Halaman

Sabtu, 30 Julai 2011

Selagi Ada Kasih 9

Matanya memerhati ke sekeliling bilik itu. Diakui bahawa bilik itu lebih besar dan cantik dari biliknya di kampung. Susun atur perabotnya tampak kemas dan cantik walaupun sedikit ringkas. Warna ungu lembut membuatkan sejuk mata memandang. Dia melabuhkan punggungnya diatas katil. Terasa akan lembutnya tilam yang diduduki itu.
Sebentar tadi, Sunarti, salah seorang orang gaji di vila itu telah menunjukkan biliknya. Dapat dirasakan bahawa Rayyan bukan orang yang setaraf dengannya. Difikirkan Rayyan hanya makan gaji di syarikat-syarikat kecil namun jangkaannya silap. Lelaki itu mempunyai syarikat yang besar.
Perlahan-lahan dia menghela nafas panjang. Sekali lagi dia memerhati sekelilingnya. Walaupun tidak lengkap segalanya, namun bilik itu sudah cukup cantik buat orang seperti dia. Kakinya melangkah ke arah tingkap yang terbuka. Lalu dijenggukkan wajahnya keluar jendela. Terasa angin segar menerpa lembut ke wajahnya.
Kawasan vila mewah yang terletak dihujung bandar itu begitu luas sekali. Vila mewah itu memiliki sebuah padang yang sederhana besar. Di sepanjang jalan masuk dari pintu pagar ditanam pokok-pokok renek bagi mencantikkan pemandangannya. Terdapat kolam buatan di sudut kiri padang itu. Kolam itu dikelilingi pokok-pokok bunga dan terdapat juga pondok kecil untuk melepaskan lelah dikala kepenatan. Di sebelah pondok itu, terdapat sebuah buaian yang diperbuat daripada kayu. Cantik sekali tamannya.
Dia tidak menyangka bahawa kawasan vila itu begitu luas sekali. Jika dibahagian hadapannya dihiasi dengan taman bunga berserta kolam buatan yang cantik, tapi di bahagian belakang vila itu pula ditempatkan rumah bagi pekerja.
Mak Kiah, Pak Hamid dan Sunarti tinggal dirumah pekerja yang telah disediakan. Di bahagian tepi sebelah kanan pula terdapat kolam renang yang sederhana besar. Airnya sentiasa jernih. Walaupun jarang sekali penghuninya menggunakan kemudahan yang sedia ada tetapi kolam itu tetap dijaga rapi oleh Pak Hamid.
Kini barulah dia tahu kenapa Mak Kiah, Pak Hamid dan Sunarti tidak tinggal di vila tersebut. Rupanya Rayyan telah menyediakan sebuah rumah khas yang sederhana besar untuk mereka berteduh dari hujan dan panas.
Lamunannya terganggu apabila kedengaran ketukkan di pintu bilik. Pantas dia memusingkan kepalanya. Dilihat Sunarti terjenggul sambil tersenyum ke arahnya.
“Ya. Ada apa Sunarti?” Luahnya lembut.
“Erk…Mbah Kiah suruh saya panggil Cik untuk minum petang.” Teragak-agak gadis itu menuturnya dalam loghat Indonesia.
“Yelah, sekejap lagi saya turun.”
Pemergian Sunarti dihantar dengan pandangan sahaja. sehinggalah tubuh kecil itu hilang dari pandangannya. Beg yang dibawanya tadi diletakkan di tepi katil. Lalu, tanpa berlengah lagi dia terus turun ke bawah. Dapat didengari suara wanita yang dipanggil Mak Kiah oleh Sunarti tadi sedang berbicara dengan Pak Hamid. Pantas kakinya melangkah ke arah dapur. Dilihat Mak Kiah, Sunarti dan Pak Hamid sedang enak menjamu minuman petang.
            Ketiga-tiga insan itu terkejut melihat kedatangannya. Namun sekuntum senyuman mesra dihadiahkan kepada mereka bertiga. Salam yang dihulurkan disambut lembut oleh mereka.
“Kenapa Cik Dania ke dapur? Ada yang kurang ke?” Soal Mak Kiah kehairanan.
“Eh…takdelah Mak Kiah. Cuma tadi Sunarti kata Mak Kiah ajak minum petang. Tu yang Nia ke dapur ni.” Jawab Dania lembut.
“La…ye ke? Minuman Cik Dania dah Mak Kiah siapkan di depan sana tu.”
“Kenapa tak di sini aje?” Soal Dania kehairanan.
“Takdelah. Cik Dania pengasuh Tengku Rifqah. Jadi, Mak Kiah letakkan di depan.”
“Pengasuh tu makan gaji juga Mak Kiah. Bukannya macam tuan rumah ni. Lainlah kalau Nia ni tuan rumah ni.” Dania melabuhkan punggungnya di kerusi yang masih kosong.
Mak Kiah terdiam apabila mendengar kata-kata yang diluahkan oleh Dania itu. Dia menoleh ke arah Sunarti dan Pak Hamid yang duduk disebelahnya itu. Baik benar budi bahasa budak ni.
“Bolehkan Nia duduk minum kat sini sama-sama?” Luahan Dania itu mematikan lamunan singkat Mak Kiah.
“Boleh. Apa salahnya, Cik Dania. Lagi ramai, lagi meriah.” Sampuk Pak Hamid.
“Terima kasih.” Dania tersenyum manis.
“Sunarti, kamu tolong ambilkan air minuman Cik Dania kat depan tu.”
Tanpa banyak soal, Sunarti akur dengan arahan yang diberikan. Diana memerhati sekeliling ruang dapur itu. Dalam diam dia kagum dengan rekaan ruang dapur itu. Ulahnya itu hanya diperhatikan sahaja oleh Pak Hamid dan Mak Kiah dengan penuh kehairanan. Lamunannya terganggu apabila Sunarti membawa minuman untuknya.
“Airnya, Cik.” Ujar sunarti lembut.
“Terima kasih, Sunarti.”
“Apa yang Cik Dania pandang? Dari tadi Pak Hamid tengok ralit sangat.”
“Nia pandang rekaan dapur ni Pak Hamid.” Jawab Dania jujur.
“Kenapa pula?” Tanya Pak Hamid hairan. Ada yang tak kena ke?
“Besarnya dapur ni. Cantik pulak tu. Dapur rumah Nia di kampung pun tak sebesar dan secantik macam ni.”
“Jadi Cik Dania ni orang kampunglah ya?” Celah Sunarti. Dia merenung wajah mulus dihadapannya itu.
“Ha’ah.” Luah Dania sambil menganggukkan kepala. “Boleh Nia tanya sikit tak, Mak Kiah?”
“Apa dianya?” Soal Mak Kiah sambil merenung wajah gebu Dania.
“Tengku Rayyan kemana? Dari tadi tak nampak pun?”
“Ohh…Tengku ke rumah mamanya, ambil Tengku Rifqah.”
Dania menganggukkan kepalanya sahaja tanda mengerti akan maksud tersebut.
“Tengku tu jangan ditanya tentang dia, Cik Dania.” Luah Pak Hamid sambil bangun dari duduknya.
“Kenapa pula?” Luah Dania penuh kehairanan. Kini matanya tertumpu pula ke arah tubuh tua Pak Hamid.
“Tengku kalau udah ke rumah Mem besar mau dua, tiga hari di sana.” Sampuk Sunarti.
“Iskh…budak ni. Menyampuk aje bila orang bercakap.” Mak Kiah menepuk kecil tangan Sunarti. Marah dia dengan ulah Sunarti itu.
            “Lor…kok dimarahin sih. Udah ditanya, saya jawablah.” Sunarti mula membela dirinya.
“Orang tak tanya kamu. Yang kamu pandai-pandai menyampuk tu kenapa?” Matanya dibulatkan ke arah Sunarti.
Gadis Indonesia itu mula menarik muncung panjang apabila dimarahi begitu. Dania menggelengkan kepalanya sambil tersenyum kecil. Sesekali dia menghirup kopi yang telah disajikan untuknya.
“Ha…abang nak kemana pula tu?” Luah Mak Kiah sambil merenung suaminya.
“Mana lagi, Cik Kiah oiii! Abang nak ke taman depan tu ha. Nak tengok ikan dalam kolam tu. Nak dibagi makan. Kenapa?” Berkerut kehairanan dahi Pak Hamid apabila disoal begitu oleh isterinya.
“Takdelah. Kiah hanya bertanya aje. Takut dicari Tengku nanti, senang Kiah nak cakap abang dimana.”
“Alah…apa-apa hal nanti tahulah dia telefon abang. Janganlah Kiah bimbang.”
Pak Hamid terus berlalu meninggalkan mereka bertiga di ruang dapur itu. Dania hanya menjadi pemerhati saja.
“Boleh Nia tanya sesuatu, Mak Kiah?” Soal Dania apabila Pak Hamid berlalu pergi meninggalkan mereka bertiga di ruang dapur itu. Janganlah mereka fikir yang bukan-bukan nanti. Mahu masak aku nak bersoal jawab dengan Tengku Rayyan pula.
“Apa dia, Cik?” Bulat mata Mak Kiah merenung wajah mulus Dania.
Mendengarkan panggilan yang diberikan oleh mereka di rumah itu untuk dia, Dania tersenyum. Dia akui dia tidak layak mendapat panggilan begitu.
“Berapa ramai yang tinggal dalam rumah ni?”
“Kalau termasuk Cik Dania, enam orang semuanya. Kenapa?”
“Enam orang? Bukan tujuh orang?” Soal Dania tanpa menjawab soalan Mak Kiah.
Mak Kiah terdiam seketika. Dahinya berkerut seribu. Dia mula mengira-ngira dengan jemarinya bilangan ahli anggota rumah tersebut. Ulahnya itu menjadi perhatian Sunarti dan Dania.
“Waduh…dikira apaan sih?” Celah Sunarti. Sesekali kepalanya digelengkan melihat ulah Mak Kiah itu.
“Kamu diamlah. Aku tengah mengira ni. Jangan diganggu. Nanti silap pula.” Marah Mak Kiah.
“Kok dimarahin. Sememangnya ada enam orang. Bukannya tujuh orang, Mbah.”
“Betul ke enam orang?” Soal Mak Kiah sambil merenung Sunarti. Jadi aku tak silaplah?
“Iya. Termasuk Cik Dania, semuanya enam orang. Bukannya tujuh orang.”
“Jadi aku tak silaplah?” Luah Mak Kiah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Lo…siapa kata Mbah silap?”
“Tadi Cik Dania kata tujuh orang. Siapa lagi seorang?” Luah Mak Kiah hairan. Direnung wajah Dania dihadapannya.
“Yelah. Kalau diikutkan, termasuk Nia, tujuh orang. Nia, Mak Kiah, Pak Hamid, Sunarti, Tengku Rayyan, isterinya dan anaknya. Semuanya tujuh orang, kan? Bukannya enam orang.”
“Oh… Tengku takde isteri.” Pantas sahaja kata-kata itu meluncur laju dari bibir wanita separuh umur tersebut.
“Ha? Takde isteri? Maksudnya?” Soal Dania Hairan.
“Dia tu duda. Duda anak satu. Cik Dania tak tahu ke?” Soal Mak Kiah kembali.
“Tak.” jawab Dania sepatah sambil menggelengkan kepalanya. Dia tipu aku ke?
“Mak Kiah ingatkan Cik Dania dah tahu.”
“Dia tak beritahu saya, Mak Kiah. Dia cuma terangkan yang Nia perlu jadi pengasuh Tengku Rifqah aje. Selebihnya tak pula dia beritahu Nia.”
“Mungkin dia terlupa agaknya.”
“Mungkin juga.” Ujar Dania sambil menganggukkan kepalanya perlahan.
Dania menghela nafas panjang apabila mendengarkan kata-kata Mak Kiah itu. Dalam diam, berbagai-bagai persoalan yang bermain difikiran Dania.




Rayyan hanya menghabiskan masanya dihadapan televisyen. Selepas makan malam tadi dia lebih suka duduk di situ. Pelawaan Helmi mengajaknya keluar pun ditolaknya lembut dengan alasan dia letih. Malam itu dia mahu menghabiskan masa dengan berehat sahaja. Rifqah telah lama beradu. Sejak dari ketibaannya di rumah tersebut, anak kecil itu tidak mahu berenggang walau sedikit pun dengannya.
Dia tahu, anak itu rindukannya. Begitu juga dengan dia. Apabila terlihatkan wajah anak kesayangannya itu, maka terubatlah kerinduan yang bersarang dihatinya. Dapat dirasakan keletihan yang melanda diri hilang begitu sahaja.
Mengenangkan Rifqah, hati kecilnya terusik tiba-tiba. Anak itu sedari kecil lagi tidak dapat merasai kasih sayang yang sebenarnya dari seorang ibu. Dia akui, kasih sayang yang diberikan oleh dia dan keluarganya tidak pernah surut buat Rifqah, namun dia tahu anak kecil itu perlukan kasih sayang dari seorang insan yang bernama ibu.
Bila mengenangkan kembali bekas isterinya, dalam diam dia masih lagi menyayangi wanita itu. Mulutnya sahaja mengatakan yang dia membenci dan berdendam dengan wanita itu tetapi hatinya tidak. Dia akui bahawa dia merindui wanita itu. Cintanya buat wanita itu masih lagi kuat malah tidak pernah surut walaupun sedikit. Sehingga ke hari ini dia masih lagi mencari salah dan silapnya di sepanjang perkahwinan mereka.
Perkahwinan yang terbina diantara suka sama suka itu terlalu bahagia pada mulanya. Sehinggalah isterinya disah mengandungkan Rifqah, perangai wanita itu mula bertukar dari sehari ke sehari. Tidak diketahui akan puncanya. Dia hanya menganggap ianya adalah pembawakan budak, sehinggalah isterinya itu selamat melahirkan Rifqah. Habis sahaja tempoh berpantang, isterinya meminta untuk dilepaskan tanpa sebarang alasan yang kukuh.
Semenjak dari hari itu, mereka sering sahaja bertelagah. Pantang sahaja bersua muka, ada sahaja yang tidak kena di mata. Sehinggalah dia dikhabarkan berita bahawa wanita itu curang padanya. Pada mulanya, dia tidak mempercayai khabar angin yang didengar. Namun apabila melihat sendiri kecurangan isteri dihadapan mata, hatinya retak seribu. Maka dalam keterpaksaan dia melepaskan wanita itu, walaupun hatinya begitu berat sekali untuk berbuat sedemikian.
Dia menghela nafas panjang sambil menutup matanya, mengusir memori luka yang bertandang dihatinya. Tanpa disedari ulahnya diperhatikan oleh seseorang sedari tadi. Insan itu menghampirinya lalu melabuhkan punggung disebelahnya. Menyedari akan adanya insan lain disisi, pantas dia membuka matanya. Terlihat akan Safiya yang sedang tersenyum disebelahnya kala itu.
“Hei!! Apa yang difikirkan tu?” luah Safiya lembut.
Perlahan peha adik kesayangannya itu ditepuknya. Rayyan membetulkan duduknya sambil menghela nafas panjang sebelum memulakan bicara. Dia tidak mahu safiya ataupun ahli keluarganya yang lain tahu akan apa yang bermain difikirannya saat ini.
“Takde apalah.” Luahnya lemah.
“Kalau takde apa, kenapa mengeluh? Dari tadi I lihat you mengeluh panjang. Ada apa-apa yang boleh I tolong?”
Rayyan tersenyum nipis sebelum membalas kata-kata kakaknya itu. Tidak terniat untuknya berkongsi dengan Safiya akan apa yang difikirkannya sebentar tadi. Dia bimbang jika Safiya akan menempelaknya semula.
“Takdelah. Cuma letih tak hilang lagi.”
“Dah tahu letih pergilah masuk bilik, berehat. Ni tidak, duduk di sini. Buat apa?”
Mendengarkan suara yang menyampuk itu pantas kedua mereka menoleh. Kenal benar mereka dengan pemilik suara itu. Puan Sri Sofia merapati mereka berdua lalu melabuhkan punggungnya di salah sebuah kerusi berdekatan mereka. Rayyan dan Safiya tersenyum kecil mendengar kata-kata ibu mereka itu.
“Buat apa menggajikan orang kalau kamu terpaksa ikut serta dengan mereka ke tapak projek? Kan lebih baik jika kamu aje yang uruskan semuanya. Tak payah nak membazir.” Wajah Rayyan ditenungnya lembut.
Rayyan membetulkan duduknya sebelum menjawab kata-kata mamanya itu.
“Sesekali Ray kena juga turun padang untuk memastikan kerja-kerja mereka berjalan dengan lancar, mama.”
“Apa gunanya Adam tu? Dia tak boleh membantukah?” Soal Puan Sri Sofia lagi.
“Bukannya tak boleh.” Antara mahu dengan tidak sahaja Rayyan menjawab.
“Dah tu? Apa masalahnya?”
“Ray tak mahu nanti dikatakan majikan yang tak tahu apa-apa perkembangan di syarikat. Hanya duduk di pejabat sahaja, tunggu laporan. Kalau boleh Ray nak tengok sendiri keadaan di tapak projek. Supaya orang tak mudah perlekehkan Ray nanti.” Luah Rayyan dengan panjang lebar.
Sememangnya begitulah cara dia bekerja semenjak dulu. Jika boleh, dia mahu turut sama memastikan apa sahaja projek yang diberikan kepadanya berjalan dengan lancar. Dia tidak mahu hanya menunggu laporan dari orang bawahannya sahaja dan kemudian barulah buat keputusan. Itu bukan cara dan etikanya bekerja.
“Kamu tu…manjakan sangat pekerja-pekerja kamu. Sampai pekerja pijak kepala kamu nanti, baru kamu tahu.” Ujar Puan Sri Sofia sambil mencebikkan bibirnya.
“Bukan begitu, mama. Cuma Ray rasa apa yang Ray lakukan ni untuk kebaikan syarikat juga.”
“Betul kata Ray tu, mama. Jika Ray tak buat macam tu nanti, mereka akan senang-senang nak perlekehkan dia.” Sampuk Safiya.
Puan Sri Sofia menghela nafas panjang apabila mendengar pembelaan Safiya terhadap Rayyan itu. Semua dalam rumah itu tahu yang Rayyan amat rapat dengan kakaknya, Safiya berbanding adik-beradik yang lain. Adakalanya, dia sendiri cemburu melihat keakraban mereka berdua.
“Berapa lama kamu di sini?” Puan Sri Sofia merenung wajah bersih Rayyan.
“Esok, lusa baliklah. Kenapa mama?” Soal Rayyan kembali.
“Balik hujung minggu ini aje.” Luah Puan Sri Sofia tanpa menjawab soalan dari Rayyan.
“Tak bolehlah, ma. Ray kerja. Lagipun Rifqah nak sekolah. Susah nanti.” Lembut sekali penolakkan Rayyan.
“Aik…selalunya tak kisah pun. Kenapa tiba-tiba kali ni banyak sangat alasannya?” Renggus Puan Sri Sofia. Hairan benar dia dengan ulah Rayyan malam itu. Selalunya Rayyan akan akur dengan setiap arahannya.
Matanya dicerlung ke arah anak terunanya itu. Kelihatan Rayyan seakan mati kata-kata dengan soalan yang diajukan oleh mamanya itu. Sesekali dia menelan liurnya.
“Hujung minggu ni mama nak buat makan-makan sikit. Semua orang ada. Takkan kamu tak mahu hadir?” Sedikit tegas kata-kata itu keluar dari bibir Puan Sri Sofia.
“Bukan macam tu ma…” Ujar Rayyan. Dia menggigit bibirnya untuk mencari alasan yang kukuh buat Puan Sri Sofia. Apa alas an aku nak bagi ni? Takkan aku nak cakap yang aku dah kahwin. Mahu mati aku dikerjakan mama nanti.
“Jangan bimbang, ma. Ray pasti hadir dengan Rifqah, kan Ray?” Pintas Safiya sebelum sempat Rayyan menjawabnya.
Rayyan menoleh ke arah kakaknya itu. Pautan lembut ditangannya seakan mematikan bicaranya. Mata mereka berdua bertentangan seketika. Melihatkan senyuman manis yang dilemparkan, membuatkan Rayyan serba salah. Perlahan-lahan dia menganggukkan kepala sebelum berkata-kata.
“Baiklah. Ray akan hadir tapi dengan syarat.”
“Syarat? Syarat apa?” Terlihat kerutan di dahi Puan Sri Sofia. Sejak bila pula dia bermain syarat dengan aku?
“Ray nak balik malam ni dengan Rifqah.”
“Kamu dah buang tebiat ke apa?” Marah Puan Sri Sofia. Tidak pernah-pernah anak terunanya itu bertindak demikian malam ini, itu yang dimintanya. Apa kena dengan anak aku ni?
“Betul kata mama tu, Ray. Dah malam ni. Lagi pun, Rifqah dah tidur. Takkan Ray sanggup kejutkan dia?” Pujuk Safiya. Dia pun terkejut dengan permintaan Rayyan itu.
“Maaf, mama…Fia. Kalau mama dan Fia mahu Ray hadir ke majlis tu, ikut syarat Ray. Jika tidak, Ray dan Rifqah takkan hadirkan diri pada hujung minggu ni.” Ujar Rayyan selamba.
Puan Sri Sofia merenggus kasar mendengar permintaan anak bujangnya itu. Bukan sahaja dia terkejut, malah Safiya juga begitu. Agak lama keadaan menjadi bisu diantara mereka bertiga sehinggalah Puan Sri Sofia mula berbicara.
“Baiklah mama setuju tapi Ray mesti berpegang kepada janji Ray. Jangan mungkir pula.” Jawab Puan Sri Sofia.
“Jangan bimbang, mama. Ray berpegang pada janji. Mama sendiri tahukan yang Ray takkan mungkiri janji Ray.” Sekuntum senyuman kecil dihadiahkan buat mamanya itu.
Rayyan bangun dari duduknya. Dia menuju ke pintu biliknya yang menempatkan Rifqah sambil diikuti oleh Safiya. Terlihat kegusaran di wajah bersih kakaknya itu.
“Ray, are you serius?” Luah Safiya perlahan. Bimbang jika mama mereka mendengar kata-kata mereka nanti. Baginya permintaan adiknya itu tidak masuk akal langsung.
“Of course I’m, sis. Why?” Selamba sahaja ayat itu keluar dari bibirnya.
“Ray, dah malam ni. Esok ajelah Ray balik. Lagi pun Rifqah dah tidur. Takkan Ray sanggup kejutkan dia?” Lembut sekali pujukan Safiya.
“Kalau ikutkan hati Ray ni memang Ray tak mahu balik dan kasihankan Rifqah tu.”
“Dah tu, kenapa buat juga?” Tegas Safiya.
Pening dia melihatkan ulah Rayyan itu. Selama ini, tidak pernah walau sekalipun Rayyan bertindak sedemikian. Rayyan seolah-olah bukan dirinya sendiri. Rayyan bertindak tanpa berfikir dulu.
“Saja.” Sepatah sahaja tutur Rayyan berserta dengan sengihan kecil.
Mendengarkan jawapan yang diberikan membuatkan Safiya menghela nafas panjang sambil menggelengkan kepalanya. Dia tidak perlu bertanya lebih lanjut kerana dia tahu setiap apa yang dilakukan oleh adiknya itu pasti ada sebabnya.

2 ulasan:

CikLaila berkata...

sambung lagi yer... nk taw apa jd seterusnya

ayuni berkata...

sambungla..sy nak taw ape yg jadik after this,..cam ne nasib nia plak???