Halaman

Rabu, 20 Julai 2011

Selagi Ada Kasih 8

Sejak peristiwa hitam yang menimpa dirinya malam itu, Dania perasan bahawa ayahnya itu lebih banyak termenung dari berbicara dengannya. Adakalanya tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari bibir tua itu. Dania tahu, ayahnya kecewa dan sedih dengan apa yang telah terjadi. Namun dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Maafkan Nia, ayah. Nia dah kecewakan ayah.
Perlahan-lahan dia mendekati ayahnya yang sedang termenung ditepi tingkap seperti lazimnya. Sememangnya disitulah tempat kesukaan ayahnya untuk berehat. Perlahan-lahan dia mendekati ayahnya itu. Disentuh lembut bahu si ayah namun, tiada tindak balas langsung dari lelaki itu. Hatinya menjadi sebak apabila ayahnya berkelakuan sedemikian. Masih marahkah ayah pada aku?
Punggungnya dilabuhkan bersebelahan kerusi roda Encik Rahmat. Kepalanya pula direbahkan dipangkuan si ayah. Air mata mula membasahi pipinya yang gebu itu.
“Ayah…” Lauh Dania sebak. “Nia tahu, ayah marahkan Nia. Tapi percayalah, ayah. Nia takkan lakukan perkara yang memalukan ayah. Nia takkan sekali-kali menconteng arang ke muka ayah. Nia difitnah, ayah. Nia dah terangkan pada mereka semua tapi mereka tak mahu percaya akan kata-kata Nia. Apa yang boleh Nia buat lagi, ayah?
Malam tu, Samad dan kawan-kawannya ingin memperkosa Nia. Mujur Tengku Rayyan datang selamatkan Nia. Jika tidak, Nia sendiri tak tahu apa yang akan berlaku pada Nia. Nia tahu Nia dah buat ayah kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku. Maafkan Nia, ayah. Maafkan Nia.” Air mata yang mengalir lesu dibiarkan sahaja. Dia tahu semua orang tidak akan percayakan kisah itu tapi baginya cukuplah hanya ayahnya sahaja memahami dan mempercayainya.
Tangisannya terhenti apabila terasa tangan kasar ayahnya mengusap lembut kepalanya. Pantas dia mendonggakkan kepala. Direnung wajah tua dihadapannya itu. Sekuntum senyuman hambar dihadiahkan buat si anak. Ayah percaya padamu, Nia.
“Maafkan ayah, Nia. Ayah tak mampu melindungi kamu, nak.” Sebak suara Encik Rahmat menuturkannya. Terselit sebak didadanya saat itu.
“Ayah tak salah. Yang salah Nia. Nia dah menconteng arang dimuka ayah.” Tangan Encik Rahmat diciumnya bertalu-talu. Dia tidak mahu Encik Rahmat terus-terusan menyalahkan diri diatas apa yang telah terjadi.
“Ayah juga salah Nia sebab tidak mempercayai kamu. Maafkan ayah.” Air mata yang mengalir dipipi gebu si anak dikesatnya. “Tengku Rayyan dah terangkan pada ayah segala-galanya. Ayah percaya pada kalian berdua. Biarlah orang lain tak mempercayainya tapi ayah percaya.”
“Terima kasih, ayah. Terima kasih.” Sekali lagi bertalu-talu tangan kekar itu diciumnya.
“Nia, lepas ni Nia kena ikut suami Nia. Nia tak boleh tinggal dengan ayah lagi.” Lemah sekali kata-kata itu keluar dari bibir tua itu. Berat sungguh hatinya untuk melepaskan anak itu pergi.
“Tapi ayah…” Kata-kata Dania terhenti di situ. Jika boleh dia tidak mahu meninggalkan Encik Rahmat. Dia tidak sanggup tinggalkan Encik Rahmat dalam keadaan begitu.
“Tugas seorang isteri adalah disisi suami, Nia. Bukan disisi ayah. Tentang ayah janganlah Nia risaukan. Mak cik kamu dan Ika boleh jaga ayah.” Dania terdiam mendengar kata-kata yang diluahkan oleh ayahnya itu. Sungguh berat hatinya untuk dia meninggalkan si ayah.
Encik Rahmat merenung wajah sayu anaknya itu. Rayyan telah berjumpa dengannya beberapa hari yang lalu dan menerangkan keadaan yang sebenarnya pada dia. Dia tahu Dania dan Rayyan tidak bersalah dalam hal ini. Mereka berdua telah terperangkap dalam jerat ciptaan manusia yang mempunyai hasad dengki.
Rayyan juga telah menyuarakan hasratnya untuk membawa Dania pulang bersamanya ke bandar. Disebabkan itu dia merasa sedih. Dia kerap termenung memikirkan nasib anaknya, Dania seandainya berada di bandar nanti. Dapatkah anak itu menyesuaikan diri disana nanti? Dapatkah Dania menjadi seorang isteri yang baik tanpa bimbingan darinya? Malah bermacam-macam persoalan lagi yang bermain difikirannya.




Dia duduk sendirian diatas pangkin yang terdapat dibawah pohon mangga itu. Leka sekali dia dia memerhatikan alam ciptaan TUHAN. Dalam diam dia amat mengaguminya. Sebuah keluahan berat dilepaskan dari bibirnya. Ketenangan alam itu seakan tidak dapat menarik minatnya seperti selalu.
Semenjak peristiwa hitam yang melanda hidupnya itu, dia tidak lagi dibenarkan membantu Puan Zaiton di kedai. Tiada lagi air mata yang mengalir dipipinya itu. Sesekali dia merenungi nasib yang menimpa diri. Dalam usia yang masih muda, dia telah pun bergelar seorang isteri kepada seorang lelaki yang tidak dia cintai apatah lagi dikenali hati budinya. Bagaimana aku nak hidup dengan semua ini? Ia seperti mimpi yang terjadi dalam hidup aku.
Jika itu telah tersurat, dia terpaksa jua terima dengan redha. Dia tahu, jika menangis air mata darah sekalipun, apa yang terjadi dalam hidupnya itu tidak akan dapat diundurkan kembali seperti dulu. Andai dapat diundurkan masa, pasti akan diundurkan masa itu. Namun dia tahu, dia tidak mampu melakukannya.
Ya ALLAH, jika ini yang telah KAU tetapkan dalam hidup aku…akan aku terima dengan redha dan pasrah tapi berilah aku kekuatan dalam menempuhi dugaan MU ini. Sesungguhnya aku hanyalah insan yang lemah. Aku tahu, setiap apa yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersembunyi tapi aku tak mampu untuk menghadapinya.
Air jernih yang mengalir membasahi pipinya dibiarkan sahaja. Dia tahu, selepas ini hidupnya pasti akan berubah. Dia harus menjadi seorang yang kuat dan tabah dalam mengharungi dugaan itu. Leka sekali dia mengelamun tanpa menyedari kehadiran tapak-tapak halus yang mendekatinya.
“Dania…” Lembut sekali sapaan itu. Pantas air mata yang mengalir dipipinya sebentar tadi dikesatnya. Bimbang tetamunya itu perasaan akan tangisannya itu. Apabila wajahnya ditoleh, dilihat Rayyan berada dibelakangnya. Apa yang dia mahu lagi?
“Boleh saya duduk disini?” Soal Rayyan. Wajah Dania yang masih sembab itu direnungnya. Hanya anggukkan sahaja yang diberikan oleh Dania sebagai jawapan kepada soalan yang diajukan kepadanya. Rayyan melabuhkan punggungnya disisi Dania. Dia memerhatikan permandangan indah dihadapannya itu. Untuk seketika, tiada bicara yang keluar dari bibir masing-masing.
Sesekali Rayyan memerhatikan Dania dengan ekor matanya. Gadis itu hanya menundukkan kepalanya. Dia juga seperti Dania, menjadi mangsa keadaan. Bukan niatnya untuk mengambil kesempatan diatas kelemahan gadis itu tapi rasa simpatinya yang menebal  membuatkan dia terpaksa berbuat demikian. Dia tahu keputusannya itu bakal mengundang amarah kedua orang tuanya namun semuanya sudah terjadi. Dan kini, dia terpaksa menanggungnya. Lamunannya terhenti apabila mendengarkan suara lembut Dania.
“Tengku ada benda nak cakap dengan saya ke?” Luah Dania tanpa menoleh ke arah Rayyan. Malu untuk dia menatap wajah lelaki yang telah menyelamatkan maruah keluarganya. Andainya dia mampu, mahu sahaja dia melarikan diri dari jejaka itu.
“Awak buat apa disini?” Soal Rayyan tanpa menjawab soalan yang telah diajukan oleh Dania. Direnung wajah sembab itu. Namun tiada jawapan yang didapati dari wajah itu. Dia tahu, sebentar tadi Dania menanggis. Terdapat kesan air mata di wajah sembab itu.
Dania terdiam apabila mendengarkan soalan yang diajukan. Perlahan-lahan dia menghela nafas sebelum menjawab pertanyaan itu. Wajahnya dihalakan ke hadapan memerhatikan alam sekeliling.
“Dulu bila saya ada masalah, bila saya resah dan jika tiada kawan yang sudi berkongsi masalah dengan saya disinilah selalu saya datang. Memikirkan masalah saya. Memikirkan keresahan saya. Bagaimana untuk saya selesaikannya? Bila pandang alam ciptaan TUHAN ni, hati saya menjadi tenteram dan tenang. Segala masalah dan keresahan yang melanda hilang begitu sahaja.” Tenang sekali kata-kata itu keluar dari bibir munggil itu.
“Kenapa di sini?” Tanya Rayyan hairan. Apa yang ada di sini? Aku tengok hutan aje. Takde satu apa pun yang menarik.
“Kerana di sini, saya temui ketenangan.” Perlahan-lahan Dania menghela nafasnya sebelum menyambung butir bicara. “Memandang alam yang diciptakan ALLAH ni, buat saya berfikir seketika. Sesungguhnya sebagai hamba-Nya adakala kita lupa akan apa yang terjadi dalam hidup kita.”
“Dah selesai ke masalah itu?” Soal Rayyan lurus.
“Kita sebagai manusia ni takkan lari daripada masalah, Tengku. Walaupun kecil ia tetap akan ada. Ia tetap akan hadir.”
Rayyan terdiam mendengar kata-kata yang lahir dari bibir Dania itu. Dia menghela nafas pendek. Dalam diam dia mempersetujui kata-kata Dania itu. Dia membetulkan duduknya sebelum memulakan bicara.
“Dania…saya ada sesuatu nak bincang dengan awak.”
“Apa dia? Cakaplah saya dengar.” Ujar Dania sambil menghela nafas panjang.
“Saya harap awak tak salah anggap dengan saya. Saya terima awak bukan sebab nafsu tapi saya terima awak kerana ingin menjaga maruah awak dan keluarga awak. Saya tak mahu awak dan keluarga awak malu dengan apa yang terjadi.”
Dania terdiam mendengar kata-kata ikhlas yang lahir dari bibir Rayyan itu. Hatinya benar-benar tersentuh dengan kebaikkan yang ditunjukkan oleh pemuda itu. Dia menundukkan wajahnya. Melihatkan ulahnya itu Rayyan kembali menyambung kata-katanya.
“Saya bukan nak kata yang saya ni baik sebab sanggup berkorban dengan apa yang terjadi cuma apa yang saya lakukan ni bersebab.”
“Sebab? Sebab apa?” Luah Dania hairan sambil merenung wajah Rayyan. Dia kurang faham dengan maksud yang ingin disampaikan oleh Rayyan itu. Apa maksud dia?
“Saya tak sanggup lihat awak didera oleh mak cik awak lagi, Dania. Walapun dia tidak mendera secara fizikal tapi saya tahu dia mendera awak secara mental.” Ujar Rayyan tenang. Dia berharap agar Dania faham dengan apa yang cuba dia terangkan.
“Saya dah biasa dengan semua itu, Tengku. Bagi saya, Tengku tak perlulah berkorban sampai macam ni sekali. Apa yang penting sekarang ni kita tidak bersalah. Biarlah apa orang nak kata sekali pun. Hakikatnya kita tak bersalah. Walaupun kita tidak mempunyai bukti dan saksi untuk membuktikannya.”
“Bagaimana dengan masa depan awak?” Soal Rayyan tiba-tiba.
“Masa depan? Maksud Tengku? Saya tak faham.” Dahinya dikerutkan tanda tidak memahami maksud Rayyan. Apa kena-mengena masa depan aku dengan dia?
“Lepas apa yang berlaku ni, awak fikir ada ke orang yang mahu memperisterikan awak?” Rayyan merenung wajah Dania. Untuk seketika mereka bertentangan mata. Rayyan dapat melihat kesayuan di mata itu. Dania terdiam mendengar pertanyaan itu.
“Saya tidak fikir kalau ada orang yang mahu memperisterikan awak dengan apa yang telah terjadi, Dania. Memang tidak ada apa-apa yang terjadi diantara kita berdua malam tu tapi orang tetap akan katakan sesuatu telah terjadi diantara kita berdua.” Luah Rayyan panjang lebar.
   Dahi Dania berkerut seribu. Agak lama dia mendiamkan diri. Akhirnya, dia memulakan bicaranya. Dalam diam, dia bersetuju dengan apa yang diperkatakan oleh Rayyan itu. Selama ini, dia tidak pernah terfikir sejauh itu.
“Saya percaya akan jodoh, Tengku.”
“Maksud awak? Saya tak faham.”
“Jodoh, ajal, maut dan pertemuan…bukan ditangan kita tapi d tangan ALLAH. Jika telah tertulis bahawa saya tidak akan menjadi isteri sesiapa pun, saya akan terima dengan hati yang terbuka. Mungkin itu yang dah tertulis untuk saya.” Lembut sekali ayat itu menusuk masuk ke telinga Rayyan. Dalam diam dia mengiakan kata-kata tersebut.
“Dan Tengku tak perlu bersusah payah kerana saya. Apa yang penting sekarang ni, kita berdua tahu yang kita tidak bersalah dalam hal ini. Kita adalah mangsa fitnah dari manusia yang tak berhati perut. Kita berdua telah menjadi mangsa keadaan. Bukannya diatas kehendak kita sendiri.” Sambung Dania lagi.
Rayyan tertunduk mendengarkan kata-kata dari gadis manis itu. Dia akui, memang mereka berdua telah menjadi mangsa keadaan. Tapi, siapa yang akan percayakan kata-kata mereka berdua saat itu? Sedangkan tiada saksi dan tiada bukti yang boleh mereka jadikan untuk membetulkan tanggapan orang kampung dengan cerita mereka.
Dania merenung kehadapan. Jiwanya menjadi tenang apabila melihat kecantikkan alam ciptaan TUHAN itu. Leka dia seketika dengan suasana tersebut tanpa menyedari yang ulahnya menjadi perhatian jejaka disebelahnya.
Dalam diam, Rayyan mula menilik wajah ayu disebelahnya itu. Dania memiliki kulit hitam manis, pipinya yang gebu itu tidak sedikit pun tercela dengan jerawat dan bibirnya sentiasa sahaja mekar. Dia tahu gadis itu tidak pernah bersolek untuk mencantikkan wajahnya yang sememangnya mempunyai cantik asli. Rambutnya yang separas bahu terbuai-buai apabila ditiup angin petang.
Baginya sukar untuk mencari gadis seperti Dania. Ini kerana kebanyakan wanita yang telah ditemuinya selama ini amat berbeza sekali dengan gadis yang duduk disebelahnya ini. Walaupun kadangkala dia berasa kurang puas hati dengan sikap Dania yang sedikit garang dan kasar itu.
“Dania, saya ada sesuatu nak bincangkan dengan awak.” Luah Rayyan setelah suasana diantara mereka berdua agak lama membisu. Dania menoleh tanpa sepatah kata. Seakan faham dengan pandangan gadis itu, Rayyan meneruskan kata-katanya yang tergantung sebentar tadi.
“Esok saya dah nak balik ke bandar.” Luah lelaki itu perlahan.
“Jadi?” Luah Dania sepatah.
“Jika boleh, saya mahu bawa awak sekali.”
Dania terdiam mendengar permintaan dari Rayyan itu. Dia menundukkan wajahnya merenung jari-jemarinya yang sedari tadi bermain sesama sendiri. Jika boleh dia tidak mahu ikut serta. Dia ingin terus berbakti kepada ayahnya. Dia ingin selalu berada disamping ayahnya.
“Saya tahu agak berat untuk awak terima keputusan saya ini tapi sekarang awak isteri saya, Dania. Jadi, awak harus ikut saya ke bandar.”
“Boleh tak andainya saya tak ikut?” Luah Dania berani tanpa mengangkat wajahnya merenung wajah Rayyan. Bimbang jika lelaki itu marah dengan permintaan hatinya itu. Dalam hatinya berdoa agar Rayyan bersetuju dengan permintaannya itu. Walaupun dia tahu harapannya amat tipis sekali, tidak salah jika dia mencuba.
“Kenapa?” Soal Rayyan. Walaupun dia sudah sedia maklum akan alasan kenapa Dania tidak mahu mengikutnya kembali ke bandar, sengaja dia inginkan kepastian dari gadis itu. Dia ingin mendengarnya dari mulut gadis itu sendiri.
“Saya nak tinggal di sini dengan ayah.” Dania mengangkat wajahnya lalu merenung wajah Rayyan dengan penuh simpati. Harap dia benarkan permintaan aku ini.
“Dania, saya tahu tanggungjawab awak pada ayah tapi sekarang ni awak dah pun berkahwin dan tanggungjawab awak bukan pada ayah sahaja juga pada saya. Malah awak juga telah menjadi tanggungjawab saya.” Ujar Rayyan tenang.
“Tapi…” Dania tidak jadi meneruskan kata-katanya apabila Rayyan pantas memotongnya.
“Saya dah bincangkan dengan ayah akan perkara ini. Ayah pun dah setuju untuk benarkan awak mengikut saya ke Bandar.” Potong Rayyan sebelum sempat Dania menghabiskan kata-katanya. “Di sana nanti, saya akan masukkan awak ke kolej yang sesuai dengan kelulusan awak.”
Dania merenung wajah bersih Rayyan apabila mendengarkan kata-kata yang baru sahaja keluar dari bibir lelaki tersebut. Seakan faham dengan renungan Dania itu, Rayyan menyambung kembali kata-katanya.
“Saya tahu, awak ingin melanjutkan pelajaran. Awak ingin kejar cita-cita awak. Kalau awak terus di sini, awak takkan bisa mencapai impian dan cita-cita awak.”
“Tapi…bagaimana dengan ayah?” Soal Dania sayu. Dia berharap agar Rayyan faham akan situasinya saat itu. Tak bolehkah aku tinggal disini sahaja?
“Seperti yang saya katakan tadi, saya dah bincang dengan ayah dan ayah bersetuju. Awak boleh jumpa dengan ayah bila-bila masa sahaja yang awak mahu. Saya takkan halang.”
Sekali lagi gadis itu terkedu apabila mendengar kata-kata yang terluah dari bibir lelaki tersebut. Sesungguhnya dia tidak mempercayai bahawa dia akan dapat mencapai impiannya seperti yang dia inginkan selama ini. Dalam diam dia terharu dengan kebaikkan yang ditunjukkan oleh lelaki tersebut kepadanya.
“Tapi…semua ni ada syaratnya.” Ujar Rayyan tiba-tiba apabila melihatkan Dania hanya membisu.
“Syarat? Apa syaratnya?” Soal Dania dengan dahi berkerut seribu.
“Saya mahu awak rahsiakan perkahwinan kita ini dari sesiapa pun.”
“Tapi…kenapa?” Soal Dania lagi. Hairan sungguh hatinya dengan permintaan Rayyan.
“Dania, perkahwinan kita ini adalah sesuatu yang tidak diduga. Samada awak mahupun saya. Jadi ianya harus dirahsiakan dari keluarga saya. Saya tak mahu mereka terkejut dengan apa yang terjadi. Saya akan terangkan pada mereka bila dah sampai masanya nanti.”
“Bukankah abang Adam telah tahu tentang perkara ini? Nak rahsia apa lagi?” Bentak Dania. Dia tidak bersetuju dengan syarat yang dikemukakan oleh Rayyan itu.
“Ya, Adam dah tahu tentang perkara ini tapi awak jangan bimbang. Dia seorang teman yang boleh dipercayai. Dia takkan bocorkan rahsia ni pada sesiapa pun tanpa kebenaran dari saya.”
Dania terdiam mendengar penerangan dari Rayyan itu. Dia tahu, antara mahu dengan tidak dia terpaksa bersetuju dengan permintaan Rayyan itu. Dia tidak mempunyai pilihan lain lagi.
“Kalau Tengku dah kata begitu, saya ikut aje tapi apa yang akan saya jawab andainya mereka tanya siapa saya nanti?”
“Awak jangan bimbang. Saya tinggal berasingan dengan keluarga saya. Jika mereka tanya nanti, awak jawab sahaja yang awak adalah pengasuh Rifqah.”
“Rifqah? Siapa Rifqah tu?” Soal Dania sambil mengerutkan dahi.
“Rifqah adalah anak saya.” Jawab Rayyan tenang.
“Anak?” Terlihat kekejutan diwajah Dania apabila mengutarakan soalan tersebut. “Jadi selama ini Tengku dah berkahwin?” aku berkahwin dengan suami orang ke?
“Ya, saya dah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan.” Jelas Rayyan jujur. Namun tidak sedikit pun rasa bersalahnya apabila melafazkan kata-kata itu.
“Jadi, kiranya saya ni bermadulah?” Soal Dania lurus. Ya ALLAH…dugaan apakah ini?
Rayyan terdiam apabila mendengar soalan yang diajukan oleh Dania itu. Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang. Tanda tidak mahu menjawab pertanyaan gadis tersebut. Dia terus bangkit dari duduknya. Ulahnya itu telah menimbulkan kemarahan dihati Dania.
“Tengku nak kemana?” Soal Dania. Dia turut bangun dari duduknya.
“Saya mahu pulang. Esok pagi saya akan datang ambil awak.” Tanpa berpaling lagi dia terus mengorak langkah meninggalkan Dania yang masih lagi termanggu dan tertunggu jawapan daripadanya. Dia tahu Dania pasti akan marah dengan ulahnya itu.
“Nanti…” Jerit Dania. Rayyan mematikan langkahnya. Ditoleh ke arah Dania yang masih tercegat merenung wajahnya. Perlahan-lahan dia menghela nafas pendek sebelum memulakan bicaranya.
“Apa lagi?” Soal Rayyan sambil bercekak pinggang. Sudah dia jangkakan akan ulah Dania itu.
“Tengku belum jawab soalan saya lagi.”
“Soalan apa?” Soal Rayyan selamba.
“Saya ni isteri kedua, Tengku? Begitu?”
“Kalau ya, kenapa? Ada masalah?” Soal Rayyan lagi.
Dania mendesis perlahan sambil memejamkan matanya. Pinggangnya dicekak sambil bibirnya digigit menahan marah. Lalu dipandang wajah Rayyan yang berdiri tegak dihadapannya itu dengan renungan yang tajam. Ada mamat ni kena cekik juga dengan aku nanti.
“Untuk apa saya ikut Tengku pulang ke bandar jika saya tak diperlukan disana?” Soal Dania apabila dia berjaya mengawal kemarahannya. Tertipu aku rupanya.
“Siapa kata awak tak diperlukan disana?” Soal Rayyan kembali tanpa menjawab soalan Dania. Dia masih lagi kelihatan tenang.
“Tengku dah ada isteri, kenapa kehadiran saya diperlukan lagi? Serupa tak payah saya ikut Tengku ke sana.” Luah Dania geram sambil berpeluk tubuh. Lebih baik aku duduk disini saja.
“Kehadiran awak diperlukan kerana awak adalah pengasuh anak saya dan tempat seorang isteri adalah disisi suaminya. Faham?”
Hanya jelingan tajam dihadiahkan buat lelaki itu apabila mendengar kata-kata tegas yang lahir dari mulut Rayyan. Jika diikutkan hati yang panas saat itu, mahu sahaja dicekik-cekiknya leher lelaki itu. Biar puas hatinya.
“Dan lagi satu, saya takkan ambil tahu apa yang akan awak lakukan. Buatlah apa sahaja yang awak mahu. Asalkan awak pandai jaga tatatertib awak sebagai seorang isteri. Saya mahu awak jangan ambil tahu tentang saya. Kita berhak buat apa saja. Itu adalah syarat kedua saya. Dan tolong jangan banyak tanya sebab saya tak suka orang yang banyak tanya. Faham?”
Dania terdiam sambil mengerutkan dahi apabila mendengarkan syarat yang kemukakan oleh Rayyan itu. Apa punya syarat dah? Kalau aku tahu begini jadinya, tak kahwin dengan dia pun tak apa. Buat sakit hati aku je. Buat apa?
Pemergian Rayyan hanya dihantar dengan pandangan matanya sahaja. Sehinggalah tubuh pemuda itu hilang dari pandangannya.

2 ulasan:

twins berkata...

besnye novel ni..ahaks mgkin dania tersalah faham, saya agak rayyan dah bercerai or isteri dia meninggal time nk lahirkan anak..hope, lpas ikut rayyan balik life dania akan happy dan mereka dapat mencintai sepenuh hati..heeee nk n3 baru...

Intan Asyikin berkata...

nak tahu Dania terslah faham atau tidak...kenalah ikuti novel ni. Trima kasih atas komen anda twins