Halaman

Rabu, 20 Julai 2011

Selagi Ada Kasih 7

Suasana di dalam masjid itu kelihatan begitu riuh sekali. Terdapat ramai orang-orang tua ditengah-tengah ruang legar masjid tersebut. Rayyan dan Dania hanya mampu menundukkan wajah mereka, merenung permaidani yang menghiasi lantai masjid itu. Sesekali terdengar esakkan kecil yang keluar dari bibir Dania. Kenapalah ini yang harus terjadi dalam hidup aku? Apa salah aku hingga aku diperlaku sedemikian rupa?
Bagi Dania, nasibnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Jika sebentar tadi dia terselamat dari menjadi mangsa nafsu buas Samad dan teman-temannya, kini dia dituduh pula berkhalwat dengan Rayyan. Sudah puas dia dan Rayyan menerangkan kepada penduduk kampung akan duduk perkara yang sebenarnya, namun usaha mereka hanya sia-sia belaka. Dan kini mereka disini untuk diadili atas kesalahan yang tidak mereka lakukan.
“Saya tak sangka kamu sanggup membuat onar di kampung kami ni.” Penghulu Ismail merenung tajam wajah Rayyan yang duduk dihadapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa anak muda yang baik budi pekertinya itu sanggup membuat onar di kampung mereka. Harap muka aje baik tapi perangai mengalahkan setan.
“Percayalah, tok. Saya tak buat apa-apa pun. Saya cuma selamatkan Dania dari menjadi mangsa rogol. Itu saja.” Terang Rayyan tenang. Kenapa boleh jadi macam ni?
“Betul, tok. Kami tak salah. Samad dan teman-temannya yang nak perkosa saya. Encik ni yang selamatkan saya. Kami tak salah. Percayalah.” Dania mencelah bagi menjernihkan kekerohan diantara mereka. Ya ALLAH, dugaan apakah ini?
“Diam kamu! Mana ada orang mengaku buat salah.” Celah Pak Osman.
“Kamu berdua ada bukti mengatakan yang kamu tak bersalah?” Lembut sekali kata-kata Imam Rashid tuturkan. Dia merenung Rayyan dan Dania dihadapannya. Mendengarkan pertanyaan dari Imam Rashid itu Rayyan menggeleng lemah. Begitu juga Dania.
Memang mereka berdua tidak mempunyai saksi dan bukti mengatakan bahawa mereka berdua tidak bersalah. Rayyan menghela nafas panjang sambil memejamkan matanya. Sesungguhnya dia sudah habis ikthiar bagaimana untuk melepaskan diri dari fitnah tersebut. Salahkah aku membantu dia sehinggakan aku terpaksa menempuh semua ini?
“Tunggu apa lagi, tok? Jalankan sahaja hukuman pada mereka berdua ni. Datang ke sini pandai pula buat onar. Apa kamu ingat, kamu orang Bandar boleh senang-senang buat onar di kampung kami ni?” sahut seorang pemuda dari arah belakang.
“Ha’ah…kita nikahkan aje mereka berdua ni. Habis cerita.” Sahut lagi satu suara.
Rayyan menggigit bibirnya bagi menahan amarahnya. Sesekali dia mengerling ke arah Dania yang sedari tadi menanggis tanpa henti. Dapat dilihat air mata gadis itu mengalir lesu menuruni pipinya. Matanya pula telah bengkak akibat terlalu banyak menanggis. Kasihan dia. Menjadi mangsa keadaan.
“Nanti dulu. Kita tak boleh buat keputusan melulu. Apa-apa pun kita kena tunggu keluarga budak ni sampai. Lepas tu barulah kita buat keputusan. Nia ni anak orang, Leman. Bukan anak kamu. Lainlah kalau anak kamu. Boleh aku terus aku nikahkan aje. Tak payah nak tunggu lagi.” Ujar Imam Rashid tenang.
“Nasib baiklah anak orang tok. Kalau anak saya dah lama saya terajang aje. Hidup pun menyusahkan orang tua, buat apa?” Luah lelaki yang bernama Leman itu. Buat memalukan keluarga aje.
“Betul cakap kau tu, Leman. Aku sokong. Harap muka aje cantik tapi perangai buruk.” celah Pak Osman.
Habis sahaja lelaki yang bernama Osman itu meluahkan kata-katanya, kedengaran suara orang memberi salam. Puan Zaiton, Kartika dan Encik Rahmat melangkah masuk ke dalam masjid itu. Melihatkan Dania yang berada di situ pantas Puan Zaiton menerkam ke arahnya.
“Dasar anak tak kenang budi. Buat malu aku aje. Aku bagi kau makan pakai, kau  boleh conteng arang kat muka aku ya.” Puan Zaiton menampar muka Dania berkali-kali.
Sakit hatinya melihat keadaan Dania. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Dania akan memalukan mereka sekeluarga dengan perkara terkutuk itu. Jantungnya seakan mahu terhenti apabila mendapat berita Dania dan Rayyan ditangkap khalwat sebentar tadi. Wajahnya terasa begitu tebal sekali.
“Ampun, mak cik. Ampun…” sayu suara Dania memohon keampunan dari ibu tirinya itu. “Nia tak buat semua tu, mak cik. Demi ALLAH, Nia tak buat. Ampunkan Nia, mak cik.” Esak tanggis Dania bergema di dalam ruang masjid itu. Rayyan yang mendengarnya hanya mampu menundukkan wajahnya sahaja. Matanya tertutup rapat. Tak sanggup dia melihat Dania diperlakukan begitu oleh Puan Zaiton.
“Mak…sudahlah tu.” Kartika cuba meleraikan ibunya dari terus memukul Dania.
“Kau ke tepi. Biar aku ajar budak yang tak guna ni. Sanggup kau buat aku malu ya. Sanggup dia mencontengkan arang ke muka aku. Dasar anak tak kenang budi.”
“Ampunkan Nia, mak cik. Ampunkan, Nia. Nia tak salah mak cik.” Sendu suara Dania menuturkannya.
“Mak sudahlah tu. Orang pandanglah mak.” Sedikit keras suara Kartika memarahi ibunya itu. Iskh…mak ni. Buat malu ajelah. Kalau ya pun nak marah, tunggu-tunggulah samapi rumah dulu. Bukan main terus serang aje.
Nafas Puan Zaiton turun naik menahan amarahnya. Dia bercekak pinggang merenung Dania yang berada dihadapannya. Jika diikutkan hatinya yang panas saat itu, mahu sahaja dia mencekik-cekik gadis tersebut disitu juga. Hidup kalau tak menyusahkan aku, tak sah agaknya.
“Apa salah anak saya, Imam?” Encik Rahmat bersuara lembut setelah lama membisu.
“Awak boleh tanya lagi apa salah anak kesayangan awak ni?” Jerkah Puan Zaiton keras kepada suaminya. “Tengok sendiri pun orang dah tahu yang anak kesayangan awak ni kena tangkap basah. Dia dah menconteng arang ke muka kita. Takkan itupun awak tak faham-faham lagi.”
Mendengarkan penjelasan dari Puan Zaiton membuatkan Encik Rahmat terdiam. Kelu lidahnya untuk berbicara. Dirasakan seakan bumbung masjid yang kukuh berdiri menghempap dirinya dikala itu. Melihatkan itu Dania meluru ke arah ayahnya. Simpati si ayah dipohonnya.
“Ayah…” Kaki Encik Rahmat dipautnya kuat. “Demi ALLAH, ayah. Demi ALLAH. Nia tak buat semua tu. Percayalah. Kami difitnah, ayah. Kami difitnah.” Luah Dania dalam sebak. Air mata yang sedari tadi mengalir laju kini mengalir lagi dipipi gebu itu.
“Mana ada orang yang berak tengah jalan nak mengaku. celah Puan Zaiton keras.
“Mat…kami semua dah sepakat untuk nikahkan budak berdua ni.” Lembut sekali tutur Imam Rashid berbicara. Encik Rahmat hanya mampu membisu sahaja. Tiada sepatah pun ayat yang keluar dari bibirnya. “Itu pun, jika kamu setuju. Keputusannya ditangan kamu kerana kamu walinya.”
Dania yang mendengar kata-kata tersebut merenung wajah tua ayahnya. Dia berharap agar ayahnya tidak membuat keputusan melulu. Bagi Encik Rahmat pula, dia tidak menyangka  bahawa dia akan menghadapi situasi sebegini. Sungguh berat dugaan yang dihadapinya saat itu. Ya ALLAH, apa yang perlu aku lakukan?
“Pak cik…” Rayyan menghampiri Encik Rahmat. Perlukah aku berkorban?
Encik Rahmat merenung wajah tampan anak muda itu dalam-dalam sebelum Rayyan kembali membuka bicaranya.
“Demi ALLAH bahawa kami tak lakukan seperti apa yang mereka semua katakan. Kami berdua difitnah pak cik tapi saya sudi memperisterikan Dania jika pak cik izinkan.” Tenang sekali ayat itu keluar dari bibir Rayyan. Betulkah apa yang aku buat ni?
Dania hampir pitam dibuatnya apabila mendengarkan kata-kata yang meluncur keluar dari bibir Rayyan. Dia merenung wajah Rayyan dalam-dalam seakan meminta kepastian. Mereka yang ada disitu mula berbisik-bisik dengan perbuatan Rayyan itu. Perlahan-lahan Rayyan menghela nafasnya sebelum menyambung kembali bicaranya semula.
“Apa yang saya lakukan ni bukan menunjukkan bahawa saya bersalah…tidak. Tujuan saya adalah untuk menyelamatkan maruah dan harga diri Dania. Percayalah pak cik, Dania seorang anak yang baik. Dia takkan sekali-kali menconteng arang dimuka pak cik sekeluarga.”
“Bagaimana, Mat? Budak ni dah bersetuju. Kamu pula bagaimana?” Penghulu Ismail.
Encik Rahmat masih lagi membisu seribu suara. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya. Seandainya dia mengizinkan, bermakna dia seakan memperjudikan nasib Dania kepada lelaki yang tidak sedikit pun dia kenali hati budinya itu. Tetapi jika tidak, maruah dan harga diri Dania akan diperkotak-katikkan oleh orang kampung. Dia tak mahu itu yang terjadi.
Ya ALLAH…Dugaan apakah ini? Apa yang perlu aku lakukan saat ini? Perlukah aku korbankan masa depan anak aku dengan lelaki yang tidak pernah aku kenali hati budinya? Bolehkah aku mempercayainya untuk menggantikan aku dalam menjaga Dania? Bolehkah aku bergantung harap padanya, Ya ALLAH? Bantulah aku untuk membuat keputusan yang sukar ini.
“Ayah…” Luah Dania lembut. Mendengarkan suara sayu Dania itu membuatkan dia tersedar dari lamunannya. Direnung wajah sendu anak itu dalam-dalam. Dia akui yang dia tidak mampu kehilangan Dania tapi jika ini takdir yang telah tersurat, dia harus akur dengan apa yang terjadi. Walaupun berat untuk dia menerimanya.
“Demi maruah anak saya…saya  bersetuju dengan cadangan Tok Penghulu dan Imam tu.” Luah Encik Rahmat perlahan. Dia tahu amat payah dan berat untuk dia membuat keputusan tersebut. Namun dia berharap agar pemuda tersebut dapat menjaga Dania.
Dania terkejut besar mendengarkan jawapan yang telah diberikan oleh ayahnya itu. Baginya, ini menunjukkan bahawa sememangnya dia bersalah dalam hal tersebut. Air matanya mengalir laju membasahi pipinya yang gebu itu. Tidakkah ayah percaya dengan aku selama ini?
Majlis pernikahan mereka diadakan dalam serba ringkas. Antara suka dan tidak Dania akur dengan kehendak takdir yang menimpa diri.

Tiada ulasan: