Halaman

Rabu, 20 Julai 2011

Selagi Ada Kasih 4

Suasana di gerai makan itu sudah tidak sesibuk tadi. Sudah menjadi kebiasaan, apabila tiba waktu makan tengahari, kedai itu hampir saja dipenuhi dengan pelanggan yang datang untuk menjamu selera. Saat itu, tidak menang tangan pekerja-pekerja di gerai itu melayaninya.
Dania memusing-musingkan pinggannya yang sedikit lenguh itu. Walaupun sudah biasa dengan kerja-kerja begitu, namun kepenatannya sering kali terasa. Dia leka mengemaskan meja yang telah ditinggalkan oleh pelanggan yang datang berkunjung sebentar tadi.
Ibu tirinya tidak ada di kedai saat itu. Mungkin keluar sebentar bagi menguruskan urusan yang tergendala. Itu semua tidak sedikit pun diambil pusing. Baginya, samada ibu tirinya itu ada atau tidak, dia tetap menjalankan kerjanya seperti biasa.
Pelanggan yang datang berpusu-pusu berlalu pergi. Ada juga yang baru saja melangkah masuk. Namun, tidak sedikit pun diendahkannya. Jika tidak dia yang mengambil pesanan, ada pekerja lain yang akan membantunya. Leka sekali dia menyiapkan kerjanya itu, sehinggakan tidak sedar akan kehadiran tapak-tapak halus yang mula mendekatinya.
“Woi!!” Pantas dia menoleh apabila terdengar jeritan ditelinganya. Dilihat sahabat baiknya, Shida sedang tersengih dibelakangnya. Ada kena juga minah ni dengan aku nanti.
“Ya ALLAH, kau rupanya Shida. Aku ingatkan siapa tadi.” Perlahan-lahan dia mengurut dadanya sambil menggelengkan kepala. Nasib baik aku takde sakit jantung. Kalau tidak, mati mudalah jawabnya.
“Kau tu kalau dah buat kerja…leka. Aku datang pun tak sedar.” Shida mencebikkan bibirnya melihatkan ulah sahabatnya itu. Macam dia seorang aje yang sibuk.
“Aku bukannya leka tapi banyak sangat benda yang nak aku fikir. Kau ni pun satu. Kot ye pun bagilah salam. Ni tidak, main sergah je. Dibuatnya aku pengsan kat sini macam mana?” Dania bercekak pinggang melihatkan ulah sahabat baiknya itu.
Marah benar dengan sikap Shida itu. Bukan sekali dua sahabatnya berbuat demikian untuk mengusiknya. Sudah acap kali. Setiap kali ditegur, pasti ada sahaja jawapan yang diberikannya.
“Apa susah, aku siram aje dengan air basuh pinggan kat belakang tu.” Shida tertawa besar kerana dapat mengenakan Dania. Dania menggelengkan kepala sahaja dengan ulah Shidah itu. Perangai tak berubah-ubah.
“Kau nak minum apa?” Dania menukar topik perbualan mereka.
“Kau buatkan aku milo ais kaw.” ujar Shida manja.
“Ok. Kau duduk dulu. Nanti aku buatkan.”
“Eh! Aku nak kau yang buatkan tau. Tak mau orang lain.” Shida melabuhkan punggungnya di kerusi yang disediakan.
“Kenapa pula?” Dania mengerut dahi kehairanan.
“Orang lain kalau buat air tak sedap. Kalau kau buat sedap.” Puji Shida.
“Hmm…yelah tu.” Dania mencebikkan bibirnya apabila mendengar kata-kata pujian dari sahabatnya itu. Tanpa berlengah lagi, dia terus ke belakang. Beberapa minit kemudian dia datang semula sambil membawa minuman yang telah dipesan oleh Shida.
“Kau dari mana ni?” Luah Dania sambil melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan Shida. Shida menyedut milo ais yang dihidangkan oleh temannya itu sebelum menjawab soalan yang diutarakan oleh Dania.
Tekaknya terasa begitu dingin sekali apabila air milo ais itu mengalir melaluinya. Cuaca panas begini, memang sesuai untuk minum minuman sejuk sebegitu. Sudah agak lama hujan tidak turun membasahi bumi. Sesekali dia mengipas wajahnya dengan tisu yang ada ditangan bagi meredakan kepanasan yang mula meraja.
“Aku dari bandar tadi.” Shida mengelap peluh yang mengalir di pipinya.
“Kau buat apa ke bandar?” tanya Dania kehairanan
“Aku pergi poskan borang untuk permohonan kolej aku.” Lembut sekali kata-kata itu meluncur keluar dari bibir Shida. Dania menganggukan kepalanya sahaja bagi mengiakan kata-kata tersebut. “Kau tak mohon mana-mana universiti ke, Nia?” Wajah mulus itu ditenungnya dalam-dalam.
Dania hanya menggelengkan kepalanya sahaja bagi jawapan yang diutarakan. Sekuntum senyuman hambar dilemparkan kepada Shida. Terlihat kerutan didahi sahabatnya itu. Dania tahu, Shida pasti hairan kenapa dan mengapa dia tidak memohon untuk melanjutkan pelajarannya sedangkan keputusan peperiksaannya jauh lebih baik dari Shida.
“Tapi kenapa? Setahu aku, keputusan kau bagus. Lebih baik dari aku pula tu. Takkan kau nak sia-siakan macam tu aje?” soal Shida hairan. Ke dia tak mahu sambung belajar lagi?
“Kau sendiri tahukan keadaan aku macam mana, Shida. Mak cik aku takkan benarkan aku sambung belajar. Aku dapat ambil SPM ni pun dah kira baik.” Lemah sekali nada yang dituturkan oleh Dania. Terusik seketika hati Shida mendengarnya. Kasihannya kau, Nia.
“Ayah kau kata apa?” soal Shida lagi.
“Nak kata apa? Ayah aku pun tak boleh buat apa-apa. Dapat pula dalam keadaan ayah aku sekarang ni…lagilah payah. Sukar untuk membuat keputusan.” Perlahan-lahan Dania menghela nafasnya. Nampaknya, harapan hanya tinggal harapanlah jawapannya.
“Kau dah cuba bincang dengan dia?”
“Siapa?” soal Dania tanpa menjawab soalan Shida. Dengan ayah atau dengan mak cik aku? Kalau ayah, tak payah cakap ayah akan bagi tapi kalau dengan mak cik, tak payahlah.
“Mak tiri kau tulah. Takkan dengan mamak jual cendol kat bandar tu pula.” Selamba sahaja ayat itu keluar dari bibir munggil Shida.
Dania tertawa kecil sebelum menjawab kata-kata Shida itu. Dalam keadaan serius begitu, boleh pula Shidah membuat lawak dengannya. Betul juga tu.
“Tak perlu bincang pun aku dah tahu jawapannya, Shida. Tak payahlah aku nak bersusah payah berbincang dengan dia lagi. Buat menghabiskan air liur aje. Air liur yang ada ni, lebih baik aku simpan. Ada juga faedahnya.” Selamba Dania menjawab.
“Apa maksud kau?”
“Masa aku nak ambil SPM dulu, dia dah ingatkan aku. Katanya kalau aku lulus, janganlah nak bermimpi untuk sambung belajar lagi ke universiti atau mana-mana IPTA. Dia anggapkan aku ni macam bebanan dia.” Luah Dania perlahan. Kalaulah ada mak dan ayah tak sakit…mungkin nasib aku tak macam ni.
“Ohh…bebanan dia. Kalau dia anggap kau ni bebanan dia, kenapa dia suruh kau kerja kat sini? Dahlah tu, gaji pun tak bagi. Ni bukan bebanan lagi tau tapi dah tahap nak mendera namanya. Faham!” Keras sekali luahan Shida itu. Geram dan sakit hatinya apabila mendengarkan kata-kata itu. Apa punya orang agaknya?
Dania hanya tersenyum hambar mendengar kata-kata sahabatnya itu. Siapa yang tidak mahu menyambung pelajaran jika keputusan yang dimiliki baik. Begitu juga dengan dia. Jika boleh dia ingin sekali menyambung pelajaran dalam bidang yang diingininya tapi nasib tidak menyebelahinya.
“Habis tu, Ika boleh pula dia tanggung?” Shida menyoal lagi.
“Ika tu anak dia. Aku ni anak tiri. Anak sendiri dengan anak tiri tak sama, Cik Shida oiii!!! Takkan itu pun kau tak faham lagi?” Renggus Dania kecil. Takkan itu pun aku nak ajar?
“Iskh…kejam betul mak tiri kau tu ye. Nasib baiklah tak jadi mak tiri aku.” Sesekali dia menyedut milo aisnya. Mintak dijauhkanlah kalau dapat mak tiri macam gitu. Takde mak pun takpelah.
“Kenapa? Kau nak dia jadi mak tiri kau ke?” Terbit sengihan di bibir Dania untuk Shida.
“Iskh…selisih malaikat empat puluh empat tau. Dari bermak tirikan dia, baik tak payah ada mak pun takpe. Aku rela.” Cbikkan dibibir Shida itu mengundang tawa halus Dania. Gelihatinya melihatkan ulah Shida itu. Tahu takut.
“Ha! Kau kalau ada anak tiri jangan pula buat anak tiri kau macam mak tiri kau buat kat kau nanti.” sambung Shida lagi.
“Iskh…dia ni ke situ pula.” Ujar Dania sambil menggelengkan kepala. Macam mintak aku kahwin dengan duda ada anak aje minah ni.
“Eh…manalah tau kalau kau kahwin dengan duda ada anak ke nanti. Ha…jangan kau layan anak kau macam gitu pula.” Seloroh Shida.
“Kalau dah jodoh aku, takdelah aku buat macam tu, sengal. Kau pun tau, aku suka budak-budak, kan. Takkanlah aku sampai hati nak buat mereka macam tu. Apalah kau ni?” Sangkal Dania keras.
“Aku tahu. Mak cik kau mana? Dari tadi aku tak nampak pun batang hidungnya.” Shida meninjau-ninjau ke sekeliling kedai makan itu.
“Dia takde. Dia keluar sekejap. Sat lagi dia baliklah tu. Kenapa? Kau nak jumpa dengan dia ke?” Lurus Dania bertanya. Sejak bila pula dia ni berurusan dengan mak cik Eton?
“Buat apa? Takde kerja aku nak jumpa dengan dia. Banyak lagi benda aku boleh buat daripada jumpa dengan dia.”
Rayyan dan Adam yang duduk tidak jauh dari mereka berdua terdengar perbualan tersebut tanpa disengajakan. Adam dan Rayyan saling berpandangan diantara satu sama lain. Mereka tidak menyangka yang mereka akan bertemu lagi dengan Dania disitu.
“Eh…Nia! Apa kata kau minta izin dari dia yang kau nak sambung belajar lagi. Manalah tahu kalau dia mengizinkan kau sambung belajar.” Cadang Shida.
“Dia takkan bagi, Shida.” ujar Dania lembut. Aku kenal sangat dengan mak cik Eton tu.
“Kau cubalah dulu. Manalah tahu dapat. Rezeki kau.”
“Aku dah cuba. Dia tak bagi.” Tegas Dania. Kiamatlah dunia ni kalau dia benarkan aku sambung belajar lagi.
Bukan dia tidak pernah mencuba untuk memujuk hati batu Puan Zaiton itu. Telah acap kali dia lakukan. Namun, jawapannya tetap sama. Jika hitam katanya maka hitamlah jawapannya. Sukar untuk diubah-ubah lagi
“Alasan dia?”
“Siapa yang nak bayar kos disana nanti dan yang paling penting sekali, ayah aku tu siapa yang nak jaga kalau aku sambung belajar? Cuba kau cakap dengan aku.”
“Eh…diakan ke ada. Ika pun ada. Kenapa dia nak harapkan kau juga? Sedangkan ayah kau tu, laki dia. Bukan laki kau. Lainlah kalau bapak kau tu, laki kau. Bolehlah kau jaga siang malam. Tak payah nak pening-peningkan kepala lagi.” Tegas Shida.
“Kau cakap memanglah senang Shida tapi aku yang tanggung. Bukan kau.” Luah Dania lemah. “Kau cakap dengan aku, siapa yang tak mahu sambung belajar lagi? Semua orang mahu. Begitu juga dengan aku. Jika boleh aku nak sambung belajar lagi tapi…” Kata-kata Dania terhenti di situ. Shida menggenggam erat tangannya. Dia tahu Dania sedih.
“Ayah aku selalu cakap yang dia dah banyak menyusahkan aku tapi sebagai seorang anak, aku tak pernah rasa yang ayah aku itu satu bebanan pada aku. Aku anggap apa yang aku lakukan ni semuanya adalah jasa aku pada dia. Aku tak boleh bayangkan jika aku takde disisi dia nanti, Shida. Apa yang akan jadi pada dia?” Kedengaran sayu suara Dania meluahkan kata-katanya itu. Aku tak sanggup kehilangan orang yang aku sayang untuk kali yang kedua. Cukuplah aku kehilangan emak aku.
“Aku faham perasaan kau, Nia tapi bagaimana dengan cita-cita kau? Impian kau selama ni? Takkan kau nak kuburkan begitu sahaja?” soal Shida lembut. Dia simpati dengan nasib yang menimpa sahabat baiknya itu. Aku tak mampu untuk membantu kau, Nia.
“Shida, aku takkan sesekali kuburkan cita-cita dan impian aku. Insya-ALLAH, satu hari nanti akan aku capai jua apa yang aku cita-citakan. Percayalah.” Sekuntum senyuman hambar terukir dibibir Dania. Bolehkah aku mencapainya? Ya…andainya ada keajiban yang akan berlaku dalam hidup aku.
Shida turut membalas senyuman itu. Gengaman tangannya dikemaskan. Dania membalas gengamannya itu. Senyumannya mati tiba-tiba apabila dia terlihat kelibat seseorang. Alamak…mati aku.
“Alamak Shida…mak cik aku dah balik. Nanti kita bual lagi, ya.” Pantas Dania bangkit dari duduknya tanpa sempat Shida menjawab kata-katanya itu. Shida yang melihat ulahnya itu termanggu seketika. Sesekali dia menggaru lehernya yang tidak gatal. Iskh…minah ni. Kelam-kabut betullah. Belum sempat aku cakap dah blah. Kot ye pun tunggulah aku cakap dulu.
“Iskh…Nia ni. Haru betullah.” omelnya perlahan. Ulahnya diperhatikan oleh Adam sedari tadi. Menyedari itu pantas dia menoleh. Hanya sekuntum senyuman sahaja menjadi perantaraan di antara mereka berdua.




Puan Zaiton melangkah masuk ke dalam kedainya. Dia tidak terus ke belakang seperti lazimnya. Namun dia terus menuju ke kuanter yang terletak disudut pintu masuk kedai tersebut. Punggungnya dilabuhkan diatas kerusi yang sememangnya tersedia disitu. Melihatkan itu, Shida pantas mendekatinya.
“Assalamualaikum, mak cik.” ujar Shidah lembut.
“Walaikumsalam…” Puan Zaiton menoleh ke arah Shida. Direnungnya wajah gadis sunti itu seketika. “Ha…kau. Apa kau buat kat sini?” sedikit tegas. Cari Nialah tu.
“Eh…minumlah. Takkan shopping pula. Apalah mak cik ni.’ jawab Shida selamba. Takkan itu pun tak tahu.
“Bukan kau ke sini mencari Nia?” Duga Puan Zaiton. Macamlah aku tak tahu.
“Niat dihati tu memang mencari dia tapi sibuk pula si Nia tu. Jadi, tak mahulah saya mengacau. Nanti dikatakan pula Nia tu curi tulang pula.”
“Kau jangan nak menghasut dia yang bukan-bukan Shida. Kalau aku tahu kau menghasut dia untuk sambung belajar lagi, siap kau…aku kerjakan.” Puan Zaiton mengetap giginya. Bukan boleh percaya budak ni.
“Eh…bukan ke sambung belajar tu baik, mak cik. Nabi SAW pun ada berkata, tuntutlah ilmu itu sampai ke Negara China. Jadi, nilah peluangnya. Dapat pula dalam usia semuda kami ni. Lagilah digalakkan.”
“Kau nak mengajar aku nampak?”
“Saya bukan mengajar mak cik tapi itu fakta. Semua orang tahu. Budak kecil pun tau.” Selamba sahaja ayat yang keluar dari bibirnya itu. Dia tahu Puan Zaiton sedang menahan amarahnya. Namun tidak sedikit pun dia gentar. Aku tak takut pun.
Adam dan Rayyan bangun lalu menghampiri mereka berdua. Melihatkan itu Puan Zaiton pantas memanggil Dania yang berada dibahagian belakang kedai untuk membersihkan meja yang telah digunakan.
“Nia…Nia…Dania…” jerit Puan Zaiton.
“Iskh…mak cik ni. Kalau nak jerit sekalipun agak-agaklah. Ni depan customer tu. Lari customer mak cik nanti. Baru tau. Satu apa pun tak dapat.” Luah Shida selamba. Sengaja dia berbuat demikian untuk menambah sakitkan hati Puan Zaiton. Teruk punya perangai orang tua ni. Main suka dia aje nak jerit. Tak kira depan customer ke tidak.
“Yang kau sibuk, kenapa? Apa masalah kau?” soal Puan Zaiton sambil bercekak pinggang. Lagi lama budak ni dekat sini, makin angin aku dibuatnya.
“Takdelah. Customer lari nanti baru mak cik tahu. Siapa yang susah, mak cik juga. Bukan orang lain tau.” Jawab Shida sambil tersengih kecil.
Adam dan Rayyan yang mendengar kata-kata Shida itu hanya tersenyum nipis. Puan Zaiton mula menarik wajah masamnya dengan ulah Shida itu. Jika diikutkan hatinya yang sakit saat itu, mahu sahaja dia menghalau Shida pergi dari situ segera. Namun, hati pelanggannya perlu juga dijaga. Dia tidak mahu menunjukkan imej yang kurang baik dihadapan pelanggan.
“Lagi satu, senyum tu kena manis sikit mak cik. Kalau mak cik buat muka macam tu, bukan kata saya, cik abang berdua ni pun tak berminat nak masuk dalam kedai ni lagi. Betul tak, bang?” menoleh ke arah Adam dan Rayyan. Kedua pemuda tersebut menahan tawanya.
Merah padam muka Puan Zaiton menahan marah. Saat itu mahu sahaja dia menengking Shida. Namun dibatalkan saja niatnya apabila mengenangkan ada pelanggan yang berada dihadapannya saat itu. Nasib baiklah ada orang. Kalau tidak aku dah halau budak ni.
“Mak cik panggil, Nia?” Sapaan Dania mengejutkan dia dari lamunannya.
“Mana kau pergi?” soal Puan Zaiton tanpa menjawab soalan Dania.
“Nia ada kat dapur tadi. Ada apa, mak cik?” Tanya Dania hairan. Apa lagi salah aku kali ni?
“Pergi kemas meja kat depan tu.” Arah Puan Zaiton tegas.
“Baiklah.” Jawab Dania sepatah tanpa menghiraukan Shida yang ada di situ Dania terus berlalu. Baru sahaja dia ingin melangkah, Adam menegurnya lembut.
“Cik Dania?” Pantas Dania menoleh apabila mendengar seseorang menegurnya. Ditenung wajah Adam dengan penuh tanda tanya. Siapa pulak ni? Aku kenal dia ke?
“Tak kenal dengan saya lagi?” soal Adam lembut.
Hanya gelengan sahaja yang diberikan bagi jawapan yang diajukan oleh pemuda dihadapannya itu. Siapa ni? Aku tak kenal.
“Saya, Adam. Cik Dania bantu kami masa kami minta tolong tunjukkan jalan hari tu. Ingat lagi tak?” Adam merenung wajah ayu itu. Sebuah senyuman manis terukir dibibirnya. Takkan tak kenal kot?
“Maaflah, encik. Saya tak kenal. Mungkin encik ni silap orang.” Selamba sahaja ayat itu keluar dari bibir munggil itu. Tanpa menghiraukan pandangan Adam, Dania berlalu meneruskan tugasannya. Apa dia buat kat sini? Tahu dek mak cik Eton nanti, mati aku kena marah lagi.
“Takkan silap orang kot.” Omel Adam perlahan. Tak mungkinlah.
“Betul ke abang kenal dengan dia?” Soal Shida selamba sambil merenung wajah Adam dalam-dalam. Ada keraguan bermain dipinggir hatinya saat itu. Mana dia kenal dengan Nia?
“Takdelah. Mungkin pelanduk dua serupa.” Pantas Rayyan menjawab pertanyaan Shida itu. “Berapa jumlah yang kami makan tadi, Puan?” Wajah terkejut Puan Zaiton direnungnya.
“Encik berdua makan apa?” Merenung wajah putih Rayyan.
Rayyan menyenaraikan apa yang telah dimakan oleh mereka berdua. Puan Zaiton mengira jumlah tersebut. Sesekali matanya menjeling ke arah Dania yang leka menyiapkan tugasannya.
“Semua sekali RM 11.50.”
Tanpa menunggu lama, Rayyan menghulurkan not RM50 kepada Puan Zaiton. Setelah baki dikembalikan, Puan Zaiton memulakan bicara.
“Orang baru ke?” Soal Puan zaiton tiba-tiba.
“Orang baru? Maksud, Puan?” Soal Adam kembali kurang memahami akan pertanyaan tersebut. Sesekali dia menoleh ke arah Rayyan yang berdiri tegak disebelahnya.
“Maksud mak cik, baru pindah sini ke? Tak pernah nampak pun sebelum ni.”
Wajah Rayyan dan Adam direnungnya dalam-dalam. Dari pengamatannya, Rayyan dan Adam berkemungkinan datang dari bandar. Gaya pemakaian pemuda berdua yang segak itu dapat ditafsirkannya secara kasar.
“Oh…kami bukan orang baru di sini, Puan. Kami datang ke sini pun atas urusan kerja.” Adam menjawab bagi pihak Rayyan.
“Kerja? Dimana?” Tanya Puan Zaiton lagi.
“Di tapak projek pusat peranginan yang baru nak siap tu.” Jawab Adam jujur.
“Oh…begitu. Berapa lama dah di sini?”
“Dah masuk tiga hari.”
Shida yang melihat ulah Puan Zaiton itu hanya mencebikkan bibir sahaja. Tahu benar dia akan sikap wanita itu. Pantang melihat orang bandar yang datang ke situ. Mulalah dia ingin kenalkan dengan Kartika. Bukan sekali dua perkara itu terjadi. Sudah acap kali. Dia mendekati Dania yang sedang menyiapkan kerja-kerjanya.
“Kau tengoklah orang tua tu, Nia. Mulalah nak melobi anak dia. Macamlah aku tak tahu.” Luah Shida perlahan d telinga Dania. Hanya senyuman saja yang diberikan oleh Dania. Malas dia mahu masuk campur. “Eh Nia! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Soalnya lagi apabila tidak mendapat balasan dari Dania. Dia boleh buat tak tahu aje.
“Aku dengar, shida.” Hendak dengan tidak sahaja kata-kata tersebut keluar dari mulut Dania. Malas dia ingin melayan sahabatnya itu. Lantak dialah, Shidah oiii!!!
“Teruk betul perangai mak tiri kau tu, kan?”
“Lantak dialah, Shida. Malas aku nak layan.” Perlahan-lahan dia menghela nafas. “Kau tak nak balik ke?” Ujar Dania sambil merenung ke arah Shida.
“Menghalau nampak.” Shida menarik muncungnya sambil berpeluk tubuh.
“Bukan menghalau tapi aku banyak kerja. Kalau aku tak layan kau nanti, merajuk. Dapat pula mak cik aku ada. Silap hari bulan mahu aku kena marah dengan dia. Lainlah kalau dia takde, boleh juga aku melayan kau dari pagi sampailah ke petang.” Terang Dania dengan panjang lebarnya.
“Oklah…aku balik dulu. Nanti kita jumpa lagi.” Sekuntum senyuman manis dihadiahkan buat Dania. Dania hanya menganggukkan kepalanya sahaja. Pemergian Shida dihantar dengan pandangan mata sahaja. Sehinggalah gadis genit itu hilang dari pandangannya.
Tanpa menghiraukan Rayyan dan Adam yang sedang berbual dengan Puan Zaiton, Dania melangkah masuk ke ruang belakang sambil membawa pinggan dan gelas yang kotor untuk dicuci. Kelibatnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Rayyan. Beberapa ketika kemudian mereka meminta diri untuk pulang.

Tiada ulasan: