Halaman

Rabu, 20 Julai 2011

Selagi Ada Kasih 6

Dania melangkah masuk ke dalam bilik kecil yang menempatkan Encik Rahmat. Setelah memandikan ayahnya, kini masa untuk dia memberikan minum pagi buat si ayah. Begitulah rutin hidupnya semenjak ayahnya itu disahkan lumpuh oleh doktor beberapa tahun yang lalu akibat kemalangan jalan raya.
Dia meletakkan dulang yang berisi kuih dan air kopi diatas meja bersebelahan katil Encik Rahmat. Encik Rahmat tidak menyedari akan kehadirannya. Leka sekali dia termenung. Memerhatikan keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa melalui jendela yang terbuka luas.
“Ayah…” Lembut sekali sapaannya. Bimbang ayahnya terkejut dengan kehadirannya disitu. Mendengarkan suara itu, pantas Encik Rahmat menoleh. Sekuntum senyuman dilemparkan buat anak gadisnya yang amat taat padanya itu.
“Apa yang ayah menungkan tu? Ayah fikirkan apa?” Luah Dania sambil melabuhkan punggungnya disebelah Encik Rahmat. Senyuman manis tidak lekang dari bibirnya.
“Takde apa, Nia. Ayah cuma memikirkan nasib Nia aje.” Lemah sekali suara si ayah menuturkan kata-katanya. Bagaimanakah nasib dia andai aku tiada lagi nanti?
“Nasib Nia? Apa yang ayah katakan ni?” Soal Dania kehairanan.
“Kalau ayah takde, bagaimana agaknya nasib Nia kelak?”
“Apa yang ayah cakap ni?”
“Ayah tak boleh buat apa-apa, Nia. Kalau dunia luar tu lebih baik untuk Nia, pergilah. Tinggalkan rumah ni.” Pinta Encik Rahmat perlahan.
“Ayah…” Dania sedikit terperanjat mendengar permintaan ayahnya itu. Direnung dalam-dalam wajah tua itu. “Kenapa ayah cakap macam tu?” Sambung Dania lagi.
“Ayah tak sanggup lagi lihat kamu diseksa begini, Nia. Siang malam tenaga kamu dikerah.”
“Ayah…biarlah mereka nak buat apa sekalipun, Nia tak kisah. Asalkan Nia dekat dengan ayah. Asalkan Nia dapat berbakti pada ayah.” Sendu sekali suara Dania menuturkan kata-katanya.
“Tapi ayah tak sanggup, Nia. Ayah tak sanggup. Ayah kasihankan kamu. Kalaulah ayah boleh mencari rezeki seperti dulu, sudah pasti kamu takkan jadi begini. Sudah pasti kamu dapat menyambung pelajaran kamu dan dapat mencapai cita-cita kamu.” Sebak sekali suara Encik Rahmat menuturkan kata-katanya.
“Ayah, jangan disalahkan takdir yang menimpa kita. Semua yang terjadi ni pasti ada hikmahnya. Nia terima semua ni dengan redha. Nia tahu, Nia tak berpeluang sambung pelajaran Nia tapi sekurang-kurangnya Nia dapat berbakti pada ayah.” Dania menggenggam erat tangan ayahnya. Dia cuba menahan sebak yang kian melanda dadanya. Dia perlu kuat dalam menangani situasi sebegini.
“Bagi Nia, ayah dah banyak berkorban untuk Nia selama ni. Kini tiba masanya untuk Nia membalas balik apa yang dah ayah lakukan untuk Nia. Cita-cita Nia tu, bila-bila masa sahaja boleh Nia tuntut tapi berbakti pada ayah juga penting bagi Nia.” Sambung Dania lagi.
Sebak dada Encik Rahmat mendengar pengakuan jujur dari anak gadisnya itu. Dia tahu Dania seorang anak yang baik. Dia tidak pernah putus berdoa agar satu hari nanti impian dan cita-cita Dania akan tercapai jua.
“Dahlah ayah…kita minum ya. Jangan difikir yang bukan-bukan.” Dania pantas mengelap air mata yang mengalir dipipi ayahnya itu. Telah dia buang jauh-jauh impiannya setelah dia tahu yang dia tidak mungkin akan dapat meneruskan cita-citanya. Cukuplah dia dapat berbakti pada ayahnya. Aku tak pernah berharap sejauh itu. Walaupun ianya adalah impian dan cita-cita aku selama ini.
Baginya itu sudah memadai. Dalam fikirannya saat ini adalah ingin berbakti kepada ayahnya. Biarlah dia diperhambakan oleh Puan Zaiton sekalipun, dia rela asalkan dia tidak jauh dari ayahnya itu. Dia tahu andainya dia jauh dari ayahnya, belum tentu Puan Zaiton mahupun Kartika akan menjaga ayahnya itu dengan baik.




Rayyan tersandar keletihan di kerusi yang didudukinya itu. Sesekali dia menguap besar. Hari ini dia benar-benar keletihan. Adam telah dibenarkan pulang ke bandar kerana terdapat hal kecemasan yang berkaitan dengan keluarganya perlu diuruskan. Kini tinggal dia sendirian disitu meneruskan kerja-kerja mereka yang terbengkalai.
Mengikut dari perancangan, kerja-kerja mereka akan selesai dalam dua atau tiga hari lagi. Memandangkan pembantunya itu mempunyai masalah keluarga, jadi dia membenarkan Adam pulang dahulu. Adam juga telah berjanji dengannya yang dia akan datang menyusulnya seandainya masalah keluarganya itu dapat diselesaikan.
Dia tidak kisah sangat tentang itu kerana hampir lapan puluh lima peratus kerja-kerja mereka di situ telah mereka selesaikan. Kini mereka hanya perlu menyiapkan laporannya sahaja untuk dihantar kepada pemaju. Helmi dan Rifqah telah berkali-kali menelefon bertanyakan kepulangannya. Dia tahu Rifqah amat merinduinya. Begitu juga dengan dia. Jika tidak dikenangkan akan kerja-kerjanya yang masih lagi terbengkalai di situ, pasti dia sudah mengikut Adam pulang ke bandar.
Sekali lagi dia menguap sambil mengeliat keletihan. Tanpa berfikir panjang lagi, dia terus bangun lalu merebahkan badannya diatas katil. Beberapa minit kemudian, dia terus terlena. Lena sekali tidurnya tanpa menyedari senja merangkak tiba. Dia terkejut apabila kedengaran laungan azan Maghrib berkumandang di masjid yang berdekatan.
Antara mahu dengan tidak, dipaksakan jua matanya agar terbuka. Dengan langkah yang malas dia menuju ke bilik air. Badannya kembali segar apabila dia selesai membersihkan diri. Dia menyarungkan jeans dan t-shirt Polo berwarna putih ke badannya. Niat dihati, dia ingin keluar menjamu selera. Lalu dicapainya jaket yang tergantung di kerusi yang biasa diduduki.
Ketika kakinya ingin melangkah keluar dari rumah itu, telefon bimbitnya nyaring menyanyikan lagu Starlight dendangan Muse. Melihatkan nombor yang tidak dikenali tertera dipaparan telefon bimbitnya itu, dia mengerutkan dahinya. Namun, dijawab juga panggilan tersebut.
“Hello…” Luahnya lembut. Siapa pula ni?
“Hello…Assalamualaikum.” Kedengaran lembut suara Adam ditalian sebelah sana.
“Walaikumsalam. You rupanya, Adam. I ingatkan siapa tadi. Iskh…buat terkejut orang jelah.” Runggut Rayyan lembut. Cuak juga. Ingatkan siapalah yang called aku tadi?
“Terkejut? Apasal pula?” Tanya Adam hairan.
“Yelah…I tak kenal nombor you ni. Mana I tak terkejut.” Adam tertawa besar mendengar luahan Rayyan itu. “Apa hal you telefon I ni?” Rayyan mengubah tajuk perbualan mereka berdua.
“I cuma nak beritahu you, esok I akan ke sana.” Adam bersuara setelah tawanya reda.
“Dah selesaikan masalah family you tu?”
“Ahamdulillah. Settle dah.”
“Hmm…baguslah begitu.” luah Rayyan tenang. Takdelah aku mati kutu disini.
“You ada apa-apa nak kirim ke?” Tanya Adam.
“Kirim? Kirim apa?” tanya Rayyan hairan. Dahinya dikerut seribu. Pelik dengan pertanyaan yang dikemukakan oleh Adam sebentar tadi.
“Yelah, makanan ke? Apa-apa ajelah. Boleh juga I bawa ke sana nanti.”
“Iskh…merepek ajelah you nie. Kita bukannya lama kat sini. Dua hari lagi kita dah balik. Lainlah kalau kita duduk kat sini setahun. Boleh juga I suruh you datang bawa makanan sedap-sedap.” Selamba sahaja Rayyan membalas kata-kata Adam itu.
Sekali lagi Adam tertawa mendengarkan luahan Rayyan itu. “You dah makan ke?” Soal Adam apabila ketawanya kembali reda.
“Ni nak pergi makanlah ni. Boring pula bila you takde.” Luah Rayyan ikhlas. Sememangnya terasa sedikit sunyi hidupnya apabila Adam tiada saat itu. Jika ada Adam pasti mereka dapat berkongsi apa sahaja. Tidaklah dia mati kutu sendirian.
“Takpelah, Ray. Esok I datang sana. Oklah, Ray. Pergilah makan. Nanti kita sambung lagi. Asssalamualaikum.” Salam yang dihulurkan dijawab perlahan oleh Rayyan. Dia tersenyum seketika apabila mengingati kata-kata Adam sebentar tadi. Macam-macamlah Adam ni.
Tanpa berlengah lagi, dia meneruskan perjalanannya ke kedai makan milik Puan Zaiton. Malam itu perjalananannya hanya disuluhi dengan cahaya bulan. Jadi dia tidak perlu bimbang akan kegelapan yang menyelebungi. Sesekali dia menoleh kiri dan kanan jalan. Memerhatikan keindahan alam ciptaan TUHAN.
Sedang leka dia memerhatikan sekeliling tiba-tiba matanya terlihat sesuatu yang agak mencurigakan tidak jauh darinya. Perlahan-lahan dia mendekati objek tersebut. Didapati motosikal Dania jatuh berhampiran disitu.
“Ni motor Dania tapi mana dia?” Luahnya perlahan sambil memerhatikan sekeliling. Hatinya mula terasa tidak enak. “Jangan perkara yang buruk jadi pada dia sudahlah.” Pinta Rayyan dalam hati.
Walaupun mereka berdua sering sahaja bertengkar jika berjumpa, hatinya bimbang juga jika sesuatu yang buruk akan menimpa gadis tersebut saat ini. Dania tidak akan dengan mudah meninggalkan motosikal begitu sahaja ditepi jalan begitu. Pasti ada sesuatu yang berlaku. Jika tidak, masakan motornya dibiarkan begini sahaja.
Tanpa dipinta dia meredah hutan kecil itu dalam kegelapan malam. Hatinya mula terasa bimbang jika sesuatu yang tidak diingini terjadi kepada gadis sunti itu. Ini memandangkan keadaan motosikal Dania yang jatuh di epi jalan itu menimbulkan prasangka. Dari jauhdapat dia dengar suara gadis itu sedang memaki hamun seseorang, walaupun butir bicaranya kurang jelas dipendengaran.
“Lepaskan akulah, setan!” Marah Dania. Dia meronta kasar. Namun permintaannya tidak sedikit pun dihiraukan oleh Samad dan teman-temannya. Tubuh Dania dihumban kehadapan. Dania terduduk diatas rumput-rumput yang terdapat di hutan itu. Mukanya berkeriut menahan sakit dan matanya mencerlung tajam memandang wajah Samad.
“Apa yang kau nak ha?” Marah Dania. Mendengarkan soalan tersebut, Samad dan teman-temannya ketawa. Dania mula menjadi takut dengan kelakuan Samad itu. Ya ALLAH, janganlah dia buat tak senonoh dengan aku.
“Kau tahu apa yang aku mahukan, Nia.” Samad bersuara apabila tawanya mula reda.
“Aku tak faham maksud kau.” Luah Dania. Dadanya berombak pantas menahan resah. Dalam hati dia berdoa agar Samad dan teman-temannya tidak melakukan sesuatu yang buruk terhadapnya. Dia juga berdoa agar ada manusia yang sudi menolongnya saat itu. Ya ALLAH, bantulah hamba Mu ini. Aku mohon sangat-sangat.
“Untuk pengetahuan kau, inilah balasannya akibat kau menolak cinta aku. Aku cintakan kau tapi kau tolak cinta aku. Malah, kau langsung tak pandang aku.” ujar Samad. Tersungging senyuman jahat diwajah pemuda itu.
“Aku tak sukakan kau. Bagaimana aku nak terima kau?” Balas Dania geram. Tahulah dia kini mengapa Samad memperlakukannya sedemikian. Hanya semata-mata ingin membalas dendam kerana dia menolak cinta Samad. Dia memang dah gila.
“Kau tak suka aku sebab mamat dari bandar tu, kan?” Samad mula meninggikan suaranya sambil mencerlung marah ke arah Dania. Macamlah aku ni tak tahu.
“Apa yang kau cakapkan ni? Aku tak fahamlah.” Soal Dania berani. Apa kena-ngena mamat-mamat tu dengan aku?
“Kau ingat aku tak tahu ke, kau sukakan mamat-mamat yang datang dari bandar tu, kan?” Soal Samad lagi.
“Kau jangan nak mengarutlah, Samad. Aku dengan mereka takde apa-apa pun. Mereka cuma pelanggan mak cik aku aje. Kami takde hubungan apa-apa pun.” Nafi Dania.
“Ika kata kau bercinta dengan salah seorang dari mereka.” Tegas Samad lagi.
Dania terdiam mendengarkan kata-kata Samad itu. Ika? Bila masa pula aku cakap begitu dengan dia? Setahu aku, aku tak pernah cakap apa-apa pun pada Ika pasal mamat dua orang tu. Sampai hati Ika buat aku macam ni. Apa salah aku pada dia?
“Eh Samad! Nak tunggu berapa lama lagi dah?” Luah salah seorang teman Samad.
“Betul kata Budin tu. Kami dah lapar dah ni.” Luah seorang lagi teman Samad. Budin dan seorang teman Samad lagi tertawa besar.
“Rilekslah, kawan-kawan. Rileks. Kejap lagi kita makan besar. Kau orang semua jangan bimbang.” Luah Samad sambil ketawa besar. Samad mendekati Dania dengan sergihan dibibirnya. Melihatkan itu, Dania mula berasa berdebar-debar.
“Kau jangan datang dekat, Samad. Kalau tidak aku menjerit nanti.” Ugutan Diana itu disambut hilai tawa Samad bersama rakan-rakannya. Dadanya mula berdebar kencang. Takut sesuatu yang tidak diingini akan berlaku ke atas dirinya. Saat itu, dia teringatkan ayahnya. Ayah…tolong Nia, ayah.
“Jeritlah, Nia…jeritlah. Berapa kuat kau nak jerit sekali pun jeritlah. Kami tak hairan. Untuk pengetahuan kau, takkan ada siapa pun yang akan dengar jeritan kau tu. Faham!” Samad tersenyum apabila habis berkata-kata.
Mendengarkan ucapan tersebut mengundang keresahan dijiwa Dania. Tanpa berlengah lagi, Samad terus menerkamnya. Dania meronta-ronta minta dilepaskan. Habis pakaian Dania koyak-rabak ditarik oleh Samad dengan rakusnya. Rontaan dan juga tangisan Dania itu tidak sedikit pun dihiraukan oleh Samad. Dia semakin rakus menggomol tubuh Dania yang gebu itu. Sudah lama dia idamkan tubuh gebu gadis tersebut. Baru kini dia dapat peluang untuk merasainya.
Sedang dia cuba untuk melempiaskan nafsu serakahnya itu, terasa olehnya tubuhnya ditarik oleh seseorang dari arah belakang dengan kasar. Belum pun sempat dia bersedia, tumbukkan demi tumbukkan bertubi-tubi mengenai tubuhnya yang kurus kering itu.
“Kurang ajar!!!!” Rayyan menendang tubuh Samad sekuat hati sehingga pemuda itu tidak berdaya lagi untuk melawan. Setelah puas, dia menoleh ke arah Dania yang sedang menanggis ketakutan. Nafas mengah dihela perlahan-lahan agar menjadi stabil. Perlahan-lahan dia mendekati gadis yang sedang dalam ketakutan itu.
Jelas ketakutan diwajah sendu gadis itu. Dalam diam timbul rasa kasihan dihatinya buat Dania. Saat itu, hilang seketika persengketaan diantara dia dan Dania. Perlahan-lahan dia menarik tubuh Dania rapat ke dadanya bagi mententeramkan gadis tersebut. Nasib baik aku tergerak nak masuk ke sini.
“Dah. Jangan menanggis lagi.” Pujuknya lembut. Tubuh Dania menggigil menahan ketakutan. Dia tahu gadis itu trauma dengan apa yang berlaku. Dia melepaskan pelukkannya apabila rasa gadis itu sudah mula bertenang.
“Awak tak apa-apa?” soal Rayyan sambil merenung Dania. Dania menganggukkan kepalanya sambil menahan sendu. Melihatkan keadaan Dania itu pantas dia membuka jaketnya lalu disarungkan ke tubuh gadis itu.
“Mari saya hantar awak balik.” Dengan langkah yang longlai, Dania cuba bangun. Hampir dia jatuh terjelepuk semula, cepat tubuh kecilnya disambut oleh Rayyan. Ketika mereka berpaling, Samad dan teman-teman telah tiada di tempat mereka terbaring tadi. Namun tidak sedikit pun mereka hiraukan.
Yang penting saat ini, mereka harus keluar dari tempat jahanam itu. Rayyan tahu, Dania telah melalui hari yang paling sukar dalam hidupnya saat ini.

Tiada ulasan: