedikit keras kepala itu. Jika dia tidak bijak menangani situasi tersebut, pasti ianya tidak akan selesai. Rayyan dan gadis itu terdiam mendengar kata-kata Adam. Melihatkan itu, pantas Adam kembali bersuara.
“Macam nilah cik adik, kami nak bayar ganti rugi cik adik tak mahu. Nak hantar ke klinik pun cik adik tak mahu. Kira perkara ni settle macam ni ajelah.” Adam bersuara lembut merenung gadis tersebut dengan tenang. Agak lama gadis itu terdiam, akhirnya dia menganggukkan kepalanya perlahan-lahan.
“Ha…macam ni kan ke bagus. Takdelah bertekak aje dari tadi.” Senyuman manis terukir dibibir pemuda berkulit hitam manis itu.
“Bukan saya yang mulakan dulu, dialah…” menjeling Rayyan.
“Apahal aku pula? Kau yang sengaja cari pasal. Nak salahkan aku pulak. Apa hal?” Rayyan merenung gadis tersebut tajam. Dia yang salah, aku pula yang jadi mangsanya.
“Dahlah tu…” Adam mencelah. Bimbang dia jika keadaan masih lagi berterusan seperti tadi. Gadis itu mencebikkan bibirnya sebelum mengorakkan kakinya. Namun langkahnya terhenti apabila Adam memanggilnya. Pantas dia menoleh ke arah pemuda itu.
“Nak apa lagi?” Kedengaran rengusan kasar keluar dari bibirnya. Aku ingatkan dah selesai tadi.
“Nak minta tolong sikit, boleh?” ujar Adam selamba sambil tersengih kecil.
Mendengarkan permintaan dari Adam itu membuatkan dahi gadis tersebut berkerut seribu. Dia merenung penuh tanda tanya ke arah Adam. Seakan mengerti dengan pandangan itu, pantas Adam bersuara kembali.
“Jangan salah faham. Sebenarnya, kami berdua ni dah sesat. Puas kami berpusing-pusing kat sini tapi tak jumpa juga tempatnya. Jadi nak minta tolong dari cik adik ni. Manalah tahu kalau-kalau cik adik ni tahu tempat yang nak kami tuju tu.”
“Mana alamatnya?” ujar gadis tersebut tanpa banyak soal.
Adam menyerahkan sekeping kertas kepada gadis tersebut. Gadis itu membaca alamat yang tertera diatas kertas tersebut.
“Encik dah salah jalan ni. Encik kena pusing balik.” ujar gadis tersebut lalu menyerahkan semula kertas itu kepada Adam.
“Pusing balik?” soal Adam sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Gadis itu hanya menjawabnya dengan anggukkan sahaja.
“Tempat tu tak jauh dari sini. Encik pusing balik. Nanti encik akan jumpa lorong yang ketiga. Masuk lorong tu. Jalan terus aje, sampai jumpa kedai makan. Dekat kedai makan tu ada satu lorong. Masuk lorong tu. Dalam seratus meter encik akan jumpa tempat tu.” Terang gadis itu dengan panjang lebar tanpa di pinta.
Adam menganggukkan kepalanya tanda mengerti akan arahan yang diberikan oleh gadis tersebut. Rayyan yang berdiri tersandar disebelah kereta dipandangnya sekilas. Ketuanya itu tidak menunjukkan sebarang reaksi pun.
“Boleh tunjukkan pada saya tak jalannya?” Adam merenung ke arah gadis itu semula.
“Bukankah saya dah beritahu jalannya tadi. Nak tunjuk jalan apalagi?” Kali ini sedikit tegas suara gadis tersebut. Mengada-ngada pulak mamat ni. Ingat aku ni penunjuk jalan ke?
“Takdelah, takut tersesat lagi.” Sergihan Adam itu hanya dibalas dengan jelingan tajam oleh gadis tersebut. Garang juga budak ni.
“Marilah saya tunjukkan.” Gadis itu berjalan terhenjot-henjot menuju ke arah motosikalnya. Aku lagilah dah lambat. Banyak songeh pula dia.
“Boleh tanya sikit tak?” soal Adam sambil mengekori langkah gadis tersebut.
“Apa dia?” tanpa menoleh ke arah Adam. Apa lagilah mamat ni?
“Nama siapa?” soal Adam selamba.
Mendengarkan pertanyaan itu, pantas gadis itu merenung tajam wajah tampan disebelahnya. Seakan faham dengan renungan tajam yang diberikan, Adam kembali bersuara.
“Jangan salah anggap. Saya bertanya sebab takkan saya nak panggil awak ni cik adik aje. Rasa macam kurang sopan pula. Kalau panggil nama lagi elok.”
“Dania” sepatah nama itu keluar dari bibir gadis manis itu.
“Dania. Sedap nama tu. Nak panggil apa?” Adam cuba mengajak Dania berbual dengannya walaupun dia tahu gadis itu seakan kurang berminat untuk berbual mesra dengannya.
“Dania atau Nia.” ujar Dania antara mahu dengan tidak.
“Oh…saya, Adam.” Adam menghulurkan tangan untuk bersalam dengannya. Namun hanya gelengan kepala saja yang diberikan oleh Dania. Seakan faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Dania, Adam menarik semula tangannya.
“Dania sekolah lagi ke?”
“Baru lepas SPM.”
“Sekarang ni buat apa?”
“Buat bodoh.” Selamba saja ayat itu keluar dari bibir munggil itu. Untuk seketika Adam terkedu mendengar kata-kata Dania itu. “Encik, saya ni nak cepat. Kalau encik mahu saya tunjukkan jalan tu, jangan banyak soal. Ikut sahaja.” Padan muka. Kan dah kena dengan aku.
Adam menganggukkan kepalanya apabila mendengarkan arahan dari Dania. Dia mendekati Rayyan. Kedatangannya disambut dengan penuh kehairanan oleh pemuda itu.
“Apa hal?” soal Rayyan kehairanan.
“Jom…budak tu nak tunjukkan kita jalan.”
“You minta tolong dari budak sengal tu?”
“Dah takde orang lain lagi yang ada. Dia aje yang dapat bantu kita. Kalau tolak, kita juga yang rugi nanti.”
Antara mahu dengan tidak Rayyan akur juga. Dania menunjukkan arah yang sepatutnya dituju oleh kedua orang pemuda itu. Setelah itu dia terus menuju ke gerai makan ibu tirinya. Dia dimarahi oleh ibu tirinya akibat lambat datang ke kedai.

Tiada ulasan: